Rabu, 30 Mei 2012

SEBATANG TITIAN MENUJU HASRAT




Jika ada sesuatu hasrat yang memerlukan kehadiran kita, janganlah kita terus sahaja redah tanpa berfikir panjang akan tujuan sebenarnya hajat seseorang terhadap diri kita, pastikan tujuan dan sebabnya.Sesuatu yang berkehendakkan kehadiran kita adakah kerana sesuatu yang ikhlas atau sebaliknya.Apakah persediaan yang telah disediakan atau apakah kemudahan yang bakal kita perolehi.Mungkinkah memberi faedah atau sebaliknya.

Seandainya semata-mata untuk mempergunakan diri kita untuk mengiyakan perbuatan tidak ikhlas dan sesuatu perbuatan tidak baik perlukah kita sertai.Umpamakanlah kita dikehendaki membantu seseorang yang kita sedia maklum yang mempunyai agenda dan muslihat  jahat atau khianat terhadap kita, adakah harus kita turuti walaupun telah disediakan pelbagai habuan tertentu demi memenuhi hasrat jahatnya itu.

Janganlah terpedaya pada perkara yang belum pasti, usahlah terlalu bersetuju dengan sebarang kata yang lunak dan manis menggula-gula akal fikiran sedangkan belum tentu kebaikan yang akan diterima atas kebodohan diri dengan pelbagai pujukan kata-kata yang belum pasti.Nilailah, timbanglah sedalam-dalamnya supaya tidak mudah terpedaya.Jika tidak berfikir panjang, dibimbangi akan memudaratkan diri sendiri.

Selalunya janji manis bermadu dan bergula itu ada niat pahit serta curang disebaliknya.Belum tentu apa yang digula-gulakan itu menjadi manis untuk hari-hari berikutnya.Entahkan bila hari berganti hari, segala janji bergula itu bertukar rasa menjadi masam seperti cuka serta pahit bak hempedu pada hari-hari berikutnya pula.Hati-hati dan berwaspadalah sebelum terjerat dan terjerut pada sebuah janji bergula racun berbisa serta bermadu tuba..

Ingatlah seandainya kita hendak menyeberang sebatang titi yang usang kerana sudah tiada laluan lain, tempuhilah titi itu dengan berhati-hati.Pastikan jika lantai dan gelegarnya tidak reput, tiangnya biarlah tegak, teguh dan kuat, barulah keselamatan diri lebih terjamin.Jika merempuh titian yang sudah berlantai reput, gelegar rapuh, tiang senget tak kukuh, perlukah kita lalui juga.Jangan menyiksa dan menyusahkan diri kerananya.

Jika teruskan melangkah tanpa waspada, dibimbangi kaki terjelus, atau tergelincir terus ke sungai lalu dibawa arus.Seandainya semua titian itu runtuh, bayangkanlah mara bahaya yang bakal dihadapi.Kalau dapat berpaut pada sesuatu mungkin terhindar dari hanyut, jika tiada tempat untuk berpegang, hanyutlah diri, mungkin akan terus tenggelam ke dasar sungai atau di lubuk dalam.Maka berpusaralah jasad tanpa berbatu nisan.

PEDOMAN MENCARI HALUAN

Haluan tanpa pedoman akan tersesat dipenghujung sekali, hidup tanpa panduan amat menyesatkan tanpa mengetahui jalan kembali.Berhati-hati dan berwaspada melalui jalan yang terbentang luas, ikut aturan dan pedoman serta syariat Allah. Insyaallah kita tidak kesesatan jalan walau dimanapun diri kita berada.

Ikuti jalan yang mana difikirkan sesuai untuk kita, jemaah kita dan agama kita, jangan kita ikuti jalan yang bersimpang seribu, biar lurus dan tepat akan tujuannya, jadikanlah syariat yang ditentukan Allah sebagai satu pedoman agar kita tak tersesat lebih jauh, sampai tidak tahu mencari jalan pulang.

Sebelum kita ajak orang mengikuti jejak kita pastikan diri sendiri sudah sedia berilmu tinggi, cukup sempurna dari segala kecelaan, Jadikan Al-Qur'an, Hadith dan Sunnah Rasulullah sebagai sebaik-baik pedoman dan panduan supaya memudahkan kita mengenali selok belok jalan dan laluan kehidupan.

Biarlah diri diri kita tidak sesat dan orang lain yang mengikuti langkah kita itu juga tidak turut sesat mengikuti arah kita.Bukan mudah untuk membawa diri kita dan orang lain mengikuti jalan yang dijamin Allah kerana terlalu banyak dugaan dan ujiannya.Hanya orang yang beriman dan sabar sahaja selalu mencapai kejayaan dan keredhaan Allah.

Biarlah diri kita dipandang serong asalkan jalan yang kita jejaki membawa kebaikan untuk kita. keluarga serta masyarakat.Jika jalan bengkok yang kita ikuti berbelok dan berbelit-belit tapi tetap dikatakan lurus itu adalah menyiksakan diri dan orang lain.Jangan mengatakan kita sudah berjaya dan bersikap takkabur kerana usaha kita belum tentu diterima Allah

Bagi orang yang selemah kita maka elok sangat kita bermuhasabbah, membetulkan segala kesilapan dan kekurangan, mudah-mudahan mendapat petunjuk dari Allah Tuhan sekelian alam.Marilah kita berdoa memohon kepada Allah semoga menjaga dan memelihara diri kita dari kesesatan hidup di dunia yang terlalu banyak nikmat palsu.


Biarlah kita bersikap adil kepada diri sendiri, keluarga serta masyarakat agar roh fatihah sentiasa tersemat dalam hati, biarlah orang memandang kita jelik di mata mereka, asalkan Allah tidak jelik memandang kita.Alhamdulilah, biar ilmu yang sedikit demi sedikit asalkan berterusan lebih baik dari ilmu yang dikutip secara pukal tetapi tidak diamalkan...

Ahad, 27 Mei 2012

MENDUNG DI SINAR TERANG




Manalah penawar duka hati yang kian hidup melara, tiada berkawan dan berteman yang sudi memandang lagi kerana mungkin sudah jemu atau timbul benci rasa di hati.Puas ternanti, tertunggu-tunggu setiap hari dan waktu, namun orang yang ditunggu tidak jua mucul, tidak juga menjelma barang seketika dan tidak pernah kunjung tiba.Setelah berlalu sekian lama maka timbullah jemu di hati ini dan hilang mu tidak perlu ku cari, hadir mu tidak pula akan ku nanti.

Adakah diri ini sudah kau lupakan, mungkin juga diri ini sudah terus hilang dari ingatan.Aku sedar bahawa  diri ini sudah tidak kau perlukan lagi setelah dirimu memperolehi kebahagian dan kesenangan, tidak seperti waktu dahulu yang dihimpit kesusahan dan kecelaruan.Tangis mu adalah senjata yang sentiasa melembut hati ini untuk terlalu bersimpati terhadapmu.Akhirnya aku tertewas dan kecundang jua terjerat dengan permainan nakal mu.

Selepas kau memperolehi segala yang kau hajati yang memenuhi kehendak dan keinginanmu sanggup kau biarkan aku terkapai-kapai sendirian.dan setelah derita dan kepayahan mu telah hilang dan berlalu, maka kau sanggup menyingkir dan meminggir diriku.Mengapa sanggup kau lakukan begini terhadap diri ku yang telah banyak berkorban untuk kebahagian mu.Sedikitpun kau tidak rasa bersalah dan menyesal, keras sungguh hatimu.

Bukanlah tujuan ku untuk mengungkit atau membangkitkan kisah-kisah silam mu, namun aku tidak dapat menutupi resah dan gelisah hati ku yang sentiasa bergelodak mengetuk jiwa dan perasaan ku sehari-hari.Tidak sanggup lagi rasanya hidup ku ini beberapa kali kau permainkan dan tidak sanggup lagi aku beberapa kali tertipu  dan hatiku kini sentiasa  berbara kerana sudah rasa begitu tercabar atas perbuatan jijikmu. 

Ingatlah langit tidak selalu terang, adakala ada mendung dan hujan, ada tikanya ribut, taufan, guruh dan petir akan menjelma juga.Apa yang ku harapkan agar diri mu akan terus disinari mentari agar tiada lagi kegelapan yang menyelubungi hidupmu, supaya selepas ini tidak kau mencari aku lagi sekiranya kau berada dalam gelita semula.Biarlah diri ini terus lenyap hilang dari kamus hidupmu.Akan ku jadikan sebahagian babak mimpi ngeri dan malang dalam hidup ku ini.

Walaupun kau telah menghilang dari pandangan mataku, namun sesekali aku tetap juga terkenang, namun kerana perbuatan mu yang tidak mengenal hati budi membuat kekadang aku terlalu benci padamu.Biarlah diri ku kau lupa, biarlah diri ini dihina, dimaki dan dicerca, biarkan sahaja aku  membawa diri dan hati yang hampa menerus kehidupan ku.Pengalaman telah mengajar diri ku agar lebih tabah dan sabar menghadapi sebarang dugaan, cabaran, cubaan dan rintangan.

APALAH DAYA ANDAINYA TAK SUDI

Kekadang kita terkenang rakan, kawan dan sahabat fb, mesra intim, malah sentiasa sahaja ada komen dan bicara, kita pun rasa seperti orang dilamun cinta, tanpa buka fb sehari bagaikan ketagihan candu lagaknya, komen berbalas mesra, bila sudah berterusan agak lama mungkin ada kata-kata menyinggong hati dan perasaan hinggakan mereka padam nama kita sebagai sahabatnya.

Ada yang meninggalkan diri kita begitu sahaja tanpa disedari, tiba-tiba bila kita ingin berhubung nama mereka sudah hilang.Pergi tanpa kata sepatah dua, tanpa pesan, tanpa kita ketahui akan kesalahan, kesilapan dan dosa.Jika sebelum itu bergurau senda, mesra bicara kekadang laksana orang sedang mabuk bercinta memberi komen dalam bahasa berbunga mengalahkan bahasa pujangga.

Kata bicara begitu indah bagai memikat burung terbang hingga terjerat tetapi setelah sekian lama maka mungkin timbul perasaan benci dan jemu, hingga mereka sisihkan diri kita dari senarai kawan fb mereka.Kenapa mereka buat begitu tidaklah diketahui mungkin kata-kata  gurau dan senda disalah ertikan sedangkan maksud yang kita sampaikan adalah sejernih mata air dari pancuran.

Bukannya hendak memikat atau menyalahi hukum hakam agama tetapi sekadar ingin merapatkan tali persahabatan.Janganlah kata indah berbunga itu ada agenda menjerat sesiapa.Walaupun ada yang bersikap demikian tetapi bukanlah semuanya bersifat begitu, jika sudah tidak sudi berkatalah dengan jujur lalu mengundur diri cara terhormat, Bukannya dengan cara lari ikut belakang.

Begitulah nasib di usia meniti senja ini sering kali terkeliru bahasa orang muda, mungkin atas teguran atau sebutan gaya bahasa berbeda menyebabkan mereka tersalah erti dan merajuk terus membawa diri,mungkin juga mereka menyangka kita sudah nyanyok dan merapu dan tidak sesuai bersahabat lagi.,kerana diri kita tidak memberi keuntungan dan faedah, hanya membuang masa mereka sahaja.

Kemungkinan kerana kurang memahami IT ada yang terpedaya dengan paparan spam yang kita tidak tahu datangnya menggunakan nama kita tanpa kita sedari dan ketahui menyelinap ke dalam wall sahabat handai, tanpa dapat membezakan perkara itu adalah spam dari nyata tanpa meminta penjelasan, maka terus sahaja kita dituduh mengkhianati persahabatan sehingga mereka membuang nama kita dari bersahabat dengan mereka.

Pernah juga terjadi ada orang yang kita tidak kenali ingin berkenalan di fb, setelah kita luluskan  kerana kita bersangka baik orang hendak berkenalan, mula-mula memuji dan memberi ulasan komen yang baik, tetapi setelah sekian lama ada yang menghasut kita untuk memutuskan persahabatan dengan si polan si polan atas tuduhan sahabat kita itu terlibat dengan unsur-unsur tidak sihat, melakukan maksiat dan sebagainya.

Apa yang dikesalkan sahabat fb kita itu tidak bertanya terlebih dahulu samada berita ini benar atau sebaliknya, terus sahaja menyingkirkan kita dari fbnya, sepatutnya orang yang suka mengadu domba inilah yang sepatut kita singkirkan dari terus bersahabat.Begitulah halnya kerenah dan keadaannya sahabat-sahabat di fb ini, belum tentu dapat menerima kita sebagai seorang sahabat yang mesra di fb atau pun di alam nyata.

Namun ada kalanya sahabat fb tidak mahu berkawan dengan kita kerana pangkat dan darjat, maklumlah mereka orang yang ada nama, banyak wang dan berharta, mungkin diri kita yang miskin dan kurang berkemampuan ini tidak layak untuk mereka berkawan.Sebelum kita disingkirkan mereka berkenalan dengan sahabat-sahabat kita yang ada nama, yang akhirnya mereka begitu mesra, kita pula disingkirkan dari senarai sahabat fbnya.

Sebenarnya masih ada insan yang benar-benar jujur ingin bersahabat dan ada juga yang mengambil kesempatan dalam persahabatan.Mereka ini akan memilih sahabat kita dari golongan yang dianggap ada nama dalam bidang tertentu atas sebab ada kepentingan lain, maka diri kita dianggap sudah tidak perlu lagi bersahabat dengannya lalu disingkirkan.Kekadang kita yang memperkenalkan dia dengan sahabat-sahabat kita itu sebaliknya dia pula yang mengkhianati diri kita pula.

Adakah orang yang miskin dan hidup dalam serba kekurangan ini tidak layak berkawan dan bersahabat dengan mereka yang hidup senang, kaya, golongan ada nama atau kelompok keturunan tertentu.Adakah ada perbedaan kelas dan taraf kedudukan yang menjadi satu syarat dalam persahabatan.Sedangkan dalam etika persahabatan tidak pernah mengenal erti taraf kedudukan, pangkat, darjat, keturunan, kaya, berharta dan miskin.

Walaubagaimanapun kita perlu bersangka baik mengapa mereka menghindari kita, kemungkinan kerana menghormati kita kerana usia yang tidak sepatutnya dibuat gurauan senda ataupun mereka mahu mengelakkan diri kita yang sudah berusia ini dari dipersenda dan dipermainkan.Maklumlah orang muda mestinya hebat dan tidak sesuai berkawan dengan orang yang berusia meniti senja ini.Begitulah adanya.....


Ahad, 20 Mei 2012

JERAT PERCINTAAN



Aduhai syahdunya ungkapan, 'sedalam-dalam lautan biru, lebih dalam cinta daku' , terlalu lembut bahasa menusuk telinga bagai dibuai bayu lembut dingin memujuk jiwa.Namun pastikah pujukan itu berpanjangan sehingga keakhir hayat.Bukanlah kata-kata manis bagai menanam tebu di tepi bibir sahaja.

Beruntunglah sesiapa yang memperolehinya.Jika hanya sekerat jalan diri bagai terpukul dihempas badai gelora, hati umpama ditusuk duri yang bisa.Berhati-hatilah sebelum menyelami kata semanis madu adakalanya hanyalah umpan menuba jiwa.Apa hendak dikata jika hati telah dijerat percintaan.

Ungkapan lunak selanjutnya yang sentiasa diluahkan semasa dalam percintaan, ' kasih kekanda atau adinda tidak pernah kurang, tidak sedikit pada yang lain, jika kau hilang tiadalah ganti ', amboi-amboi hebat sungguh bahasanya tersusun manis bibir meluah bicara syahdu menggoncang kalbu.

Bicara berikutnya tika memadu janji bersumpah setia ketika dilamun asmara alam percintaan, ' lautan api sanggup ku renangi dan seberangi, jurang yang dalam rela ku redahi', betapa hebat kata-kata semasa berada di alam cinta mesra.Dunia terasa kecil hanya setara telapak tangan, begitu keadaannya.

Sering juga kata-kata bersulam madu hiasan bibir tika bicara jika hati sudah menyinta, tika tidak mengenal antara botol kicap atau pun cuka, ' hilang dimata di hati jangan, biarlah jauh dari pandangan di dalam hati siang dan malam jadi pujaan, biarlah jauh beribu batu namun dalam hatiku engkau yang satu .'

Ewah, ewah, merdunya lontaran kiasan.Bertuahnya badan seandainya sebutan menjadi kenyataan.Semoga bahagialah bersama selagi hayat dikandung badan.Namun seandainya terjadi cinta musnah, maka meranalah badan, jiwa tersiksa dan fikiran menjadi sasau.Mahu saja diri dihumban kedalam api membakar diri.

Jika terlalu siksa menanggung derita rela diri tercampak ke jurang dalam, biarlah berkecai tulang dan lerai nyawa dibadan.Begitulah hampa jadinya, madu manis bertukar sepahit hempedu, segala keindahan dipandang buruk dan jijik.Kecewa bagai tiada kesudahan.Begitulah jika telah hilang kesabaran dan ketiadaan pegangan iman pelapik fikiran.



Sabtu, 12 Mei 2012

ANTARA DUA DARJAT


Dimana tanah tinggi, berbukit dan bergunung ganang, serta ditumbuhi pohon-pohon yang menyayup menjulang ke awan, berbatang kukuh, daun hijau merimbun, berdahan tegap dan bertajuk rendang, sesuailah untuk sang helang yang cantik, gagah, kuat dan garang menerjah angin terbang melayang hinggap dan bersarang.

Tidaklah sama dengan mu wahai sang gagak yang hodoh berwarna hitam tidak layak bagi mu untuk bertandang.Sedarilah rupamu yang buruk dan dayamu yang kurang itu tidaklah layak bagi mu setanding helang.Terbang mu tidaklah setinggi mana, nak berjuang menentang angin nanti patah pula sayap mu jatuh kecundang.

Maka carilah oleh mu wahai sang gagak pohon-pohon rendah, berdahan, beranting rapuh,  berdaun usang di tepi-tepi hutan, rimba, bendang dan padang.Di situlah sesuai tempat mu untuk singgah, berteduh dan bersarang.Adakah sudi sang merak datang bertandang, jika datang pun bukanlah diri mu akan dipandang.

Begitulah nasib mu wahai sang gagak yang buruk, jika adalah sang helang memandang, diri mu akan di serang, baiklah saja jauh kau terbang, manakan sanggup daya mu menentang si helang , pasti dikau kecundang, serta ditimpa malang pedih, luka, sakit mengerang, mungkin juga nyawamu turut melayang.


BIARLAH PIPIT BERSAMA PIPIT

Seandai diri hanyalah pipit manakan sesuai untuk menyapa sang helang gagah perkasa, menyapa pun tiada sudi disahut malah kerlingan matanya hanyalah untuk mencari peluang menyambar untuk santapan kudapan sementara mendapat habuan lain yang lebih mengenyangkan.

Janganlah pipit hendak bergaya dan berlagak seperti helang mencelah angin, menduga angkasa, tiada mampu untuk mu turuti jejak sang helang tinggi di udara yang anginnya tidak termampu bagimu mengharunginya.Jika sanggup kau duga tentu kecundang kepatahan sayapmu kesakitan dan terdamparlah pula.

Ingatlah wahai sang pipit, biar saja kau terbang rendah sebanding dan setara dengan daya mu.Cukuplah sekadar hinggap dan singgah di pohon-pohon beranting rendah dan di pohon-pohon renek yang rimbun.Usahlah digapai bayang cita mu menerjah awan di langit tinggi kerana itu adalah hanya mimpi buatmu.

Tidak perlu untuk terbang jauh mencari rezeki segunung, cukuplah sekadar padi-padi berisi di bendang jika itulah yang termampu untuk kau perolehi.Cukup sekadar kau berkongsi  bersama kawan-kawan  kumpulan burung kerdil setaramu.Jika hasrat mu bekawan dengan burung yang besar tubuhnya maka tersiksalah diri.

Hendak terbang,terbanglah bersama-sama kawananmu sahaja, biarlah rendah asalkan kau bahagia hidup bersama.Hinggaplah di ranting dan di dahan pohon rendah dan rimbun serta bersaranglah asalkan kau dapat kau berlindung dari panas mentari dan terbias dari dibasahi hujan.

Semoga bahagialah hatimu wahai si burung pipit, biarlah diri dipandang kerdil namun hidup mu sentiasa ceria dan bebas .Cukuplah sekada kicau mu yang lembut.Biarlah enggang, helang dan gagak bersuara besar, walaupun kicauan mu tak senyaring itu namun kau tetap mampu berbunyi.

GAGAK DAN MERAK

Walaupun berwajah hitam, buruk dipandang mata namun sang gagak lebih berpengalaman dalam kehidupan dan luas pandangannya terhadap kehidupan manusia dan menikmati keindahan alam dengan merantau dari satu tempat ke suatu tempat yang lain.Kemana sahaja gagak akan sampai walau di ceruk rantau mana pun tidak kira di belantara, hutan dan rimba.

Begitu juga dengan kampung, pekan, bandar dan bandaraya, paya, tasik, sungai, laut serta pulau.Pendek kata semua tempat pernah dijejaki dan diterokai oleh sang gagak yang hitam itu.Walaupun berbulu hitam dan nampak hodoh jika dibandingkan dengan burung-burung lain namun gagak dapat bergerak bebas tanpa apa yang boleh menghalangkannya.

Merak adalah seekor burung yang cantik tambahan jika sedang mengigal, bulunya berwarna warni indah dipandang mata.Memang benar dikatakan orang merak memang sombong terutama semasa mengigal.Merak memang selalu bermegah diri kerana menyedari kecantikannya.Apalah guna kecantikannya hanya di hutan rimba dan belantara sahaja.

Jika di pekan, bandar atau bandaraya merak hanya terkurung di sangkar zoo, sudah pasti hidupnya tidak sebebas burung gagak.Makan minum pun disediakan orang.Hitam legam sang gagak boleh membuat sarang, mencari makanan dan minuman sendiri tanpa mengharapkan bantuan dari manusia serta menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran.

Bayangkan merak tersasar ke pekan rasanya tentu kebingungan dan menjadi mangsa kenderaan, ditangkap manusia ataupun anjing liar.Jika terselamat pun merak akan mati meragan kerana tidak tahu mencari makan.Tiada apa yang hendak dimegahkannya. Jika pun di hutan rimba tempat tiada apa yang istimewa pada kemegahan merak ketika mengigal.

Kecantikan si merak hanya ditertawakan musang, serigala, harimau ataupun sawa lapar yang sentiasa mengidam daging si merak.Merak tidak mampu terbang hanya berlari itu pun tak sepentas mana.Berbanding dengan sang gagak yang pantas terbang dan bahaya yang dihadapi oleh gagak agak kurang dan terbatas.Jika ada pun hanyalah peluru senapang manusia.

Oleh itu sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran janganlah kita merasa diri kita buruk dibandingkan dengan orang lain, Begitulah sebaliknya yang cantik janganlah bemegah diri pula, kerana belum tentu cantik itu mulia di sisi Allah.Allah hanya memandang kepada ketaqwaan dan keimanan seseorang bukanlah pada paras dan rupa.


Allah Maha Mengetahui akan kejadian manusia dengan berbagai bentuk paras dan rupa, ada yang cantik, buruk, sempurna dan cacat yang masing-masing mempunyai kehebatan, kelebihan dan kelemahan.Tiada istilah gagak di rimba dan merak kayangan, itu hanyalah bidalan Melayu setakat perbandingan  darjat dan kekecewaan,  kecantikan, kehodohan, kekayaan serta kemiskinan.

CINCIN TEMBAGA BERBATU KACA

Alahai jika hanyalah logam tembaga mana pula sesuai nak dijadikan cincin mengikat batu permata.Manalah padan sudah pasti tiada setara.Sedangkan suasa pun tidak sesuai inikan pula tembaga.Lainlah emas yang dijadikan cincin yang berharga dijadikan gelang, anting-anting atau keronsang, tentu sepadan jika mengikat intan, zamrud, nilam, mutiara atau permata.Beruntung amatlah sijari manis tersarung cincin emas permata.

Walaupun tembaga dan suasa ada nilai harganya tetapi tidaklah semahal emas.Tembaga dan suasa hanyalah bercahaya kusam dan tidak berseri, sedangkan emas lebih berkilauan amat setandinglah intan permata yang memancarkan sinar cahaya.Cincin tembaga hanya layak mengikat batu kaca, namun cincin suasa bolehlah juga mengikat batu mutiara dan nilam yang kemungkinan ada sedikit serinya.

Bayangkanlah jari manis seorang gadis, begitu lembut dan runcing jika bersarungkan cincin emas berbatu permata, alangkah cantik berseri dipandang mata.Cubalah bayangkan pula seandainya cincin tembaga disarungkan di jari gadis manis itu, alamak, sudah pasti kurang menarik, silap gayanya mahu saja cincin tembaga itu dibuang ketepi.Begitulah nasib mu hai si cincin tembaga berbatukan kaca.

Namun pada simiskin manalah mampu mengadakan cincin emas berbatu intan permata yang tinggi harganya.Jika dapat menyarung cincin tembaga di jari pun walau buruk dipandang mata orang, namun cantik di mata sendiri.Apa nak dikatakan hanya itu sahaja yang termampu.Siapa yang tidak mahu secantik cincin emas permata yang tinggi nilainya, namun kerana tidak berdaya, sekadar cincin tembaga di jari sudah cukup sempurna baginya.


Pada orang yang kaya dan berharta tidak pernah menyoal berapa harga sebentuk cincin emas permata, kerana mampu memilikinya.Akan tetapi pada orang yang tidak berkemampuan rasanya hendak mendapatkan sebentuk cincin tembaga yang murah harganya pun belum tentu mampu untuk dibeli.Itu pun jika mereka hendak juga menyarung cincin di jari, namun lebih ramai yang tidak langsung sudi atau tidak mampu membeli cincin untuk jadi penghias jari.

Rabu, 9 Mei 2012

MENITI HARI KALA SINAR ADA SURAMNYA


Amboi cantiknya saujana mata memandang pagi ini tika mentari tersenyum setelah terjaga dari lenanya di ufuk timur perlahan-lahan naik ke langit dari celah-celah gunung ganang sambil menyinar cahaya lembut lagi menyegarkan, sambil membiarkan embun seketika di hujung rumput dan daun-daun di pohon.

Burung beraneka jenis turut menyanyi riang dan berterbangan ke sana sini.Begitu juga hati insan yang di lamun rindu, resah, sepi dan duka terasa bahagia menyingkir sepi dan derita yang menyandar di jiwa.Bayu dingin sesekali menyentuh kulit, sejuknya terasa menusuk dan mencengkam ke tulang.

Langit kelihatan cerah, gunung terserlah biru, menambahkan lagi nyaman dan keindahan suasana di waktu pagi. Setelah mentari naik menggalah ke dada langit maka terasa sinarnya terik membakar kulit.Begitu juga rumput di padang mula terasa haus, dan pohon-pohon kayu seakan layu terasa bahang panasnya.

Di samping itu mentari menyejat air di lopak, sungai, tasik dan laut membawa wap-wap itu menuju udara, akhirnya membentuk awan putih bertompok.Tanpa di sangka tiba-tiba awan putih bertukar mendung kelabu, langit biru dan bersih bertukar hitam.Hari yang cerah menjadi suram dan kelam.

Guruh di langit gempita berdentum dan kilat bersabung bagai menyembur api menggegar bumi.Bayu lembut bertukar angin deras dan kencang sesekali bagai bersiul mengundang ribut.Pohon-pohon yang melambai pada mulanya sudah tidak keruan dan tidak tentu hala mengikut pusaran dan putaran mengikut arah tiupan angin yang semakin buas.

Daun-daun hijau, kuning dan kering berterbangan lalu jatuh berselerak ke tanah.Tiba-tiba hujan turun mencurah kasar dan lebat, kadangkala berhenti, kemudian bersambung dari tengahari ke petang sehinggalah membawa ke malam.Hati yang resah bertambah parah, jiwa pilu semakin terharu dan perasaan rindu bertambah pilu.

Air bertakung di lembah-lembah dan kampung, sungai membuak menghentam tebing sehingga laluannya sebak menyebabkan banjir.Maka hilanglah seri pada hari itu yang di sangka panas hingga ke petang tetapi hujan di tengahari, petang dan kini masih renyai menjelang malam.Namun terpaksa di terima atas kehendak Allah Semesta Alam.

Meniti masa pada hari-hari yang dilalui belum pasti kita sentiasa berada dalam tenang, senang, bahagia dan gembira, begitulah juga cuaca pastinya terdapat berbagai keadaan adakalanya cerah, terang, redup, gelap, panas, mendung, gerimis dan hujan yang lebat hingga mengakibatkan sungai dan aliran deras menghentak dinding tebing lalu hakis dan rebak runtuh dibawa air.

Sungai tidak mampu lagi mengalirkan arusnya menjadi sebak dan membuak mengakibatkan musibah banjir menenggelamkan tanah-tanah landai dan lembah.Pohon kayu dan rumpai habis tenggelam, akar semakin tidak kuat bertahan lalu tersembam, bujur lalu bersama derasnya limpahan banjir yang deras landaannya.Surutnya air bergantung kepada keadaan cuaca jika hujan tidak turun lagi.

Jika mentari panas rembang berbahang belum tentu terang seharian, adakalanya mendung pula bertandang disangkakan panas hingga ke petang, tetiba hujan pula turun di tengahari.Ada masanya menyangka hujan akan turun kerana langit mendung gelap, kelam dan mendung, guruh serta petir tak henti bersabung riak berdentum sehingga menggegar alam, lalu air di tempayan dicurahkan tiba-tiba hujan pula tidak menjadi, tempayan kosong tidak berisi.


Begitulah juga ombak di laut, adakalanya nampak berombak tenang, bergelora, bergelombang, dan badai menerjah batu-batu pejal dan menerjah pasir berderai lerai di pantai dirempuh sang ombak menggila hingga terhakis di telan ke dasar laut.Buih yang terapung-apung mundar mandir ke hulu kehilir, ke tengah ke tepi seperti tanpa tujuan dan tiada haluan tersendiri terapung di bawa ombak deras dan bergulung-gulung, ke tengah tak sampai ke hujung pun tidak, entahkan terus berderai, entah lenyap entah kemana.


Bayu yang bertiup tenang membelai dedaun dan pepohon belum tentu sentiasa menyaman dan menyegarkan tubuh badan, adakalanya bertukar kencang menjadi ribut mematahkan dahan-dahan, menumbangkan pohon, malah memberi kebinasaan dan merosakkan harta benda dan segalanya.Mungkin juga ribut yang dijangka menjadi taufan menggila melanda tiba-tiba bertukar bayu selembut kapas menyapa hari menyegarkan alam semesta, tersenyum pepohon dan burung dan unggas kehilangan resah terus sahaja menduga sayap menduga angin.

Peredaran hari juga pun tidak sentiasa terbit mentari terang dari pagi, berbahang di tengah rembang, bila tiba petang teriknya beransur kurang, sehinggalah senja menjelang, tika mentari mula merangkak berlabuh untuk beradu, maka malam pula menjelma belum tentu lagi bulan terbit mengambang menerangi malap malam.Adakalanya bulan mula terbit tiba-tiba pudar dilindungi awan diliputi mendung.Sudah tentu malam menjadi suram, kelam dan gelap.Bintang-bintang menyala berkerlipan bagaikan kunang-kunang berterbangan malam turut menyepi bersembunyi dari penglihatan.

Maka gusar, sedih dan pilu sang pungguk mengharapkan hibanya hilang mendayu bulan, tiba-tiba menjadi bertambah merana, duka lara serta berhati luka kerana kegelapan malam tidak mengizinkannya untuk menyapa sang bulan purnama, entah berapa lama harus menunggu di pucuk kayu menantikan bulan mengambang semula mengharapkan awan berarak lalu, mungkin sehingga ke dini hari atau hampir ke pagi, kesejukan bermandi embun, jika nasib tidak menyebelahinya kemungkinan juga disirami hujan sehinggalah terbit mentari.

KELAM DI BAYANGAN SILAM

Hati entah rasa merindu pun tidak, hendak dikatakan tidak merindu pun tidak.Apa pasal pun aku tak tahu terjadi ketika dan saat ini, namun tinggal berseorangan begini tiada teman bicara, menambah resah gelisah di jiwa merintih pilu, sunyi, sepi dan sedih.Sesuatu yang tak pasti apa yang hendak ku katakan pada seseorang insan yang disayangi.Tiba-tiba ku rasakan sedemikian tidak dapat ku katakan mengapa.

Adakah kenangan lama yang berlalu amat menyentuh hati ini dan kekadang hingga terbawa kenangan pengalaman lama ke episod baru.Apa yang aku rasa adakalanya kenangan pengalaman pertama lebih manis dari pengalaman kali kedua, ada tikanya pengalaman kali kedua lebih manis dari kenangan pengalaman pertama, ada waktunya tiada perbedaan antara kenangan antara keduanya, sama-sama terasa akan pahit manisnya.


Mungkinkah terjadi untuk menambah pengalaman dan rasa agar memperolehi pengalaman ketiga yang mungkin akan membawa kenangan yang lebih manis.Atau mungkin datangnya lebih pahit dan memahitkan sepanjang hayat.Harapan di hati jika ia bertandang pun, moga datanglah kebahagiaan dan keceriaan menyuntik rasa manis berpanjangan di dalam kehidupan sebelum tibanya saat kematian.

BERSYUKUR

Salam bermula dengan Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada semua pembaca yang beragama Islam dan Salam Sejahtera untuk sahabat yang bukan beragama Islam.Bermula langkah kita di waktu pagi ini dengan penuh keceriaan dan kebahagian hendaknya seperti sinaran mentari senyum menyinar di setiap pelusuk alam.

Adalah diharapkan kesihatan dan rezeki kita hari ini dilimpahi kesejahteraan dan keberkatan dari Allah Subhanawata'ala., Tuhan bagi sekelian alam.Walaupun ada kalanya awal pagi sudah mendung dan turun hujan gerimis, panas atau ribut petir hingga ke senja dan malam, tidaklah bermakna kita jua turut merintih seperti cuaca yang menangis.

Anggaplah sesuatu yang di datangkan Allah itu penuh dengan rahsiaNya jua,Segala pemberian Allah itu adalah rahmat kepada sekelian makhluknya yang sentiasa bersyukur.Baik dan buruk segalanya adalah dalam pengetahuan Allah.Kita sebagai makhluk perlu menerima anugerah Ilahi dalam apa jua bentuk sekalipun.

Dalam keadaan apa pun kita terima sahaja rahmat Allah, walau panas dan hujan kita saling saling bergantungan dan memerlukan keduanya.Petir, ribut dan musibah memerlukan kesabaran dan ketabahan menghadapinya.Hidup ini adalah diibaratkan roda yang berputar, adakalanya kita berada di atas, begitulah ada masa kita di bawah.

Andainya kita sedang berada di atas maka beringat-ingatlah agar kita tidak mudah alpa, agar pada ketika kita turun ke bawah, kita telah bersiap sedia dan tidak berasa terlalu kecewa.Usahlah di kesalkan dengan apa yang berlaku sesuatu yang buruk kiranya ada, namun kekuatan dan ketabahan hati menempuh dugaan dan ujian Allah amatlah penting.

Sekiranya kita rebah dalam hidup hari ini tidak semestinya kita akan rebah selamanya, bangunlah serta insaflah, akan kelemahan diri untuk kita bangun.Jika kita berada di dalam keadaan lemah tanpa berusaha maka pincanglah perjalanan kita di dunia.Kita perlu yakin setiap usaha yang baik dan gigih akan membuahkan kejayaan.

Allah sentiasa memberi hidayatnya kepada orang yang berusaha dan sentiasa mensyukuri nikmatnya.Dalam menjalani kehidupan sehari-hari  kita sentiasa perlu mempunyai semangat kekuatan diri diiringi dengan kejatian iman serta keteguhan hati berusaha dan bertawakal menempuh segala ujian yang terpaksa kita lalui.


Usahlah hanya menyerah sahaja pada nasib yang yang belum pasti menyebelahi diri kerana Allah tidak akan mengubahnya selagi kita tidak berusaha untuk mengubahnya.Jika kita mempunyai keyakinan Insya Allah kita akan beroleh kejayaan.Akhirnya marilah kita berdoa ke hadrat Allah agar hidup kita sentiasa beroleh kejayaan dan kesempurnaan...





Ahad, 6 Mei 2012

TIMBANG TARA PANCAINDERA


Ada kalanya kita sering tertipu dengan mainan sikap manusia yang selalu mencari jalan menipu daya melindungi kesilapan dan kelemahan mereka dengan mengaburi mata orang lain yang memandang.Mata terang dapat melihat sesuatu tetapi akal menerima kepalsuan tanpa berfikir matang hanya berpandukan pada penglihatan yang telah dikaburi, maka hati yang bersih di dada akan menjadi kotor dan hitam kerana tersilap jangkaan menerima bulat-bulat sesuatu yang diperkatakan.

Kebenaran disangkakan palsu, kepalsuan dianggap satu kebenaran.Kesilapan dikatakan jujur dan kejujuran dianggap sebagai pengkhianatan.Sekiranya manusia menggunakan akal dan fikiran serta sanggup mencari jawapan sesuatu isu yang dicanang atau diwarwarkan dapat dinilaikan samada benar mahupun tidak berdasarkan pada fakta dan bukti nyata.Pada yang mata dibutakan sudah tentu tertipu hanya mendengar bulat-bulat segala hujahan yang tak dapat ditimbang tara dik akal.

Kesilapan dalam membuat penilaian berdasarkan pada mata yang dikaburi, fikiran yang tersumbat dan telinga yang terbuka sengaja dibuat tuli maka mulut terlibat sama menyuara, menyampaikan dan memanjangkan cerita putar belit lidah manusia yang sentiasa berpura-pura baik tetapi penuh dengan laku durjana.Hati bengkak bernanah dengan dendam kesumat, otak hanyir membusuk dik memikirkan tipu helah yang diolah.

Biarlah kita buat timbang tara, menilai dengan kebenaran fakta, telus dalam membuah fikiran, meluahkan rasa dan jawapan agar diri kita tidak mudah dipermain-mainkan serta diperkotak katikkan oleh manusia yang mempunyai hasrat jahat yang berselindung di sebalik sesuatu ciptaan ungkapan yang mengandungi makna untuk kepentingan diri mereka dengan menjadikan manusia lain yang boleh dipengaruhi dengan perbuatan jahat mereka.

Sebagai manusia yang dianugerahi Allah dengan pancaindera melihat, mendengar, merasa dan berfikir, maka gunakanlah ia dengan sebaik mungkin agar diri tidak mudah tertipu dan terpedaya dengan kata-kata manis, ungkapan yang lunak-lunak dari mereka yang berniat dan berkelakuan buruk   atas kejahilan kita.Ingatlah serta muliakanlah akal dan fikiran sendiri agar diri tidak mudah tertipu semata-mata hanya dengan pandangan mata dan pendengaran telinga.

Begitu juga kawallah lidah sebelum meluahkan kata dibimbangi kata ungkap kita menjadi fitnah dan dusta kerana tipu daya manusia semata-mata yang telah mempengaruhi kebodohan dan fikiran kita yang buntu tanpa dapat berfikir dan mudah mempercayai sesuatu penipuan dan kepalsuan.Gunakanlah mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, akal untuk berfikir, hati untuk merasa sebelum lidah tidak bertulang, sepasang bibir lembut dan mulut celupar busuk dari bicara dan bersuara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...