Selasa, 7 Disember 2010

LUBOK DEGONG, BIDOR, PERAK DR.


Air terjun Lubok Degong
 (LUBUK NO. 1)

Air Terjun Lubok Degong atau dikenali sebagai Bidor Waterfall ataupun Gepai Waterfall terletak dikaki Banjaran Titiwangsa.Jauhnya dari Pekan Bidor kira-kira 8 km dan boleh dimasuki dengan pelbagai kenderaan darat.Pada masa dahulu kawasan Lubok Degong ini dibawah kawalan perintah berkurung kerana kegiatan komunis.Walaupun begitu bagi pengunjung adalah dibenarkan tetapi perlu meninggalkan kawasan tersebut sebelum jam 6.00 petang, pada tahun 1989 Lubok Degong telah dibuka semula, setelah ancaman komunis reda kerana perjanian diantara Kerajaan Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya di Thailand.

Untuk pergi ke Lubok Degong perlu melalui pekan Bidor hala ke lebuhraya tetapi masuk ke kiri hala ke Kampung Jalan Paku, Bidor.Dalam perjalanan tersebut terdapat perkampungan orang Melayu di Kampung Jalan Paku, Taman Putra, Taman Daya, Perkampungan Orang Asli Kampung Chang dan Gepai.Di sepanjang laluan sebelah  kiri kanannya merupakan kawasan pertanian seperti dusun durian, tanaman getah, sawit dan lain-lain.

Pemandangannya memang cantik dan indah kerana Lubok Degong mempunyai air terjun yang cantik dan terdapat kawasan mandian yang dikenali sebagai lubok.Lubok Degong mempunyai 4 buah lubok yang dikenali sebagai lubuk nombor 1 hingga ke lubok nombor 4 dan terdapat 2 buah lubuk lagi dikawasan sebelah atas air terjun yang dikenali dan dipanggil Lubok Kawah dan Lubok Puteri, tetapi untuk sampai kesitu memang berbahaya kerana terpaksa menaiki laluan sempit berbatu melalui bukit dan laluan yang licin.Aku pernah kesitu hanya sekali dalam hidup dan gerunnya sampai kehari ini kerana tidak boleh melupakan saat cemas semasa menyusuri laluan yang sempit yang selebar lebih kurang 6 kaki dilereng bukit berbatu yang tinggi dan licin, ramai yang menemui ajal disini kerana tergelincir jatuh kebawah.

Pada tahun 60an sehingga pertengahan 70an, Lubok Degong selalu dikunjungi oleh pelancong dari kawasan sekitar dan ada yang datang dari negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan lain-lain.Banyak kenderaan yang masuk ketika itu termasuk bas-bas yang membawa pelancung dan murid-murid sekolah.Aku kesana pada tahun 1960an dengan berjalan kaki beramai-ramai, menumpang menaiki motorsikal dan berbasikal.Setelah berlaku kemalangan jiwa yang ramai akibat tergelincir dari laluan batu, dan ada yang tergelincir kedalam luboknya yang dalam.Di Lubok nombor satu pernah ada yang menyukat dengan galah buluh yang panjang itu pun tidak sampai kedasar.Pernah juga berlaku kemalangan lemas yang melibatkan guru dan pelajar atau pelajar dengan pelajar begitu juga dengan orang perseorangan yang cuba menyelamatkan mangsa lemas, akhirnya dia juga turut tenggelam didasar lubok.


Lubok No. 2

Oleh sebab itu Lubok Degong ditutup untuk aktiviti pelancungan kerana kawasan ini terlalu bahaya untuk mereka yang tidak memahami selok belok lubok yang terdapat di sini.Sekarang ini Lubok Degong dikunjungi oleh orang tempatan yang biasa dengan keadaan disini.Bagi mereka yang datang dari luar hanya bermandian dipinggir-pinggir lubok yang agak cetek dan mendatar.Sesekali kesana kita terhibur juga melihat anak Orang Asli yang begitu berani terjun dari atas titi yang merentangi lubok nombor tiga kira-kira segalah tingginya dari permukaan air.


Lubok Nombor 3

Pada cuaca yang mendung atau hujan dijangka turun ramai yang tidak berani untuk berenang atau bermandi manda serta berkelah disini kerana hujan disebelah hulu Lubok Degong akan menghanyutkan limpahan air yang besar dan deras  dan terlalu bahaya untuk aktiviti mandi manda.Terjahan dan limpahan air yang tiba-tiba ini dikenali sebagai kepala air.


Lubok Nombor 4

Aku selalu juga membawa kawan-kawan berkelah atau bermandi manda di sini tetapi dikawasan-kawasan yang agak selamat.Sekiranya mereka menunjukkan keberanian aku tetap melarangnya.Pernah orang luar yang pandai berenang turut tenggelam di Lubok ini ada yang sampai 3 hari baharu timbul mayatnya.Selalunya jika berlaku kemalangan seperti ini pakar selam dari tentera laut, polis marin dan kini bomba dipanggil untuk mengesan mayat yang tenggelam, ada yang tidak dapat dikesan kerana menurut mereka lubok ini terlalu dalam dan dalam keadaan air dilubok berkeadaan gelap serta merbahaya kepada penyelamat, jadi terpaksalah tunggu mayat ini terapung dengan sendiri.

 Pada tahun 1960an dan 1970an ada juga mangsa kemalangan ini yang tenggelam tetapi gagal untuk dibawa naik ke atas oleh anggota penyelamat.Pada masa itu ramai yang pergi melihat operasi menaikkan mayat dari lubok tetapi ada seorang yang agak sudah berumur menawar diri untuk mengambil mangsa yang telah tersepit dicelahan batu lubok, orang itu mengambil masa lebih dari 10 minit menyelam  tanpa memakai peralatan pernafasan hanya pinggangnya sahaja diikat dengan tali sebagai keselamatan dan isyarat kepada orang dibahagian atas mengetahui keselamatannya didalam air dan setelah beliau naik dari menyelam serta menunjukkan isyarat maka pihak penyelamat menarik tali yang berikat mayat terkujur dan telah kembung itu.Hebat sungguh orang tersebut, biarlah namanya aku rahsiakan dan kini beliau telah pun meninggal dunia lebih dari 15 tahun yang lalu.

Air di Lubok Degong sangat bersih dan cantik tidak langsung tercemar, jernih dan airnya sejuk.Hutan dikelilingnya juga masih ada dan tumbuhan rimba menghijau menyejukkan saujana mata memandang.Sekiranya ada yang hendak melawat apalah salahnya tetapi jangan cuba-cuba untuk menguji diri terjun, berenang atau memanjat bukit kerana terlalu berbahaya kepada diri sendiri dan orang lain.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...