Isnin, 22 Ogos 2011

POKOK MANGGIS DI TANAH PUSAKA

manggis hasnah


Tanah pusaka disekeliling kawasan teratak peninggalan arwah ayah ibu  bertanam dengan pokok buah-buahan terdiri dari beberapa pokok durian, pokok rambutan, manggis, dokong macang dan pokok buah-buahan yang tidak bermusim seperti pokok jambu air, jambu mawar , kelapa, janggus dan betik.

Walaubagaimanapun ada lima batang pokok manggis yang ditanam oleh arwah ayah agak istimewa kepadanya.Pokok manggis ini terdiri dua batang pokok di sebelah hadapan rumah sepokok di sebelah tengah dan dua pokok lagi ditanam dibelakang rumah.Ayah menamakan pokok-pokok tersebut dengan gelaran nama lima orang anaknya bersama ibu.


Pokok manggis yang di tanam di hadapan rumah dinamakan Manggis Hasnah, dan yang berdekatan dengannya dinamakan Manggis Mat, di bahagian sebelah rumah dipanggil Manggis Aie dan dua pokok di belakang rumah dinamakan Manggis Zenah dan Manggis Zeli.Pokok manggis ini memang subur dan merendang.


manggis si mat @ abang


Malangnya pokok manggis Zeli telah tumbang ditimpa pokok keriang berasal dari Negeri Kedah yang ayah tanam sebagai simbol asal usulnya sebagai anak kelahiran Negeri Kedah yang merantau ke Negeri Perak dan berkahwin dengan ibu yang memang berasal dari Bidor, Perak.


Barulah ku tahu mengapa ayah menamakan semua pokok manggis itu dengan gelaran nama anak-anaknya.Apabila musim manggis semua pokok manggis berbuah lebat berbuah dan begitulah sebaliknya.Ada pokok yang buahnya boleh dipetik kerana masak, ada yang masih kirau dan ada juga yang masih hijau.


Apabila ayah atau ibu menalipon anak cucu yang tinggal jauh mereka akan memberitahu yang pokok manggis mengikut nama tertentu telah masak jadi anak cucu tak payah meneka pokok mana yang sudah berbuah, sudah masak atau pun yang lebat berbuah.

manggis aie


Walaupun pokok manggis tersebut diberi nama mengikut nama anak-anak namun semua anak-anak bebas untuk memetik atau mengambil buahnya dari mana-mana pokok yang diingini tanpa sekatan.Pokok manggis ini tumbuh rendang, tidak hairanlah pada musim buah manggis teratak kami selalu di singgahi kanak-kanak dan budak-budak.


Kadangkala ada juga yang datang mengambil sendiri manggis-manggis tersebut tanpa keizinan, tapi biarlah mudah-mudahan buahnya akan bertambah lebat di masa akan datang.Memang benarlah begitu kerana pokok-pokok manggis tersebut boleh dikatakan sentiasa tidak menghampakan berbuah lebat dari setahun ke setahun.


Pada musim tertentu buahnya tidak termakan-makan dan gugur kematu atau dikatakan dalam bahasa Perak 'lahak, lenyo, bonyo' begitu saja.Kedapatan juga orang ingin membelinya barang seraga kecil namun selalunya kami beri percuma terutamanya kepada jiran tetangga, masakan kami mahu berjual beli, elok saja disedekahkan.


manggis zenah @ tak pu


Begitu juga dengan sang tupai yang selalu memakan buah manggis itu tidak pernah kami mengusirnya, bukannya tupai tersebut makan sampai habis sedahan sehari.Ada tikanya aku bercakap juga dengan tupai tersebut agar makan biarlah sebiji-sebiji jangan tobek sana dan tobek sini.


Alhamdulilah mungkin tupai itu faham dengan kata-kata ku kerana tidak banyak buah yang dirosakkannya.Jika tiada musim buah manggis, pokok-pokok manggis itu selalu menjadi tempat pelbagai jenis burung hinggap melepaskan penat dan ada yang bersarang, bertelor dan menetas di situ tanpa diganggu orang.


Burung-burung yang selalu hinggap di situ terdiri dari burung merbah, sebarau, pipit, terkukur, merbuk dan bermacam-macam jenis lagi.Burung yang selalu bersarang di pokok manggis ini adalah burung merbah.Ada juga budak-budak yang cuba mengganggu sarang burung itu selalunya akan disergah oleh arwah ayah, ibu semasa hidupnya, begitu juga dengan  aku dan keluarga.


manggis zeli mati di timpa keriang


Mungkin juga burung-burung ini turut berdoa agar pohon ini akan berbuah lebat dan dapat dinikmati oleh manusia , tupai dan beberapa jenis burung merasai kemanisan manggis yang ayah tanam itu.Disamping itu burung-burung ini dapat menumpang teduh dari panas mentari atau menghilangkan penat setelah terbang sambil membuat sarang untuk bertelor dan membiak di situ.

Di waktu pagi jika berada di kawasan rumah memang asyik mendengar kicauan burung merbah dan murai, amat tenang dan damai rasanya bagai berada di tepi rimba.Semoga burung-burung juga turut bertasbih dan mendoakan kesejahteraan untuk  arwah ayah dan arwah ibu di sana.







Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...