Rabu, 2 November 2011

SANG UNGKA DI KAKI GUNUNG


Al kisahnya di sebuah kaki gunung terdapat seekor ungka betina yang berbadan gemok yang hidup berkeluarga.Namun dalam keluarga itu ungka betina inilah yang menjadi ketua keluarga.

Ungka jantan hanyalah menjadi tukang angguk menerima sahaja arahan darinya.Konon-kononnya mempunyai semangat pahlawan ungka betina sejati gagah berani, akan tetapi hanya setakat kata-kata ngeri terluah tanpa makna dan erti.

Sungguh berlagak si ungka betina ini menganggap diri terlalu istimewa jika dibandingkan dengan ungka-ungka lain dalam kumpulan yang sewaktu dengannya.Ungka betina ini sentiasa bermulut riuh dan celupar.

Walau dimana  tempat bertanggak ditanah atau di dahan-dahan pucuk  kayu, tidak kira masa ada sahaja bunyinya membawa kisah cacian dan maki hamun. berbaur umpat keji dan hinaan di hutan tersebut.

Ungka betina ini hanya sesuai hidup dalam kumpulannya sahaja.Baginya merekalah yang serba baik dan mulia.Jika ada terdengar cerita bias terhadap dirinya atau kumpulannya, apa lagi menggerit gigi dik marah seolah-olah memukul gendang untuk berperang.

Namun kasihan sungguh si ungka ini hanya membuat bising dalam kumpulannya sahaja, namun terpaku di ceruk hutan tanpa berganjak kemana-mana.Amukannya seolah-olah bagai sang belang perkasa begitu rakus membaham mangsa

Kekadang pula menyondol ke sana sini tak tentu arah laksana sang tonyok hutan kelaparan mencari cacing di tanah.Namun sang ungka tetap sang ungka hanya megah berpaut di dahan sahaja, selebihnya hanya berbunyi bersahutan memecah kesunyian rimba.

Keberanian hati setakat pada suara sumbang, usahkan berhadapan dengan sang belang, berhadapan dengan sang musang pun mencuat lari senyap membisu seribu bahasa.Berani pun jika berada di sekeliling kroninya sahaja.

Bila di ketahui rahsia buruk dan kejahatannya pandai pula berlindung di sebalik batang pokok atau pun menyembunyikan diri di dalam rimbunan daun sehelai.Bila berhadapan dengan orang pula sang ungka ini berlagak seperti tenok jalan menunduk kesopanan.

Ada tikanya pula berlagak seperti kongkang atau kera duku diam di dahan bergulung malu tetapi perangai di belakang umpama seladang betina naik minyak biang mabuk jantan.Hakikatnya laksana kura-kura menyembunyi kepala jika di usik.

Entah apa nak jadi sang ungka betina ini, hidup sentiasa membawa cerita, berhasad dengki, serta mengumpat keji.Hidupnya sentiasa mencari musuh yang berbeza pandangan, kemudian kutuk-kutuk menanam duri di hati kawan-kawan.

Kebolehannya yang terserlah hanyalah mengacum golongan lain supaya membenci dan membenih dengki khianat serta melaga-laga sesiapa yang tidak sehaluan dengannya.Sudah menjadi tabiat buruknya begitu tanpa boleh berubah lagi.

Sang ungka ini terlalu gembira jika di puji atau setelah berjaya menabur suara nistanya.Sentiasa berbangga setelah melakukan durjana.Itulah cara hidupnya tanpa menyedari kelakuan begitu amat jijik dan memalukan.

Selagi terdaya si ungka betina jahat ini tidak melepaskan peluang untuk berdendam, bukan setakat dendam menyala, akan tetapi dendam yang membara, boleh sahaja membakar hati sesiapa apabila terhambur suaranya.

Jika hati selalu bernoda dan berangkara, menjadi lambang ego sang ungka betina.Mana tenang dan aman hidup di hutan akibat tingkah laku si ungka betina ini  selalu mengharu birukan  ungka-ungka lain dalam setiap masa dan keadaan yang terluang ....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...