Ahad, 21 Ogos 2011

GOTONG ROYONG SEMASA MAJLIS PERKAHWINAN DI KAMPUNG MASA LALU


Pada era tahun lima puluhan, enam puluhan dan awal tujuh puluhan sekiranya ada majlis sambutan menyambut kenduri perkahwinan, masyarakat kampung bergotong royong turut membantu sesebuah keluarga yang akan mengadakan majlis tersebut.Selalunya dalam seminggu atau dua minggu tuan rumah akan memberitahu jiran tetangga dan penduduk kampung untuk membantunya.

Setelah dijanjikan seminggu sebelum majlis berlangsung diadakan hari yang dinamakan hari menggantung.Pada hari itu diadakan majlis kenduri kecil sebagai memulakan kerja-kerja persiapan.Maka turunlah semua ibu-ibu dan anak-anak dara yang turut membantu memasang langsir atau kerja-kerja lain yang diperlukan.

Jiran tetangga tidak henti-henti menyumbang apa yang termampu, ada yang menyumbang berasa, gula, garam dan bahan-bahan masakan seperti nangka, pisang, kelapa, kuih muih dan barangan lain yang termampu.Tidak kurang juga yang menyediakan sirih pinang yang menjadi hidangan rasmi untuk dimakan semasa hari membantu persiapan itu.


Bagi kaum bapa dan anak-anak muda membantu mencari buluh dan kayu api untuk membuat khemah dan bahan untuk memasak.Khemah pada masa itu tidak menggunakan kanopi seperti sekarang.Setelah semuanya siap maka sehari dua sebelum majlis itu berlangsung sekali lagi diadakan gotong royong untuk persiapan terakhir.

Kali ini anak-anak muda akan mengutip meja-meja, tikar dan bangku yang sesuai dari rumah-rumah jiran untuk dijadikan tempat jamuan duduk dan hidangan makanan.Bunga-bungaan akan diambil dari rumah jiran tetangga untuk dibuat hiasan pelamin yang akan dilakukan oleh seseorang yang agak pakar dalam hiasaan ini.

Pada masa dahulu di kampung-kampung mana ada letrik maka setiap rumah akan memberi pinjam lampu gaselin, kukur kelapa atau apa sahaja yang diperlukan.Bila tiba hari memasak pada masa itulah suasana meriah dimana ibubapa dan anak-anak kampung membantu kerja-kerja menyiang, mengukur kelapa, menumbang lembu, kerbau atau kambing serta bergotong royong memasak.Masing-masing diketuai oleh seorang pakar dalam bahagian tersendiri.

Para ibu dan kaum perempuan awal-awal pagi telah bertandang untuk membantu menyiang ayam, bawang, membuat persiapan bahan rempahan dan membuat kerisik.Begitu juga ada yang mengukur kelapa secara beramai-ramai sambil berbual dan bergurau senda.Kerja ini diketuai oleh seorang yang memang pakar dalam bahagiannya di kampung pada masa itu.

Sebelah malamnya akan diadakan acara berzanji, marhaban, main rebana adakalanya sampai ke dini hari.Mana keluarga yang agak berada akan mengambil kumpulan ghazal untuk meraikan para tetamu kerana menumpah keringat pada hari sebelum maljis sambutan berlangsung dan para saudara mara yang datang dari jauh untuk bersama-sama majlis pada keesokannya.Tidak seperti masa kini majlis itu diisi dengan nyanyian karaoke.


Namun kini kenangan hanya tinggal kenangan kerana peredaran masa dan zaman.Suasana begitu tidak mungkin akan berulang.Sekarang orang semuanya sudah mampu untuk menyewa kanopi, mengadakan majlis di dewan atau di hotel.Kerusi meja boleh disewa.Begitu juga dengan masak memasak hanyalah menggunakan perkhidmatan katering sahaja.

Apabila sampai hari majlis berlangsung maka ramailah yang datang berkunjung, usik mengusik, tegur menegur, sapa menyapa sudah menjadi kebiasaan.Apabila pengantin dan rombongannya tiba mereka diarak dengan dengan iringan paluan rebana dan disambut dengan dentuman senapang kampung.Maka bermulalah majlis berbalas pantun, tabur beras kunyit dan menyiram air mawar.Kemudian pengantin disandingkan  dan ditepung tawar.Selepas itu pengantin dan rombongan dijemput untuk menjamu selera.

Selepas acara berlangsung sekali lagi majlis bergotong royong diadakan.Majlis ini akan diserikan dengan sedikit jamuan dinamakan hari pemulangan barang.Barang-barang yang dipinjam akan dikembalikan semula kerumah-rumah jiran tetangga yang meinjam barangan itu.Tuan rumah atau wakil akan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan.

Bagi orang lama saat sambutan secara tradisi lama amat menyeronokkan dan tidak akan dirasai nikmatnya oleh orang-orang muda kini.Amat kurang benar orang yang mengadakan majlis seperti itu dewasa ini.Sambutan majlis perkahwinan ketika itu amat meriah mengikut cara tersendiri dan semangat gotong royong dibandingkan kemeriahan masa kini yang amat ketara berbeza kerana kemodenan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...