Jumaat, 23 September 2011

KISAH MUSANG PELIHARAAN AYAH


Aku masih teringat semasa ayah masih hidup dan masih gagah mengerjakan kebun kami yang sekangkang kera tiba-tiba pada satu hari ayah terdengar bunyi tangisan 2 ekor anak musang yang ditinggalkan ibu, mungkin ibu musang itu telah melarikan diri setelah kebun ayah sudah bersih.Setelah berapa lama menunggu di kebun, ibu musang tersebut tidak juga muncul lalu ayah mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah kerana kasihan.

Ayah selalu memberi kedua ekor anak musang itu dengan susu tepung yang dibelinya.Setelah beberapa hari di bawah penjagaan ayah anak-anak musang itu lebih sihat dan sudah mula pandai bermain.Anak musang juga amat manja dengan ayah.Agak malang pada satu pagi ketika hendak memberi anak musang itu susu ayah dapati salah seekor darinya telah mati, maka tinggallah se ekor sahaja yang menumpang manja dengan ayah.

Sudah tabiat haiwan suka bermain maka anak kucing yang sebayalah yang menjadi teman sepermainan.Setelah beberapa bulan anak musang itu membesar tetapi tubuhnya lebih besar dari anak kucing yang sebaya dengannya itu, persahabatan antara musang dan kucing itu terputus kerana cara gurauannya agak kasar lebih ganas dan mencederakan kucing dengan kuku dan giginya yang tajam.Kucing itu akan lari atau takut mendekatinya.

Ayah terpaksa membeli buah-buahan setiap hari untuk memberi musang itu makan dan sesekali ayah memberi musang itu makan seketul daging ayam yang dibelinya di pasar.Di waktu petang ayah selalu menjala ikan untuk makanan musang dan kucing-kucing kesayangannya itu.Ayah terpaksa menempatkan musang itu di dalam sebuah kurungan yang dibuat oleh ayah untuk mengasingkan musang itu dengan dunia luar.

Musang ini kelihatan baik jika bersama ayah tetapi agak bengis jika aku atau orang lain mendekatinya.Setelah beberapa lama musang itu menjadi dewasa dan agak liar, beberapa kali ia terlepas dari rebannya tetapi pulang semula.Sesekali anak ayam yang mengikut ayah ketika memberinya makan menjadi mangsa si musang itu.Ayah juga beberapa kali luka di jari dan tangan kerana di gigit atau dicakar.

Kini kami sekeluarga mula serba salah samada untuk memelihara musang itu dalam kurungannya atau dilepaskan sahaja.Kami terpaksa mengambil keputusan untuk memeliharanya dalam kurungan dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Perhilitan untuk dilepaskan.Jika kami lepaskan sahaja sudah tentu musang ini akan membaham ayam-ayam ayah dan jiran tetangga.

Pada satu hari semasa ayah hendak memberi makan tiba-tiba ia menerpa pintu kurungan semasa ayah membukanya.Terduduk ayah dilanggar oleh musang itu, lalu melarikan diri di dalam semak di belakang rumah kami.Musang itu terus menghilangkan diri di situ puas ayah mencari tetapi ia pandai bersembunyi.Bagai dijangka ayamlah menjadi mangsanya kerana musang ini tidak menunggu waktu malam untuk mendapatkan ayam-ayam yang berkeliaran di siang hari.

Sudah menjadi satu kerja ayah terpaksa pula membuat pagar di sekeliling reban ayam mengelakkan ayam-ayam itu dari menjadi mangsa musang itu.Ayah terpaksa pula membersihkan semak di belakang rumah untuk mengusir musang itu dari terus mendiami di situ.Pintu kurungan musang sentiasa dibuka dengan  umpan buah, daging ayam dan ikan tetapi musang itu tidak mahu masuk ke dalam kurungannya semula

Setelah hari-hari berlalu musang itu tidak lagi berada di dalam kawasan rumah kami mungkin ia telah menyusup ke hutan dan semak di hujung kampung.Kerap kali juga kami mendengar cerita ayam jiran menjadi mangsa musang kemungkinan juga dari perbuatan musang ayah yang terlepas itu.Beberapa hari kemudian kami mendapat berita bahawa seekor musang yang cuba menangkap seekor ayam telah tumpas di hujung senapang orang kampung.

Sejak dari berita itu tidak kedengaran lagi kisah orang kampung kehilangan ayam.Begitulah pengajarannya pada ayah agar tidak lagi memelihara binatang liar.Mujurlah ayah tidak membawa anak harimau pulang kerumah, yang satu hari bukan sahaja memakan binatang peliharaan dan ternakan tetapi mungkin membaham manusia.
Walaupun boleh dijinakkan tetapi tersilap langkah akan menggigit dan mencederakan tuannya.Sudah menjadi tabiat liar dan ganas mereka tidak boleh dipercayai untuk selamanya dibuat kawan.

SEPERTI MUSANG MENJAGA AYAM

Pepatah Melayu yang berbunyi diberi musang menjaga ayam, memberi tugas kepada seseorang yang sudah tahu kejahatannya dan sudah diketahui akan ayam yang menjadi makanan enak untuknya.Oleh itu berhati-hatilah sebelum melantik seseorang yang jiwanya seperti musang untuk mengawal harta benda, barangan yang berharga serta sesuatu amanah yang berat kepunyaan kita.

Sebelum memberi tugas itu perlulah di nilai dan ditimbang sewajarnya sebelum diserahkan tugasan tersebut kepada seseorang yang benar-benar boleh dipercayai, amanah, bertanggungjawab serta tahu dan memahami kedudukan jawatan dan tugas yang disandang.Sekiranya tersalah pilihan apa yang dibimbangkan bukan sahaja menjaga ayam malah musang akan bertukar wajah menjadi musang berbulu ayam.



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...