Ahad, 12 Jun 2011

KOS SARAAN HIDUP SEMAKIN TINGGI





Seandainya seseorang itu memperolehi pendapatan sebanyak RM 3,000.00 sebulan apakah termampu untuknya hidup sejahtera sedangkan tanggungannya masih ada.

Berapa ringgitkah yang akan berbaki dalam sebulan untuk dibuat simpanan.Dalam keadaan kos hidup yang semakin hari semakin meningkat sudah tentu pendapatan sebanyak ini kurang mampu untuk hidup walaupun sederhana.

Bukannya banyak hanya sekadar dapat meneruskan hidup secara sederhana.Walaupun tinggal di luar bandar namun pada hakikatnya barangan makanan terpaksa juga dibeli.

Tidak juga senang hendak mendapatkan bahan mentah dari hasil  bercucuk tanam kerana kawasan kediaman bukanlah di kampung tetapi hanya di taman perumahan.

Mana ada kawasan untuk bercucuk tanam, jika pun boleh di laksanakan tanaman dalam polibeg tapi sebanyak mana yang dapat hasilnya.

Bayangkan jika pendapatan orang itu di bawah dari RM 3,000.00 tentu akan mengeluh dengan harga barangan makanan yang setiap hari naik dan tidak pernah ada turunnya.

Sebagai contoh  kita ke pasar membawa RM 50.00 tanpa disedari wang yang kita bawa tadi tidak banyak berbaki, kadangkala berbaki hanya  duit besi sahaja.

Jika kita membeli keperluan lain untuk merasa makanan sedap sedikit rasanya RM 50.00 yang dibawa langsung tidak berbaki kerana harga ikan, sayur, daging dan kepeluan lain harganya kian mendadak. 

Kalau ke kedai atau pasaraya dengan membawa RM 100.00 pula tidak cukup untuk membeli 5 kilogram beras, sekilogram gula, sekilogram tepung, sebuku roti, bahan minuman, kos bahan cucian dan mandi, kos bahan api dan kos pengangkutan.

Begitu juga bayaran bil-bil perkhidmatan yang perlu dilangsaikan termasuklah membayar hutang piutang dan tanggungan persekolahan dan pengajian anak-anak.

Terasa juga peritnya jika barangan dan kos perkhidmatan berterusan meningkat dari semasa ke semasa.Sudah pasti hidup golongan rendah dan sederhana ini sentiasa sahaja mengeluh panjang.

Setelah di tolak terajang tidak hairanlah jika pada hari gaji wang yang berbaki dipoket hanya cukup untuk menampung hidup dalam seminggu dua, selebihnya terpaksa diikhtiarkan dengan pelbagai cara.

Wang tabungan yang tersimpan di Bank juga akan turut menyisit dan menyusut setiap hari bagaikan bukit ditarah malahan dikorek menggunakan jentera sudah tentu cepat menjadi rata.


Walaupun dirancang perbelanjaan serta berjimat cermat namun belum tentu wang ringgit dapat diselamatkan atau berbaki dalam simpanan.                                                                 

Kalau diambil kira golongan rendah dan sederhana kini bukan sahaja dikategorikan sederhana lagi malahan telah bertukar status menjadi mudah miskin dan kemungkinan telah pun terjerumus ke kategori miskin bandar.

Pada siapa dan di manakah tempat hendak mengadu sekira golongan ini berada dalam kesusahan atau sedang 'sesak' kerana keperluan perbelanjaan di luar jangkaan ?

Beruntung benar mereka yang memperolehi pendapatan yang lebih dan beroleh kesenangan hidup meskipun harga barangan dan kos perkhidmatan meningkat.Sudah tentu kesan kenaikan kos tersebut tidak begitu terasa kepada mereka.


Khamis, 9 Jun 2011

LAMPU TRAFIK MENYUMBANG BAKTI



Lampu Trafik kini bukan sahaja menjadi lampu kawalan trafik semata-mata tetapi juga telah menjadi penunjuk arah ke majlis-majlis tertentu khususnya majlis perkahwinan yang akan dilangsungkan di sesuatu tempat yang telah ditetapkan oleh tuan rumah untuk memudahkan para tetamu dan jemputan untuk menghadiri majlis tersebut dengan lebih senang.


Selalunya lampu trafik ini terletak di persimpangan jalan atau yang berada di susur keluar dari lebuhraya yang merupakan tempat strategik dan pasti akan dilalui oleh kenderaan para tetamu dan jemputan.

Oleh kerana majlis perkahwinan banyak diadakan pada masa tertentu maka nama kedua-dua pengantin tersebut akan dipaparkan, tarikh majlis berlangsung dan nombor telefon untuk dihubungi akan dilekatkan di tiang lampu trafik, dengan cara ini para jemputan atau tetamu dapat mengesan tempat majlis yang ingin mereka tuju.

Kebiasaannya penunjuk hala rumah pengantin akan ditampal pada tiang lampu trafik pada malam hari sebelum upacara majlis berlangsung pada keesokan harinya dengan pelbagai bentuk dan gaya menarik perhatian.


Pada musim cuti atau pada masa yang tertentu tidak hairan papan kenyataan kertas itu akan di tampal mengikut susunan dan ada yang berlapis-lapis dengan papan kenyataan majlis yang telah berlangsung tetapi masih terlekat dan tidak ditanggalkan oleh mereka yang terlibat.


Oleh kerana itu juga akan  menyusahkan orang lain pula yang ingin menggunakan tempat itu, dan terpaksalah mereka menanggal atau menampal notis terbaharu pula.


Ada masa tiang lampu trafik itu penuh dengan tempelan notis usang dan terbiar dengan tempelan notis perkahwinan yang telah dimamah cahaya matahari dan ditimpa hujan.


Adakalanya bercampur pula dengan iklan perkhidmatan Ah Long yang menawar pinjaman berisiko kepada pelanggan.Ini tidak termasuk iklan tawaran kerja seperti tukang membaiki kerosakan paip 'plumber', tukang besi membuat gril, serbis pembaikan barangan letrik, perkhidmatan andaman pengantin dan sebagainya.


Sekali terpandang seolah-olah tiang lampu trafik menjadi tempat pengiklanan perniagaan.Walaupun cara ini berkesan tetapi sekiranya terlalu banyak iklan akan mencacatkan pemandangan tiang lampu itu hingga menyakitkan  mata memandang.


Tidak hairan juga kadangkala terlalu ralit meneliti iklan atau berminat mendapatkan sesuatu perkhidmatan pemandu akan mengambil masa berhenti seketika walaupun lampu trafik telah pun bertukar hijau hingga menyebabkan pemandu di belakang membunyikan hon atau memberi isyarat lampu.


Tidak hairan  ada juga berlaku kemalangan kecil kerana sikap pemandu yang terleka membaca iklan tidak berbayar itu.Bila berlaku kemalangan di persimpangan jalan ini akan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain kerana sikap pemandu yang tidak beretika itu.

Walaubagaimanapun khidmat lampu trafik itu tidak jemu memberi sumbangan bakti Di samping itu tiang lampu trafik turut berjasa untuk menyenangkan pengunjung, para tetamu dan para jemputan untuk sampai ke destinasi majlis perkahwinan atau majlis lain dengan lebih mudah dan senang.


Tanpa kita menyangka bahawa bakti tiang lampu trafik juga dapat menyambung kasih ikatan persaudaraan dan jalinan hubungan persahabatan, kawan dan rakan yang akan turut serta di majlis bersejarah kedua mempelai pada hari tersebut.






Selasa, 7 Jun 2011

SUDAH HAMPIR SEPARUH TAHUN 2011





Minggu ini sudah hampir memasuki minggu kedua bagi bulan Jun, dan 2 minggu lagi selepas itu maka sampailah ke penghujung haribulan, 2011 maka setengah tahun kita berlalu meninggalkan bersama segala peristiwa hari-hari kelmarin dan hari-hari sebelumnya.

Ada peristiwa manis, ada peristiwa sedih, suka dan duka berlalu dan akan terus menerapi hidup manusia selagi bernyawa.Begitu juga perkara-perkara yang dirancang dan direncana dalam hidup ada yang telah tercapai dan ada yang masih terkapai-kapai.

Bagi mereka yang beringat masa berlalu tidaklah sepantas mana namun bagi mereka yang masih dilamun mimpi indah atau buruk merasakan perjalanan hari-hari yang dilalui amat perlahan dan ada yang terasa terlalu pantas sekali.Maka hidup sentiasa berada dalam lalai atau tanpa disedari diri ditinggalkan detik-detik berlalu yang merugikan.

Namun masih ada yang teraba-raba mencari sesuatu yang masih belum diperolehi, hari-hari bagaikan tiada apa yang merugikan asalkan hati sentiasa gembira, suka merempuh umur yang kian meninggi sehari ke sehari.


Bagi yang masih bertatih hari-hari tanpa sedar boleh berjalan lalu berlari.Untuk yang masih berada di lingkaran tengahari, kian menjadi rembang, detik saat  berlalu dan berganti tanpa disedari menjelang petang dan yang petang tanpa sedar meniti senja dan yang senja diremang gelora malam yang pasti akan tiba.Fikir-fikirkanlah.....




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...