Jumaat, 27 April 2012

BICARA MADU


Madu amat manis, berkhasiat dan baik untuk dijadikan penawar dan penyegar badan.Walaupun pada dasarnya manis pekat dan melekit namun istilah madu bagi wanita kekadang terasa amat pahit untuk ditelan dan amat menggusarkan hati para isteri untuk menerimanya.


Kelazatan madu telah dijadikan penambah rasa dalam makanan dan tidak hairanlah ada hasil masakan atau buah-buahan yang diletakkan madu setelah namanya, sebagai contoh jambu madu, kurma madu, ayam madu dan sebagainya.Begitulah hebatnya perkataan madu ini.

Pada kali ini aku ingin bercerita tentang kisah bicaraku dengan seorang wanita berkaitan madu.Pada malam aku ke sebuah pasaraya untuk membeli sebuku roti dan sebotol madu untuk ku buat sarapan pagi sebelum pergi bertugas keesokan hari.Di situ juga terdapat seorang wanita yang agak lebih berusia dari ku.

Aku lihat wanita itu senyum pada ku lalu aku pun menyapanya.Baik sungguh kakak tu sudi berbicara seketika semasa aku membelek-belek botol madu yang bakal ku beli itu.Tiba-tiba aku entah mengapa aku bertanya padanya kakak nak beli madu ke, kata orang madu ini baik untuk kesihatan.

Kakak itu dengan selamba menjawab " oh ini soalan sensitif ! ".Aku sudah dapat meneka jawapan yang akan terkeluar selanjutnya dari wanita itu, "madu adalah manis bagi lelaki tetapi amat pahit bagi kami kaum wanita" sambungnya lagi.

Jawapannya membuat aku tersenyum tanpa bersuara.Rupa-rupanya aku tersalah orang untuk bertanya kerana kakak yang aku ajukan soalan itu rupa-rupanya hidup bermadu.Aduh !!! tidak ku sangka pertanyaan ku membuat kakak itu menjawab sedemikian rupa.

Mesra sungguh kakak tu berbual dengan meneruskan perbualannya dengan soalan asal ku tadi iaitu berkaitan madu."Adik tahu, kakak ni telah disengat oleh sang permaisuri lebah yang terlalu bisa hingga membuat kakak terasa amat sakit sekali meskipun sengatannya telah lama, namun sakitnya sampai ke hati kakak sehingga  ke hari ini.

Lalu aku bertanya pun bertanya lagi pada wanita yang berusia lebih dari ku itu, " Permaisuri lebah yang mana pula kak oi".Kakak itu terus menjawab, " permaisuri sang raja lebah kakak la, kakak ni permaisuri kedua je, maklumlah bila sudah berusia semakin tua nak juga mencari raja lebah kalau dapat menumpang kasih, tapi tak sangka pula dapat raja lebah yang sudah ada permaisurinya".

Aku meneruskan bualan ku lagi dengan kata-kata peransang untuk menyegarkan hati dan perasaannya, " tak apalah kak sudah jodoh kakak dengan  sang raja lebah tu, tahulah dia bersikap adil melayani kedua-dua permaisurinya, tak mungkin dia hendak mempersia-siakan kakak, jika kakak teraniaya, apa salahnya mengadu hal, berbincang serta menuntut kesaksamaan dalam kehidupan bersama".

Lalu kakak itu menjawab , " hemm adil kata kamu, dia jarang balik ke sarang kakak tahu, dia asyik kat sarang permaisuri nombor satu dia tu saja, yang kakak ni dah macam tak nampak di mata dia, maklumlah permaisuri nombor satu tu cantik, lawa,  gebu, permaisuri ni apalah ada kurus kering makan hati tiap-tiap hari ".

Aku terus memujuk hati kakak itu dengan berkata, " alahai kakak bawa-bawalah bersabar ye, manalah tahu satu hari dia berubah sayangkan kakak seperti dia sayangkan permaisurinya yang nombor satu tu".Dengan sepontan kakak itu menjawab, " isyyy biarlah dia, tak balik pun tak apa, buat apa...".

Tambahnya lagi, " permaisuri lebah yang pertama sudah kurang bersengat, permaisuri kedua pun dah tak suka menyengat dan sang raja lebah itu pun sudah kehilangan bisa sengatannya, hehehe !!! ... ok lah dik ye ! kakak nak ke bahagian lain pula ".Kata-kata selamba kakak itu membuat aku senyum tersipu malu.

Setelah seketika berborak terus sahaja kakak itu terus berlalu  meninggalkan aku di situ membuat aku terhibur dengan kata bicaranya.Aku senyum sendiri tanpa sempat bertanya tempat tinggalnya serta tidak pun memohon maaf seandainya perbualan dan pertanyaan ku itu menyinggong hatinya.

Setelah sekian lama di situ dari jauh aku perhatikan kakak itu membawa banyak juga barangan dalam troli ke kaunter bayaran.Setelah beratur seketika sampailah gilirannya membayar harga barang yang diborongnya itu.Setelah itu beliau pun keluar dari pasaraya dan terus hilang dari penglihatan mata ku di bayangi kegelapan malam di luar.

Sepanjang perjalanan pulang ku ke rumah kata hujah berkiasan yang penuh pengertian makna tersurat dan tersirat. Walaupun berbicara hanya dalam masa yang singkat namun aku rasa puas dapat berbual mesra dengan wanita itu walaupun tanpa dirancang sebelumnya.

Itulah satu bicara sepontan yang agak bermakna sebagai pengajaran kisah dan teladan bagi kaum hawa yang hidup bermadu, tetapi bukanlah semuanya begitu ada juga  di kalangan mereka yang bermadu hidup bahagia berkongsi kasih dari seorang lelaki yang bergelar suami.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...