Ahad, 30 Oktober 2011

NASIB KELKATU



Setelah hidup bersarang sekian lama di busut-busut tanah lembab di dalam lubang-lubang kecil gelap membiak dan berkeluarga akhirnya tibalah masa tumbuh kepak untuk mengejar cahaya di waktu malam terutama selepas hujan berhenti.Maka sang semut berkepak itu yang dikenali sebagai kelkatu akan mengejar cahaya lampu.

Apa tujuan sebenarnya tidaklah diketahui, mungkin untuk menduga dunia cahaya yang terang setelah sekian lama bergelap di dalam busut.
Namun apalah ada pada sang kelkatu, kepak tidak segagah sayap kumbang dan burung untuk melawan dan menerjah angin, sengat pun tiada seperti lebah dan tebuan.

Hajat untuk menerjah angkasa hanya jadi igauan ngeri selalu terdampar lebih awal, malah beberapa saat setelah terpacul dari sarang.Kebiasaannya sang katak sedia menunggu di muka pintu lubang keluar sarang.Sang katak tidak perlu melompat kesana sini hanya menanti rezeki terhidang dengan mudah dan senang sekali.

Sudah tentu perutnya kenyang dan penat lidahnya menangkap sang kelkatu ketika itu.
Kelkatu yang beribu jumlah yang terlepas tanpa bertangguh menuju angkasa di waktu hari mula senja, gelap dan mereka berpusu-pusu menuju ke lampu-lampu bercahaya yang terpasang terang.

Sebelum sampai hajat ke situ, sang kelkatu itu terpaksa pula berhadapan dengan burung dan kelawar yang mengambil peluang untuk mengisi tembolok dan perut.Maka hanya beberapa detik sahaja nyawa melayang hanya sempat beberapa ketika merasai hidup bebas di dunia yang luas.


Oleh kerana bilangan terlalu banyak ada yang mencapai hasrat mengerumuni lampu yang terang akan tetapi ada yang kecundang setelah kepak sudah tidak terdaya menahan kepanasan cahaya lampu, hingga tercabut lalu menjunam ke tanah.Ada yang tidak berdaya merentas hembusan angin turut terdampar.

Ada kelkatu jatuh ke atas jalan tidak sempat menggelapar di lenyek tayar kenderaan. Terdapat yang hilang nyawa kerana  tersangkut di jala-jala sawang dan jaring-jaring labah-labah  menjadi habuannya pula.Tidak kurang yang menemui ajal di mulut cicak yang berkumpulan di atas siling mengambil kesempatan percuma terhidang di depan mata.
 

Mana yang terlepas dari bencana dan bahaya tetap juga tumpas ke tanah dan lantai kerana tidak dapat bertahan dengan rembasan embun malam dan setelah malam mula berganjak pagi.Lampu-lampu mula terpadam yang akhirnya semua sang kelkatu jatuh terdampar kaku.

Kata orang tua-tua, kelkatu itu ingin menerpa bulan untuk menikmati suasana cahaya indah purnama, kononnya ada maharaja kelkatu di sana.Kegagalan dan kekecewaan kelkatu yang tidak tercapai hajat dan hasrat itu akhirnya menjadi bahan sapuan penyapu dan menjadi pula makanan pada sang ayam-ayam di siang hari.

Kelkatu-kelkatu yang jatuh ke air akan mati terapung menjadi pula makanan sang ikan atau mereput begitu sahaja.
Begitulah nasib kelkatu kerana idaman menduga cahaya serta kelemahannya membolehkan makhluk lain mendapat rezeki terhidang tanpa bersusah payah.

Walaupun begitu kelkatu yang lain pula akan muncul mengikut giliran dan masa, itulah kuasa Allah, walaupun beribu malah berjuta kelkatu mati tertewas, namun kelkatu-kelkatu baharu tetap juga menjelma menjadi salah satu sumber untuk makanan untuk makhluk Allah yang lain.


Tiada belas kasihan untuk kelkatu kerana hanya dapat menikmati keindahan alam dalam masa yang tidak begitu lama.Sudah menjadi satu naluri alam yang telah Allah tentukan pada setiap makhluk yang dijadikan itu ada menafaat dan sering bergantungan untuk dijadikan santapan meneruskan hidup makhluk lain.

Sabtu, 1 Oktober 2011

CINTA, KASIH DAN SAYANG


Sesungguhnya cinta, kasih dan sayang yang layak hanyalah untuk  Allah.Hanya pada Allah sahajalah kita menyembah.Cinta yang paling agung dan tiada tolok bandingnya adalah cinta Allah terhadap kekasihnya Nabi Muhammad SAW. Rasululullah mencintai Allah dengan sepenuh hati, sepenuh perasaan, tulus suci dan sentiasa terpahat di jiwanya.

Cinta, kasih dan sayang kita juga  kepada Rasulullah SAW, kerana Baginda adalah utusan Allah yang menyampaikan Islam, mengajar umatnya menjalani hidup mulia dan cintanya sentiasa menyinari hati-hati umatnya.Rasululullah amat sayang akan umatnya di sepanjang zaman berlanjutan  sehinggalah ke akhirat.

Cinta, kasih dan sayang terhadap kedua ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita amat dituntut.Kasihnya ibu membawa ke syurga dan kasih sayang bapa sehingga ke akhir hayat.Siapalah diri kita tanpa kedua-duanya.Sayangi, cintai dan kasihilah mereka semasa hayat masih ada, kita akan terasa kehilangan setelah ketiadaan mereka nanti.

Cinta, kasih dan sayang seterusnya adalah untuk keluarga, saudara mara dan sahabat handai.Cinta kasih dan sayang ini amat berharga demi mengukuhkan ikatan kekeluargaan, persaudaraan dan ikatan persahabatan.Tafsiran cinta, kasih dan sayang terhadap sesama manusia hanya mengikut versi tafsiran yang berbagai acuan mengikut selera sendiri.

Kasih sayang terhadap saudara dan sahabat amat diperlukan bukan semasa berada sahaja tetapi juga seandainya saudara mara dan sahabat handai berada dalam kesusahan.Namun pernah berlaku saudara mara dan sahabat melarikan diri jika keluarga atau sahabatnya berada dalam kesusahan dan kemiskinan.

Oleh itu cinta, kasih dan  sayang terhadap orang-orang yang di sayangi perlulah di sirami, dibaja serta dipupuk agar subur dan tidak mudah lerai begitu mudah akibat pelbagai sebab musabab yang kadangkala terlalu senang tali persaudaraan dan persahabatan itu putus.Kasih sayang terhadap sahabat sejati memang amat sulit untuk dibuktikan dengan kata-kata.

Terlalu mudah untuk mencari kawan dan amat sukar mendapat seorang sahabat sejati serta amat sulit untuk kita pelihara dan mengekalkan persahabatan itu sekiranya kita tidak benar-benar mengasihi dan menyayangi sahabat.Jalinan persahabatan menuntut seribu keikhlasan dan ketulusan dengan sepenuh hati.

Cinta terhadap wanita umpama cinta terhadap bunga adakalanya akan layu seandainya tiada kesetiaan.Cinta kepada teman lelaki memang cukup sukar untuk dikekalkan kerana cinta sesama manusia adalah cinta ciptaan dalam definasi longgar tidak seperti cinta insan yang beriman kepada Allah Maha Pencipta.

Belum tentu cinta kasih dan sayang terhadap insan yang dilamun cinta akan berkekalan selamanya adakalanya terlalu mudah luntur, hilang dan putus separuh jalan.Amat sedikit yang berpanjangan.Kekadang cinta sesama insan yang berkasih sayang itu hanya indah di mata dan indah terpapar setakat lakonan semata-mata seperti sandiwara, filem dan drama.

Cinta kasih sayang dan sayang terhadap keluarga, saudara dan sahabat perlu dibaja agar segar berpanjangan dan kasih sayang terhadap kekasih perlu dipupuk dan dibelai seadanya dan tidak keterlaluan dan berlebihan dikhuatiri akan membebankan perasaan jika berlaku perpisahan.Cinta boleh membawa seseorang itu bahagia dan boleh juga membawa derita dan kekesalan.

JANGAN DIBUARKAN KEKASIH MENANGIS

Kita memerlukan seseorang kekasih yang boleh membahagiakan kita, tidak kiralah siapa orang yang kita kasihi dan sayangi itu agar dengannya kita akan merasa senang dengan kejujuran seorang kekasih.Begitu juga dengan kekasih kita sudah pasti ianya akan mencintai kita dengan sepenuh hatinya.Alangkah indahnya jika berkasih sehingga membawa bahagia ke alam rumahtangga.

Akan tetapi andainya kita curang dalam berkasih sudah semestinya melukakan hati kekasih kita, hatinya akan timbul rasa menyesal dan kecewa.Seandainya kita tidak pandai memujuk hatinya mungkin ia akan mula beralih arah kepada orang lain yang sanggup mengasihinya pula.Apa nak dikatakan lagi, pepatah Melayu ada berkata, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

Amatlah malangnya diri jika terjadi begini,segala pujuk rayu sudah tidak bermakna lagi kerana ada insan lain yang menggantikan tempat kita untuk disayangi.Oleh itu berhati-hatilah dalam berkasih, usah membuat kekasih anda menangis kerana dibimbangi ada insan lain yang sanggup menyapu airmatanya sehingga membuat anda pula terpaksa menangis kerananya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...