Sabtu, 31 Disember 2011

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU MASEHI



Di kesempatan ini ingin aku mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Masehi 2012 kepada semua pembaca Blog tokwanmatarun dan Beras Melukut.Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat facebook ( fb) Ahmad Harun.Dalam mengejar azam baru yang telah termeteri dan dirantai didalam hati maka perlulah menghadapinya dengan tabah dan berani.Biarlah azam di tahun lalu berlalu samada berjaya digapai atau sebaliknya, jika belum bolehlah dibawa ke tahun baru ini disamping bersemat pula semangat yang baru.

Jika tertewasnya azam tahun lama tanpa kejayaan janganlah kecewa kerana pada tahun baru ini mulakan dengan episod azam baru yang benar-benar jitu bersemangat kental menghadapi ujian dan cabaran.Bagaikan pendekar yang tak mudah hilang arah jati diri dan tidak lemah semangat menghadapi medan perjuangan yang tiada akhirnya, adakala tertewas jatuh tersembam namun bangkit mengatur langkah semula.Adat hidup di dunia ini jika patah, biarlah bertongkat, jangan mudah layu tersungkur begitu sahaja tanpa melawan.

Tetapkanlah iman dan semangat juang yang kental, usah sedikit pun di hati terasa goyah, gentar dan goyang menghadapi dugaan dan cabaran hidup, adakalanya datang bersinar terang gemilang dan adakalanya jua malap hitam tetap sesekali bertandang.Seandai pendekar cekal berani sentiasa mengukuh langkah kekuda jati serta berjuang tak kira masa sudah pasti cabaran dan dugaan dapat diharungi.Semangat pengorbanan nyawa dan badan jua kekadang perlu jadi taruhan demi kejayaan dalam perjuangan.

Sebagai manusia yang sentiasa bersemangat tinggi dan bermaruah, kita perlu melangkah bergaya bersiap siaga untuk mengecapi kemenangan dan hasil kejayaan yang diperolehi itu moga mendapat keredhaan dan kerahmatan Ilahi.Hasil nikmat kejayaan yang diperolehi melalui cara menongkah dan menyongsang arus yang tidak diberkati Allah perlulah dijauhi.Biarlah hina pendekar melarat dan merempat tertewas dalam mencari kemenangan dari hina dina bak besi karat mencari keuntungan berjuang tanpa keikhlasan dan ketaqwaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...