Seanadainya kita hidup dalam kemewahan, senang lenang, harta menggunung, wang ringgit bertimbun, gembira, riang ria dan bahagia janganlah pula lupa pada orang yang kurang bernasib baik, tidak berada, fakir, miskin, hidup melarat, hina dina dan sentiasa dirundung duka nestapa, kecewa serta merana.Berilah bantuan yang sewajarnya kepada golongan ini.
Renungi, pandangi, intai-intailah serta rasailah akan kesusahan dan penderitaan yang mereka alami.Janganlah hanya pandang tak pandang, renung tak renung dan lihat bagai tak nampak, kabur di mata.Berilah mereka merasai buah tangan dan huluran simpati walau hanya sekadar senyuman agar mereka terasa sedikit kemanisan dari sumbangan dan perhatian.
Wajar bagi kita untuk membantu golongan daif ini kerana ketidak upayaan dan kemampuan mereka untuk mengatasi kelemahan dan kesedihan yang dialami.Mereka memerlukan seseorang yang sudi mendengar keluhan dan rintihan hati serta mengharap curahan hati mereka masih ada orang yang bersimpati dan sedia memberi galakan semangat, tunjukajar dan nasihat untuk meneruskan hidup.
Berilah sokongan agar mereka dapat berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka ke arah yang lebih baik, sempurna dan selesa.Berilah mereka perhatian dan kasih sayang serta bersedia melepaskan mereka dari kehinaan dan kesusahan agar mengubah kesengsaraan, penderitaan dan kesedihan mereka supaya menemui kebahagian dan menikmati kesenangan.
Ingatlah hidup kita di dunia ibaratkan roda yang sentiasa berputar, tidak semestinya kita sentiasa berada di atas, sementara kita berada di puncak janganlah kita lupa akan nasib insan-insan lemah sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan kelaparan, kehausan yang mereka alami serta mengharapkan mereka agar masih mampu tersenyum walaupun hati tak seceria mana.
Ingatlah ketika kita hidup dalam bahagia jangan lupa pada mereka yang berada dalam kesusahan, kesakitan, kesedihan, derita dan berduka.Oleh itu usahlah terlalu berkira dan kedekut untuk membantu dan menolong golongan ini mengikut kadar kemampuan masing-masing sekurang-kurangnya golongan ini tidak merasa tersisih dari masyarakat yang masih sudi mengambil endah kebajikan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan