Ahad, 21 Ogos 2011

KUKUR KELAPA


Kukur  kelapa   di rumah  pusaka
dibiar berkarat kehilangan fungsi
sudah     usang     tidak    diguna
hanya tersepuk di bawah almari

Apa  didengar    katanya    kukur
kelapalah    juga    jadi    binasa
zaman    kukur    mula    terkubur
mengikut   era  perubahan  masa

Begitulah ungkapan sebuah pantun tokwan kali ini menggambarkan betapa penggunaan kukur kelapa sudah menjadi bahan sejarah.Kukur telah banyak tersadai di dalam setor simpanan atau dibiarkan sepi diceruk dapur.Jika ada yang mengenang jasanya maka kukur ini dihiasi dengan rekacipta tersendiri dan dijadikan perhiasan dirumah sahaja.



Jika ada anak muda yang teringin menggunakan khidmat kukur untuk mencari pengalaman rasanya mungkin jari tangan akan berdarah terluka kerana sudah tidak tahu menggunakan kukur lagi.Jika pada era lama kukur ini banyak berjasa kepada manusia terutamanya keturunan Melayu yang masakannya banyak menggunakan santan kelapa.Helah daya kukur inilah yang menjadi teraju utama untuk proses menggarut kelapa untuk dijadikan santan.



Pada masa dahulu, kebanyakan rumah di kampung-kampung yang tidak mempunyai letrik.Begitu juga rumah yang ada letrik , orang tidak mahu membeli alat kukur letrik mungkin terfikir penggunaannya hanya terhad pada satu-satu masa.Oleh itu mereka membeli sahaja kelapa garut di pasar.Jika di musim orang kahwin sudah tentu ada acara mengukur kelapa secara tradisional atau menggunakan mesin kukur kelapa letrik yang dipinjam dari mereka yang berkemampuan.



Namun musim berlalu pantas meninggalkan masa silam dimana sekarang ini kita boleh sahaja membeli santan yang tersedia dalam bentuk serbuk dan kotak.Di pasar ada alat pemeras kelapa untuk mendapatkan santan secara terus, dengan ini memudahkan orang ramai untuk mendapatkan santan secara terus dengan membayar mengikut harga keperluan santan yang hendak digunakan.



Maka kini kukur letrik yang lama turut tersadai di ceruk dapur dan hanya digunakan sesekali sahaja, bakal nasibnya akan menjadi alat kukur kelapa tradisional yang tidak digunakan orang lagi.Kemungkinan juga pada satu masa nanti akan menjadi barang hiasan, dipinggirkan sahaja atau dijual ke pusat belian barangan lusuh.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...