Selasa, 7 Disember 2010

KEMALANGAN JALAN RAYA


Sedih, cemas, kasihan dan ngeri apabila setiap hari kita, lihat, baca, dengar dan menonton berita berkaitan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan parah, kematian dimana anak-anak menjadi yatim piatu, ibubapa kehilangan anak, isteri menjadi balu dan sebaliknya dalam masa yang tidak sangka-sangka.Kemalangan jalan raya adalah amat menakutkan tidak kira dimana, bila dan siapa yang akan terlibat dalam tragedi kemalangan jalan raya.Kemalangan kenderaan besar bertembung sesama sendiri atau terbabas boleh mengakibatkan kenderaan lain terlibat sama dan boleh mengakibatkan jumlah kecederaan dan bilangan kematian yang ramai.Terutamanya kemalangan bas yang banyak berlaku dewasa ini kerana terbabas atau bertembung dengan kenderaan lain kerana memandu dalam bahaya, laju, dibawah pengaruh arak dan dadah atau memandu dalam keadaan mengantuk.

Kebanyakan kemalangan maut terjadi dikalangan penonggang dan pembonceng motorsikal dan kereta..Kemalangan yang melibatkan motorsikal selalunya berakhir dengan berita kematian kerana penunggang dan pembonceng mempunyai risiko yang tinggi kerana terpaksa berhadapan dengan kenderaan yang lebih besar darinya.Kemalangan motorsikal juga boleh berlaku sekiranya terdapat perlumbaan haram diatas jalan raya samada bertembung dengan kenderaan lebih besar mahupun bertembung atau bergesel diantara sendiri.Terdapat juga kemalangan ngeri yang berlaku bertembung dengan kenderaan berat seperti lori, trailer, bas dan kereta.


Dalam soal memandu dan menunggang motorsikal perlulah berhati-hati dan pemandu kenderaan besar perlulah mengambil sikap berhati-hati serta mempunyai sikap bertimbang rasa dan berhemah terhadap  kenderaan yang lebih kecil darinya dijalan raya terutama motorsikal.Dari pengalaman ketika menunggang motorsikal atau memandu kereta aku pernah melalui pengalaman yang kurang senang terhadap pemandu-pemandu lori dan bas ekspres yang tidak memikirkan keselamatan orang yang memandu kereta atau yang bermotorsikal.Mereka memandu dalam keadaan laju serta memotong kenderaan tanpa memikirkan keselamatan orang yang lain.

Pengalaman semasa memandu ikut peraturan jalanraya disatu kawasan had laju ditetapkan 60km/jam tetapi ada pemandu lori yang suka memberi isyarat lampu dan membunyikan hon dalam keadaan marah kerana mereka tidak dapat memotong dan memandu laju dikawasan jalan yang bengakang bengkok, sempit dan bergalur 2 garisan putih.Setelah aku memberi peluang dia memotong maka kelendan lori tersebut memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah pada ku. Apakah yang menghantui mereka ini hingga tidak tahu mengikut aturan undang-undang jalan raya dan memandu dengan laju merbahaya dan tidak berhemah kepada pengguna jalanraya yang lain.


Ada juga dikalangan pemandu kenderaan berat, bas dan kereta yang memotong kenderaan lain sesuka hati di kawasan yang tidak dibenarkan untuk memotong, oleh kerana sikap pemandu yang tidak berdisiplin ini maka mengakibat kemalangan menimpa kepada orang lain yang memandu kereta atau penunggang motorsikal yang berhati-hati dan tidak bersalah.Aku dapati ada juga pemandu yang keluar dari simpang tidak memikirkan kenderaan lain terutamanya motorsikal yang melalui jalan utama, dan akibat kerakusan mereka mengejar masa menjadikan orang lain ditimpa musibah.

Begitu juga aku pernah melihat pemandu-pemandu lori, kereta dan penunggang motorsikal tidak memperdulikan keselamatan pejalan kaki atau penunggang basikal.Mereka sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan dibahu-bahu jalan dan berhampiran simpang dikawasan yang sepatutnya adalah laluan untuk pejalan kaki dan penunggang basikal.Maka terkais-kaislah mereka ini untuk melepasi laluan  meneruskan perjalanan mereka.Pemandu lori atau kereta juga janganlah meletakkan kenderaan mereka sesuka hati dibahu-bahu jalan atau di laluan kecemasan di lebuhraya tanpa meletakkan isyarat ikut jarak yang ditetapkan dibelakang kenderaan mereka, sekiranya kenderaan mereka mengalami kerosakan supaya pemandu dan penunggang dari arah belakang dapat melihat dan berhati-hati ketika melalui jalan atau lebuhraya tersebut.

Ada  pemandu yang tidak berhemah memberhentikan kenderaan atau keluar kelaluan jalan utama tanpa memandang dan memerhatikan pejalan kaki, penunggang basikal dan motorsikal, terdapat mereka yang terjatuh kerana terpaksa mengelak dari kenderaan tersebut.Terdapat juga dikalangan mereka yang dirempuh dari belakang oleh kereta yang dipandu tanpa berhati-hati dan tidak bertimbang rasa.


Siapakah yang patut disalahkan dalam perkara ini dan bagaimana untuk mengurangkan tragedi ini dari terus berlaku.Oleh itu marilah kita berhati-hati ketika memandu kenderaan, menunggang motorsikal, basikal dan berjalan kaki untuk mengelak dari tragedi kemalangan kerana kemalangan tidak berbau dan boleh berlaku tanpa diduga.Pemandu kenderaan yang lebih besar perlulah mempunyai sikap bertimbang rasa, berhemah dan berhati-hati terhadap kenderaan yang lebih kecil dan diharap semua pengguna jalanraya perlu mematuhi peraturan jalan raya.






Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...