Sabtu, 27 Julai 2013

MENGUMPAT DAN BERSALAH SANGKA


Kekadang seseorang akan terasa resah, gelisah dan tidak senang hati setelah ada dikalangan kawan-kawannya bercerita, menulis atau mengulas sesuatu status di facebook atau di media baharu, Mereka akan terasa hati bagaikan orang telah mengata dan bercerita sesuatu keburukan mereka.Satu pihak pula terus bersalah sangka, berperasangka, berburuk dan bersangka-sangka orang bercerita tentang hal keburukan dirinya atau diri sepihak lagi.

Sebenarnya kawannya itu bercerita atau menulis sesuatu untuk ingatan diri sendiri dan juga untuk kebaikan sahabat dan kawan-kawannya yang lain namun disalah ertikan dan tanpa memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh kawan-kawannya itu.Mereka terus sahaja melenting dan marah tidak tentu pasal kerana mengikut nafsu, kurang kefahaman dan membuat tafsiran sendiri.

Bagai tergigit cili api, terasa pedas tanpa merujuk lagi, menegakkan benang yang basah terus sahaja menyerang semula.Mereka akan membawa cerita yang bukan-bukan, menghasut dan mencipta pembohongan yang siap ditambah perasa dan perisa yang diadaka-adakan untuk mendapat simpati, pengaruh serta perhatian dari yang lain, Maka bermula episod mengadu domba, dan memburuk-burukkan pihak satu lagi bercerita atau menulis untuk membalas dendam.

Tambahan pula orang mendapat sokongan apabila orang lain turut mendengar umpatannya tanpa usul periksa turut sama mengeji, menghina dan mencaci kononnya mereka juga telah terkena tempias umpatan dan kata-kata pihak yang menulis dan bercerita itu, Meskipun perkara itu sengaja diada-ada serta direka cipta khas untuk menimbul kebencian kepada satu pihak lagi.

Perkara ini semata-mata dilakukan demi untuk kepuasan diri serta melempiaskan dendam kesumat yang membakar hati.Sedangkan kawannya yang sebelah pihak bercerita hal lain atau yang menulis itu sedikit pun tidak mengetahui dirinya dikhianati kerana merasakan dirinya sememangnya tidak melakukan kesalahan mahupun untuk bermusuhan dengan sesiapa pun.Amat malang nasib mereka ini tanpa sengaja membuah gurisan hati orang lain.

Ternyatalah rugi seseorang yang mendapat sahabat, kawan atau teman yang suka bermusuh-musuh serta berbangga untuk mencela orang lain demi kepentingan diri sendiri.Akhirnya menimbul keretakan hubungan dan bermusuhan kerana tersalah sangka. Ditambah pula dengan perbuatan umpat keji yang sentiasa membara di jiwa masing-masing seolah-olah cerita menyampai-nyampai itu menjadi satu pesta mencari pengaruh, perhatian, sokongan untuk menimbul ketegangan dan perbalahan. 

Apalah faedahnya mengumpat keji dan mencela itu hanyalah banyak memberi kerugian kerana kehilangan sahabat, kawan dan rakan.Sedarilah kerja mengumpat, mengeji, menghina dan mencela itu hanyalah sia-sia dan menambahkan lagi dosa yang sedia ada. Semoga sifat yang sedemikian dijauhi, dihindari dari hati dan perasaan supaya hubungan kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan tidak musnah kerananya.


JARUM KARAT



Mengumpat adalah perbuatan yang memburuk, memfitnah dan memperlekehkan orang lain bertujuan untuk melukan hati orang serta menghasut orang lain untuk mengikut kehendaknya menyusahkan dan memusuhi seseorang yang dibenci oleh pengumpat atau kumpulannya.Kalau umpat keji tanpa bersambut memang tidak menarik.

Tujuan mereka adalah untuk merendah-rendahkan dan mengaib diri seseorang, satu-satu kumpulan dan golongan yang tidak menuruti dan menyertai kehendak penghasut atau sesuatu kumpulan pengumpat, seolah-olah mereka terlalu sempurna dan kebal melakukan itu demi  memuaskan hati busuk mereka tanpa memikirkan dosa.

Namun ketika mengumpat keji masakan ingat akan semuanya itu.Tambahan jika mendapat sokongan dari orang lain yang buta tuli untuk mencetuskan permusuhan dan berpihak-pihak.Mengumpat, mengata, mengeji, menghasut dan perkataan lain yang bermaksud sama atau hampir sama itu memanglah menyeronokkan telinga.

Maklumlah lidah dan mulut boleh berkata apa tanpa boleh dikawal.Kekadang orang yang bersifat jijik ini, setelah disiasat sebenarnya mereka adalah insan yang lebih buruk, keji dan hina jika dibandingkan dengan orang yang menjadi bahan umpatan itu.Salah orang memang jelas nampak di mata salah sendiri manakan nampak.

Kata pepatah Melayu lama ' kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.Apabila diri atau kumpulan mereka diumpat orang tahu pula mereka itu melenting, marah membara bak api, muka ' merah bagai udang dibakar', ' mulut laksana murai nyaring dan bising ' mencerca sana sini.Silap-silap mata bak saga merah berpuaka.

Langsung tidak boleh duduk diam kepanasan seperti ' beruk kena belacan ', redah dan garu sini sana.Mereka akan bertambah sakit dan pedih hati, meradang umpama ' kerbau naik minyak ', maklumlah bila terdengar orang bercerita terus bersangka buruk seolah ' tergigit cili api hingga terasa akan pedasnya'.Maka fitnah tak mudah terpadam begitu sahaja. 

Begitulah jika ' jarum sakti mereka sudah kehilangan pedoman ' mencucuk sesiapa sahaja yang di depan mata.Baik yang pandai, yang terpelajar, yang bodoh sombong dan biul semuanya terhasut dan tergoda.Apa lagi bagaikan ' ayam beranak kecil '  pantang di dekati semua hendak diserang dan mematuk belaka.Bagaikan paruh tajam berasah.

Begitu juga ada yang beraksi laksana ' ayam jantan laga yang baru bertaji ' mengibas sayap lalu berkokok megah di tunggul kayu.Episod seterusnya mulalah berdendang lagu sumbang, ketawa mengilai berderai seperti pontianak dan langsiur menganggu ketenteraman orang  seperti yang terpapar di layar perak dan drama-drama telivisyen.

Kemudian ada pula acara kutuk mengutuk orang yang diumpat dan dicerca itu, berbicara bagaikan ' bertih goreng ' tanpa ada sudahnya, mulut berbuih bagai mata air membuak dari pasir.Ada yang tumpang sekaki menyokong turut berketak laksana ' ayam betina hendak bertelor riuh sekampung'.Pandai pula menyorok bila musang bertandang.

Yang tidak sedapnya cuba menghasut kawan untuk menggunakan cara halus, berbomoh dan sihir memusnahkan orang yang diumpat itu.Terdapat juga ancaman untuk menyerang dan memukul.Senang sangatkah berbuat begitu mudah bagai ' hendak menindas kutu yang jatuh dari kepala', menyangka orang lain senang untuk ditundukkan.

Jika syaitan sudah merasuk hati, nafsu serakah mendomba mata semua fikiran dan perasaan kabur dan hilang, begitulah jadinya, terlalu menampakkan riak jahil di hati.Ingatlah ' lidah lembut tidak bertulang ' serta mudah mengeluarkan kata-kata jijik, cerca dan nista.Kalau berkumpulan mengumpat dosa boleh berkongsi.

Jika kita tidak suka diumpati, jagalah hati dan perasaan orang lain kerana mereka juga tidak suka diri diumpat.Amalan mengumpat ini amat berbahaya jika berterusan boleh menyebabkan perbalahan yang keterlaluan hingga menyebabkan perbalahan dan pergaduhan tiada berkesudahan.Dendam sentiasa menyala bak larva gunung berapi.

Hindarilah bersikap ' kuman di seberang jelas di mata, gajah di di hadapan mata langsung tak nampak '.Hendak di katakan rabun mana pun rasanya akan terbayang badan gajah yang besar meranggah jika terlalu rapat, ini bukannya rabun tetapi sudah buta mata dan buta hati.Mungkin terlalu nampak jelas tetapi buruknya laku sengaja buat-buat tak nampak.

Janganlah kita cuba untuk menarik hidung orang lain untuk menyertai kebodohan sendiri dengan mengumpat keji silap-silap apa yang diumpat keji itu ' memakan diri terkena batang hidung sendiri ' menyebabkan hilang pertimbangan hingga berlaku adegan singkap menyingkap kain.Berterusanlah jarum berkarat mengadun khianat, maka insaflah.

Kesimpulannya ~

MENGUMPAT

Mengumpat adalah perbuatan yang keji kerana memperlekeh, memfitnah, memburuk-buruk dan melukai hati dan perasaan kawan.Mengumpat selalunya menyebabkan kebencian dan kemarahan orang lain setelah kejian atau umpatannya didengari oleh orang yang diumpat itu.Perkara-perkara yang selalu menjadi bahan umpatan adalah seperti kekurangan, keturunan, hal-hal dunia kawan, rakan sahabat dan orang tertentu dan sebagainya.

Tujuan mengumpat ini adakalanya kerana sifat dengki, mementingkan diri dan ada agenda-agenda tertentu untuk menjatuhkan maruah dan mertabat seseorang sehingga menyebabkan orang yang diumpatnya itu merasa aib, merana, bermusuhan dengan orang atau dipulaukan oleh sahabat handai, saudara dan orang ramai.Lebih buruk umpatan itu sengaja diada-adakan untuk melemahkan kedudukan dan mencemar maruah seseorang.


Mengumpat adalah perbuatan dan perlakuan keji yang dilarang serta dimurkai Allah.Pelakunya akan menerima dosa.


HATI TERHASUT MEMBUSUK DI MULUT

Sifat berburuk sangka pada orang lain kekadang boleh mendatangkan berbagai masalah dalam hubungan persahabatan.Untuk mengelakkan gejala ini alangkah baiknya menjauhkan diri kita dari berperasangka buruk terhadap orang lain.Kita perlu mempunyai  perasaan bersangka baik terhadap seseorang, barulah hati kita sentiasa tenang, aman dan tidak rasa tertekan.

Kekadang kita suka mendengar cerita secara langsung atau tidak langsung dan kedapatan yang suka membaca kisah-kisah yang ditulis seseorang, adakalanya kita terasa orang bercerita hal keburukan kita, mulalah timbul salah sangka, sedangkan orang yang bercerita itu  berkisar kisah umum yang tidak ditujukan untuk sesiapa tetapi  membuat seseorang lain yang tidak berkaitan pula tersalah sangka.

Inilah persepsi seseorang yang tidak memahami cerita kadangkala menimbulkan perasaan kurang senang kepada seseorang atau sesuatu golongan.Untuk menghindarkan diri dari berburuk sangka lebih elok sahaja menjauhkan diri dari mendengar ketika seseorang sedang bercerita atau usah membaca kisah yang dipaparkan seseorang di dada akhbar atau artikel-artikel penulisan termasuklah yang terpapar di saluran yang wujud melalui jaringan internet yang terbuka luas ini.

Jika kita tidak suka seseorang elok sahaja kita menutup pintu dan jendela dari dimasuki orang itu.Tiada siapa yang hendak dan akan menganggu, dan kita juga tidak perlu ambil tahu berkaitan soal cerita dan kisah orang lain.Duduk diam di dalam bilik atau rumah sahaja agar kita tidak mendengar suara orang bercerita di luar rumah kita.Kekadang kita marahkan orang yang bercerita sesuatu tetapi masalahnya kita yang menyinggah di rumah orang tersebut.

Umpama cerita orang yang dijangkiti penyakit kurap di anggota badan, akan terasa hati dan marah terhadap seseorang sedang bercerita mengisahkan tentang ubat yang mujarab mengubati kurap di badan orang lain.Disebabkan berburuk sangka dan tersalah anggapan orang yang dijangkiti kurap itu terus sahaja marah, kerana mengandaikan orang yang bercerita itu memburuk atau mengata dirinya berkurap.

Agak malanglah nasib si kurap yang mempamir wajah sebenarnya walhal orang lain termasuk orang yang bercerita itu tidak tahu menahu  orang itu berkurap setelah ia sendiri membuka pekong di dada.Begitulah sekiranya kita tidak tahu makna dan tidak mengkaji sesuatu cerita terus sahaja melatah.Tanpa usul periksa terus sahaja mencelah, selepas itu marah-marah orang lain kerana dia sendiri yang tersalah langkah.

Ada orang yang suka sibuk menyentuh kisah orang lain, siang malam pagi petang, sentiasa tidak senang hati mengumpat keji, fitnah, mereka cipta kisah dusta dan bermacam-macam kisah buruk yang diada-adakan untuk melemak manis telinga orang mendengar dan mata orang melihat seboleh-bolehnya biar orang itu mendapat malu walaupun orang yang di fitnah itu tidak tahu akan cerita sebenar yang tersebar itu.

Namun apabila seseorang menyentuh perihalnya tahu pula ia melenting seolah-olah dirinya begitu kebal untuk diperkatakan orang lain.Hanya dia sahaja yang mempunyai perasaan, ada kehormatan, tanpa memikir orang lain juga mempunyai perasaan dan kehormatan diri.Adakalanya begitu lancang berkata sumbang menghilangkan kelembutan wajah dan peradaban.Mulalah dia berburuk sangka pada orang yang bercerita yang bukan menujukan cerita itu khusus untuk si anu sianu atau si polan si polan.

Akan tetapi dik kerana hendak menutup kesilapan, berhati angkuh, dan ingin menegak benang yang basah maka laksana pendekar memulakan langkah mengatur agenda mengacum sana sini, cucuk sini sana, menabur benih bisa tanpa mengenal erti pahala dosa, main redah sahaja, apa yang penting puas, bangga dan megah setelah dapat merobek hati orang lain.Tambahan pula jika kata nista dan cercaan bersambut mendapat sokongan dari  orang lain bermata songsang yang suka memandang rendah pada orang yang bukan dari golongan mereka.

Walaupun mengetahui kesilapan orang itu tetap juga dikatakan benar, inilah yang dikatakan bersaksikan lutut ketika melempar batu menyembunyikan tangan.Mengapa orang lain yang makan putik muda orang lain yang terlekat getahnya.Seolah-olah bila enggang berkata makan buah belolok terus sahaja ditelan sampai mabuk terjun ke lubuk.Sampai ada yang ingin berkonfrantasi seolah-olah ingin membuat sesuatu tindak balas secara kekuatan fizikal.Seakan-akan terlalu gagah hendak meyelinsing lengan menunjuk kekuatan.

Mudah sangatkah orang lain itu untuk ditindas laksana kutu yang jatuh dari kepala.Dimanakah letaknya akal fikiran, dan dimanakah kematangan diri dalam membuat pertimbangan, dimana pula letaknya harga diri.Kita bukanlah budak kecil yang masih berhingus yang bertengkar, adakalanya terus mencetuskan agenda beradu tenaga.Begitulah adatnya dunia sekiranya seseorang ada atau pernah melakukan sesuatu yang kurang baik dan suka membawa mulut busuknya akan setiap masa berburuk sangka terhadap orang lain.

Mereka merasakan diri mereka sentiasa dikata, diumpat keji atau di hina.Inilah yang diumpamakan oleh bidalan pepatah Melayu ' siapa yang makan cili dialah yang terasa akan pedasnya '.Oleh itu usahlah kita menyanyi lagu sumbang di mata orang.Bukan semua orang boleh menerima cara kita lalu mengandaikan orang lain juga bersikap seperti mereka.Bolehkah kita menyuruh orang lain mengikut kehendak kita, bolehkah kita menyuruh orang lain mengikut telunjuk kita.Jawapannya ada tetapi tidak semua.

Bukan semua orang terlalu senang boleh dipengaruhi menyukai dan menyayang kita, mana boleh kita menutup mulut orang untuk bercerita demi memuaskan hati sendiri yang sentiasa mudah dilanda salah sangka dan buruk sangka.Bukalah seluasnya minda, renungilah diri kita di cermin serta kenalilah sikap diri sendiri dan bermuhasabbah.Tidak rugi kita belajar dari padi, makin merunduk makin berisi, jangan di tiru resmi lalang dimana angin di situ bergoyang.

Usahlah menyalahkan orang yang memasak atau menghidang makanan kepada kita jika kita sendiri yang kepedasan tergigit cili.Berilah keadilan dalam soal orang hendak berhujah atau bercerita.Janganlah kita tamak dan syok sendiri sahaja hendak menghentam orang lain.Kita perlulah menerima pula hujah dan cerita orang lain untuk kita pertimbangkan, membuat tafsiran dan penilaian.Janganlah salah meneka kerana tersalah perhitungan dalam satu makna dan tafsiran.

Sesungguhnya berburuk sangka, bersalah sangka, berwasangka buruk, berperasangka adalah mainan sang bayangan api yakni iblis yang dijadikan Allah dari api yang sentiasa mencari peluang membakar api dendam di hati mereka yang bersangka buruk dan berhati busuk melakukan kedurjanaan terhadap orang lain.Iblis Laknatullah itu tidak akan berasa senang selagi  manusia hidup aman dan ia juga tidak akan rasa tenang selagi manusia ini tidak berlaga sesama sendiri.





Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...