Rabu, 24 Oktober 2012

MAJLIS PENGANUGERAHAN GAPIS ~ SEMPENA 100 TAHUN SMK ST.MICHAEL, IPOH, ANJURAN PERSATUAN ALUMNI PELAJAR ISLAM ST.MICHAEL, IPOH (GAPIS)



GAPIS HARGAI BEKAS PELAJAR
Menteri Kewangan kedua, Timbalan Naib Canselor UiTM antara penerima anugerah

Persatuan Alumni Pelajar Islam St Michael, Ipoh (GAPIS) telah menganjurkan Anugerah Gapis bagi menghargai bekas pelajar mereka yang berjaya dalam karier sempena sambutan ulang tahun ke 100 Sekolah St Michael, Ipoh.

Presiden Gapis, Hang Tuah Din berkata antara yang menerima anugerah termasuk Menteri Kewangan Kedua, Dato' Seri Ahmad Husni Handzlah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dato' Dr Abdullah Mohamad Said.

Menurutnya, anugerah itu diberikan atas pencapaian cemerlang mereka dijadikan ikon pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.

Sempena majlis anugerah tersebut, Gapis turut mengadakan perlawanan boling persahabatan bersama bekas warga St Michael Ipoh.

" Selain itu ia bertujuan mengumpul dana bagi menjalankan aktiviti pelajar seperti program motivasi, program kecemerlangan dan bantuan kepada pelajar Islamyang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu penerima Anugerah Gapis, Ahmad Husni, tutut berkongsi kenangan bersama tetamu yang hadir berkenaan pengalamannya belajar di sekolah St Michael.

Menurutnya, Guru Bahasa Melayu, Nur Shamsi Mohd Nor banyak memberi nasihat dan mengajar beliau tanpa mengira penat lelah sehingga beliau mencapai kejayaan yang membanggakan.

"Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan amat dihargai kerana sebagai seorang guru beliau dengan gigih mengadakan kelas tambahan secara percuma untuk kami semua," katanya.

SUMBER

M/S 42 ASPRASI ~ SELASA 23 OKTOBER, 2012 SINAR HARIAN EDISI PERAK

Khamis, 11 Oktober 2012

SEMULIA SAHABAT SEHINA KAWAN



Semulia-mulia kawan adalah menjadi sahabat yang setia, berbudi dan sedia berbakti kepada sahabatnya dalam apa keadaan sekalipun.Sebaliknya sehina-hina kawan adalah yang menjadi musuh dan suka mengkhianati kawannya.

Tangisan seorang sahabat terhadap kedukaan dan kesusahan yang menimpa sahabatnya adalah lahir dari sanubari yang murni dan bersimpati terhadap kesedihan yang dialami sahabatnya.

Seboleh-bolehnya beliau cuba untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sahabatnya.Beliau akan merasa puas sekiranya dapat membantu meringan atau merungkai masalah yang dihadapi oleh sahabatnya itu.


Senyuman dari bibir seorang sahabat yang turut merasa senang, bangga dan suka serta berkongsi bahagia terhadap kejayaan dan kegembiraan sahabatnya adalah lahir dari keluhuran perasaan dan hati.


Oleh itu janganlah hendaknya mengasihi dan menyayangi sahabat kita seperti embun yang turun di waktu pagi, akan menghilang apabila terbit mentari.Kasihilah sahabat kita seperti sungai yang mengalirkan airnya dari hulu sampai ke hilir.

Sahabat yang setia adalah seperti bayangan diri sentiasa bersama ketika di waktu terang dan menjadi lampu yg menyala sentiasa memberi cahaya di waktu gelita.


SAHABAT !!! DENGARLAH SUARA HATI KU ...

Setelah sekian lama kau menghilangkan diri, namun aku masih setia menunggu dan menanti, apalah salah ku sehingga sanggup kau meninggalkan aku.Jika iapun aku bersalah maafkanlah aku.Sekiranya benar-benar kau sudah bosan dan jelak pada ku, apalagi boleh ku katakan, pergilah, tinggalkanlah aku sendiri, biar pada sahabat yang lain ku bergantung harap pada yang masih sudi bersahabat dengan ku dan mereka yang lebih mengerti diri ini.

Aku tidak akan menyalahi diri mu, jauh sekali dari berhasad dengki dan khianat.Entah kenapa tiba-tiba kau terlalu membenci diri ini tanpa alasan.Jika sudah begitu suratannya biarlah aku berundur diri, biar sahaja aku melangkah pergi mencari penawar lain mengubat hati yang terluka ini.Namun begitu jika kau rasa sunyi  terbit pula rasa rindu di hati dan tiada sesiapa lagi mengisi hati mu, kau carilah aku.

Kehilangan ku mudah kau cari, kerana kesan langkah ku telah sebati dengan langkahmu seperti dahulu, pasti kau mudah mencari diri ku ini..Aku tidak mungkin melangkah jauh, aku tidak pantas berlari seandainya kau masih mahu mengejar ku lagi.Sesungguhnya samasekali aku tidak pernah berdendam atau marah kepada mu.Namun kebimbangan hati ku ini adalah pada diri mu, kerana seandainya kau menghilang memang amat payah untuk ku mencari.

Kau terlalu cekap untuk bersembunyi melenyapkan diri.Walaupun sebelum ini kita bersahabat setia seiring sejalan dan sealiran kata tetapi setelah terjadi sengkata yang tak pasti puncanya, tanpa diduga kau sanggup meninggalkan aku dan membiarkan aku bersendirian tertanya-tanya apakah kesalahan dan dosaku terhadap mu.Kini walaupun kita melangkah di jalan sama namun terpaksa mengikut persimpangan berbeza.

Laluan kita tidak lagi sehala, sudah bertingkah arah.Aku rela dicerca, dikeji jua dihina seandainya aku benar-benar melakukan kesalahan dan kesilapan terhadapmu, tapi biarlah terbit dari alasan yang munasabah dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Walaubagaimanapun aku lebih tersiksa sekiranya kau datang memujuk ku dengan kata-kata lunak dan janji-janji manis dengan kepura-puraan, pembohongan dan  kepalsuan.

Menyingkap kisah lalu ketika kita hidup bahagia, nama ku sentiasa meniti di bibir mu jadi sebutan, jika berjauhan, kita saling rindu-rinduan.Setelah berlaku kecurangan dalam persahabatan, aku terlalu dibenci dari pandangan mata dan hatimu, segala kebaikan mu pada ku jadi perkara ungkitan.Kekurangan dan keburukan ku pula kau jadikan bahan kejian dan umpatan.Apakan daya senyuman ku sudah hilang kemanisannya di matamu.


Sekiranya senyuman ku membuat hati mu terluka dan kebahagian ku bersama mu selama ini sudah tidak memberi erti dan makna pada mu lagi maka kau jauhi dan tinggalkanlah diri ku ini, tetapi seandainya tangisan ku pula boleh membuat hati mu bahagia, rela aku menangis setiap hari kerana mu, teruskanlah siksaan mu pada ku, kerana aku rela menjadi bahan uji untuk mu sekiranya itu boleh membuat hati mu gembira dan ceria.
Keburukan seorang sahabat adalah apabila di hadapan sahabatnya ia berpura-pura baik dan berkata manis tetapi di belakang sahabatnya pula memburuk-buruk dan mengkhianatinya.Amat malanglah mendapat sahabat yang hanya mengaku jujur, setia dan ikhlas sebaliknya menjadi musang berbulu ayam, curang dalam persahabatan. Adakah ini yang dikatakan sahabat ?

BURUK BICARA MEROSAK PERSAHABATAN

Kisah singkapan ini adalah pengalaman ku dalam mengharungi persahabatan baik dl luar maya ataupun di alam maya siber ini.Kita kekadang amat terleka dan terlalu menjaga hati orang tetapi tidak ambil kisah pula apabila orang lain pula mencerca kita dik insan yang mengambil kesempatan atas kebaikan dan kelemahan diri hingga sanggup mengeluarkan kata-kata jijik, kurang bijak serta tidak sopan.

Kalau mencarut, menghentam nama baik kawan-kawan, menyakitkan hati sahabat jua kenalan dan mengadu domba mereka  itu bukanlah cara dan tingkah laku yang baik dan sama sekali tidak bijak, kalau berkawan biarlah seikhlas hati, biarlah bicara berbahasa indah dan kalau iapun ingin menegur gunakanlah kata-kata yang boleh diterima, tanpa peka dan tidak mengira masa bedal serta belasah semacam saja.

Amat dikesali apa yang terkeluar di mulut tanpa mengguna pertimbangan akal terhambur belaka.Tanpa sopan berbahasa lucah yang keterlaluan, sedangkan terkeluar sedikit pun jijik inikan pula terjulur semua, aduh buruknya bahasa mual dan sangat memalukan.Kekadang kita tidak tersinggung kerana telah biasa dengan keletahnya tetapi kawan-kawan kita di facebook yang lain begitu terasa hati. 

Nasib dan kehidupan kita ada yang sama tetapi terlalu banyak yang berbeza.Maklumlah mereka ini bukan semuanya bernasib baik seperti kita, soal hidup dan putus jodoh bukanlah sesuai untuk dijadikan bahan senda gurauan dan mainan, kasihanilah mereka, bukan perkara itu dipinta apa yang terjadi dalam hidup mereka sedemikian rupa.Oleh itu demi menjaga hati sahabat handai yang lain, kita cuba juga menegur secara baik.

Teguran yang selembut madah tapi berhelah bagai menarik rambut dalam tepung agar rambut  tidak putus tepung tidak berselerak, akan tapi teguran itu hanyalah sia-sia, sedikit pun tidak di terima dan tiada kesannya.Tuntas tiada jalan lain terpaksa cara menghindarkan dirinya dari terus bercampur dengan sahabat yang lain agar tidak lagi menjadi duri dalam daging menganggu persahabatan kita.


Biarkan sahaja dirinya dibuai dengan kata seloka lucah dan hanyir menjijik mata dan telinganya sahaja agar tiada orang lain yang terasa hati demi menjaga hubungan persahabatan kita dengan orang yang benar-benar jujur ingin bersahabat.Biarlah kehilangan dirinya hanya seorang asalkan dapat menyelamatkan tali persahabatan dengan yang lain.

TERLAJAK BICARA BISA DI MULUT

Dalam persahabatan tersasul bicara kekadang memang amat menyakitkan akan tetapi jika ada rasa belas kasihan boleh sahaja bermaaf-maafan, itu jika sekali terlajak, boleh dibuat teguran, kali kedua terlajak boleh lagi kita bersabar, tetapi jika selalu terlajak ini dibuat senda gurauan dan kata mainan.Tersedik pilu di sudut hati bila terjadi begini.

Maka lebih baik kita mendiamkan diri untuk terus melayan manusia yang bersikap demikian yang tidak tahu menghargai persahabatan.Kita berbahasa cara orang lama, tapi mereka berbahasa orang muda, sukar bagi kita memahami bahasa dan tujuan mereka yang kekadang mengeluarkan kata-kata senda gurau kesat lagi kasar.

Sebagai orang yang sudah lama berpengalaman mengaharungi usia muda dan merempuh hidup hingga ke alam senja cara kita dan mereka amat begitu berbeza, terlalu ketara budaya bicara, kekadang bicara tanpa menggunakan akal fikiran menjaga adab perbatasan usia amat menyakit dan memedihkan hati bila terpampang di mata, terdengar dik telinga.

KESETIAAN DAN KEPALSUAN

Dalam jalinan ikatan persahabatan, berkawan dan berkasih sayang adakalanya perasaan cemburu, ragu dan curiga selalu sahaja membuat hati seseorang yang kita sayang dan kasihi menuntut kejujuran dan keikhlasan dari kita, kerana hati manusia selalu berkata-kata dan berwasangka.

Mereka mengharapkan pengucapan yang selari dengan perbuatan agar orang yang dikasihi dan sayang itu tidak merasa dirinya tertipu atau dipermainkan. Jika waktu bersama berkata lain, tetapi di belakang pasangan perbuatan dan bicaranya amat berbeda dan bercanggah pula.

Ada masanya kita rasa kecewa pengucapan manis menyembunyi kepalsuan.Kadangkala kita rasa kejujuran bagaikan satu kepalsuan dan ada tikanya curiga sentiasa bermain di fikiran menggoyah kesetiaan melebur keikhlasan dan boleh membenih kebencian dan membangkitkan permusuhan.

Tidak hairan berlaku konflik dan tidak puas hati terhadap pasangan bersahabat untuk berkasih sayang.Hingga ikatan persahabatan itu terputus, jalinan kasih sayang terlerai, hubungan rumah tangga hancur berkecai kerana tidak pandai menjaga hati dan perasaan pasangan.

Kesetiaan dan kejujuran sahabat atau pasangan kekasih selalu diuji dengan segala bentuk kepalsuan dan peradaban yang menjelikkan.Cuma kekuatan dan keluhuran hati sahaja yang dapat menghindarkan diri dari mengkhianati dan curang terhadap sahabat atau kekasihnya.


Maka di sinilah letaknya kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan semasa menjalinkan ikatan persahabatan dan berkasih sayang.Berwaspada dan berhati-hatilah semasa berbicara dan perbuatan kerana dibimbangi luahan kata-kata dan tingkahlaku sumbang boleh menjejas dan merosakkan ikatan kasih sayang.

KEIKHLASAN DALAM PERSAHABATAN

Sekiranya aku sudah berkenalan dengan orang yang sudi menerimaku sebagai sahabat seboleh-bolehnya aku ingin menatap wajah dan rupa, itu adalah sikapku yang suka mengenali seseorang dengan pandangan mata ku sendiri.Setelah itu baru aku merasa puas bersahabat, berkawan dengan hati yang ikhlas.Selagi wajah dan rupa tidak pernah ku lihat selagi itulah tiada kepuasan dalam diri.

Aku tidak kisah siapa yang hendak bersahabat dan berkawan asalkan hati mereka ikhlas menerima aku sebagai sahabat,kawan atau rakan.Aku tidak pernah memilih dalam soal berkawan baik lelaki mahupun perempuan.Aku tetap ingin berjumpa sekiranya aku ada masa dan kesempatan bertemu tidak kira dimana.Dalam soal ini aku pernah bertemu kawan-kawan di rumah, di rumah orang kenduri, di gerai-gerai, di tepi pantai, hospital waima di tepi-tepi jalan.

Adakalanya aku temui sahabat atau kawan-kawan di sesuatu tempat dimana aku ada urusan di tempat itu.Selalunya ketika aku pergi menziarahi keluarga atau bertugas dan berkursus, di sana aku akan menghubungi melalui talipon atau membuat temujanji lebih awal ataupun secara spontan.Jika ada rezeki untuk bertemu maka aku rasa begitu bahagia dan seandainya tidak maka itu adalah ketentuan Allah.

Setelah aku berkenalan dan berjumpa aku selalunya  akan mengunjungi mereka terutamanya jika mereka ditimpa musibah, sakit ataupun kematian keluarga.Bagiku itu adalah sumbangan kecil untuk mengembirakan hati sahabat handai.Itupun mengikut kemampuan dan peluang masa yang ada pada ku.Aku akan berkawan seikhlas hati, terpulanglah kepada penilaian orang terhadap kejujuran hati ini.

Selalunya aku akan berjumpa sahabat atau kawan perempuan dengan ditemani oleh orang lain terutama keluargaku atau pun keluarga kawan yang ingin ku jumpa agar tiada yang berburuk sangka.Aku tahu diriku sudah tua dan meniti senja dan aku juga perlu menjaga orang yang ingin ku temui supaya tidak timbul perkara yang boleh menjadikan syak wasangka dan curiga.

Tidak dinafikan juga aku akan membantu seseorang sahabat yang memerlukan bantuan dan sokongan.Itupun mengikut kemampuan yang ada pada ku.Seboleh-bolehnya aku ingin membahagiakan sahabat, kawan dan rakan.Ada juga yang menuduh dan mencurigai keikhlasan aku bersahabat dengan seseorang.Sebenarnya aku tidak terikat dengan sesiapa untuk ku bersahabat dan berkawan.Itu adalah caraku.Aku tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima cara ku untuk memuaskan diri orang lain.

Setelah aku berkawan terutamanya kawan perempuan janganlah menganggap aku sudah bermain asmara atau jatuh cinta.Padaku sahabat adalah sahabat dan aku tidak akan terikat dengan soal hati dan perasaan.Aku sudah berumahtangga dan aku pun telah mempunyai keluarga sendiri.Maaflah kekadang ada yang cuba menggugat kesabaran ku dengan cerita-cerita yang tak sedap ku dengar.Dalam soal ini kalau ada yang curiga datanglah bertanya dan mintalah kepastian dan penjelasan terlebih dahulu.

Walaubagaimanapun kuasa Allah tiada siapa yang boleh menghalang sekiranya terjadi juga soal hati dan perasaan, namun Insya'Allah aku masih lagi setia pada isteri dan anak-anak ku.Aku tetap mengasihi isteri selagi isteri jua turut menyayangi diri ini.Aku masih lagi sayang pada anak-anak ku, bagiku anak-anaklah tempat aku mencurah kasih yang tiada bandingan dalam hidup.Aku juga sayang pada semua sahabat handai dan kawan selagi tidak menyentuh soal peribadi ku dan tidak tersalah anggap terhadap keikhlasan dan kejujuran ku dalam persahabatan.


Aku bukan budak-budak yang tidak mempunyai akal fikiran, tolonglah janganlah cuba untuk memperbodoh-bodohkan aku, terlalu banyak pengalaman aku dalam berkawan, dan aku banyak menempuh karenah dalam persahabatan.Aku bukanlah orang muda yang terlalu mudah tergoda, aku sudah berusia dan janganlah aku dilibatkan dalam soal peribadi kerana kesilapan sendiri meneka dalam kesamaran.

NILAI PERSAHABATAN BAGI TOK WAN ~

Tok Wan memang amat mementingkan nilai persahabatan.Persahabatan bagi tok wan adalah seperti saudara .Siapalah diri kita sekiranya tiada orang yang sudi berkawan, sekaya mana pun diri kita jika tiada berkawan bagi tok wan adalah semiskin-miskin manusia.Mengapa persahabatan itu penting dan perlu terjalin dengan baik ?.Bagi tok wan sahabat, kawan, rakan dan kenalan amat penting kerana merekalah orang yang rapat dan boleh kita bertukar pandangan, mendapatkan fikiran, menambah pengetahuan dan menjalin kemesraan selain dari saudara sendiri.

Amat malanglah jika ada yang ingin bersahabat, berkawan atau bekenalan semata-mata bertujuan untuk kepentingan sendiri, untuk menunjuk-nunjuk ataupun mereka memilih kawan dengan kenalan yang berpangkat tinggi untuk mendapat keuntungan, maka kita yang tiada berpangkat  atau hidup dalam kemiskinan ini akan ditinggalkan setelah mereka memperolehi kawan atau kenalan yang lebih berpengaruh.

Beginilah adat didunia yang setiap hari berubah mengikut peredaran masa tanpa memikirkan hati seorang kawan yang hidup sentiasa didalam kesusahan.Sebenarnya bukan semua begitu ada juga yang memang bersahabat dan berkawan dengan jujur, penuh keikhlasan dan setia kawan.


Pada pandangan hati seorang yang mementingkan tali persahabatan dan keikhlasan berkawan, tok wan rasa tiada ruginya kita berkawan dengan sahabat , kawan dan kenalan yang susah, kerana ada ketikanya sahabat dan kawan-kawan seperti inilah yang sanggup membantu kita jika berada didalam kesusahan atau kepayahan.Tok wan rasa bukan semua kawan-kawan atau sahabat yang hidup sederhana, miskin atau susah bersahabat dengan kita kerana wang, tetapi sebenarnya perhatian dan kesudian kita bersahabat atau berkawan itulah yang sebenarnya.

Alkisahnya tok wan pernah juga berkawan dengan seorang hamba Allah yang mana sentiasa bercerita berkaitan dengan projek itu, projek ini, berkawan dengan pembesar sana, pembesar sini, jadi tok wan anggap itu adalah biasa, dan berbangga kerana beliau seorang yang berpengaruh, dan tok wan anggap itu adalah kelebihan beliau, dan anaknya yang tinggal di kawasan perumahan tok wan tinggal, mengajar amali disalah sebuah sekolah di Pekan Bidor.Tok wan tidak kedekut masa menjaga anaknya atas permintaan kawan tok wan tadi.

Pada satu hari ketika beliau mengunjungi anaknya, beliau telah berjumpa dengan tok wan mengatakan dia tidak membawa wang yang banyak dimana beliau terpaksa membaiki kerosakan keretanya, oleh itu dia meminjam wang dari tok wan, jumlah ratusan juga (biarlah tok wan rahsiakan), sebenarnya wang yang ada ditangan tok wan bukannya banyak tetapi atas kasihan dan setia kawan  tok wan sanggup juga memberi pinjam kepadanya walhal tok wan ketika itu pun berada didalam keadaan kekurangan..Beliau berjanji untuk membayar semula wang tersebut semasa beliau akan mengunjungi anaknya untuk membawa anaknya balik setelah tamat amali mengajar.

Beliau juga akan mengajak anak-anak dan kenalan beliau serta persatuan yang beliau pimpin untuk mengubah wajah rumah pusaka arwah ayah tok wan, tok wan hanya senyum dan rasa kurang percaya pada orang yang berkata-kata terlalu lebih dari kenyataan.Walaubagaimanapun sebagai kenalan tok wan mengucapkan terima kasih kerana perihatinnya beliau terhadap rumah pusaka tinggalan ayah yang usang di kampung ketika beliau, tok wan bawa berkunjung.

Apabila sampai hari anaknya habis mengajar amali di sini, beliau pun datang, apa yang dijanjikannya pada tok wan dahulu, dia minta tangguh dan akan membayarnya kerana akan mengunjungi lagi tok wan pada satu hari.Tok wan anggap mungkin dia akan menepati janji kali ini, tetapi sampai sekarang dia langsung tidak menalipon, menghubungi atau pun mengunjungi tok wan, dan beberapa hari lalu tok wan melihat wajahnya terpampang di telivisyen di Pulau Pinang, cakap pun ala orang besar juga, tapi bagi tokwan itu hanyalah seorang kawan yang tidak pernah menepati janji dan tiada sifat setia kawan.Apalah ada pada nilai wang ringgit yang sedikit itu maka terpaksa melarikan diri dari seorang kawan, maka berhati-hatilah orang seperti ini untuk dijadikan kenalan, kawan atau sahabat.

Begitu juga tok wan pernah mendapat seorang kawan  yang agak sebaya dengan tok wan, setelah berkawan baik sekian lama tetapi setelah mendapat kawan baharu tok wan pula dan beberapa kawan yang lain dijadikan musuh kerana perselisihan faham dan kawan tok wan ini tidak pandai menilai tempatnya dimana dan tidak tahu menyesuaikan diri ketika berkawan, suka pula mengawasi, mengawal orang dan ingin menyertai persatuan orang lain yang bukan hak beliau menyertainya.Tok wan dan kawan baiknya sendiri semasa bersekolah dahulu juga diserang melalui sms dan pelbagai cara.Apalah yang menganggu fikirannya entahlah, kerana sifat cemburunya maka ramai kawan-kawan yang melarikan diri darinya.Sedarlah wahai teman kita sudah meniti usia senja jagalah hati sahabat, teman, kawan dan rakan seadanya.

HIDUP BIARLAH BERKAWAN

Dalam perjalanan kehidupan di atas kulit muka bumi ini bermacam ragam dan berbagai perkara yang kita tempuhi, pengalaman suka duka sentiasa bermain di fikiran.Hidup kita laksana lakonan adakalanya watak kita disukai malah adakala dihina dan dibenci.Walaupun usia kita sudah ke tahap kematangan ada tikanya kita bagaikan kebudak-budakan.

Hari ini kita senyum, mungkin esok lusa kita menangis.Adakalanya sandiwara yang kita persembahkan menjadi pujian dan ada waktunya sandiwara kita menemui kegagalan mungkin menerima cacian dan ditertawakan orang.Begitu juga dalam persahabatan, ada kala kita bersahabat laksana bersaudara, ada ketika timbul bencana bermusuh-musuhan.

Kata orang hari ini belum tentu berkawan lama, entah esok lusa menjadi lawan, mungkin hari ini menjadi lawan, satu hari mungkin menjadi kawan setia.Begitulah adatnya manusia yang masing-masing mempunyai hati dan perasaan, lebih mengenal erti dan menyingkap makna persahabatan.Sebelum berlaku perkara yang tidak sihat maka jagalah adat dan tingkah laku semasa berkawan.

Dalam merempuh hidup kita mempunyai arah dan haluan sendiri, adakalanya kita terpaksa berkayuh rakit ke hilir, ada tikanya kita terpaksa menyongsang arah, terpaksalah kita mengganda kudrat bergalah agar sampai ke hulu.Begitu jika berkawan sudah tentu menghadapi pelbagai karenah menerima ujian dalam mengukuh, mengerat dan menjaga ikatan tali persahabatan. 

Kawan yang membawa kita ke jalan lurus adalah seorang sahabat yang baik akan tetapi kawan yang mengajak ke jalan berliku lebih elok ditinggalkan.Adakalanya kita tewas dalam penilaian sehingga terdesak mengikut hasutan kawan dalam percaturan kesetiaan membabi buta menyebabkan kita turut hanyut dengan masalah yang dihadapi oleh kawan kita sendiri.Berhati-hatilah agar kita tidak terjerumus sama ke dalam jurang hasil dari ciptaan kawan kita.

Amat beruntung seandainya memperolehi kawan, rakan, sahabat yang seiringan dan sehaluan jalan, ke gunung sama didaki dan lautan sama direnangi.Mudah-mudahan kita berkawan beroleh selamat dari ditimpa bencana dan kehancuran.Disinilah letaknya ilmu mengukur paras ketinggian dan kedangkalan berfikir dalam persahabatan.Kawan atau sahabat boleh membawa kita bahagia dan kawanlah juga boleh membawa kita menderita seandainya tersilap percaturan.

Dalam persahabatan kita perlu menjaga tingkah laku, adab sopan, berbudi bahasa , menjaga hati dan bantu membantu antara satu sama lain.Sentiasalah mengukuhkan jalinan persahabatan serta elakkan dari mencari kesempatan atas kelemahan kawan dan sahabat untuk dikhianati akhirnya akan membibit bara dendam di hati hingga membawa kepada permusuhan.Biarlah kita membahagiakan kawan-kawan dari mula berkenalan hinggalah ke akhir hayat.

Berhati-hati ketika memilih kawan agar tidak terpengaruh dengan kesesatan kawan sehingga melanggar hukum dan peradaban yang boleh membawa kita kepada kehancuran.Maka carilah seorang kawan yang baik budi bahasa, jujur tingkah laku, setia dalam persahabatan, pandai menjaga hati dan perasaan, bantu membantu, nasihat menasihati, tegur menegur demi kebaikan, ikhlas berkasih sayang serta sentiasa mendoakan kesejahteraan kita.

Senyuman dari seorang kawan amat membahagiakan, akan tetapi jika kawan bermasam muka akan meresahkan perasaan kita.Sekali hati terusik belum tentu bertahun untuk menyembuh luka dan kemungkinan luka itu lambat laun akan bertaut kembali namun parutnya masih ada.Entah-entah luka bertambah dalam tidak akan sembuh selamanya.Tiada maaf bagi mu, tiada kemaafan lagi, kalau begitulah keadaannya.

Pandai dan bijaksanalah mencari kawan kerana bukan semua orang boleh dibuat kawan, ada orang yang suka berkawan setakat kenalan biasa, ada kawan yang melebihi saudara, ada kawan setakat hanya berpura-pura, dan kerana ada sesuatu agenda kepentingan sendiri ada kawan yang makan kawan, ini amatlah kurang bijaksana dalam rukun hidup berkawan.Pepatah pujangga ada mengatakan ' kawan ketawa senang dicari, kawan menangis sukar didapat '....
Duhai teman dan sahabatku ....

Dalam berkawan perlu ada keakraban, jangan pernah ada kebencian.Dalam persahabatan perlu ada kasih sayang, jangan pernah ada pengkhianatan.Dalam berkasih-kasihan perlu ada keikhlasan, jangan pernah ada kecurigaan.Dalam sayang-menyayang perlu ada kejujuran, jangan pernah ada keraguan.Dalam percintaan sesama insan perlu ada kesetiaan, jangan pernah ada kecurangan.

Sahabatku, kau laksana mentari yang sentiasa menerangi bumi menyegar jiwaku.Kau umpama pelangi yang mewarnai hari hidupku. Kau adalah purnama yang menerangi malam-suramku.Kau adalah bintang yang berkerlipan dilangit menghiasi kedukaan hatiku.Sahabatku, terima kasih kau membahagiakan aku dan kebahagian aku adalah kebahagian mu, kesedihan ku adalah kesedihan mu.

Selagi kita bernyawa, selagi itu kita memerlukan kenalan, kawan, sahabat dan kekasih untuk menjadi teman melayari kehidupan.Hidup akan terasa sunyi, sepi seandainya kita hidup bersendirian.Jangan biarkan diri hidup terasing dari insan lain, jiwa tidak akan aman tenteram terasa kekurangan dan kekosongan.Oleh itu isilah masa yang terluang bermesra bersama teman, kawan, rakan, taulan dan sahabat.

Aku merindui akan kemesraan fajar di awal pagi dan sang mentari senyum menyinar cahayanya dan aku mengharapkan senyummu jua seindah itu sebagai tatapan ku menghilangkan resah di hati.Biarlah sahaja rindu ku dibawa sang bayu agar dapat dirasai untuk sisipan di hatimu, Semoga rindu ini menjadi ikatan kasih sayang agar segar dan sentiasa sebati di ingatan kita.

Andainya rindu itu adalah bicara kamus kehidupan maka biarlah ia menghuraikan segala erti dan maksudnya berkaitan rindu meskipun entah berapa panjang dan dalamnya sebuah makna kerinduan itu.Begitulah apa yang ku rasakan amat bergetar di jiwa ini apabila diterjah badai rindu yang bertandang setiap detik dan ketika pada mu semua sahabat, kawan, teman dan kenalan ku.

semoga persahabatan kekal abadi sehingga kehujung nyawa.Kunjungan mesra sahabat handai dimajlis tertentu menambahkan lagi eratnya tali persahabatan ...





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...