Khamis, 30 Disember 2010

GETIK NYE ! TOK WAN...



Begitulah masih terngiang-ngiang kata-katanya bagaikan bara membakar hati menghiris perasaan, walaupun kini sidia tak pernah lagi menganggu ku sejak aku memutuskan persahabatan dan menjauhkan diri darinya, namun apabila dia membuat kecoh menganggu sahabat-sahabat ku, menaikkan juga kemarahan hati ini dan menambahkan kebencian ku yang  membuak-buak getiknya pada sidia itu. 


Aku  bukanlah dari jenis orang yang suka membenci orang tak tentu pasal, bukan juga seorang yang pendendam, malahan aku suka berkawan, dengan sesiapa sahaja tak kira siapa, tak kira pangkat dan tidak pula mengira darjat.Akan tetapi entah kenapa dengan sidia yang seorang ini membuat aku terlalu getik. Semasa mula berkawan nampaknya biasa sahaja tetapi sesudah lama sedikit berkawan sudah pandai pula sidia menunjukkan belang dan cuba untuk mengawal diri ku, tanpa menyedari dirinya siapa dan tiada apa-apa kepentingannya pada aku.


Pandai sungguh dia membuat pelbagai cerita memburukkan aku dan sahabat-sahabat karib ku, dengan lidah yang bermain membelit kata bagaikan sawa memintal mangsa.Malahan suka  memandang rendah, membezakan status kawan-kawan, serta suka mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang lain dan suka pula mengadu domba aku dengan sahabat-sahabat ku, apakah kebaikan untuknya, jika aku bermusuh dengan kawan-kawan ku, aku pun tak tahu.


Jika dahulu semasa berkawan suka benar si dia berbalas-balas pantun yang menjadi kegemaran dan minat ku sehingga menimbulkan salah sangka dikalangan sahabat handai yang mengatakan perhubungan kami seolah-olah sedang mabuk bercinta dengan pantun-pantun ku yang bermakna, namun aku bukanlah orangnya kerana fikiran ku masih waras dan  boleh berfikir membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, dek pengalaman lalu yang pernah aku lalui.

Setelah diperhatikan dari tingkah lakunya, dia bukanlah seorang  yang baik untuk ku meneruskan persahabatan, apabila melihat dia ini suka sangat menyebok dalam majlis orang lain yang tiada kaitan dengannya, disamping itu juga dia berusaha untuk  memecah belahkan persahabatan orang lain.Hati ku juga bertambah menyampah, dengan  sifatnya yang suka membanggakan diri seolah-olah dia terlalu sempurna jika dibandingkan dengan orang lain, dan semasa berbual selalu sangat mencarut yang membuat aku terasa segan dan malu kerana kata-kata yang busuk itu dihamburkan oleh seorang wanita.

Entahlah kadang-kadang  kelemahan orang kita nampak, akan tetapi kelemahan sendiri kita tak tahu, kita banyak mengata orang, orang mengata kita entah macamana, kita suka mentertawakan orang, entah-entah orang yang mentertawakan diri kita.Porak peranda dunia dibuatnya, aduh!!! Bukan aku tak sudi berkawan lama tetapi disebabkan perangainya yang sedemikian, membuat aku getik, menyampah, muak dan marah.


Semoga dia akan berubah dari berkelakuan buruk dan sedar akan kesilapannya, kerana sudah ramai dikalangan kawan-kawan  mula menjauhkan serta menyisihkan diri dari terus berkawan dengannya. Insaflah usia kini meniti senja !.











Rabu, 29 Disember 2010

MAJLIS TAHLIL DI RUMAH KAKAK ALLAHYARHAM JOHARI JALALUDDIN


Pada 26.12.2010 sedar tak sedar 40 hari Allahyarham Johari Jalaluddin pergi menyahut panggilan Ilahi.Apalah daya insan yang bernama manusia tetap jua akan pergi meninggalkan alam fana yang dipinjamkan Allah sementara kepada makhluknya.Begitulah adanya setelah pemergian Allahyarham Johari mendahului kita semua yang masih hidup buat seketika sementara menunggu giliran panggilan Allah SWT.

Di rumah pusaka peninggalan Allahyarham ayahandanya di Kampung Tengah, Bukit Pekan Kampar yang kini didiami oleh kakaknya telah mengadakan satu majlis tahlil untuk adik kesayangannya pada hari itu dan aku dan beberapa orang kawan telah dijemput hadir.Akan tetapi disebabkan ramai kawan-kawan yang terlibat dengan hal-hal masing-masing maka aku, Nidzamuddin dan Amiruddin (jaja) sempat jua menghadiri majlis tersebut mewakili sebahagian besar sahabat dan kawan-kawan semasa di asrama dan bersekolah dahulu.

Walaupun aku hadir agak lewat dihari tersebut namun kesetiaan Nidzamuddin dan Amiruddin (jaja) menanti aku amatlah aku sanjungi.Begitu juga kehadiran ku disambut mesra oleh keluarga Allahyarham.Hajat kami untuk bertemu dengan anak tunggal Allahyarham tidak kesampaian kerana beliau ada urusan lain di tempat kerjanya di Putra Jaya.Aku sempat juga memasukkan gambar-gambar kenangan Allahyarham bersama kami semasa bersekolah dahulu dan memberi nota ucapan takziah dari kawan-kawan difacebook ke thumb drive kakaknya untuk dijadikan kenang-kenangan.

Setelah beberapa jam di rumah itu aku, Nidzamuddin, dan Amiruddin ( jaja) pun berangkat pulang.Insya Allah sekiranya ada masa kami akan berkunjung lagi kerumah kakaknya di Kampung Tengah, Bukit Pekan Kampar sebagai tanda hubungan kami dengan keluarga Allahyarham tidak terputus meskipun Allahyarham Johari Jalaluddin telah tiada lagi.

SEMOGA ROH ALLAHYARHAM BERSAMA ROH ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH....



Selasa, 28 Disember 2010

AIRMATA TANGISAN SEORANG LELAKI


Benarkah airmata tangisan  seorang lelaki itu amat mahal dan sangat payah dikeluarkan sewenang-wenangnya diwaktu suka atau pun duka.Akan tetapi betapa mahalnya airmata tangisan lelaki namun sekali sekala tetap juga mengalir seandainya seorang lelaki itu terlalu keciwa, menyesali diri dan menerima kesakitan yang amat sangat.

Bukanlah disebabkan airmata tangisan lelaki itu melambangkan tiada jati diri tetapi siapa yang sanggup menghadapi kekeciwaan dan kesakitan yang amat sangat itu, seandainya pun airmata itu tidak mengalir namun dihati seorang lelaki akan menangis, sebak dan lebih parah  seandainya ia dapat bertahan dari mengeluarkan airmata.

Tangisan kesedihan seorang lelaki bukan sahaja pada seorang lelaki yang berjiwa kerdil, tetapi terdapat juga dikalangan  lelaki yang berbadan sasa menangis lebih teruk  sehinggakan merayu-rayu dan tersedu-sedu, selalunya jika ditinggalkan mereka yang disayanginya atau kehilangan keluarga yang tercinta.

Tidak semua lelaki mempunyai jati diri yang benar-benar gagah.Insan yang bernama lelaki juga mempunyai perasaan halus dan mudah tersentuh dengan perkara-perkara yang menyedihkan seperti juga yang dialami oleh kaum wanita yang mempunyai kelembutan.Namun ada juga lelaki yang menangis kerana hanya menonton filem-filem sedih.

Selagi bergelar manusia baik dari kalangan  lelaki atau wanita tangisan adalah perkara biasa didalam hidup.Perlukah seorang lelaki itu menahan airmatanya dari mengalir demi mempertahankan sifat keegoannya.Menangislah jika itu satu cara untuk melepaskan perasaan yang terbuku dihati !





PERTEMUAN BIASA TIGA SAHABAT


Tidak menghairankan pertemuan kami bertiga selalu berlangsung kerana ikatan persahabatan  Amiruddin Mat Som, Roslan Khairuddin dan aku, bermula sejak  dialam persekolahan masa tahun 1971 di St.Michael, Ipoh, kemudian salah seorang dari kami iaitu Roslan Khairuddin berpecah kelas dalam tingkatan 1, 2, 3 tetapi bertemu semula dalam satu kelas di tingkatan 4 dan 5.Selepas itu kami pun berpisah semula ikut haluan sendiri selepas alam persekolahan.

Setelah kami bertugas dan tinggal ditempat yang berhampiran  maka memudahkan kami bertemu, berurusan serta menziarahi antara satu sama lain. Rasanya ada sahaja program yang kami jalankan untuk bertemu.Kami juga selalu berbincang melalui talipon ataupun melalui facebook untuk sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kemesraan dan kebaikan bukan sahaja untuk kami bertiga tetapi juga untuk kawan-kawan yang lain.

Ikatan persahabatan ini dapat dikekalkan kerana kami amat mementingkan nilai persahabatan dan nilai kekeluargaan.Semoga persabatan kami berkekalan  malahan bertambah erat dengan acara-acara yang boleh membawa kami bertemu, berbincang dan berpakat.Maka benarlah kata perumpamaan kata-kata bidalan Melayu, 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'.



Isnin, 27 Disember 2010

PERJUMPAAN YANG MENAMBAHKAN IKATAN UKHUWAH...


Setiap pertemuan dan perjumpaan diantara kawan,sahabat dan kenalan tanpa mengira usia akan menambahkan lagi kemesraan dan ikatan persahabatan yang lebih jitu.Maka itulah sebabnya aku sentiasa sahaja ingin bertemu sambil makan-makan tak kira dimana, siapa dan bila,  pantang sahaja dijemput, jika ada kelapangan Insya Allah aku akan turut hadir.

Disamping itu kita dapat berbincang perkara-perkara kebaikan bersama, bertanya khabar serta mengimbau kembali kenangan lama ketika bersekolah.Itu sahaja tujuan aku untuk bersama-sama kawan-kawan.Sebelum mengadakan acara yang lebih formal, alangkah eloknya perjumpaan  dapat diadakan secara kumpulan kecil-kecilan.Kita juga dapat menjejak kawan-kawan lama yang tidak pernah berhubung dan berjumpa selepas keluar dari alam persekolahan.

Pertemuan itu juga sekurang-kurangnya dapat merapatkan jurang perbezaan antara mereka yang sudah berjaya, diperingkat pertengahan dan begitu juga mereka yang berada diperingkat bawahan.Hidup berkawan bukanlah tempat untuk kita menunjukkan taraf perbezaan dan kelas kehidupan dan bagi mereka yang berada diperingkat menengah dan bawahan rasanya tidak perlu terlalu merasa rendah diri.

Semoga pertemuan kita akan berterusan dan ikatan ukhwah kita sentiasa berpanjangan, mudah-mudahan segala yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhana Wata'ala, Insya Allah.



Sabtu, 25 Disember 2010

ORANG BERHARTA DIPANDANG MULIA


Kebiasaannya manusia selalu memandang tinggi kepada mereka yang berharta dan mempunyai wang ringgit yang banyak.Tambahan jika seseorang itu mempunyai nama pangkat dan darjat.Tidak salah kita memandang tinggi kepada keupayaan mereka berusaha mencari dan menambah  harta. tetapi biarlah harta yang diperolehi itu  secara bersih dan halal, bukannya hasil dari  menindas orang lain, rasuah, berunsur judi dan penipuan. Setelah menjadi kaya dan berharta jangan pula lupa pada tanggung jawab membayar zakat serta tidak kedekut menghulur sumbangan kepada mereka yang hidup susah dan yang memerlukan.

Setiap sumbangan yang diberi biarlah dengan tangan kanan tanpa diketahui oleh tangan kiri, baharulah mendapat keberkatan dan ganjaran pahala dari Allah, jangan sekali-kali  pemberian tersebut hendak ditunjuk-tunjuk serta berbangga-bangga hingga menimbulkan  riak yang hanya dipandang kebaikannya dimata manusia sahaja.Pada masa sekarang ramai yang berbuat demikian tidak seikhlas hati menyumbang sekadar untuk bermegah-megah serta mempunyai  kepentingan lain seolah-olah tangan kanan memberi tangan kiri menadah.

Bagi mereka yang tidak mempunyai harta atau hidup dalam kekurangan jangan merasa dengki dengan kekayaan orang lain tetapi sebaliknya cubalah berusaha kearah itu.Didiklah keluarga dan anak-anak untuk mendapat ilmu yang tinggi kelak disuatu masa jika diizinkan Allah, mereka juga boleh memegang jawatan tinggi atau berjaya dibidang perniagaan yang akan memberinya hidup senang serta berharta dan dipandang mulia oleh masyarakat.

Ada juga yang telah lupa diri semasa hidup berjaya dengan membiarkan ayah ibu serta adik beradik tinggal dalam kemiskinan, mereka terlalu sombong kepada orang yang tidak setaraf atau miskin, dan lebih rela menghabiskan wang ringgit  mencari keseronokkan sendiri.Ada dikalangan insan yang kaya raya ini turut menghabiskan wang ringgit dengan melakukan kerja-kerja yang sia-sia dan ditegah Allah seperti menceburi diri dalam aktiviti yang tidak sihat menghabiskan masa di kelab-kelab hiburan meminum arak, main perempuan  dan berjudi.Janganlah kekayaan itu merosakkan diri kerana nyawa dan harta dunia hanyalah dipinjamkan sementara oleh Allah kepada setiap manusia.





Jumaat, 24 Disember 2010

SKETSA DENDAM SI KUCING ~


Al-kisah di zaman antah berantah, terdapat sebuah daerah yang bernama Daerah Selekoh Semai didiami oleh kucing dalam satu kumpulan yang hidup aman damai.Banyak juga diantara kucing-kucing ini yang berhijrah ke daerah lain untuk menambah rezeki dan berkeluarga dengan kucing-kucing di daerah lain.Maka tinggallah beberapa kucing di daerah itu yang masih meneruskan hidupnya.Oleh itu kucing-kucing di Daerah Selekoh Semai itu teringin benar menemui kawan-kawannya yang berhijrah untuk berkumpul barang sehari untuk melepaskan rindu lalu ditubuhkan satu kesatuan yang dipimpin oleh kucing yang berwawasan untuk merapatkan semula hubungan antara pemastautin dan yang berhijrah itu.

Setelah itu satu kumpulan tenaga telah digerakkan untuk membantu menyebarkan utusan ke ceruk rantau kepada kucing-kucing yang tinggal berselerakan supaya dapat hadir pada hari yang ditetapkan.Pertemuan ini hanyalah untuk kucing-kucing yang pernah tinggal di daerah itu dan tidak dibuka untuk kucing-kucing dari jenis yang lain.Akan tetapi ada seekor kucing dari daerah Sungai Petai yang berkawan dengan beberapa ekor kucing dalam Daerah Selekoh Semai itu cuba untuk campurtangan dan membuat sibuk dalam majlis yang akan diadakan, lalu dibantah oleh sepasang kucing dalam kesatuan walaupun sebelum itu mereka berkawan rapat tetapi atas perselisihan faham, mereka telah menjadi musuh.Kucing luar itu tetap berdegil dan memberi pelbagai alasan untuk turut serta ke majlis yang akan diadakan nanti.


Maka tibalah hari pertemuan tersebut, kucing-kucing yang menerajui kumpulan telah datang awal disebelah pagi untuk membuat persediaan terakhir, tanpa disangka-sangka kucing luar itu muncul juga tanpa malu kerana majlis itu bukanlah untuknya.Maka kawan-kawan yang dimusuhinya itu pun beralah lalu meninggalkan persiapan disebelah pagi.Ketua kumpulan telah memujuk kucing luar itu supaya tidak masuk ke majlis disebelah petang yang dikhususkan untuk ahli-ahli sahaja dan dibimbangi kehadirannya mungkin menyebabkan ahli yang membantah tidak hadir,lalu ia berjanji tidak akan datang pada sebelah petang, apa lagi terlalu marah ia kepada kucing yang membantah itu melalui pelbagai saluran.

Pada sebelah petang majlis pun berlangsung, banyaklah kucing-kucing yang menjadi ahli datang kerana mereka juga ingin bersama-sama di majlis tersebut untuk melepaskan rindu pada kawan-kawan yang sudah lama tidak bertemu.Kucing-kucing yang membantah kehadiran kucing luar itu turut hadir setelah dipujuk oleh ketua kumpulan.Tanpa diduga sekali lagi kucing luar itu muncul dicelahan pokok berhampiran tempat majlis berlangsung untuk mengganggu dan memaki hamun musuh bekas kawannya itu tanpa perasaan malu dan segan, menceroboh kawasan majlis  berlangsung, tetapi kucing-kucing itu tidak ambil peduli dengan telatah ganjilnya itu.Maka melompat-lompatlah ia seolah-olah hilang akal sambil menggaru-garu batang pokok untuk melepaskan geramnya.


Sesudah acara pertemuan itu selesai, semua kucing beredar pergi, si kucing luar itu juga telah pergi entah kemana semasa majlis belum tamat, mungkin tidak tahan duduk dibawah pokok, tetapi dendam kucing luar itu tiada berkesudahan, ia sentiasa mengambil peluang untuk memaki hamun dipelbagai saluran tetapi tetap tidak diendahkan oleh musuhnya, lagaknya bagaikan bertukar menjadi seekor anjing yang menyalak bukit !




HAI NASIB MELUKUT ~



Walaupun adanya melukut itu serpihan beras atau kini dikenali sebagai beras hancur, janganlah kita sisihkan ia dengan menampi, biarlah ia bercampur bersama beras yang elok bentuknya, kerana entah-entah melukut itulah rezeki kita yang paling halal dari hasil wang yang kita perolehi, kemungkinan ia jugalah yang memberi kekuatan mental dan fizikal kita.

Sifatnya yang bercampur dengan beras yang baik itu jika ditanak alangkah baiknya, jika sudah menjadi nasi, dimakan diwaktu lapar, mana boleh dipilih-pilih, ia tetap juga mengenyangkan.Maka tidak perlulah beras itu hendak ditampi-tampi supaya melukut tersisih dari kumpulan beras yang cantik itu.Adalah malang jika melukut itu dibuang begitu sahaja, jika pun hendak disisihkan apalah kiranya melukut yang segenggam dua itu ditumbuk atau dikisar untuk dijadikan tepung beras, dijadikan bubur nasi atau kanji sahaja.Adakah khasiat beras sempurna itu berbeza dengan beras melukut itu ?

Begitulah juga dengan nasib seseorang yang dibagaikan seperti melukut, apalah salahnya jika ia juga turut disertakan didalam satu jemaah, ada juga gunanya !, kekadang buah fikiran insan melukut ini lebih bernas dari seorang cendiakawan.Jika dalam satu kumpulan semasa melakukan kerja-kerja gotong royong, adakah tenaga melukut ini tidak diperlukan.Oleh kerana dirinya tidak  sehebat seperti orang lain dari segi ekonomi dan kepandaian, akan tetapi besar kemungkinan tenaga si melukut ini hebat jika dibandingkan dengan orang yang dikatakan sempurna itu.

Sama-sama kita fikirkan, dan janganlah kita menganggap diri kita sempurna dalam semua segi, tidak semua kesempurnaan yang dikurniakan Allah kepada setiap manusia, pasti ada kekurangannya.Dalam hal ini, ada kalanya si melukut juga jauh lebih sempurna dari hidup manusia yang dikatakan serba lengkap itu.



Selasa, 21 Disember 2010

SEJARAH RINGKAS PEKAN BIDOR, PERAK


Bidor adalah sebahagian dari pemerintahan Kerajaan Gangga Negara yang dipercayai menerima pengaruh Hinduism dan Budhhaism sekitar 900 tahun (kurun 8/9)yang lampau dibawah pentadbiran Kerajaan Bruas.Pengaruh Hindu dan Budhha ini telah dapat dibuktikan dari patung berhala agama Hindu/Budhha bertangan lapan diperbuat dari logam gangsa, kini patung tersebut ada tersimpan di Muzium Negara, di temui semasa pembukaan kawasan perlombongan pada tahun 1936.

Arca Gangga Negara Patung Berhala Hindu-Budhha
di Muzium Negara Bertangan Lapan (tetapi satu telah patah) ditemui
di Bidor pada 1936

Bidor telah menjadi penempatan bagi Orang-orang Melayu kebanyakannya berasal dari Sumatera Barat yang berketurunan Rao, yang  berhijrah kesini melalui Pelabuhan Telok Anson (Teluk Intan)  serta menyusuri Sungai Perak dan Sungai Bidor, terus membuka kawasan penempatan baharu di jajaran sungai.Di sini mereka dan keluarga bermastautin dan ada juga yang berkahwin dengan penduduk tempatan Bidor ketika itu.

Pekan Bidor (antara bangunan lama dan baharu)


Penempatan Melayu pertama di Bidor adalah di sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Gedong.Akhirnya penempatan tersebut ditinggalkan kerana mereka membuka penempatan baharu di pinggiran pekan di jajaran sungai bermula dari awal 1940an.Orang yang mula-mula membuka penempatan Bidor adalah Syeikh Abdul Ghani yang berasal dari Sumatera dan beliau adalah merupakan Penghulu Pertama Pekan Bidor.Semasa beliau menjadi Penghulu penempatan baharu Masyarakat Melayu semakin berkembang.Aktiviti perlombongan, perladangan getah yang dibuka oleh Orang Inggeris pada masa itu telah banyak menggamit kehadiran Orang Cina berketurunan Hakka dan Kantonis serta keturunan India berhijrah ke Bidor.

Mesin peleburan bijih timah ada yang mengatakan mesin untuk melebur pasir menjadi kaca,
lokasinya kini di Sekolah Men. Syeikh Abdul Ghani Bidor.

Bidor merupakan pengeluar bijih timah ketika itu, maka pekan ini memperolehi namanya dari bekas acuan bijih yang dinamakan Bidor.Disini juga terdapat pelabuhan kecil yang dinamakan Tongkah Harbour, bijih timah dari aktiviti perlombongan dibawa ke sini untuk dihantar ke pelabuhan Telok Anson (Telok Intan) melalui tongkang atau kapal kecil untuk dipunggah ke kapal yang lebih besar dan dihantar ke Singapura.Pada tahun 1950an Perak ketika itu dibawah pemerintahan Sultan Salehudin, Sultan Perak yang ke 9, aktiviti perlombongan berkembang rancak di kawasan Kinta dan Larut, Bidor tidak terlepas dari kesan aktiviti  perlombongan menyebabkan pekan Bidor berkembang dari semasa kesemasa. 

Rumah Kongsi pekerja Tongkah Harbour masih kukuh di Bidor


Aktiviti pelabuhan ini terhenti apabila kemajuan pengangkutan darat mengambil alih laluan sungai dan aliran sungai Bidor juga  turut dipindahkan dari aliran asal kerana aktiviti perlombongan maka Tongkah Harbour ditinggalkan sepi hari ke sehari.Kesan peninggalan Tongkah Harbour masih kelihatan dikawasan sekitar Kelinik Bidor, dan rumah kongsi pekerja pelabuhan (dermaga) masih berdiri kukuh dan tertulis nombor rumah tersebut dengan siri TH iaitu Tongkah Harbour.

Kawasan bekas perlombongan

Begitu jugalah nasib aktiviti perlombongan kerana harga pasaran timah dunia jatuh menyebabkan pengusaha tidak dapat bertahan disamping tiada kawasan baharu untuk melombong juga menjadi punca penutupan aktiviti perlombongan ini.Walaupun aktiviti perlombongan kapal korek ini berakhir namun masih terdapat kesan peninggalan seperti kongsi pekerja yang telah bertukar status menjadi penempatan Batu 4, Jalan Telok Intan untuk bekas pekerjanya. Tempat ini dahulu dikenali sebagai Bidor Malayan Tin yang aktiviti terakhirnya pada akhir tahun 1970an.Kini banyak kawasan bekas perlombongan ini telah bertukar menjadi kawasan perumahan dan perkampungan tersusun.

Tapak Tongkah Harbour


Pada Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, Bidor tidak terlepas dari menerima kesan peperangan itu Banyak juga berlaku pertempuran antara tentera British, MPAJA dan Jepun.Pada tahun 1946 setelah kekalahan Jepun, Bristish telah masuk semula ke Tanah Melayu yang mengakibatkan perebutan kuasa antara Parti Komunis Malaya ketika itu dengan Kerajaan British.Tentera British telah menubuhkan pasukan Special Constable (SC) dan dibantu oleh tentera British dari keturunan Gurkha, untuk mengekang kegiatan komunis ini.Ramai juga dikalangan pegawai tentera British, tentera dan SC yang terbunuh ketika itu.



Tapak Kubu peninggalan British

Pada tahun 1946 melalui Pesuruhjaya British di Malaya ketika itu telah mengarahkan wakilnya untuk menempatkan Orang-orang Cina yang tinggal berselerak di penempatan baharu di kem-kem penempatan khas bagi tujuan keselamatan.Kem-kem penempatan di Bidor adalah seperti Kem Kampung Baharu Tanah Mas, Kampung Baharu Pekan Pasir, Kampung Baharu Bidor,Kampung Baharu Bidor Stesen, Kampung Baharu Coldsream dan Kampung Baharu Kuala Bikam.Mereka ditempatkan dalam satu kawasan serta diawasi oleh pasukan  Special Constable (SC) dan Home Guard

Balai Polis lama Bidor

Orang-orang Bidor pada masa sebelum Malaysia (Malaya ketika itu) turut sama berjuang menuntut kemerdekaan dari tangan British dan mereka juga sama-sama menentang Malayan Union. Terdapat  juga penduduk Bidor yang telah ditahan oleh Pentadbiran British ketika itu dan diletakkan dibawah akta keselamatan, antaranya adalah Allahyarham Arshad bin Shaari.Selepas Malaya ( Malaysia) mendapat kemerdekaan dari Kerajaan British pada 31.8.1957 Bidor tidak terkecuali menikmati kemajuan dan pembangunan dari semasa ke semasa.













Isnin, 20 Disember 2010

PETAI


Petai atau nama sainsnya 'Parkia Speciosa, memang banyak tumbuh meliar didalam hutan di Batang Padang terutamanya di Bidor, Perak.Tidak hairanlah jika Bidor memang terkenal dengai hasil petainya.Petai mengandungi protin dan lazat rasanya walaupun sedikit kelat.Petai juga boleh dijadikan ubat untuk mengelak atau mengurangkan sakit kencing manis jika dimakan selalu.Tetapi sekiranya dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan cirit birit jika perut seseorang itu tidak begitu tahan memakannya.


Masa dahulu petai hanya digemari oleh bangsa Melayu, tetapi kini petai juga turut digemari oleh keturunan Cina, India dan Banggali.Maka tidak hairanlah harga petai kini lebih mahal jika dibandingkan harganya pada masa lalu.



Jika musim pengeluaran petai yang banyak, Pekan Bidor sesak dengan kenderaan yang berhenti di pusat jualan buah-buahan, adakalanya terpaksa diawasi polis untuk melancarkan pergerakan kenderaan.Harga petai jika pada musimnya dijual RM 2.00 ke RM 3.00 untuk 3 atau 4 papan berdasarkan pada saiz dan kualitinya.Harga seberkas petai dalam 75 hingga 80 papan hanya RM 35.00 ke RM 45.00 juga berdasar pada saiz dan kualiti dan jenis petai tersebut.Jenis-jenis petai yang ada dijual di Pekan Bidor adalah petai hutan yang matanya agak besar dan petai padi dimana saiz matanya agak kecil tetapi lebih lemak rasanya.


Petai di makan mentah sebagai ulam, dibakar atau direbus bersama kulit-kulitnya dan dicicah dengan sambal belacan.Setengah orang suka memakan petai bersama kulit-kulitnya dan ada yang tidak suka makan cara itu dimana mereka membuang kulit sebelum memakan petai itu.Petai memang sesuai dibuat masakan tumis bercampur udang atau ikan bilis dan ada juga yang menambah petai dalam masakan gulai lemak, masakan bercampur tempe atau dijadikan jeruk sebelum dimakan, terpulanglah kepada selera masing-masing.




Sekiranya ingin ke Kuala Lumpur atau menghala ke Ipoh melalui jalan Persekutuan singgahlah dahulu untuk membeli petai untuk dimakan atau dijadikan buah tangan untuk keluarga atau sahabat handai, tetapi setelah memakan petai siap bersiap sedialah untuk menggosok gigi.Bilik air atau tandas perlu dibersihkan untuk mengelakkan dari berbau.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...