Ahad, 12 Februari 2012

MERPATI


Burung merpati adalah sejenis burung yang nampaknya begitu jinak dan berani berhadapan dengan manusia jika dibandingkan dengan pelbagai jenis burung yang lain.Namun pepatah Melayu ada mengatakan jinak merpati makan di tangan, hendak di tangkap terbang lari.Pepatah lain juga dikaitkan dengan pasangan kekasih yang intim dan bersesuaian hidup bagai merpati dua sejoli.

Begitulah merpati senang di dekati amat payah untuk dipegang jari.Walau beras dan gandum ditabur satu halaman merpati akan turun makan, nampak begitu aman, tenang dan berhati-hati mematuk rezeki, namun amat sukar dijinakkan meskipun sudah lama dipelihara.
Perumpaan ini selalunya dikaitkan dengan wanita yang senang dipujuk tetapi amat sukar memperolehi kasih sayangnya.

Mungkin ada kebenarannya merpati ini sejenis burung yang pandai mengambil hati penjaganya, pun begitu penjaganya hanya gembira melihat gelagat merpati yang suka bebas ke sana ke mari berpasangan dan berkumpulan, maka merpati adalah lambang kebebasan, lambang percintaan pasangan kekasih dan jika di zaman dahulu merpatilah yang menjadi penyampai surat, utusan dan maklumat.

Namun tugasan merpati itu telah diambil alih manusia apabila perkhidmatan pos diujudkan dan tercipta alat telekomunikasi ' talipon' dan kini di era internet semuanya bertambah moden serta pantas dengan terlaksananya maklumat di hujung jari melalui e-mel dan lain-lain program pengkomputeran sejagat.Maka merpati sebagai pengutus surat hanya tinggal sebagai satu cerita lagenda.

Maka merpati kehilangan tugas asalnya hanya kini menjadi hiasan kata dan lambang percintaan dua kekasih dalam nyanyian, drama atau pun paparan filem semata.Manusia pun sudah ramai yang tidak lagi memelihara merpati dan membiarkan burung ini  bergerak bebas sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka, bersarang ikut suka dan  sesekali meminta simpati dan ikhsan manusia untuk mendapatkan makanan.

Oleh kerana kecantikan dan sifat merpati pandai memujuk hati manusia maka merpati tidak begitu sukar memperolehi rezeki makan, masih ada manusia yang bermurah hati menabur makanan beras, gandum atau jagong.Sepandai-pandai merpati meloloskan diri jika untuk ditangkap, sesungguhnya tidak terlawan olehnya dengan pemikiran manusia dengan kepandaian menjerat atau memukatnya sehingga merpati tertewas jua.

Apalah faedahnya jika hanya ingin membuang masa membelai dan mengusap  burung merpati kerana jika silap hari ketika memegang atau menyentuhnya tangan yang menabur makanan itu pula dipatuknya.Sudahlah mendapat sakit dijari kerana dipatuk merpati, hati pun terasa sakit diperlakukan sedemikian dan jika merpati itu terlepas akan pula mengotori diri kerana najis yang ditinggalkan di tapak tangan.

SI MERPATI BURUK

Ada sekumpulan burung merpati yang hidup berkawan-kawan, boleh dikatakan semuanya berwarna putih tetapi ada seekor di antara burung merpati itu yang terdapat campuran putih dan hitam pada bulunya.Disebabkan warnanya tidak keseluruhan putih maka ia agak tersisih di kalangan sahabatnya.

Kawan-kawannya hanya berkongsi cerita dan bergurau senda bersama-sama tetapi merpati buruk itu selalu di ketepikan oleh kawan-kawannya itu.Mereka mengada-adakan cerita dan suka memburuk-burukkan nama si merpati buruk itu meskipun ia tidak pernah menyakiti hati kawan-kawannya  atau sesekali mempertahankan diri dari disakiti hatinya.

Oleh kerana selalu menerima celaan dan hinaan dari kawan-kawannya maka ia pun membawa diri kerana hatinya kecewa terhadap sikap kawan-kawannya yang suka memandang rendah kepadanya.Dalam hatinya biarlah ia pergi jauh asalkan dirinya tidak diganggu dan dihina.Namun apa yang diharapkan tidak menjadi kerana dirinya sentiasa di intai oleh kawan-kawannya yang berhati khianat itu.


Sebelum ini pun ia terpaksa hidup sendiri tanpa pertolongan kawan-kawannya.Baginya ia ingin hidup bermesra dengan kawan-kawan tetapi tidak disangka sama sekali dirinya dibenci dan tidak digemari kawan-kawannya itu.Begitulah diri jika sudah tidak cantik sudah tentu orang malu hendak berkawan, tetapi mengapa pula kawan-kawannya itu suka menyibuk mencari kesalahannya lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...