Ahad, 21 Ogos 2011

PELITA PANJUT YANG TIDAK BERNYALA LAGI



Semasa aku ke ruang setor yang hampir tersembam di rumah pusaka tiba-tiba hati ku terasa begitu sayu setelah memandang di satu sudut dimana aku terlihat masih ada pelita panjut yang selalu ayah dan ibu pasang bersama cucu-cucunya pada bulan Ramadhan sebelum jelmanya hari raya, namun pelita-pelita itu sudah pun berkarat.Itulah yang menambah kepiluan di hati ini bila mengenang kedua-dua mereka yang sudah tiada serta mengimbau kembali peristiwa lama ketika menjelang hari raya.

Ayah juga pernah membuat panjut buluh semata-mata untuk memeriahkan sambutan hari raya untuk anak-anak, tetapi selepas minyak tanah sukar diperolehi dan sukar untuk mendapat buluh yang sesuai untuk dijadikan panjut, maka hanya pelita sahaja yang digunakan untuk dijadikan panjut dan minyak tanah digantikan dengan minyak diesel.Penggunaan minyak diesel jelaganya amat tebal, maka terpaksalah panjut ini dipasang jauh sedikit dari kawasan halaman supaya jelaganya tidak sampai ke dalam rumah.
 

Selepas ketiadaan ayah panjut ini diwarisi oleh anak saudara perempuan ku yang tinggal bersama ibu.Beliau juga dari kecil dijaga dan dipelihara ayah dan ibu di rumah itu.Setelah kematian ayah dan beliau bekerja maka tradisi memasang panjut di musim sambutan raya di malam bulan Ramadhan telah berakhir.Pada tahun ini merupakan kali pertama sambutan hari raya aidilfitri tidak ada nyalaan panjut yang menerangi halaman rumah ini.

Ketika aku balik ke kampung pada sebelah malam suasana muram di kampung menambah kesayuan hati ku kerana tidak banyak rumah yang dihiasi dengan pelita panjut.Rumah-rumah yang ada pun hanya dihiasi lampu kelam kelip sahaja.Suasana sambutan pun nampaknya begitu hambar sementara menanti kepulangan anak desa di rantauan pulang menjengah kampung setelah lama ditinggalkan.Pada kali ini aku rasa mereka juga akan terasa sunyi dengan perubahan kampung kami dimana banyak rumah yang telah kosong kerana ketiadaan penghuninya lagi.



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...