Ramai yang tidak tahu membezakan antara emas dan suasa, ramai terkeliru kilauan kaca dan intan.Ramai juga yang tidak pandai menilai yang mana batu dan mana pula permata.Hanya jauhari mengenal manikam.Jika belum pernah melihat janganlah kaldai pula disangkakan kuda.Jika berbeza tafsiran dan pendapat janganlah mengundang bahaya jika ada yang menyangka sang buaya itu seperti sang cicak terus sahaja berani terjun ke sungai.
Oleh itu hindarilah kesombongan diri kerana menyangka sudah pandai akan tetapi hakikatnya belum lagi bijaksana menilai seseorang.Selalunya kita menilai buku hanya pada kulitnya, walaupun kulitnya buruk belum tentu isinya juga tidak bermutu.Jika diri mengaku pandai tetapi tetap juga ada kebodohan dalam sesuatu perkara kerana manusia dilahirkan bukan semuanya berakal sempurna ada kelebihan di sini mungkin ada kekurangan di sana.
Usahlah mendengar kata enggang terus sahaja memakan buah belolok, dengar kata orang terus sahaja terjun dalam lubuk.Berfikirlah sejenak, buatlah penilaian yang teliti serta tafsirkan kata-kata orang itu sebelum kita terjerumus sama di dalam sesuatu perbuatan yang belum tentu memberi kebaikan.Begitulah juga dalam penilaian pada orang janganlah bulat-bulat menyangka keburukan orang lain kerana terdengar hasutan seseorang.
Adakalanya mendengar sahaja guruh di langit, habis air tempayan dicurahkan.Belum tentu hujan turun tanpa tanda-tanda awan mendung hitam atau kelabu di dada langit.Jika mendung sekalipun belum tentu mengundang gerimis atau hujan.Begitu jugalah menduga suara kicauan sang murai di waktu pagi belum pasti hari panas berlanjutan hingga ke petang, adakalanya hujan turun di tengahari.Janganlah berandaian sebelum membuat penilaian.
Kekadang kita terlupa menilai diri kita sedalam-dalamnya, kita menganggapkan kitalah manusia yang dilahirkan sempurna segalanya tetapi itu hanyalah kemegahan sendiri.Kita selalu menyangka orang lain sahaja yang buruk, sedangkan kita lupa orang juga memandang diri kita sebaliknya.Seolah diri sendiri sahaja yang betul orang lain dianggap kurang baik dan bodoh belaka.Jika seketul daging itu sudah buruk maka buruklah semua anggota diri.
Marilah kita bercermin diri samada wajah kita selari berkedudukan sama dengan apa yang terpapar.Terfikirkah kita bahawa cermin itu menerap wajah kita di sisi yang berlainan.Pernahkah kita terfikir muka yang mengadap cermin itu adalah berbeza kedudukannya bertentangan mengadap wajah diri kita itu.Di situlah letaknya betapa pentingnya bijaksana tafsiran mata dalam menilai diri sendiri.Janganlah wajah dicermin mencebik bibir tatkala kita tersenyum.
Oleh itu janganlah salahkan mata kerana tidak melihat sesuatu kebenaran dan rugilah seandainya kita tersalah tafsiran sebelum membuat sesuatu penilaian.Ingatlah kebaikan itu akan lupus kerana hanya satu celaan dan sesuatu kejahatan belum tentu dapat disucikan walaupun telah melakukan seribu kebaikan dan penyesalan.Namun Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan baik dari segi luaran atau dalaman ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan