Khamis, 9 Mei 2013

SEDETIK RASA SEULAS BICARA



Dalam kehidupan manusia pelbagai perkara dan peristiwa dilalui.Semakin berusia semakin bertambahlah pengalaman yang dirasai.Peristiwa yang ditempuh ada yang manis, pahit, masin, tawar, kelat, masam dan hanyir.Pengalaman indah teramat indah untuk dikenang.Biarlah kenangan manis sentiasa segar diingatan, pedoman dan panduan dalam meniti kehidupan, 

Segala peristiwa pahit, getir dan buruk, jangan terus dilupakan dari kenangan, biarlah menjadi pengajaran untuk kita memacu masa hadapan agar lebih berhati-hati agar peristiwa ini tidak akan menjelma semula mengganggu kehidupan.Jadikan ia sebagai azimat yang amat berguna untuk membetulkan diri dari terus melakukan kesilapan demi mencari sebuah kejayaan.

Aduhai kita sering menyalahkan orang lain kerana kegagalan yang kita hadapi.Kita terasa sedih dan marahkan orang lain kerana tidak mendengar kata kita.Kita sering kecewa apabila tidak memperolehi sesuatu yang dihajati dan mengharapkan orang membantu dan menyokong kehendak kita tetapi sedarkah kita bahawa pernahkah kita membuat sumbangan, kebaikan dan membantu orang lain dengan ikhlas tanpa mengharap balasan.Terfikirkah oleh kita kesalahan, kesilapan dan kelemahan diri membuat hati orang terluka.


Kita perlu sedar bahawa orang lain juga mempunyai perasaan yang sering rasa terpinggir dan marah sekiranya diperlakukan dengan pelbagai ragam dan angkara dari perbuatan kita.Maka bukanlah senang untuk menambat hati mereka semula sekiranya jiwa dan perasaan mereka telah kita guriskan.Bukan mudah untuk mereka memaafkan kecurangan dan kesilapan yang telah kita lakukan pada mereka.Mungkin mereka boleh memaafkan tetapi amat payah untuk melupakan perbuatan kita yang lalu.

Manusia dilahirkan dengan otak yang sentiasa berfikir, mereka akan selalu dapat menilai kebenaran dan tipu daya.Janganlah kita ingat orang selalu menyokong usaha yang selalu kita hidangkan, kadang-kadang mereka hanya berpura-pura menyokong apabila berhadapan, tetapi dibelakang kita, mereka akan berkata-kata dan merasa tidak berpuashati dengan perlakuan kita.Mereka akan ketawa lebar berdekah-dekah bersama, tetapi sebaliknya apabila berada jauh mereka pula akan mentertawa diri kita.

Akibat kita kurang mahir dan sering lupa untuk memahami kehendak dan harapan orang lain selalu mengakibat diri kita menemui kegagalan untuk mendapat sokongan dan disayangi.Kita jarang bertegur sapa dan bertanya khabar, sapaan dan perhatian kita selalunya berbeza.Orang yang rapat dan berada selalu diberi keutamaan sedangkan orang yang kurang penting selalu kita pinggir dan ketepikan atau sekadar menyapa dan menyantuni mereka ala kadarnya bagai melepaskan batuk di tangga.

Kita perlu tahu bahawa manusia juga mempunyai pelbagai ragam dan kehendak.Ada yang suka mendengar kata-kata lunak dan manis dari bibir kita, ada yang suka mendengar kita berbicara keburukan orang lain yang terhambur dari mulut kita, akan tetapi ada yang tidak suka mendengar kata dan janji manis tetapi hanya kosong, ada yang kurang berminat dan meluat melihat kita terlalu ego dan bermegah diri seolah-olah kita sahaja yang betul sedangkan orang lain semuanya kurang bijak dan tidak betul segalanya.

Orang selalu menilai kebaikan dan pertolongan kita samada ikhlas tanpa tersirat sebarang makna.Orang tidak mahu jari kita lurus tetapi kelingking pula berkait.Orang suka mendengar alunan lagu yang lemak manis telinga mendengarnya tetapi seandainya lagu-lagu yang kita dendangkan itu sumbang, sudah pasti bosan untuk telinga orang menghayatinya.Janganlah menjadi jalak hanya pandai berkokok nyaring di tunggul kayu untuk memikat hati kekasih menunjuk kehebatan hanya di reban dan di sekeliling halaman.

Maka sebelum kita menyalahi orang lain, perlulah kita mengkaji kelemahan, bermuhasabbah, diri dan memperbetulkan sikap dan peribadi sendiri.Janganlah kita jadikan sungai hanya bersih di hulu sahaja, biarlah air sungai itu bersih sampai ke muara.Janganlah kita hanya pandai membuat empangan di hulu tetapi tidak pandai untuk menjaga kekuatan dan kekukuhannya, seandainya retak mungkin pecah akan menenggelamkan kawasan-kawasan lembah di hilirnya.Maka ingatlah pesanan orang-orang tua beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

ADA BARA DI HATI MU

Alahai sahabat ku jika dahulu kita saling berbicara meluahkan rasa rindu dan keluhan rasa akan tetapi detik-detik indah itu telah berlalu bagai dedaunan kering layu ditiup angin lerai dari tangkainya dan entah kemana masing-masing terdampar.Kadang kala aku terasa persahabatan kita bagaikan rerantingan kayu reput yang hanyut terus ke hilir sungai tanpa ada batu-batu yang sanggup menerimanya untuk menumpang seketika. 

Ada tikanya persahabatan kita umpama layang-layang yang sudah terputus dari ikatan benang, maka terbanglah layang-layang tanpa arah haluan kemana akan jatuhnya.Sahabatku, aku kini terkeliru dengan hubungan dan ikatan kita yang terlalu singkat bermesra kerana dengan kata-kata manis dari pihak ketiga maka ikatan yang kita bina retak lalu pecah berderai dalam sengketa.Melebur dan mengubur segala impian untuk bahagia bersama.

Aku terus hanyut tanpa menoleh membawa diri ke muara untuk mendamaikan hati namun hakikatnya aku tidak dapat melupakan kenangan dan talian persahabatan kita yang terjalin erat sebelum menerima kesan runtuhnya binaan kasih itu.Amat terasa perit dan pedihnya menikam sukma jantung hati.Ikatan berkecai menimbulkan seribu kesalan kerana pemergian dan perpisahan kita tanpa meninggalkan sebarang pesanan. 

Seandainya kau masih sudi mendengar bisikan hati nurani ku, aku terlalu terasa bersalah dan berdosa kepada mu.Sekiranya kau sudi menerima ku kembali menjadi sahabat mu alangkah bahagianya.Seandainya kau sudah tidak mampu lagi menyambut salam ku maka di sini aku ingin berpesan pada mu, sebenci mana pun diri mu terhadap ku, simpanlah sedikit rasa sayang kerana manalah tahu satu hari kau terasa kembali sayang pada ku.

Akhirnya aku berdoa sekadar termampu semoga segala kenangan kita bersama sentiasa mengembirakan aku serta berharap dirimu menerima kembali diri ini menjalinkan semula ikatan kita seperti dahulu.Namun sampai bila harus aku menanti hadir mu membawa sinaran untuk ku, atau aku hanya menanti mu di alam mimpi dan bukannya di alam nyata.Selamat jalan wahai sahabat ku dan kembalilah pada ku seandainya hati mu kembali sejuk untuk ku.

BAHAGIA DISAKITI DUKA DIKHIANATI


Kekadang kita terasa sakit hati dengan kata-kata seseorang, tetapi jika kata-katanya merupakan nasihat dan teguran yang membina serta dengan kejujuran dan keikhlasan rasanya elok kita menerima akan kata-kata itu demi kebaikan diri supaya kita tidak tersesat arah dan pedoman.


Sebaliknya jika kita rasa bahagia dengan kata-kata pujian yang lemak manis, lunak dan indah itu dari seseorang yang tidak ikhlas dengan kata-kata yang memperdaya, membohong penuh dengan kepalsuan itu  tidak akan memberi kita kebahagian malah kita akan lebih jauh tersasar dari arah sebenar kehidupan.

PERTEMUAN DAN PERPISAHAN

Perjalanan kehidupan seseorang menongkah dunia, kadangkala kita berada di atas, ada tikanya kita berada di bawah, ada jauh ada dekat, ada datang ada pergi, semuanya sudah di tentukan Allah. Sebagai manusia biasa, kita tidak pernah lepas dari merempuh pelbagai  dugaan dan ujian.

Cinta itu bukan bererti kita memiliki seseorang yang kita cintai,tapi cinta lebih indah jika melihat orang yang kita cintai itu bahagia.Seboleh-bolehnya kita ingin membuatnya selalu gembira dan seandainya mencintai seseorang kita akan melakukan apa sahaja untuk memberi seseorang itu kebahagiaan setiap masa.

Siapalah kita untuk mengatur pertemuan, tetapi Allah telah takdirkan kita berjumpa, siapalah kita untuk menahan perpisahan, tetapi Allah telah takdirkan kita berjauhan dan terpisah.Kita hanyalah manusia perlu akur dan redha akan pertemuan dan perpisahan yang telah ditentukan Tuhan.

Dengan adanya pertemuan dan perpisahan, baharulah kita dapat merasakan apa makna dan erti suka, bahagia, kasih, setia, rindu, duka, sepi, sabar, tabah, sedih dan berbagai erti lagi.Mungkin dengan perpisahan ini akan membawa seribu kemanisan dalam hidup walaupun ada kepahitannya.

Kita patut fikir kenapa Allah beri sebuah pertemuan, dan kenapa Allah hadirkan sebuah perpisahan. Walaupun perpisahan tu berat  dan menyakitkan, akan tetapi kalau kita yakin ada hikmah di sebalik perpisahan itu, Insha Allah, kita akan dapat merasai manisnya perpisahan itu.Terlalu mudah untuk menyayangi dan terlalu payah untuk melupakan .....

BAGAI ONAK MENIKAM DAGING

Dalam diam kadangkala kita terlupa dan terlepas pandang ada mata memerhatikan tingkah laku dan ucapan kita, mereka semata-mata ingin melihat kejujuran dan keikhlasan kita dalam persahabatan. Jika kita tersalah langkah melakukan onar akan membuat sahabat kita terluka serta hilang pertimbangan untuk menjauhkan diri sehingga sanggup memutuskan talian persahabatan.Kadang kala kita tidak sedar bahawa kata-kata dan perbuatan kita itu boleh menyakiti hati sahabat samada sengaja atau secara tanpa disedari. 

Kita perlu membuat pertimbangan dan berfikiran panjang demi menjaga hati sahabat pada sesuatu hal yang tidak disukainya.Berfikirlah semasak-masaknya sebelum mengeluarkan kata-kata agar menjauhkan dari perbalahan.Jangan kerana inginkan pujian dari orang lain sehingga sanggup melakukan pengkhianatan terhadap sahabat walaupun tanpa disedarinya sekalipun boleh membakar perasaan dan melukai hatinya.

Maka kerana kelekaan menjaga hubungan kasih sayang dan keseronokan kita boleh sahaja meruntuh sebuah jambatan jalinan persahabatan.Jika kepercayaan seorang sahabat telah dinodai, maka tidak hairanlah sahabat kita akan terasa jauh hati dan rasa terpinggir, hingga ia putus asa untuk menarik diri dari meneruskan hubungan persahabatan.Adakalanya timbul masalah buruk sangka tetapi perkara itu boleh sahaja diatasi dengan perbincangan.

Jikalah perkara yang kita lakukan itu adalah benar, adakah ia merupakan berburuk sangka juga.Salah sangka jika tidak diberitahu tetapi jika perkara yg telah maklum masih lagi melakukan perbuatan yg berkali-kali akan melukai hati sahabatnya maka sewajarnya dia akan manaruh sangkaan dan menimbulkan berburuk sangkaNamun seandainya kita sering lupa menjaga hati dan seringkali melakukan kesilapan yang sama. ini akan mengakibatkan sangkaan lebih buruk sahabat terhadapnya.

Sekali dalam melakukan kesilapan boleh saja menghapuskan berburuk sangka, dengan bermaafan kerana terlupa dan tersasul, kesilapan kali kedua boleh lagi dimaafkan tetapi jika kali ketiga dan berulang kali, Adakah itu satu kesilapan dan kesalahan yang tidak disengajakan, jadi apakah yang terbaik dan sewajarnya untuk dilakukan.Mampukah sahabat itu mampu bersabar dan memaafkan agar jalinan persahabatan itu dapat dipertahankan.

Oleh kerana sahabat itu terasa dirinya telah beberapa kali dikhianati dan dicurangi, maka timbullah perasaan di   hati kecilnya untuk berundur dan membawa diri supaya ia tidak akan merasa kecewa untuk hari-hari kemudiannya.Jika setelah beberapa kali keterlanjuran dan kesilapan ditegur dan diberitahu, dik kerana keseronokan kita tidak ambil endah untuk menjaga hati sahabat serta mengkhianatinya, maka perlukah talian persahabatan itu wajar diteruskan ?

DI PERSIMPANGAN

Hidup dunia ini kita tidak boleh memaksa setiap orang suka pada kita, terpulanglah pada pemikiran individu kerana itu adalah hak mereka.Kekadang manusia cuba untuk menegakkan kebenaran di hati sendiri tanpa mahu menerima bicara, pendapat dan keluhan orang lain.Ada tika kita di sukai, begitulah sebaliknya ada masa diri kita dibenci.

Mana mungkin kita dapat menghalang orang dari mengata kebaikan dan keburukan diri kita mengikut pandangannya samada ia suka atau sebaliknya.Jika kita tidak digemari mana boleh kita menahan orang berbicara dan membenci diri kita.Mana boleh kita memaksa dan menyekat sang jalak berkokok di waktu pagi...

Dalam soal ini kita harus mengambil juga pandangan seseorang dan tidak mengikut perasaan sendiri, perlu bermuhasabbah diri mengapa kita tidak disukai.Usahlah disalahkan mata kerana tidak melihat sesuatu kebenaran dan rugilah seandainya hati kita tersalah tafsiran sebelum membuat sesuatu penilaian.


Jangan dibalas kebencian itu dengan kebencian.Ingatlah kebaikan diri  itu akan lupus kerana hanya satu celaan dan sesuatu kejahatan belum tentu dapat disucikan walaupun telah melakukan seribu kebaikan dan penyesalandi mata orang.Namun Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan baik dari segi luaran atau dalaman ...




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...