Isnin, 29 Ogos 2011

SUMBANGAN BAKTI


Pepatah orang tua ada berkata  langit tidak selalu cerah .Hari ada kalanya terang, ada tikanya mendung, panas bersilih ganti dengan hujan.Bumi juga ada tikanya ribut, adakalanya tenang, ada ketika banjir dan kemarau.Begitu juga dengan laut ada pasang surutnya, ada hari airnya berombak kecil dan ada masanya pula laut bergelora dan bergelombang.

Dalam kehidupan manusia juga adakalanya bernasib nasib baik dan ada juga yang bernasib malang. Pendek kata nasib seseorang bukan boleh di tentukan , Oleh itu kita harus beringat-ingat sebelum kena kerana ibaratkan roda berputar adakalanya kita di atas, dan tidak mustahil satu hari kita pula di bawah.

Janganlah apabila kita berada di atas kita terlalu bangga dan sombong sampai tak nampak orang di bawah.Bila kita berada di bawah barulah kita tahu betapa peritnya ketika itu.Memang wajarlah perumpamaan Melayu yang berkata jika kita berada di puncuk gunung janganlah sesekali lupa rumput di bumi.

Kekayaan wang ringgit dan harta bertimbun yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah hak mutlak kita, itu semuanya di pinjamkan Allah kepada kita dan tidak salah kita membantu kepada yang kurang berada.Mudah-mudahan sumbangan kita itu akan mendapat ganjaran berlipat ganda dari Allah Subhanawata'ala.

Kita perlu memandang dan menjenguk saudara mara, melihat sahabat handai dan menengok kawan, rakan dan jiran tetangga yang berada di sekeliling kita.Jika mereka hidup susah apalah kiranya dibantu serba sedikit bagi meringankan kesusahan yang dialami mereka.Hulurlah sumbangan apa yang patut dan termampu oleh kita.

Begitu juga seandainya ada golongan yang di timpa musibah, sakit, kemalangan atau kematian, tidak salahnya kita membantu dengan sedikit wang ringgit, simpati, pertolongan tenaga, nasihat dan memberi semangat kepada mereka untuk lebih tabah menghadapi dugaan hidup.

Kesusahan dan pelbagai musibah yang menimpa bukanlah di pinta namun ia tetap terjadi juga.Marilah kita berdoalah kehadrat Allah agar melimpahkan rezeki kepada mereka supaya hidup mereka akan menjadi lebih baik dan sempurna.


Ahad, 28 Ogos 2011

SUASANA SEPI MENJELANG AIDILFITRI

suasana hari ini memang sunyi
Hari ini taman kediaman ku begitu sepi jika dibandingkan cuti sekolah di hujung minggu riuh rendah dengan suara anak-anak memecah keheningan pagi dengan bermain-main, berlari-lari, bergurau senda, berbasikal, menangis, ketawa dan bernyanyi riang.

Suasana pagi ini agak tenang dan tiada kedengaran suara anak-anak yang selalu bermain di hadapan rumah ku kerana  mengikut keluarga masing-masing balik ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga di kampung halaman sejak petang kelmarin lagi.

Termangu aku membuka mata dan telinga di bangku rehatku, sambil merenung di persiaran laluan di hadapan rumah sejak pagi untuk beberapa ketika, tiada orang yang lalu lalang seperti biasa hanya sesekali dilalui oleh mereka yang tinggal untuk berhari raya di sini.

Begitulah keadaannya insan yang tinggal di taman sudah tentu akan pulang ke kampung berhari raya bersama keluarga tercinta.Suasana berhari raya di kampung sudah tentu meriah dan menggamit hati perantuan untuk pulang.
Ibubapa, datuk nenek ternanti-nanti kepulangan anak cucu dari jauh.

Bagi ku tiada tempat hendak pulang untuk menyambut hari raya ini sedangkan kampung ku tidak jauh dari kediaman hanya beberapa kilometer sahaja.Jika aku pulang pun ke kampung siapa yang ada di rumah pusaka yang di tinggalkan sunyi sepi sejak pemergian Allahyarham ayah dan Allahyarhamah ibu.

Suka atau tidak aku terpaksa juga menetap di rumah kediaman ku di taman ini dan sesekali menjenguk rumah pusaka di kampung sekiranya ada adik beradik yang pulang untuk berhari raya di situ.Sebagai anak kampung aku tetap juga memijakkan kaki di sana, manalah tahu dapat berjumpa dengan sahabat handai yang balik dari rantauan.

Walaupun suasana sepi di pagi ini namun terpaksalah ku telan dengan perasaan hati hiba dan sayu.Masih terdengar suara anak-anak mengucapkan selamat hari raya dan terpandang-pandang wajah mereka melambai tangan  ketika kereta yang dipandu ibubapa bergerak perlahan meninggalkan aku di ruang rehat rumah kediaman ku.

Ada yang berbisik dan berbahasa isyarat, ada yang menjerit, ada yang turun sebentar dari kereta datang kepadaku sambil memesan untuk menyimpan wang raya untuk mereka.Ibubapa mereka juga tersenyum memahami hajat anaknya itu.Begitulah telatah anak-anak kecil yang tidak pernah mengerti makna kesepian ku yang bakal mereka tinggalkan.



SYAWAL HADIR MU KU SAMBUT


Datangnya 1 Syawal bulan kemenangan dan kesyukuran untuk umat Islam yang berjaya berperang dengan hawa nafsu dan menahan lapar dahaga di bulan Ramadan sudah tentu disambut dengan perasaan gembira.

Tanggal 1 Syawal umat Islam meraikan hari raya yang dinamakan Hari Raya Aidifitri, Hari Raya Fitrah, Hari Lebaran, Eid Mubarak atau pun lebih dikenali sebagai Hari Raya Puasa.Pada hari itu mereka akan ke masjid untuk sembahyang sunat aidilfitri.

Pada hari raya ini keluarga, saudara mara, sahabat handai akan berkunjung antara satu sama lain meraikannya bersama-sama sambil bermaaf-maafan mengeratkan jalinan tali persaudaraan dan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

Semoga hari raya disambut secara yang diharuskan mengikut kemampuan dan berhemah, sederhana serta elakkan perbelanjaan yang terlampau dan membazir.Apa yang dibimbangi selepas hari raya mereka terpaksa berhutang pula.


Janganlah pula hari raya disambut dengan cara yang bertentangan dengan hukum Syara' dengan melakukan perkara-perkara maksiat dengan segala macam hiburan melampau dan pergaulan yang melanggari batasan hukum agama dan adat budaya.

Di samping itu ada juga yang mengadakan pesta minum arak
berjudi dan sebagainya bersama kawan-kawan.Mereka rasa inilah hari kebebasan mereka tanpa menyedari cara ini telah jauh tersasar dari ajaran agama dan adat budaya.

Maka rugilah setelah penat berpuasa, berlapar dahaga dan ibadat yang berlipat ganda, tiba-tiba pada hari raya aidilfitri seolah-olah amal ibadat yang dilakukan di bulan puasa itu dilupai.Maka sia-sialah amal ibadat yang dilakukan semasa berpuasa.
 

Seolah-olah hari raya merupakan acara pelepas nafsu geram selepas tersekat di bulan Ramadan.Janganlah hendaknya kemenangan yang diperolehi dalam bulan Ramadan itu terlalu mudah tertewas di awal Syawal dan hari-hari yang mendatang.

Sabtu, 27 Ogos 2011

PERTEMPURAN SANG GAGAK


Ketika aku duduk termenung di sudut ruang tiba-tiba mata ku terlihat dua ekor gagak bertempur hebat dan mengeluarkan bunyi yang begitu hingar, lalu aku rapati muka ku keluar jendela dan mata ku hanya tertumpu melihat gelagat gagak-gagak tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku.

Sebagai seorang insan aku perlu juga mengambil tahu dan belajar sifat-sifat burung gagak ini, adakalanya boleh memberi pengajaran tertentu kepada manusia.Tidak puas rasanya aku hanya melihat dari jauh lalu aku melangkah keluar rumah dan menghampiri tempat pertempuran sang gagak itu.

Agak malang kehadiran ku disedari oleh kedua gagak itu lalu bertempiaran terbang sambil meneruskan perjuangan kejar mengejar antara satu dengan lain.Hebat sungguh pertempuran itu dengan patuk mematuk, pijak memijak dan bercakaran.

Selalunya hanya gagak jantan sahaja yang bergaduh kerana masing-masing menunjuk gagah untuk berebut gagak betina Mungkinlah agaknya kerana aku tidak pasti kerana aku bukanlah pakar mengenali jantina gagak-gagak yang bertempur itu.

Setelah gagak itu terbang hilang entah kemana, aku pergi ke tempat kejadian, aku lihat apakah puncanya sehinggakan gagak itu bergaduh.Aku terlihat satu benda yang dihurungi lalat hijau dan hitam yang terdapat di tepi jalan itu.

Bila ku hampiri lalat-lalat itu berterbangan dan aku dapati ianya adalah seketul daging yang hitam dan sudah busuk.Barulah aku tahu mengapa gagak-gagak tadi bertempur hanyalah semata-mata kerana seketul daging yang hampir berulat.

Jadi pengajarannya yang aku dapat dari peristiwa itu amat besar kerana ada di kalangan kaum lelaki sanggup bertempur seperti gagak-gagak tadi kerana semata-mata merebut daging yang busuk, berulat dan kotor.Isyyy kenapa ya ? 

Mengapa harus berebut kerana seketul daging ? Kalau ingin berebut daging biarlah daging itu yang lebih baik dan sempurna taklah malu sangat.Sebagai manusia yang dianugerah akal fikiran yang luas kenapa perkara ini berlaku dalam kehidupan manusia.

Semoga perkara berebut ini tidak akan terjadi.Amat dikesali jika ianya ada dan pernah berlaku di kalangan kita.Moga Allah menjauhkan diri kita bersifat seperti gagak-gagak itu.Sekian untuk kali ini sekadar untuk renungan bersama dan fikir-fikirkanlah !!! ....


LAMBAIAN AIDILFITRI

sebahagian anak-anak ketika berkunjung ke rumah tahun lalu
Sebelum cucu-cucu ku iaitu merupakan anak jiran tetangga berangkat pulang ke kampung, jelas kelihatan wajah ceria mereka.Sudah lama agaknya mereka tak pulang ke kampung untuk bertemu opah dan datuk serta keluarga di sana untuk bergembira menyambut kedatangan 1 Syawal, 1432.

Sambil melambai terdengar jeritan mereka meminta wang raya, ada yang menggunakan bahasa isyarat supaya aku menyediakan wang tersebut setelah mereka kembali selepas bercuti berhari raya di kampung.Ibubapa mereka faham kemesraan anak-anak mereka dengan ku, terpaksa mereka memperlahan kereta ketika melintasi rumah ku.Aku juga melambai tangan kepada mereka dengan sedikit melawak terhadap anak-anak itu.

Aku hanya mengusik mereka dengan mengatakan tiada sumbangan wang raya untuk mereka selepas mereka pulang dari bercuti di kampung.Namun mereka mengerti habuan mereka pasti ada nanti.Aku tidak mahu memberinya lebih awal kerana aku lebih suka mereka berkunjung ke rumah ku setelah mereka pulang dari berhari raya di kampung.Mereka tahu dan sudah mengenali hati budi tokwan mereka

Pada masa itu seolah-olah mereka akan berkumpul dan berbaris panjang untuk mengambil sampul wang dari tangan ku nanti, sambil bersalam dan mengucup tangan ku nanti.Ini sudah pasti berlaku seperti selepas perayaan tahun-tahun yang lalu.Seronok benar rasa hati ku ketika itu bersama cucu-cucu ku yang terdiri dari anak-anak jiran ku.

Tidak sabar rasanya menanti detik itu bertandang melihat mereka dengan cara tersendiri mengucapkan terima kasih pada ku meskipun wang habuan yang mereka terima tidaklah sebanyak mana.Namun hati anak-anak memang jujur, ikhlas berterima kasih dan sentiasa berpuashati terhadap sesuatu pemberian yang dihulurkan.
 

Aku berdoa kehadrat Allah agar mereka pulang ke kampung dan kembali semula ke sini dalam keadaan selamat dan sihat.Semoga Allah Subhanawata'ala melindungi mereka dan keluarga dari mara bahaya, mala petaka dan bencana di jalan raya dan dimana sahaja mereka berada, Selamat pergi dan selamat kembali ...



Jumaat, 26 Ogos 2011

RAMADAN PERGI MU DITANGISI


Perginya Ramadan bulan mulia di antara bulan kalendar Islam amatlah diratapi oleh pencintanya yang sejati kerana nikmat dan rahmatnya bulan Ramadan ini berlipat ganda malah bagi mereka yang mendapat petunjuk dari Allah memperolehi pahala yang paling amat berharga.Maka beruntunglah mereka yang menghargai Ramadan dan rugi kepada mereka yang mensia-siakan nikmat ibadah di bulan ini.

Lapar dan dahaga di bulan Ramadan dapat menginsafi diri kita akan mereka yang hidup dalam kesusahan dan kemiskinan.Ramadan juga mengajar kita erti kesabaran dan megawal diri, nafsu dan perasaan.Ramadan juga mendisiplinkan diri mematuhi perintah Allah dan berusaha untuk melipat gandakan amal ibadat  dan ketakwaan.




Isnin, 22 Ogos 2011

POKOK MANGGIS DI TANAH PUSAKA

manggis hasnah


Tanah pusaka disekeliling kawasan teratak peninggalan arwah ayah ibu  bertanam dengan pokok buah-buahan terdiri dari beberapa pokok durian, pokok rambutan, manggis, dokong macang dan pokok buah-buahan yang tidak bermusim seperti pokok jambu air, jambu mawar , kelapa, janggus dan betik.

Walaubagaimanapun ada lima batang pokok manggis yang ditanam oleh arwah ayah agak istimewa kepadanya.Pokok manggis ini terdiri dua batang pokok di sebelah hadapan rumah sepokok di sebelah tengah dan dua pokok lagi ditanam dibelakang rumah.Ayah menamakan pokok-pokok tersebut dengan gelaran nama lima orang anaknya bersama ibu.


Pokok manggis yang di tanam di hadapan rumah dinamakan Manggis Hasnah, dan yang berdekatan dengannya dinamakan Manggis Mat, di bahagian sebelah rumah dipanggil Manggis Aie dan dua pokok di belakang rumah dinamakan Manggis Zenah dan Manggis Zeli.Pokok manggis ini memang subur dan merendang.


manggis si mat @ abang


Malangnya pokok manggis Zeli telah tumbang ditimpa pokok keriang berasal dari Negeri Kedah yang ayah tanam sebagai simbol asal usulnya sebagai anak kelahiran Negeri Kedah yang merantau ke Negeri Perak dan berkahwin dengan ibu yang memang berasal dari Bidor, Perak.


Barulah ku tahu mengapa ayah menamakan semua pokok manggis itu dengan gelaran nama anak-anaknya.Apabila musim manggis semua pokok manggis berbuah lebat berbuah dan begitulah sebaliknya.Ada pokok yang buahnya boleh dipetik kerana masak, ada yang masih kirau dan ada juga yang masih hijau.


Apabila ayah atau ibu menalipon anak cucu yang tinggal jauh mereka akan memberitahu yang pokok manggis mengikut nama tertentu telah masak jadi anak cucu tak payah meneka pokok mana yang sudah berbuah, sudah masak atau pun yang lebat berbuah.

manggis aie


Walaupun pokok manggis tersebut diberi nama mengikut nama anak-anak namun semua anak-anak bebas untuk memetik atau mengambil buahnya dari mana-mana pokok yang diingini tanpa sekatan.Pokok manggis ini tumbuh rendang, tidak hairanlah pada musim buah manggis teratak kami selalu di singgahi kanak-kanak dan budak-budak.


Kadangkala ada juga yang datang mengambil sendiri manggis-manggis tersebut tanpa keizinan, tapi biarlah mudah-mudahan buahnya akan bertambah lebat di masa akan datang.Memang benarlah begitu kerana pokok-pokok manggis tersebut boleh dikatakan sentiasa tidak menghampakan berbuah lebat dari setahun ke setahun.


Pada musim tertentu buahnya tidak termakan-makan dan gugur kematu atau dikatakan dalam bahasa Perak 'lahak, lenyo, bonyo' begitu saja.Kedapatan juga orang ingin membelinya barang seraga kecil namun selalunya kami beri percuma terutamanya kepada jiran tetangga, masakan kami mahu berjual beli, elok saja disedekahkan.


manggis zenah @ tak pu


Begitu juga dengan sang tupai yang selalu memakan buah manggis itu tidak pernah kami mengusirnya, bukannya tupai tersebut makan sampai habis sedahan sehari.Ada tikanya aku bercakap juga dengan tupai tersebut agar makan biarlah sebiji-sebiji jangan tobek sana dan tobek sini.


Alhamdulilah mungkin tupai itu faham dengan kata-kata ku kerana tidak banyak buah yang dirosakkannya.Jika tiada musim buah manggis, pokok-pokok manggis itu selalu menjadi tempat pelbagai jenis burung hinggap melepaskan penat dan ada yang bersarang, bertelor dan menetas di situ tanpa diganggu orang.


Burung-burung yang selalu hinggap di situ terdiri dari burung merbah, sebarau, pipit, terkukur, merbuk dan bermacam-macam jenis lagi.Burung yang selalu bersarang di pokok manggis ini adalah burung merbah.Ada juga budak-budak yang cuba mengganggu sarang burung itu selalunya akan disergah oleh arwah ayah, ibu semasa hidupnya, begitu juga dengan  aku dan keluarga.


manggis zeli mati di timpa keriang


Mungkin juga burung-burung ini turut berdoa agar pohon ini akan berbuah lebat dan dapat dinikmati oleh manusia , tupai dan beberapa jenis burung merasai kemanisan manggis yang ayah tanam itu.Disamping itu burung-burung ini dapat menumpang teduh dari panas mentari atau menghilangkan penat setelah terbang sambil membuat sarang untuk bertelor dan membiak di situ.

Di waktu pagi jika berada di kawasan rumah memang asyik mendengar kicauan burung merbah dan murai, amat tenang dan damai rasanya bagai berada di tepi rimba.Semoga burung-burung juga turut bertasbih dan mendoakan kesejahteraan untuk  arwah ayah dan arwah ibu di sana.







Ahad, 21 Ogos 2011

KUKUR KELAPA


Kukur  kelapa   di rumah  pusaka
dibiar berkarat kehilangan fungsi
sudah     usang     tidak    diguna
hanya tersepuk di bawah almari

Apa  didengar    katanya    kukur
kelapalah    juga    jadi    binasa
zaman    kukur    mula    terkubur
mengikut   era  perubahan  masa

Begitulah ungkapan sebuah pantun tokwan kali ini menggambarkan betapa penggunaan kukur kelapa sudah menjadi bahan sejarah.Kukur telah banyak tersadai di dalam setor simpanan atau dibiarkan sepi diceruk dapur.Jika ada yang mengenang jasanya maka kukur ini dihiasi dengan rekacipta tersendiri dan dijadikan perhiasan dirumah sahaja.



Jika ada anak muda yang teringin menggunakan khidmat kukur untuk mencari pengalaman rasanya mungkin jari tangan akan berdarah terluka kerana sudah tidak tahu menggunakan kukur lagi.Jika pada era lama kukur ini banyak berjasa kepada manusia terutamanya keturunan Melayu yang masakannya banyak menggunakan santan kelapa.Helah daya kukur inilah yang menjadi teraju utama untuk proses menggarut kelapa untuk dijadikan santan.



Pada masa dahulu, kebanyakan rumah di kampung-kampung yang tidak mempunyai letrik.Begitu juga rumah yang ada letrik , orang tidak mahu membeli alat kukur letrik mungkin terfikir penggunaannya hanya terhad pada satu-satu masa.Oleh itu mereka membeli sahaja kelapa garut di pasar.Jika di musim orang kahwin sudah tentu ada acara mengukur kelapa secara tradisional atau menggunakan mesin kukur kelapa letrik yang dipinjam dari mereka yang berkemampuan.



Namun musim berlalu pantas meninggalkan masa silam dimana sekarang ini kita boleh sahaja membeli santan yang tersedia dalam bentuk serbuk dan kotak.Di pasar ada alat pemeras kelapa untuk mendapatkan santan secara terus, dengan ini memudahkan orang ramai untuk mendapatkan santan secara terus dengan membayar mengikut harga keperluan santan yang hendak digunakan.



Maka kini kukur letrik yang lama turut tersadai di ceruk dapur dan hanya digunakan sesekali sahaja, bakal nasibnya akan menjadi alat kukur kelapa tradisional yang tidak digunakan orang lagi.Kemungkinan juga pada satu masa nanti akan menjadi barang hiasan, dipinggirkan sahaja atau dijual ke pusat belian barangan lusuh.


GOTONG ROYONG SEMASA MAJLIS PERKAHWINAN DI KAMPUNG MASA LALU


Pada era tahun lima puluhan, enam puluhan dan awal tujuh puluhan sekiranya ada majlis sambutan menyambut kenduri perkahwinan, masyarakat kampung bergotong royong turut membantu sesebuah keluarga yang akan mengadakan majlis tersebut.Selalunya dalam seminggu atau dua minggu tuan rumah akan memberitahu jiran tetangga dan penduduk kampung untuk membantunya.

Setelah dijanjikan seminggu sebelum majlis berlangsung diadakan hari yang dinamakan hari menggantung.Pada hari itu diadakan majlis kenduri kecil sebagai memulakan kerja-kerja persiapan.Maka turunlah semua ibu-ibu dan anak-anak dara yang turut membantu memasang langsir atau kerja-kerja lain yang diperlukan.

Jiran tetangga tidak henti-henti menyumbang apa yang termampu, ada yang menyumbang berasa, gula, garam dan bahan-bahan masakan seperti nangka, pisang, kelapa, kuih muih dan barangan lain yang termampu.Tidak kurang juga yang menyediakan sirih pinang yang menjadi hidangan rasmi untuk dimakan semasa hari membantu persiapan itu.


Bagi kaum bapa dan anak-anak muda membantu mencari buluh dan kayu api untuk membuat khemah dan bahan untuk memasak.Khemah pada masa itu tidak menggunakan kanopi seperti sekarang.Setelah semuanya siap maka sehari dua sebelum majlis itu berlangsung sekali lagi diadakan gotong royong untuk persiapan terakhir.

Kali ini anak-anak muda akan mengutip meja-meja, tikar dan bangku yang sesuai dari rumah-rumah jiran untuk dijadikan tempat jamuan duduk dan hidangan makanan.Bunga-bungaan akan diambil dari rumah jiran tetangga untuk dibuat hiasan pelamin yang akan dilakukan oleh seseorang yang agak pakar dalam hiasaan ini.

Pada masa dahulu di kampung-kampung mana ada letrik maka setiap rumah akan memberi pinjam lampu gaselin, kukur kelapa atau apa sahaja yang diperlukan.Bila tiba hari memasak pada masa itulah suasana meriah dimana ibubapa dan anak-anak kampung membantu kerja-kerja menyiang, mengukur kelapa, menumbang lembu, kerbau atau kambing serta bergotong royong memasak.Masing-masing diketuai oleh seorang pakar dalam bahagian tersendiri.

Para ibu dan kaum perempuan awal-awal pagi telah bertandang untuk membantu menyiang ayam, bawang, membuat persiapan bahan rempahan dan membuat kerisik.Begitu juga ada yang mengukur kelapa secara beramai-ramai sambil berbual dan bergurau senda.Kerja ini diketuai oleh seorang yang memang pakar dalam bahagiannya di kampung pada masa itu.

Sebelah malamnya akan diadakan acara berzanji, marhaban, main rebana adakalanya sampai ke dini hari.Mana keluarga yang agak berada akan mengambil kumpulan ghazal untuk meraikan para tetamu kerana menumpah keringat pada hari sebelum maljis sambutan berlangsung dan para saudara mara yang datang dari jauh untuk bersama-sama majlis pada keesokannya.Tidak seperti masa kini majlis itu diisi dengan nyanyian karaoke.


Namun kini kenangan hanya tinggal kenangan kerana peredaran masa dan zaman.Suasana begitu tidak mungkin akan berulang.Sekarang orang semuanya sudah mampu untuk menyewa kanopi, mengadakan majlis di dewan atau di hotel.Kerusi meja boleh disewa.Begitu juga dengan masak memasak hanyalah menggunakan perkhidmatan katering sahaja.

Apabila sampai hari majlis berlangsung maka ramailah yang datang berkunjung, usik mengusik, tegur menegur, sapa menyapa sudah menjadi kebiasaan.Apabila pengantin dan rombongannya tiba mereka diarak dengan dengan iringan paluan rebana dan disambut dengan dentuman senapang kampung.Maka bermulalah majlis berbalas pantun, tabur beras kunyit dan menyiram air mawar.Kemudian pengantin disandingkan  dan ditepung tawar.Selepas itu pengantin dan rombongan dijemput untuk menjamu selera.

Selepas acara berlangsung sekali lagi majlis bergotong royong diadakan.Majlis ini akan diserikan dengan sedikit jamuan dinamakan hari pemulangan barang.Barang-barang yang dipinjam akan dikembalikan semula kerumah-rumah jiran tetangga yang meinjam barangan itu.Tuan rumah atau wakil akan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan.

Bagi orang lama saat sambutan secara tradisi lama amat menyeronokkan dan tidak akan dirasai nikmatnya oleh orang-orang muda kini.Amat kurang benar orang yang mengadakan majlis seperti itu dewasa ini.Sambutan majlis perkahwinan ketika itu amat meriah mengikut cara tersendiri dan semangat gotong royong dibandingkan kemeriahan masa kini yang amat ketara berbeza kerana kemodenan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...