Rabu, 11 Julai 2012

KECANTIKAN DAN KETAMPANAN





Sekiranya kita seorang wanita janganlah terlalu sombong dengan kecantikan, dan seandainya lelaki ketampanan bukanlah ukuran untuk membanggakan diri.Kecantikan dan ketampanan seseorang itu adalah anugerah dari Allah dan kekurangan paras rupa orang lain adalah anugerah dari Allah jua.

Setiap kejadian ada kelebihan tersendiri.Mungkin kerana kekurangan rupa tetapi berilmu tinggi, senang hati, berbudi pekertinya mulia.Kekadang hidup mereka lebih bahagia dari orang yang cantik, tampan, jelita dan segak itu.Paras rupa sebenarnya bukanlah mutlak untuk kejayaan seseorang.

Bukankah kecantikan dan ketampanan itu sepatutnya disambut dengan rasa syukur bukanlah untuk dibangga-banggakan, begitu juga mereka yang kurang jelita dan kacak juga harus bersyukur kepada Allah, kejadian sebegitu adalah rahsia Allah yang kita tidak tahu.Apa yang dipandang Allah hanyalah ketaqwaan seseorang.

Selasa, 10 Julai 2012

KEJAYAAN DISEBALIK KEGAGALAN



Kita perlu ingat bahawa segala kejayaan yang diperolehi hari ini belum tentu kekal dan berpanjangan untuk hari-hari kemudian dan selamanya jika tiada sebarang usaha untuk amat sukar untuk mengekalkan dan mempertahankan kejayaan itu.Kegagalan pada hari ini tidaklah bermakna kita akan gagal untuk selamanya seandainya kita lebih berusaha serta cuba untuk mengatasi sebarang rintangan dan kelemahan serta kekurangan yang ada untuk mendapatkan sesuatu kejayaan.

Setiap kegagalan itu akan mengajar kita supaya lebih memahami betapa besarnya erti dan nikmatnya sesuatu kejayaan.Oleh yang demikian janganlah kecewa dan mengalah dengan sesuatu kegagalan.Kekecewaan seandainya tidak diasak dengan semangat jitu maka kegagalan akan berterusan tanpa menemui sebarang kejayaan.Maka berusahalah, dengan gigih menghadapi sebarang rintangan dan halangan demi mencari kejayaan yang hakiki.

KECEWA BUKAN UNTUK SELAMANYA

Semua manusia yang hidup di atas kulit muka bumi tidak pernah dapat lari dari didatangi perasaan kecewa kerana mereka sudah pasti mengalami pelbagai kegagalan dari mengecapi sesuatu impian yang diingininya.Mereka sentiasa mengharapkan sesuatu kejayaan dalam hidup namun sebaliknya yang terjadi.Kadangkala mereka menemui kebuntuan dan berputus asa kerana tidak berjaya menghasilkan kejayaan itu tanpa disangka-sangka atau diduga yang bertandang dalam kehidupan mereka.

Kegagalan mengecapi impian yang tidak terlaksana itu bukanlah bererti mereka gagal untuk kali kedua dan mereka tidak perlu menanggung kecewa untuk selamanya.Walau sepahit mana pun kekecewaan yang dialami itu, kehidupan perlu diteruskan dan perasaan kecewa itu perlu diketepikan demi untuk mengejar kejayaan.Kegagalan itu bukanlah bermakna kecewa berterusan malah elok sahaja dijadikan pengalaman untuk mematang dan mendewasakan pemikiran seseorang untuk meneruskan perjuangan.

Sebaik-baiknya pengalaman itu dijadikan pedoman meneruskan hari-hari muka supaya lebih berhati-hati dan pasti akhirnya membuahkan hasil kejayaan.Janganlah hilang semangat ketika menghadapi kegagalan dan terlalu kecewa seolah-olah itu membuat dirinya sudah tidak berguna dan menjadikan perkara itu penamat semangat jati.Usahlah bersedih untuk menghadapi kegagalan dan kekecewaan itu, tempuhinya dengan ketabahan, sabar serta kekuatan diri dan keazaman tinggi untuk mara merempuh pelbagai dugaan dan halangan.


Setelah rintangan itu dapat dipecahkan maka segala usaha yang dilakukan tidak mustahil untuk beroleh kejayaan memupuskan perasaan kecewa yang dialami itu.Maka ingatlah kekecewaan yang dialami pada hari ini bukanlah bermakna kegagalan  melumpuhkan kehidupan untuk hari-hari esok, sebaliknya aturkan langkah bersemangat maju kehadapan agar kita memperolehi kebahagiaan dan kejayaan gemilang yang diharapkan dikemudian hari.Jika terjatuh maka bangunlah semula meneruskan langkah untuk berjaya !

Kejayaan tidak mungkin dicapai seandainya tidak berusaha. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.Yang pipih takkan datang melayang, yang bulat takkan datang bergolek.Jangan kecewa dan berputus asa dari kegagalan, teruskan usaha untuk mencapai kejayaan.' Helang tidak pernah kecewa sesekali gagal menyambar mangsa.Ia akan terus berusaha sehinggalah ia berjaya mencengkam mangsanya '


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...