Selasa, 22 November 2011

HARIMAU MUDA MENJUARAI BOLASEPAK SUKAN SEA XXVI 2011


Dikesempatan ini kami rakyat Malaysia merakamkan sekalung tahniah dan mengucapkan syabas serta setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan Harimau Muda kerana telah berjaya menjadi juara Acara Bolasepak Sukan Sea XXVI 2011 di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta pada 21.11.2011.Pasukan Harimau Muda dapat mengekalkan kejuaraan acara ini pada sukan SEA pada 2009.

Walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran namun atas segala usaha, semangat tinggi dan kerahan keringat, pasukan kita dapat juga membenam kekuatan garuda hingga tersembam kali keduanya di hadapan ribuan penonton malahan jutaan rakyat Indonesia di dalam Temasya Sukan SEA XXVI 2011.Maka patahnya kedua sayap garuda tersembam di bumi sendiri dibaham Harimau Muda.

Seterusnya menambah sebutir pingat emas untuk negara.Walaupun kedudukan penambahan pingat emas dikira hanya sebutir namun kutipan pingat emas ini merupakan ibu emas bagi segala kutipan pingat emas dalam semua acara sukan yang dipertandingkan dalam setiap acara Temasya Sukan SEA dan di temasya-temasya sukan lain di dunia.

Walaupun harimau muda tidak menurunkan dan membarisi  kesemua  pemain utama ketika mengalahkan Garuda 1 - 0 di peringkat kumpulan kerana kecederaan namun pasukan harimau muda masih boleh dan mampu berhadapan serta dapat mengimbangi kegagahan pasukan garuda yang rata-rata dibarisi pasukan utama dan terkuat mereka.

Pasukan Indonesia terlebih dahulu mengatasi pasukan Malaysia 1 - 0 yang telah dijaringkan oleh Gunawan Dwi Cahyo pada minit yang ke 5, namun dengan asakan berlipat ganda dan pertahanan yang kental pasukan negara dapat menyamai kedudukan 1 - 1 pada minit ke 34 melalui Mohd.Asraruddin Omar sehingga menyebabkan penonton tempatan terdiam buat seketika.Namun bergelora semula apabila garuda menyerang ke kubu sang harimau muda.


Setelah kedua-dua pasukan terikat 1 - 1 dalam babak pertama sehinggalah berlarutan ke masa tambahan.Babak permainan yang sungguh mendebar, meresah dan mencemaskan ketika menonton perlawanan itu dengan kedua-kedua pasukan berbalas serangan dengan membuat beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol.


Penentuan sepakan penalti berlangsung begitu sengit setelah pemain Indonesia Gunawan Dwi Cahyo gagal menjaringkan bola ke gawang gol dan diikuti pula kegagalan Ahmad Fakri Saarani menjaringkan gol penalti untuk Malaysia.Namun pemain Indonesia Ferdinand Sinaga turut gagal menyumbat gol untuk sepakan akhir penalti pasukan Garuda itu kerana kecekapan penjaga gol Malaysia cekap menyambar dan menepis bola dari melolosi pintu gol Malaysia.


Sepakan terakhir telah diambil oleh Kapten Malaysia Baddrol Bakhtiar yang menyepak bola, walaupun bola itu dapat ditampan oleh penjaga gol, namun bola itu melantun dari tangkapan terus bergolek menuju ke gawang gol,
akhirnya kemenangan berpihak kepada Pasukan Harimau Muda dengan sepakan penalti 4 - 3.

Kegagahan Sang Harimau Muda kita telah melenyap, meranap dan memunahkan sama sekali harapan tinggi menggunung  pemain Indonesia dan peminat pasukan Garuda yang begitu bertekad untuk memungut pingat emas dalam acara ini.Suara gemuruh penyokong Indonesia terus sepi dan diam sambil tergesa-gesa meninggalkan stadium dengan kehampaan.


Saat manis ini telah mengembirakan kem pasukan Malaysia dan kesemua kontijen sukan dari Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia amnya.Sekali lagi tahniah kepada jurulatih Ong Kim Swee dan krew, Baddrol Bakhtiar kapten pasukan Malaysia, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat @ Apek dan kesemua pemain-pemain Harimau Muda kerana membuktikan dan mempamirkan kehebatan dan kekuatan pasukan serta mengharumkan nama negara.


Acara penyampaian pingat telah diadakan selepas perlawanan itu berlangsung dan pertama kalinya Lagu Kebangsaan Negaraku bergema dengan megahnya yangmana sebelum itu tenggelam dengan gangguan suara penyokong Indonesia yang langsung tidak menghormati Lagu Kebangsaan Negara kita ketika dimainkan di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta semasa acara pembukaan perlawanan itu.


Lebih menyakitkan hati mereka hanya duduk selamba, menari dan meniup terompet untuk memperlekehkan Lagu Kebangsaan kita.Dimanakah yang dikatakan sukan SEA itu adalah Temasya sukan untuk keharmonian dan perpaduan rakyat negara-negara di Asia Tenggara.Memang jijik dan kotor kerana masalah sosial yang timbul antara kedua negara serumpun ini hingga terbawa-bawa ke acara sukan SEA pada kali ini.


Ngauman harimau muda bertambah garang pada pertarungan sengit itu dan dapat dengan bergaya menafikan ejekan sosial dan keriuhan sorakan yang bergema dari penyokong garuda.Longlai langkahan mereka keluar dari stadium, ada yang menitiskan airmata, terlalu sebak dan kecewa bersama hati terluka kerana gagal mempertahankan ego akan keutuhan garuda yang dianggap gagah perkasa namun kecundang menjadi bahan ratahan sang harimau muda.


Aku terasa puas dan teruja atas kemenangan ini kerana terasa rakyat negara ini dihina dengan ejekan bukan kerana semangat kesukanan tetapi sentimen tertentu serta langsung tidak menghormati semangat setia kawan.Namun tidak semua rakyat Indonesia bersikap demikian, terutama yang mempunyai kaitan persaudaraan, kekeluargaan dan kenalan dengan rakyat Malaysia, begitu juga pekerja-pekerja Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...