Selasa, 1 November 2011

SENYUM TAWA DUSTA DUNIA


Al-kisahnya di hujung sudut desa terdapat seekor itik air betina yang terlalu bongkak dan sombong menyangka dirinya sahaja terlalu cantik tiada bandingan dengan itik-itik betina yang lain.Maklumlah bertubuh mantap, berbulu terang, berdada bidang, jalan berlenggang punggung terjungkit sedikit ke atas.

Paruh leper, mata juling air ketika memandang, suara berderai nyaring bagai ketawa yang tiada kesudahan.Dimana jantan merengek di situ ia terketek-ketek menggaru-garu hati gatal tak tentu pasal.Apalagi banyak itik-itik jantan tergoda ingin menemaninya kemana sahaja, berbangga jika berjaya memikat hatinya.

Banyak yang tertewas angkara bermain kayu tiga dalam satu masa.Baginya saat dan tika itu hidupnya sentiasa ceria kerana tidak sukar untuk mencari makanan, semuanya disediakan itik jantan yang gatal dan miang, tanpa menyedari itik-itik jantan itu juga mencari peluang menikmati serakah itik betina yang hebat itu.

Entah siapa terangsang entah siapa pula merangsang.Entah berapa kali ia bertukar hakmilik, namun tidak kekal lama kerana kesombongannya berandaian dirinya sahaja yang cantik dan menjadi pujaan.Jantan-jantan yang tergoda akan hidup merana selepas itu kerana ia sentiasa bermungkir janji setia.

Kecantikannya digunakan semata menggoda itik jantan gagah perkasa.Bila di panggil jantan, mulalah menjeling manja, bertambah bergoyang punggungnya.Siapa yang menggoda siapa, siapa pula yang tergoda.Siapa yang kena dan siapa pula yang terkena.Semakin di pandang makin kuat pula jalan melenggang.

Bunyi semakin bertambah lunak menggoda itik jantan yang terlekat miang.Si jantan sudah tentu tidak lepaskan peluang, jika segalanya sudah sedia terhidang, masakan bodoh untuk tidak menjamu selera.Setelah masing-masing mendapat kepuasan dan kekenyangan, ingat berakhir di situ saja, akan tetapi itik betina itu menjerat kasih pada jantan lain.
 

Tidak puas mencari rezeki mengisi temboloknya dan tembolok anak-anak yang berkeliaran walau dengan cara yang kurang bersopan.Namun hati bergoncangan juga.Mana tidak gelabah, anak-anak yang sudah besar asyik bergelandangan ke sana kemari tanpa arah yang pasti, anak-anak yang masih kecil terbiar, belum tahu mencari makan sendiri.

Dik kerana kesibukan ibu mencari rezeki dan menggoda bapak-bapak itik, terhoyong hayang ke sana kemari memaut cinta sementara demi mengisi keperluan.Khuatir pula anak-anak kecil yang terbiar berenang sendirian di kolam terpencil, mungkin lemas atau di sambar biawak atau ular.Mungkin juga di sambar helang melayang.

Anak betina yang turut mengiring ia berjalan turut merestui cara ibu sedemikian rupa dan tumpang sekaki menggatal sama bagai telah diajar ibu untuk mengganti tempatnya pada suatu masa nanti.Anak-anak jantan berterabur hidup tanpa terurus.Ada yang sampai tak mengenal jalan untuk pulang ke reban.

Meskipun begitu itik betina itu masih mampu tersenyum tanpa ada rasa resah gelisah, mungkin menyembunyikan kerisauan namun kerana menauk umpan mencari makan mana sempat untuk mengambil tahu hal keluarga sendiri.Itik betina yang sumbang laku itu akan meneruskan langkah untuk mendapat simpati dari itik-itik jantan yang miang.

Senyum dan ketawa mengilai hanya pura-pura, tetapi setakat mana mampu bertahan entah lama entahkan tidak, sudah pasti satu masa hidupnya akan kecundang juga setelah usia semakin menerjah senja.Dada bidang dan punggung berisi akan kendur juga akhirnya, ketika itu baru mula sedar.

Terlalu asyik berfoya  tanpa menyedari itu hanya cuma sekejap tanpa bertahan lama.Ketika itulah baru teringat air perlimbahan yang setiap hari dinikmati itu sudah mula membusuk di jiwa tanpa boleh berubah lagi, mungkin sesalan sudah tidak lagi berguna.
Di saat itu jugalah baru teringat kekasih setia yang telah pergi menghilang diri.

Jika ada rezeki dan simpati  mungkin dapat menumpang teduh hidup bersama itik jantan tua yang masih ingin menagih nafsu gila.Apa hendak dikata kerana senyum tawa, kecantikan dan daya kudrat semakin pudar.Kemegahan berlalu di mainan dusta dunia semata.Maka tertewas juga pada kecantikan yang hilang dimamah usia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...