Rabu, 27 Julai 2011

DENDAM SENYAP

Kita sering tertipu dengan dendam dalam diam, terperdaya dengan kata-kata dan pengakuan kerana orang juga pandai dan sengaja mengiyakan cerita, mengaku janji setia, menganggok kepala bersetuju sahaja tetapi ada cerita lain di sebalik dan di sudut hatinya.

Kita sering ditipu oleh mata, kita mudah terlalu percaya pada kata-kata merdu berirama di telinga, bibir bagai bermadu kata tetapi di hati mencaci hina, memaki hamun, walaupun bibir tersungging senyum memikat menyebabkan kita terlena pada dendam dalam senyap.

Kita sering mengandaikan seseorang itu mendengar kata, kita ingat kita sentiasa diingat dan dipuja, kita menduga semua orang dapat kita pujuk rayu, orang patuh mendengar arahan dan bicara namun kita lupa pada keikhlasan dan ketulusan seseorang yang hanya bermain wayang di depan mata.

Kita sering tidak ingat bahawa manusia ada mempunyai mata, telinga, mulut dan rasa.Kita tidak sedar manusia mempunyai hati dan akal fikiran.Semuanya kita leka seronok bercerita tetapi orang menilai diri kita, kebaikan dan keburukan kita.Membuat kita hanya seronok tanpa mengetahui diri dipermainkan sahaja.

Kita sering alpa dengan senda gurau, kita tidak pandai menilai hati sahabat dan kawan, rakan dan taulan, adakalanya mereka berpura-pura kerana sempit akal fikiran, kabur pada penglihatan maka kita tewas dalam penilaian, keikhlasan kita belum tentu orang menerima seadanya.



Isnin, 25 Julai 2011

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN FACEBOOK (fb)


Facebook memang mendapat sambutan di kalangan generasi muda dan tidak ketinggalan kepada generasi berusia kerana menyambut pembaharuan dan kemajuan dalam dunia maya.

Berfacebook boleh merapatkan perhubungan antara sahabat handai, saudara mara dan keluarga yang tinggal jauh kerana mudah berhubung walau dimana mereka berada dengan lebih cepat dan pantas.

Disamping itu boleh menambah kenalan dan bersua kembali sahabat lama yang bertahun-tahun terpisah.Ada juga yang membenih rasa cinta dan setia di ikatan perkahwinan atau percintaan sesama rakan facebook.
 
Dengan berfacebook juga kita dapat bertukar-tukar fikiran, memperolehi kenangan lama, berkongsi suka dan duka.Pelbagai cara kita boleh memperolehi maklumat melalui kenyataan, bualan, video dan gambar-gambar yang dipaparkan oleh kawan dan rakan.

Pertemuan dan perjumpaan boleh dilakukan dengan wujudnya facebook kumpulan yang memudahkan penyampaian sesuatu maklumat dan perbincangan untuk pengetahuan ahli kumpulan.

Namun dalam sesuatu kebaikan itu wujud juga keburukan berfacebook seperti menyalah gunakan facebook untuk mengumpat keji, menghina rakan yang tidak sehaluan, menyumpah seranah serta memburukkan seseorang. 

Tidak kurang juga melahirkan golongan tertentu mengaut laba keuntungan, penipuan atau menggalakkan perkelahian. Berfacebook tanpa ilmu juga boleh membazirkan masa kerana terlalu lama melayari facebook terjebak dalam ketagihan.


Ada yang lalai mengurus rumah tangga, sehinggakan berlaku pertengkaran, perkelahian dikalangan suami isteri, cemburu, hubungan tanpa restu, percintaan tiga segi dan kecurangan.

Apabila berlaku ketegangan dalam rumahtangga yang kucar kacir, bergegar dan retak, mengeruhkan lagi hubungan sehingga  berlaku perceraian.Maka anak-anaklah yang menerima kesannya.

Begitu juga ada yang terpengaruh dengan janji manis dengan rakan yang baharu dikenali sehingga melakukan perkara terlarang.Pelajar tidak bias dari menerima kesan buruk dalam mengulangkaji pelajaran persekolahan kerana asyik berfacebook.
 
Kelekaan berfacebook sehingga lupa mengerjakan atau lewat menjalani kewajipan perintah Tuhan.Melanggar arahan ibubapa dan membelakangi nilai moral serta melanggar tatasusila adat dan resam.

Kakitangan di pejabat juga ada yang mencuri masa bekerja mengambil kesempatan berfacebook yang menyebabkan tugasannya tertangguh.Ada dikalangan mereka lebih mengutamakan berfacebook dari bekerja.
 
Oleh itu dalam mengejar kebaikan Facebook, janganlah kita leka, lalai dan lupa pada keburukannya. Pandai-pandailah kita mengisi masa berfacebook.Baik buruknya terletak pada hati dan kebijaksanaan menilai dan mengurus masa.
  
Kesimpulannya sebaik-baik dan seelok-eloknya facebook digunakan untuk mempereratkan hubungan dan  pelbagai faedah kebaikan untuk diri dan masyarakat serta elakkan penyalahgunaan facebook yang  adakalanya membenih permusuhan dan kemusnahan.

Tepok dada tanya selera !


Jumaat, 22 Julai 2011

TERKUKUR SENJA


Seandainya aku bersayap seperti helang akan ku terbang hingga ke gigi awan agar aku tak bisa sangkut duri di pucuk kayu yang tinggi dan aku akan hinggap dan tersangkut hanya di ranting hati mu.Itu pun kiranya hati mu terbuka untuk sudi menerima.

Namun aku adalah seekor terkukur senja yang hanya mampu terbang rendah.Mana ku mampu terbang tinggi malah melawan angin pun mungkin kepatahan sayap hingga jatuh ketanah kecundang.Rela aku menjadi denak di sangkar mu dari terjerat di jebak orang lain.
 
Begitulah nasibnya seekor terkukur senja sudah tidak mampu terbang laju.Hatinya selalu resah dilanda pilu mengenang nasib diri di dunianya tersendiri di pinggiran sepi di penjuru rimba.Makan dan minum belum tentu mudah untuk di cari kerana sudah tidak berdaya serta bermata kabur mencari rezeki.

Biarlah aku mengelupur lemas terkurung di sangkar buluh , asalkan mataku bebas memandang keayuan dan kelembutan mu.Aku akan bernyanyi dan menghibur hatimu walau suara ku kehilangan merdu bersama petikan jari dan siulan merdu di bibir walau aku tak bebas bertebangan di alam luas terbentang seperti burung-burung lain.

Pun demikian sanggupkah dikau membelaiku sehari-hari tanpa jemu kerana usia ku menewaskan wajah kian bertambah pudar.Alangkah baiknya jika kau jua bertukar menjadi sang terkukur agar kita boleh berpasangan bebas berterbangan bersama sambil mengecapi keindahan alam ini.
 
Harapan ku agar pengorbanan ini tidak kau persiakan dan tidak kau biarkan aku setelah jemu mata mu memandang.Mungkinkah aku kau tinggalkan kekeringan terkujur kaku, terserahlah pada mu.



Selasa, 19 Julai 2011

ERTI SEBENAR KEHEBATAN MANUSIA


Ada yang mentelah diri mereka serba hebat dalam sesuatu perkara hingga memandang orang lain hanyalah kecil dan remeh dari skop pandangan mata mereka sendiri.Entahlah ada yang mengandaikan kehebatan mereka terletak pada wang ringgit dan harta, ada yang menyangka kehebatan diri mereka pada gaya, wajah dan rupa.Ada juga berperasan diri mereka hebat kerana kekuatan, bicara, tenaga dan upaya.

Pada zahirnya kehebatan seseorang itu terletak pada akal fikiran dan tetapan hati.Seandai akal fikiran dan hati itu lemah walau sesegak mana, secantik mana dan sehebat mana diri mereka, tentu tidak membawa sebarang makna. Oleh itu untuk mencari kehebatan diri perlu ada keikhlasan dan bersyukur apa yang dimiliki barulah membawa erti kehebatan yang sebenarnya di sisi Allah SWT dan juga di kacamata manusia amnya.

Kehebatan yang tidak mengenal erti syukur bererti riak dan meninggi diri, sombong dan berlagak hanya megah di pandangan mata sendiri.Kehebatan yang sempurna adalah merendah diri membantu kalangan manusia yang memerlukan pertolongan, tidak tamak haloba serta menyerahkan kehebatan yang dimilikinya semata-mata kerana Allah.

Berapalah tinggi dan hebatnya diri kita jika dibandingkan dengan orang lain yang lebih hebat, berapalah hebat orang yang hebat tetap tidak hebat kerana ada orang lain yang lebih hebat dan manalah hebat orang yang lebih hebat itu kerana ia juga tetap kerdil di sisi Maha Pencipta.

Orang yang hebat adalah orang yang menjaga iman dan bertaqwa kepada Allah dan orang-orang yang bersabar atas nikmat senang dan susah yang dikurniakan Nya.Kehebatan juga adalah mereka yang membelanjakan wang ringgit dan hartanya di jalan Allah swt.

Kehebatan sesorang itu juga adalah kerana kejujuran hatinya, bersih jiwanya dan sentiasa mengaku kelemahan, kesilapan dan kesalahan, berani menyatakan sesuatu kebenaran serta bertaubat atas kesalahan dosa kecil atau besar padanya dan memohon keampunan dari Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Tinggi Darjat Nya. 
 

KECANTIKAN DAN KETAMPANAN

Sekiranya kita seorang wanita janganlah terlalu sombong dengan kecantikan, dan seandainya lelaki ketampanan bukanlah ukuran untuk membanggakan diri.Kecantikan dan ketampanan seseorang itu adalah anugerah dari Allah dan kekurangan paras rupa orang lain adalah anugerah dari Allah jua.

Setiap kejadian ada kelebihan tersendiri.Mungkin kerana kekurangan rupa tetapi berilmu tinggi, senang hati, berbudi pekertinya mulia.Kekadang hidup mereka lebih bahagia dari orang yang cantik, tampan, jelita dan segak itu.Paras rupa sebenarnya bukanlah mutlak untuk kejayaan seseorang.

Bukankah kecantikan dan ketampanan itu sepatutnya disambut dengan rasa syukur bukanlah untuk dibangga-banggakan, begitu juga mereka yang kurang jelita dan kacak juga harus bersyukur kepada Allah, kejadian sebegitu adalah rahsia Allah yang kita tidak tahu.Apa yang dipandang Allah hanyalah ketaqwaan seseorang.

PENGHINAAN DAN KEHEBATAN

Walau hidup ku sederhana tidak sekaya orang kaya, dan tidaklah pula terlalu miskin dari orang yang miskin melarat.Namun diri ini mana terlepas dari pandangan rendah dan penghinaan dari mereka yang hidup dalam kemewahan dan kaya raya.

Meskipun hinaan yang aku terima dari orang yang suka menghina itu tidaklah menjadikan aku terlalu hina di mata sendiri dan dipandangan mata orang lain.Hidup ku yang serba sederhana ini membuat aku lebih tabah mengharungi dunia.

Aku sanggup berikat perut dan sentiasa berbelanja mengikut kemampuan sendiri tanpa berlebihan yang boleh mengakibatkan aku lebih rendah dipandang dan lebih hina lagi jika digelar orang aku hidup berpacukan biar papa asalkan bergaya.

Jauh sekali di sudut hati ini untuk berlagak hebat kerana aku tahu kemampuan dan daya ku, walau kadang kala dan tika ada yang menganggap aku hebat kerana dapat mengharungi dunia ini dengan hidup cara ku tersendiri.

Namun aku tidaklah sehebat yang disangkakan.Manalah hebatnya kerana pujian orang, cuma aku sendiri sahaja yang tahu  kehebatan dan kelemahan diri mengikut keupayaan sendiri merempuh dan menempuh dugaan dan ujian dunia dengan hati terbuka dan tabah.

DAYA DAN KEMAMPUAN

Benarlah apa yang dikatakan orang apabila seseorang yang  umurnya sudah meningkat melepasi 40 tahun ke atas, penyakit mula menyinggah, kudrat mula menurun, rambut sudah memutih dan ingatan selalu lupa.Berbanding di usia sebelum itu tenaga, wajah dan ingatan masih segar dan masih mampu untuk bergerak bebas.Kini usia ku telah pun 53 tahun, apa yang aku hadapi penyakit mula meminang, daya ketahanan badan sudah lemah untuk menahan pelbagai penyakit yang bertandang,Ingatan mula lupa sukar untuk mengingat sesuatu kadang kala ingatan itu hanya bertahan beberapa minit sahaja, kemudian mulalah lupa.

Penyakit yang aku hidapi kini adalah penyakit radang sendi 'gout'.Silap sahaja makan apa lagi tentu penyakit itu mudah menyerang tanpa mengira waktu.Jika dahulu, apa sahaja makanan boleh dan mampu dimakan tetapi kini makanan perlu dibuat pilihan.Begitu juga dengan tenaga, jika dahulu mampu untuk berjalan jauh, berlari anak dan mendaki bukit ketika bekerja kini sudah tidak mungkin lagi, adakalanya terlalu letih hingga memakan masa yang panjang untuk hilang.Kadang kala teringin juga menguji tenaga dan melakukan aktiviti sedikit lasak namun apakan daya kemampuan ku tetap juga tidak berdaya.Begitulah harapkan semangat sahaja yang tinggi namun kudrat tidak kesampaian.

Walaupun ada kalanya aku cuba bawa diri ini untuk beriadah dan bermain namun pergerakan ku tidaklah selincah dahulu lagi namun aku masih lagi mampu setakat kemampuan seorang yang sudah berumur.Namun demikian aku tetap bersyukur kepada Allah kerana penyakit lain atau penyakit kronik masih lagi belum menyerang kemungkinan tugasan ku yang melibatkan kerja sedikit lasak di lapangan membuat kesihatan ku agak stabil.Semoga kesihatan ku serta tenaga ku akan stabil di masa akan datang diharapkan akan bertahan 10 ke 20 tahun lagi sekiranya umur ku masih panjang.Alhamdulilah !, Amin syukur !!!

Aku juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi  di izinkan berkemampuan meneruskan tugas seharian ku jika dibandingkan  dikalangan kawan-kawan sebaya dan lebih rendah umurnya dari ku yang sudah pun menghidap penyakit kronik.Harapan pada mereka yang di timpa musibah penyakit bersabarlah serta berubat dan bertawakal kerana itu adalah ketentuan Nya jua, tiada siapa yang dapat menahan dan menghalang kehendak Allah.Wallahualam !!!


Khamis, 7 Julai 2011

INGATAN DI ZAMAN KANAK-KANAK

di sini aku memulakan persekolah darjah 1 pada tahun 1965
Sekolah Kebangsaan Bidor tetapi bangunan ini sudah tiada
lagi dan Sekolah Kebangsaan Bidor telah berpindah.





Teringat aku pada zaman kanak-kanak ketika itu usia masih di bangku sekolah rendah dalam tahun 1965 hingga 1970.Bangun pagi jam 5.30 pagi terus ke telaga untuk mandi amboi menggeletar tubuh dan gigi, biru bibir kedinginan, apa yang dituju terlebih dahulu ialah dapur kayu yang masih berapi untuk berdiang seketika.

Jika di musim hujan sudah tentu bawa sebaldi air panas untuk dicampurkan dengan sebaldi air telaga cukup untuk mandi pada hari itu.Mana ada air paip, boleh dikatakan majoriti penduduk kampung menggunakan perigi.Air perigi memang sejuk tetapi menyegarkan.Balik dari perigi bawa sebaldi air untuk membasuh kaki atau dimasukkan dalam tempayan untuk air minuman.

Setelah mengambil sarapan pagi dengan minuman teh atau kopi, berkuihkan tepek atau lempeng, jemput pisang atau tepung, ubi rebus atau ubi goreng maka tergesa-gesa pula bersiap-siap memakai pakaian sekolah dalam kesamaran cahaya pelita.Pakaian sekolah yang digosok ibu menggunakan sterika besi menggunakan kayu arang dan adakalanya hanya menggunakan tempurung kelapa yang dibakar.

Zaman itu rumah yang ada letrik hanyalah rumah-rumah orang yang kaya dan rumah mereka terletak di pinggir jalan raya, kawasan yang lebih dalam sudah tentu tiada letrik.Mana ada telivisyen, peti ais dan peralatan letrik seperti sekarang

Sesudah siap memakai pakaian sekolah dan berkemas, bersikat dan muka hanya disapu dengan bedak sejuk, bedak batu benang sila atau bedak cair jenama siam, jika ayah ada sedikit wang lebih merasalah pakai bedak talkum ice snow, aku dan kakak dihantar oleh ayah ke sekolah dengan basikal tuanya.

Selepas menghantar kami, ayah meneruskan perjalanannya berkayuh basikal tuanya itu ke tempat kerja di Syarikat Bidor Malayan Tin sebagai kuli kira-kira 8 km dari Pekan Bidor.Lama kelamaan aku sudah biasa ke sekolah bersendirian bersama kawan-kawan dengan berjalan kaki dari rumah kira-kira 2.5 km jaraknya.

Balik dari sekolah memang panas hingga mengalir minyak rambut yang cair ke dahi.Adakalanya minyak rambut habis terpaksa guna minyak kelapa disapu ke rambut.Peluh jangan dikira memang membasahi baju dan sudah pasti kolar bahagian dalam tengkok memang hitam berdaki dari kotoran peluh bercampur minyak yang cair dari kepala.

Di musim hujan adakalanya lencun pakaian yang dipakai.Buku sekolah hanya dibalut dengan karung plastik agar tidak basah.Akan tetapi terdapat juga buku yang terkena air hujan kerana tidak kemas dibungkus dengan plastik.Bagi mereka yang beringat dan berada anak-anak dibekalkan dengan payung atau baju hujan.

Pada ku itu tidak begitu mencabar selalunya bila hujan itulah peluang terbaik untuk bermandi hujan.Jarang kami yang demam bila basah kuyup ditimpa hujan seperti anak-anak zaman sekarang yang mudah demam setelah lukus terkena hujan atau berada lama di bawah pancaran mentari.

Belanja sekolah yang diberi oleh ibu atau ayah tidaklah banyak hanya sepuluh sen duit yang mengandungi gambar kepala Queen Elizebeth.Lepaslah untuk membeli mi sepiring kecil  atau 2 ketul kuih semasa rehat.Kalau mahu air sirap hanya 5 sen dan beli seketul kuih 5 sen.Jika makan mi atau beli 2 ketul kuih terpaksalah beratur menoggok air paip yang disediakan sekolah.Tidak sekali pun terdengar ada murid yang sakit perut.

Pada tahun 1968-1969 pada masa itu baharulah dapat melihat duit syiling bergambar parlimen berebut-rebut megah jika memperolehi belanja dengan wang tersebut.Pada hari tertentu jika ibu masak mi, bihun atau nasi lemak kami membawa bekal berbungkus daun pisang atau kertas plastik dan minuman seperti teh dalam botol kemudiannya bertukar tupperware.

Maka duduklah kami makan bersama kawan-kawan yang hidup susah di ceruk-ceruk bangunan atau di bawah pokok besar yang terdapat dalam kawasan sekolah.Semangat berkongsi makan tidak perlu diajar atau dipesan oleh sesiapa semangat muafakat yang datang dengan sendirinya.


Balik dari sekolah selepas makan buat sekejap kerja rumah yang diberi oleh guru dan selepas itu sudah tentu bertandang ke rumah kawan-kawan untuk bermain mengikut musim permaianan.Kalau musim layang-layang berpanaslah mendongak ke langit.Di musim bermainan guli berdakilah tangan dan kaki.

Begitu juga di musim permainan gasing, gelung getah, rounders kampung, kundang kundi, galah panjang, police century, dan pelbagai lagi.Baju seluar carik, kotor, comot adalah perkara biasa budak kampungan seperti ku.Apa nak dikisahkan boleh dikatakan semuanya comot tanpa sedar tika bermain.

Pada hari cuti selalunya aku ke rumah opah berjalan kaki 3 kilometer jaraknya dari rumah ayah mengikut ibu pergi menoreh getah lagipun ibu tidak pandai berbasikal dan keluarga kami hanya mempunyai sebuah basikal sahaja yang digunakan ayah.Semasa ibu menoreh aku bermain dengan kawan-kawan ku di Kampung Jalan Paku pula.

Bila ibu siap mengutip barulah aku membantu memulas pengayuh mesin getah keping.Aku bukan sahaja membantu ibu tetapi juga ibu saudara dan juga beberapa orang penoreh lain yang memerlukan khidmatku dengan percuma.Memang tidak mengenal letih dan tidak pernah mengeluh pada gigitan nyamuk di kebun getah.

Bila balik semula ke rumah kepenatan berjalan kaki kadangkala sampai sahaja ke rumah terus tertidur di bahagian dapur kerana lebih sejuk jerana beratap rembia.Jika atap tersebut agak lama tidak diganti maka ternampaklah lolosan cahaya lurus menembusi atap ke bahagian muka, jika hujan alamatlah titisan hujan menembusi atap rumah terus ke muka atau bahagian yang lain.

Sudah tentu ayah akan menggantikannya dengan atap rembia yang baharu.Masa itu seronoklah aku merasa naik kereta lembu yang disewa ayah untuk membawa atap nipah dari pembuat atap rembia di kampung kira-kira 1.6 kilometer dari rumah.Selepas itu tugas ku adalah membantu ayah mengangkat atap untuk dipasang ayah.


Menyentuh tentang permainan selalunya selepas berlangsungnya Pertandingan Piala Thomas apalagi anak-anak kampung juga turut bermain badminton raket tak kira bertali benang tangsi pun jadi.Raket masa itu hanyalah berframe kayu atau separuh besi di bahagian tengah.

Hendak beli raket terpaksa menyimpan duit belanja atau bermain kutu dan pemberian raket yang tidak digunakan atau sudah bengkok dari kawan-kawan yang berpangkat abang.Manalah ada duit untuk membeli yang mahal.Hendak minta pada ayah ibu sudah tentu tak dapat kerana ayah tidak mampu.


Kawasan lapang dan rata habis dibersihkan untuk dibuat gelanggang dan garisannya sudah pasti pokok buluh jadi sasaran.Apa yang pelik memang hebat ketika itu siap ada pertandingan antara kampung.Bulu tangkis dan jaring berkongsi duit belanja yang dikumpul hari-hari dan dibantu oleh abang-abang atau ibubapa yang berkemampuan yang kasihan melihat kami menggunakan tali atau jaring ikan ketika bermain.

Begitu juga jika selepas Pertandingan Pesta Bola Merdeka sudah tentu kami juga turut menjadi pemain bolasepak kampung.Bolanya tidak kira asal bulat dan boleh ditendang kira jadi.Bola plastik, bola getah, bola separuh kulit kira semuanya boleh belaka.Bola kulit pecah atau rosak yang dibuang ditempat buangan sampah tetap dikutip.

Adalah pakar yang kreatif untuk dibaik pulih walaupun kurang sempurna.Apa yang difikirkan keseronokan bermain tetap ada.Kalau dapat bermain bola dalam hujan amboi mak memang seronok sangat bila balik ke rumah siaplah telinga tentu kena pulas, jentik , peha kena cubit silap-silap tali pinggang menyinggah di betis...



dulu kg ini di kenali kg padang dan kg baru jalan sungkai, bidor
di sinilah aku membesar banyak kenangan ku di sini

Sebelah malam pergi ke surau ikut ayah dan mengaji Al Qur'an.Mana boleh ponteng mengaji, ayah sama-sama memerhati aku di surau.Guru Al-Qur'annya aduh garang memegang rotan, matanya selalu terbeliak dan suka marah walaupun bapa-bapa ada bersama di surau.

Rotannya sentiasa di sisi riba entah berapa kali lantai menjadi pukulan rotan itu.Aduh kecut perut dibuatnya.Namun bapa-bapa yang ada di surau turut marah dan menyinggit jika kita tersalah baca.Memang 'sporting' habis bapa-bapa zaman dahulu terhadap guru Al-Our'an itu.Kami sahaja yang kecut perut, ada kawan-kawan yang ponteng mengaji kerana ketakutan.

Selepas balik dari surau baca buku atau menyambung kerja sekolah di bawah sinaran cahaya pelita atau jika lampu gaselin tidak meragam teranglah sikit.Bangun pagi selepas mandi lap cuping telinga dan cuci lubang hidung yang kena jelaga pelita.Kaki bersisik dan berdebu terpaksa dibubuh minyak agar kelihatan licin.

Adakalanya jika ada kenduri arwah atau musim menyambut puasa kami turut diajak untuk hadir bersama.Apalagi siap dengan lenggok kepala bertahlil dan mengaminkan doa.Jika imam yang membawa tahlil dan berdoa yang panjang-panjang siap dalam hati berkata bilalah nak selesai air liur berdegup ditelan melihat makanan yang disediakan.

Begitulah juga jika di majlis perkahwinan tidak mudah untuk dilepaskan.Itulah masa nak merasa makanan yang sedap, nak rasa daging, ayam sudah pasti ayam kampung dan beranika juadah lain yang jarang dapat disediakan ibu.Jika di rumah nak merasa ayam di musim ayam di serang penyakit sahaja.


Dalam bulan puasa hadir ke surau atau masjid sudah menjadi rutin harian.Inilah masa nak makan enak tambahan perut lapar dan dahaga.Belum masuk waktu berbuka dah mengadap pinggan yang disediakan.Kami yang budak-budak duduk setempat agar tidak mengacau orang yang lebih tua.Kalau sehari tak hadir moreh memang kecewa tambahan kalau moreh pada hari itu terkena pada moreh orang kaya dan berada.

Bila sudah hampir hari raya di halaman rumah bergemerlapan cahaya pelita.Apalagi mulalah bermain berlari police century.Gegak riuh gempita bunyi suara budak-budak bermain dan berlari seperti seladang.Usahlah dikira ada yang terseradung dawai, terpijak kaca, duri, paku dan sebagainya.Mana yang luka sedikit pergi ke pelita celup jari ke pelita ambil minyak tanah disapu ke luka.Hebat dan meriah kanak-kanak dan remaja pada masa itu.

Bila masuk sahaja minggu terakhir berpuasa hampir hari raya dikatakan malam 7 likur masa itulah paling meriah.Pelita panjut bagai bintang dilangit menerangi halaman.Tempurung yang tersusun (unggun) dan dikumpul setiap hari ditegak menggunakan kayu seri turut dibakar di tepi-tepi halaman rumah menjulang terang apinya.Bunyi meriam buluh berdentum di bersahutan disana sini bagai bunyi guruh di langit ketika hari nak hujan.

rumah pusaka yang sudah beberapa kali diubah suai
Pada malam hari raya selepas sembahyang Isyak kami turun dari surau menuju ke setiap rumah mengikut rombongan bapa-bapa.Sampai di rumah yang di ziarahi sudah tentu bertakbir dan berdoa kemudian apalagi menjamu selera.Sudah tentu rendang dan lemang menjadi bahan utama yang dimakan.

Pada malam itu juga mana-mana orang yang berada memberi sedikit habuan belanja habis tinggipun 20 sen, jadilah kami tak meminta bukan macam sekarang bila musim raya anak-anak menadah tangan mengutip wang dari rumah ke rumah.Walau pun begitu jarang kutipan yang mencecah seringgit.


Begitulah kehidupan masa tahun 1960an yang aku rasa dan pada tahun 1966 dan 1967 semasa aku dalam darjah 2 dan 3 ada sedikit kelainan rutin hidup kerana pada masa itu aku bersekolah dalam sesi petang.Namun tidak banyak berbeza cara hidup seharian cuma ada sedikit pengolahan waktu main.

Walaubagaimanapun pada hari Sabtu atau Ahad rutin hidup tetap sama termasuklah melastik burung mandi di sungai dan bermain perang-perang begitu juga membantu ayah ibu mencari kayu api memancing ikan dan membantu ibu mesin getah keping.Ada masa juga ibu saudara bawa menonton wayang gambar.

Bukan senang nak menonton wayang pada hari-hari biasa, jika ada nasib bapa saudara beri duit 60 sen untuk menonton wayang gambar.Tiketnya hanya 40 sen terpaksa pulak duduk di bangku bahagian depan 20 sen lagi beli kudapan atau kauci sahaja.Melangaklah ketika menonton tengok kiri kanan terlepas, tengok kanan kiri tertinggal, tengok tengah kiri dan kanan gambar terbias.

Pada masa itu juga ada penduduk kampung yang lebih hampir dengan kawasan yang disediakan letrik tetapi tidaklah banyak hanya dalam 10 buah rumah yang memiliki telivisyen hitam putih ketika itu.Sesekali teringin juga menonton jeling-jeling di tingkap ataupun ada yang jemput masuk menonton bersama, jadilah.

Di rumah hanya ada radio transistor menggunakan bateri.Bila sudah lama radio terpasang ada masanya suara tenggelam timbul kerana kuasa bateri sudah haus.Terpaksalah menjemur bateri kalau-kalau boleh menyambung dengar radio sementara ayah beli bateri yang baharu.

Kanak-kanak sekarang amat beruntung baru 2 hingga 4 tahun sudah mula ada basikal 3 roda kemudian berbasikal beroda dua.Kami pada masa dahulu bila ayah balik dari kerja atau cuti apa lagi godam basikal tua ayah ke sana sini bawa cara mencelah kerana basikal tak sepadan dengan penonggangnya.Kerap juga dimarah dan diherdik ayah kerana basikal rosak menganggunya untuk pergi kerja.

Beginilah kisah ku di zaman kanak-kanak yang masih lagi terngiang-ngiang di ingatan.Cara hidup mula berubah pada tahun 1971 bilamana kami berpecah memasuki alam persekolahan menengah masing-masing ikut haluan dan ada yang berpindah.Sekarang hanya tinggal kenangan.

Kawan-kawan sudah membawa haluan masing-masing yang ada tinggal pun di kampung sudah boleh dibilang dengan jari dan terdapat juga yang telah kembali ke Alam Barzakh.Segala kenangan dan pengalaman sebagai anak golongan miskin yang hidup susah dan serba kekurangan itu tidak pernah mematah semangat kami adik beradik untuk belajar.

Sekarang kami dapat hidup sedikit selesa dan sederhana setelah lama hidup dalam serba serbi kekurangan dan miskin.Kenangan kesusahan itu tidak pernah lupa di ingatan dan masih lagi subur menghijau masih terasa segar di minda.Semangat itulah menjadi pembakar dan penyuluh hidup kami sekeluarga.

Aku percaya anak-anak di zaman moden kini kehilangan erti kesusahan dan kepayahan seperti golongan kami anak-anak kampung pada masa itu baharu sahaja selepas Malaya / Malaysia mencapai kemerdekaan.Namun kami yang mengharungi keperitan itu lebih mempunyai jati diri untuk  berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan orang lain..

catatan:

kini ayah dan ibu sudah tiada lagi semangat dan kegigihan ayah serta ibu  adalah pendorong dan penyuluh hidup kami.Semoga ayah dan ibu dicucuri Rahmat Allah dan berbahagia di sana.




  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...