Sabtu, 30 April 2011

BANDARAYA IPOH MENYIMPAN KHAZANAH WARISAN NEGARA



Bandaraya Ipoh adalah ibu negeri Perak Darul Ridzuan. Ipoh mendapat namanya dari pokok Ipoh.Pada masa lampau Ipoh membangun kerana kekuatan aktiviti perlombongan bijih timah.Kini Bandaraya Ipoh telah berkembang begitu pesat dengan pelbagai aktiviti perniagaan dan bangunan-bangunan baharu telah banyak tumbuh seperti cendawan sele[as hujan, namun bangunan warisan lama yang bernilai sejarah masih lagi tegak tersegam untuk disaksikan oleh generasi demi generasi khususnya penduduk Ipoh, Negeri Perak, Malaysia dan dunia.


pokok Ipoh

Pokok Ipoh ini terdapat di hadapan Stesyen keretapi Ipoh merupakan simbol bagi Bandaraya Ipoh. Ipoh memperolehi namanya dari pokok Ipoh sejenis tumbuhan yang mempunyai getah yang beracun.Digunakan oleh kaum asli untuk dibubuh dihujung damak sumpit semasa memburu binatang.




Stesen keretapi Ipoh yang tersergam indah dan masih kukuh.Disamping menjadi stesen keretapi di sini juga terdapat  Hotel Majestic yang masih beroperasi.Dahulu hotel ini terkenal dengan nama Hotel Station. Peralatan di dalam bilik hotel tersebut juga memang antik.Semasa menginap di hotel itu diri kita bagai berada dalam masa yang lampau dari penggunaan lif hinggalah katil dan perabutnya yang berunsur masa lalu.





Dewan Bandaraya (Bandaran) Ipoh memang cantik dan masih tersergam, sebuah bangunan lama yang tiada bandingan nilai sejarahnya.Pelbagai aktiviti masih berjalan di sini.Terletak di hadapan stesen keretapi Ipoh berhampiran Pejabat Pos lama dan Masjid Sultan Idris Shah Kedua.





Bangunan lama Pejabat Pos Malaysia memang cantik bangunan lama ini masih kukuh dan tegap.Sebelum Pejabat Pos baharu dibina disinilah orang ramai berurusan.Kemudian bangunan ini dijadikan pula Pusat Pelancungan Negeri Perak.Terletak di belakang Dewan Bandaraya (Bandaran) dan berhampiran Masjid Sultan Idris Shah Kedua.



Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael, Ipoh terletak di Jalan SP Senivasagam (Jalan Clayton), Ipoh adalah salah sebuah bangunan sekolah yang tertua di Bandaraya Ipoh.Terletak berhampiran Masjid India, Ipoh, Padang Bandaraya dan Perpustakaan Tuan Abdul Razak.



Masjid Sultan Idris Shah Kedua walaupun Masjid ini dibina dalam tahun 60an namun masjid ini menjadi tumpuan orang Islam menunaikan fardu solat dan aktiviti pengajian Agama Islam.Terletak berhampiran Pejabat Pos lama, Dewan Bandaraya (Bandaran) dan stesen keretapi.



    



MASJID INDIA IPOH


Masjid India Ipoh terletak di Jalan SP Seenivasagam (Jalan Clayton), Ipoh berhadapan dengan Padang Bandaraya Ipoh berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan St.Michael, Ipoh.Sebuah Masjid untuk kegunaan orang-orang Islam terutamanya untuk India Muslim.Walaubagaimanapun Masjid ini terbuka juga untuk orang Islam dari keturunan lain untuk menunaikan fardhu solat di situ.

Didalam kawasan masjid juga ada sebuah madrasah untuk pelajar mengaji dan bersekolah untuk mendalami pengajian Islam yang ditadbir di bawah kelolaan Ahli Jawatan Kuasa Masjid dan semasa aku ke situ baru-baru ini aku difahamkan bahawa dana untuk pengajian madrasah itu banyak disumbangkan oleh masyarakat India Muslim yang berada dan ahli-ahli perniagaan India Muslim.

Bangunannya memang indah dan cantik serta kemas bercirikan binaan Masjid dari Negara India dan di dewan solat masjid ini memang menarik dihiasi dengan pelbagai ukiran dan marmar yang cantik.Semasa aku bersekolah di St.Michael's Instution, Ipoh pada tahun 1971 hingga 1976, aku dan kawan-kawan sentiasa ke masjid ini untuk menunaikan fardhu sembahyang.Pada bulan Ramadhan pula kami sentiasa sahaja diberi kanji nasi (bubur lambok) untuk bekalan berbuka puasa.

Kini aku masih lagi menggunakan masjid ini untuk bersolat sekiranya aku ada urusan di St. Michael, Ipoh atau berada di persekitaran.Sesungguhnya masjid ini banyak minyimpan kenangan semasa aku di alam persekolahan menengah yang lalu dan tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.




Jumaat, 29 April 2011

TOKWAN DI PORT DICKSON




Pada 27.4.2011 tokwan telah sampai di Pusat Latihan RISDA (RISTEC) untuk menghadiri kursus.Sepatutnya tokwan perlu menaiki kenderaan jabatan bersama 9 orang kakitangan namun tokwan telah ke sana dengan menaiki kereta Tuan Haji Hassan kerana menemani beliau untuk menghantar puterinya ke Maktab Sains Rendah Mara Muar.Setelah selesai urusan menghantar puterinya kami berpatah semula ke Port Dickson.

Walaupun perjalanannya agak jauh dan mengambil masa yang lama namun kami terasa puas kerana dapat mengambil kesempatan berehat dan melihat tempat-tempat yang menarik.Kami sampai di Pusat Latihan RISDA lebih kurang jam 6.15 petang.Kami adalah di antara yang lewat sampai.Setelah makan malam kami telah diberi taklimat ringkas tujuan kursus dan modul yang perlu kami ikuti.

Lebih kurang setengah jam taklimat kami pun bersurai.Tokwan tidak ke mana-mana hanya menghabiskan masa di dalam bilik penginapan sambi berfacebook bersama kawan-kawan.Lebih kurang jam 1.00 pagi tokwan pun tidor.

Pada 28.4.2011 bermulalah kami berkursus kami dapat menghabiskan kesemua modul dalam masa kursus tersebut kerana masing-masing berjaya memahami apa yang diajar oleh jurulatih berkaitan penggunaan sistem aplikasi e-pengembangan.

Selepas minum petang dan menunaikan fardu, tokwan dan Tuan Haji Hassan telah keluar bersiar-siar di kawasan PantaiTelok Kemang.Sempat juga tokwan merasa makanan char kueytiau yang tokwan gemari sejak berkunjung di Port Dickson beberapa bulan yang lalu.

Kami pulang ke Pusat Latihan jam 7.30 malam untuk menunaikan fardu dan makan malam.Tuan Haji Hassan mengajak tokwan untuk ke Bandar Port Dickson namun tokwan menolak kerana ingin berehat di bilik sahaja.Tokwan rasa malas untuk ke bandar Port Dickson kerana selalu sangat ke sana.Lagipun tidak banyak yang berubah dari sebelum ini.

Pada 29.4.2011 kami dibenarkan untuk pulang awal dan makan tengahari telah disediakan jam 10.00 pagi dan tokwan dan Haji Hassan telah meninggalkan RISTEC lebih kurang jam 11.00 pagi dan dalam perjalanan balik kami sempat juga singgah ke Kota dan Muzium Lukut di Linggi hanya untuk bergambar kerana kami sudah biasa ke situ sebelum ini.

Kereta Haji Hassan meluncur laju  dan sempat singgah di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta untuk bersembahyang Jumaat.Selepas itu kami berehat di Perhentian Rawat dan Rehat Rawang serta mengambil minuman dan makan ringan.Jam 3.30 petang kami meneruskan perjalanan dan singgah di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang, Perak untuk mengambil barang-barang anak Haji Hassan untuk dibawa pulang kerana tamat pengajian.Tokwan sampai di rumah lebih kurang jam 6.00 petang.



PERJALANAN KU DI BANDAR MUAR





Pada 27.4.2011 aku telah dijemput oleh sahabatku Tuan Haji Hassan Isa untuk menghantar anaknya ke Maktab Rendah Sains Mara di Muar, Johor.

Pada hari itu juga sepatutnya aku dan Haji Hassan perlu menghadiri kursus di Pusat Latihan RISDA (RISTEC) Port Dickson berkursus pada 27.9.2011 hingga 29.4.2011 dengan menaiki kombi pengangkutan pejabat bersama kawan-kawan yang lain seramai 9 orang.

Aku mengambil keputusan untuk menemani Haji Hassan ke Muar dan berpatah semula ke Port Dickson.Dalam perjalanan ke Port Dickson dari Muar pada mulanya cuaca baik tetapi semakin melepasi Negeri Johor kami disimbahi hujan di sepanjang perjalanan.

Aku dan Haji Hassan bertolak dari Bidor jam 10.30 pagi dan beberapa kali berehat sampailah kami ke Muar.Seperti biasa lensa kamera ku sentiasa sahaja digunakan untuk merakam gambar di sepanjang laluan kami termasuklah di Bandar Muar.

Kami sampai di Maktab Rendah Sains Mara lebih kurang jam 4.30 petang.Setelah semuanya selesai di situ kami pun bergerak ke Port Dickson Negeri Sembilan dan sampai untuk mendaftarkan diri jam 6.15 petang.


 

Selasa, 26 April 2011

SEHARIAN KU DI BANDAR DI RAJA KUALA KANGSAR



Walaupun aku selalu ke Bandar Di Raja Kuala Kangsar, namun aku sesekali sahaja dapat merakamkan potret di sana, namun pada hari ini 25.4.2011 aku berkesempatan berurusan di Kuala Kangsar sempat juga aku merakam potret tempat-tempat indah di dada bandar dan di kawasan persekitarannya.Cuaca pada hari itu amat panas di sebelah pagi hingga ke waktu tengahari.Akan tetapi pada sebelah petangnya cuaca mendung dan sesekali gerimis dan hujan curah turun tetapi cuma sekejap dan kemudiannya menjadi panas semula.





.Seperti selalu aku ke bandar tersebut tidak pernah lepas untuk meluangkan masa untuk bersiar-siar di Cempakasari kerana di situ menjadi tempat tumpuan orang ramai berkunjung tanpa mengira usia.Mereka ke sana ada yang bersiar-siar, berehat, beriadah dan anak-anak mengambil kesempatan bermain-main di taman permainan yang disediakan.


pokok getah tertua di Malaysia


Beberapa minit selepas itu aku mengambil peluang untuk menyelusuri Bandar Di Raja Kuala Kangsar untuk merakam potret-potret sejarah yang terhidang untuk pandangan mata.Memang menarik bandar ini yang telah diperindahkan dari semasa kesemasa.Laluan sesak hanyalah di dua batang jalan  utama dalam pusat bandar.Laluan-laluan lain di persekitaran tidaklah begitu sesak.




Aku juga tidak melepaskan peluang pada hari ini dengan mengunjungi Bukit Chandan yangmana terletaknya Istana Bukit Chandan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Sultan Perak.Begitu juga dengan bangunan sejarah seperti Masjid Ubudiah, Istana Kuning dan lain-lain lagi.Istana Kuning telah dijadikan Muzium Di Raja.Hasrat aku untuk meninjau barang-barang pamiran di raja pada hari itu tidak kesampaian  kerana ditutup untuk kunjungan pelawat atas sebab pengemaskinian dan pembaikan.




Setelah meninjau-ninjau kawasan persekitaran dan merakam beberapa gambar, aku bergerak ke Galeri Sultan Azlan di Bukit Chandan, walaupun selalu berkunjung ke situ namun inilah pertama kalinya aku dapat masuk dan melihat barang-barang pamiran kepunyaan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah.Aku menghabiskan masa hampir 2 jam, boleh dikatakan setiap ceruk dan ruang aku jejaki.Puas rasanya dapat melihat semua barangan tersebut yang amat bernilai dan bersejarah.







Selesai sahaja tinjauan aku di Galeri tersebut, aku pun menaiki kenderaan bergerak untuk pulang. Dalam perjalanan pulang aku sempat juga mengambil potret kereta perisai dan kapal terbang pejuang Skyhawk yang diletakkan ditempat-tempat strategik di dalam bandar untuk tatapan umum barang sejarah yang pernah digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia.Entah bila lagi aku akan dapat berkunjung  ke Kuala Kangsar.Hati ini bagai digamit untuk berkunjung lagi ke sana.






Selasa, 19 April 2011

SEBENTAR DI KOTA BELANDA PULAU PANGKOR





di jeti Lumut


Pada 24.3.2011 aku berkesempatan ke Pulau Pangkor dengan rakan setugas ku Tuan Haji Mohammad Hassan bin Isa.Sudah lama rasanya aku tidak berkunjung ke Pulau Pangkor kerana kesibukan ku.Kami ke Pulau Pangkor tidaklah berhajat untuk mengelilingi Pulau tersebut hanya sekadar untuk ke pekan Pulau Pangkor dan ke Kota Belanda sahaja kerana kesempatan masa yang tidak begitu mengizinkan.Lagipun aku telah beberapa kali menjelajah Pulau Pangkor sebelum ini.



Pekan Pulau Pangkor


Semasa berlepas dari jeti Lumut tidak ramai yang berada di dalam feri dan bilangan penumpang boleh dikira dengan jari.Setelah sampai ke jeti Pulau Pangkor kami terus sahaja minum pagi di sebuah gerai dan berjanji akan singgah untuk makan tengahari menikmati kesedapan lauk baharu hasil tangkapan nelayan.Setelah bersembang beberapa minit dengan taukeh gerai tersebut kami pun pergi ke Kota Belanda yang tidak begitu jauh.Aku bercadang untuk ke sana dengan berjalan kaki sahaja tanpa mahu menyewa motorsikal.

Kota Belanda

Kami berjalan dalam keadaan santai dan mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk sampai di situ.Walaupun aku pernah ke situ namun aku tidak pernah merakam gambar, maka pada hari  itu aku nekad untuk bergambar di sana.Aku dan Haji Mohammad Hassan berehat dan meninjau kawasan di situ lebih kurang 1 jam sahaja.Hanya beberapa orang pelancong dari luar negara sahaja yang berkunjung.

Di Kota Belanda


Selepas berehat panjang dan merakam gambar di Kota Belanda itu kami pun berjalan kaki pulang ke Pekan Pulau Pangkor dan singgah semula ke gerai makanan yang kami janji untuk menikmati makan tengahari.Walaupun masakannya biasa bagi kami namun terasa sedapnya akan lauk yang dimasak kerana ikannya adalah ikan baharu dinaikkan dari laut.

batu bersurat  Belanda


Sebelum berangkat pulang ke Lumut kami sempat juga membeli makanan laut untuk dijadikan buah tangan.Walaupun masa ke Pulau Pangkor amat singkat namun aku terasa puas sekali.Pulau Pangkor telah banyak perubahan, pembangunan dan tempat menarik untuk dikunjungi.Semasa di dalam feri hati ku bagai digamit untuk berkunjung lagi.


  

BERSIAR-SIAR DI PEKAN LUMUT







Pada 24.3.2011 sebelum aku ke Pulau Pangkor sempat juga aku dan kawan setugas ku Tuan Haji Mohammad Hassan Isa bersiar-siar di Pekan Lumut sementara ketibaan waktu feri berlepas ke Pulau Pangkor.Seronok juga dapat memerhatikan pembangunan pekan Lumut.Banyak bangunan baharu yang telah dibina serta tempat-tempat menarik untuk menggamit pelancong untuk datang berkunjung.



Tidak banyak tempat yang sempat aku pergi kerana kesuntukan masa.Walaubagaimanapun hati ku tetap puas kerana dapat juga mengambil beberapa gambar semasa menyelusuri jalan di Pekan Lumut.Pada pagi tersebut hujan gerimis yang membatasi aku untuk bergerak lebih jauh.Lagi pun masa untuk berlepas ke Pulau Pangkor amat hampir, dan jika berkesempatan masa pulang dari Pulau Pangkor kami akan menyelusuri lagi beberapa batang jalan untuk dirakamkan gambar-gambar yang boleh dijadikan kenangan.


Selepas aku dan Tuan Haji Hassan pulang dari Pulau Pangkor, kami meneruskan penjelajahan kami ke beberapa batang jalan untuk aku abadikan didalam kamera ku. Tepat jam 2.30 petang aku dan Tuan Haji Hassan berangkat pulang dengan hati yang puas.Walau hanya sebentar sahaja di Pekan Lumut namun segala kecantikan dan keindahannya akan termeteri di fikiran ku. Aku berjanji untuk mengunjungi lagi ke sana.




SEHARIAN DI LUMUT PERAK

di Marina Cove, Lumut
Pada 23.3.2011 aku telah pergi ke Lumut untuk menghadiri mesyuarat jabatan ku bertempat di Marina Cove Resort, Jalan Telok Batik, Lumut.Aku bertolak dari Bidor jam 8.00 pagi terus ke Tapah dan menaiki kereta kawan ku Tuan Haji Mohamad Hassan bin Isa untuk ke Lumut.Mesyuarat akan berlangsung jam 10.30 pagi.Setelah sampai kami terus sahaja mengambil sarapan pagi yang disediakan untuk kami oleh pihak pengurusan resort.

bersama rakan-rakan setugas
Ahli Mesyuarat
Jam 10.30 pagi kami pun mula bermesyuarat sehinggalah jam 1.00 petang kami berhenti untuk makan tengahari dan berehat.Jam 2.30 petang kami sambung semula mesyuarat sehingga jam 5.00 petang.Pada petang itu kami bersiar-siar di tepi pantai Telok Batik dan persekitarannya.

Marina Cove Resort
pemandangan menarik di Lumut
Setelah kami makan malam aku telah menghubungi kawan sekolah ku di St.Michael, Ipoh pada tahun 1971 iaitu Mohd Nazri Jamil.Beliau sampai ke penginapan ku jam 8.30 malam dan terus sahaja aku dan Tuan Haji Mohamad Hassan keluar ke pekan Lumut untuk minum di sebuah restoran mamak dan bersembang-sembang mengimbau kenangan lalu dan berbicara berkaitan tugasan harian semasa.

melihat keindahan laut di persekitaran Telok Batik

bersama Mohd Nazri Jamil kawan di St.Michael, Ipoh 1971
 
Jam 12.00 pagi aku dan Tuan Haji Hassan telah memohon diri untuk kembali ke penginapan kami di Marina Cove untuk berehat dan tidor.Sebelum tidor aku berpakat dengan Tuan Haji Mohammad Hassan untuk pergi ke Pulau Pangkor sebelum pulang kerana telah lama tak kesana.Pada 24.4.2010 adalah acara bebas sebelum berangkat pulang.




Isnin, 18 April 2011

KE NEGERI KEDAH 20.3.2-11 - 22.3.2011

dalam perjalanan


Pada 20.3.2011 yang lalu, aku telah diarahkan berkursus di Pendang Lake Resort, Pendang, Kedah. Aku telah pergi bersama 3 orang lagi staf dan seorang pemandu.Pada hari itu kami pergi menaiki kenderaan Pajero pejabat.Sepanjang perjalanan kami bersembang sesekali bergurau senda untuk mengelakkan dari jemu ketika di dalam perjalanan.Suara kami bersembang kadang kala lebih nyaring dan riuh dari bunyi radio yang dipasang oleh pemandu sesekali aku mengarahkan pemandu agar tutup sahaja radio kerana bersembang lebih menghiborkan.



di Tasek Raban
di Tasek Raban, Lenggong


Dari Tapah kami menyusuri lebuh raya PLUS dan berhenti di Perhentian Simpang Pulai kerana beberapa staf ingin melepaskan hajat yang tersimpan.Beberapa minit berehat kami meneruskan perjalanan. Sebelum sampai ke Perhentian Sungai Perak, aku mencadangkan kepada pemandu agar keluar ikut Kuala Kangsar kerana bosan berada di lebuhraya yang sesak dan mengarahkan pemandu agar mengikuti jalan lama Kuala Kangsar, Grik hingga ke Kedah.









Sebelum sampai Pekan Lenggong kami berehat sebentar di Tasek Raban, walaupun aku telah biasa di tempat itu namun ada staf yang tidak pernah lagi menjejakkan kaki di situ.Di situ kami sempat bergambar.Selepas beberapa minit aku meminta pemandu membawa  aku kerumah bapa mertua untuk menziarahi ibu dan bapa mertua ku di Kampung Changkat Berangan, Lenggong.Setelah melepaskan lelah dan dahaga kami meneruskan perjalanan dan singgah makan tengahari di Restoran Ikan Bakar Tasek Raban.



             Menyelusuri Sg Petani
Menara Alor Setar di waktu malam


Sesudah makan tengahari kami terus sahaja meluncur menyelusuri Pekan Lenggong dan Grik kami berhenti rehat di Sik, Kedah.Beberapa minit selepas itu kami meneruskan semula perjalanan ke Sungai Petani dan terus masuk Lebuhraya PLUS untuk ke Pendang melalui Alor Setar.Kami sampai di Pendang Lake Resort pada jam 7.00 malam, walaupun berkeadaan letih namun perjalanan kami memang menyeronokkan.Setelah makan malam dan menunaikan fardhu Maghrib/Isyak kami bersiap-siap untuk ke Alor Setar.Sungguh lama aku tidak ke sana hampir 3 tahun.




di Pendang Lake Resort
bersama Abas Jamaluddin kawan sekolah 1971-1976


Pada keesokan hari 21.3.2011, kami memulakan kursus dan berakhir jam 5.00 petang, selepas itu aku menghubungi kawan semasa bersekolah di St.Michael, Ipoh pada tahun 1971-1976 iaitu saudara Abas Jamaluddin yang telah lama menetap di Pendang.Jam 5.45 petang beliau telah sampai ke kediaman ku dan mengambil aku untuk minum petang di Pendang.Jam 7.00 malam aku minta izin untuk pulang ke kediaman kerana pada malam itu ada kelas pada jam 8.00 malam.Pada malam itu Abas datang  lagi tetapi kelas ku belum berakhir, dan Abas telah pulang ke rumahnya.



masjid zahir diwaktu malam
Balai Nobat diwaktu malam


Pada 22.3.2011 pagi-pagi kami telah keluar untuk siri lawatan ke Pokok Sena, dimana aku berkesempatan pergi menziarahi kawan ku semasa aku bertugas dalam Anak Syarikat di Bengkel RISDA Fleet Pokok Sena yang berdekatan dengan Pejabat RISDA Pokok Sena.Sesi taklimat dan lawatan bermula sehinggalah jam 12.30 tengahari.Selepas makan tengahari kami pun bergerak pulang ke Perak.
 

di rumah adik ipar ku di Merbok Laguna, Sg Petani


Dalam perjalanan pulang aku sempat mengambil gambar-gambar melalui tingkap kenderaan.Sampai di susur keluar Sungai Petani, aku minta pemandu agar singgah berehat sebentar di rumah adik ipar ku di Merbok Laguna.Selepas beberapa minit dirumahnya kami meneruskan perjalanan pulang.Kami berehat sebentar di Perhentian Bukit Merah kerana minum dan makan serta menunaikan fardhu sembahyang.Setelah selesai kami meneruskan perjalanan tanpa berhenti dalam cuaca hujan dan aku sampai di Bidor lebih kurang jam 9.00 malam dalam kelesuan namun hati ku puas kerana telah lama aku tidak pulang ke Kedah negeri ayahku sendiri.



  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...