Isnin, 9 September 2013

MATA AIR DICEMARI SELUT BERLUMPUR



Setiap kali merempuh perjalanan hidup pasti meninggalkan cebisan sejarah untuk dikenang. Selalunya kenangan itu pasti ada pengalamannya. setiap pengalaman itu ada coretan pahit manis, masam kelat dan tawar hambar.Angin yang menerpa bukan selalu menyejukkan kadang kala berbahang peristiwa pahit yang bertandang dalam hidup yang mengundang perbalahan dengan sahabat itu tidak semestinya membawa derita sepanjang masa mungkin ada hikmah di sebalik duka. 

Kalau hati sudah suka yang hitam dikatakan putih sahaja tetapi bila hati membenci yang putih dikatakan hitam belaka.Yang sama-sama ketawa itu bukan semuanya suka dan yang menegur itu tidak semuanya benci,Seboleh-bolehnya berbuat baik kepada orang yang menyukai kita dan cuba untuk berbaik dengan orang yang tidak menyukai kita. Bukan semua yang manis itu madu dan tidak semesti yang pahit itu hempedu '. 

Namun demi persahabatan dalam tegur menegur mugkin akan mengeruhkan suasana, kekadang diri kita dipandang buruk dan terlalu hina pada mata mereka.Biarlah hinaan dan cercaan yang kita terima itu dijadikan semangat jati diri dan memujuk hati.Ramai yang tidak tahu niat dan kesucian hati kita untuk membetul kesilapan atau menyelesaikan masalah dengan jujur sebaliknya diri kita pula yang diumpamakan awan hitam menyelubungi hati sahabatnya.

Begitu juga janganlah bersahabat seperti ombak yang setia kepada pantai tetapi menghakisnya setiap masa.Walaupun bersahabat seperti embun yang menghilang bila terbit matahari namun setianya embun tetap bertandang setiap pagi. Tidak pernah embun menyakiti rumput dan pepohon dalam keadaan mana sekali pun.

Janganlah bersedih hati kerana terpikirkah kita bahawa ' air hujan yang jernih itu turun dari awan yang hitam juga' .Hidup bersahabat tidak semudah bagai disangkakan.Dalam terang mentari bersinar adakalanya bertandang mendung.Kita tidak boleh memaksa orang menyukai kita.Walau bagaimanapun kita jadikan sahabat kita itu adalah yang terbaik dan jauhi diri dari sikap berburuk sangka,dan berdengki khianat. 

Barang kali diingat jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap  sahabat kita atas kelemahannya janganlah seperti sekumpulan ketam di dalam raga yang menekan kawan lain demi keuntungan peribadi meloloskan diri sendiri sahaja.Semasa hati dilukai dan terluka baharulah kita menyedari siapa sahabat, siapa kawan dan siapa lawan." luka di tangan mudah diubati luka di hati sukar sembuhnya. 

Amat sukar untuk mengawal kemarahan jika kesabaran hati selalu diuji dan diduga dengan pelbagai angkara yang menyakiti hati. .Ingatlah sebelum sebarang perpecahan dan perpisahan antara sahabat selagi termampu bersabarlah. Air yang terbit dari mata air akan sentiasa dalam keadaan yang jernih walau mengalir dari alur yang berselut.Ia tidak akan menjadi keruh selagi alur itu tidak dicemar, diusik atau diganggu '

Janganlah kerana tidak suka atau benci seseorang hingga perbuatan baiknya pun dikatakan jahat, keikhlasannya dituduh khianat.Kalau mata sudah kelabu dan hati telah buta manakan nampak, kain yang putih pun disangka hitam.Jika kita yang menanam maka kitalah yang menuai, kenapa mesti orang lain begitulah juga siapa yang menabur angin, dialah yang menuai badai !!!

Senyum dan ucapan manis dari seseorang itu belum pasti menjamin keikhlasan hatinya.' Buah-buahan segar tidak semestinya semua elok belaka tetapi ada diantaranya berulat di dalam '.Pengalaman mendewasakan dan mematangkan fikiran.Meskipun diri ditimpa dengan pelbagai kekalutan bersama sahabat dan rakan namun hati sentiasa tenang dan riang. Tidak sekali aku rasa kecewa, sedih dan berputus asa.

Walaupun awan mendung meliputi langit dan hujan turun dengan lebat sekali namun cahaya matahari masih mampu menyinar.Kenapa hujan turun di hari cerah, tiada tanda mendung, guruh dan petir di langit.Sahabat dan rakan yang membenci dan tidak menyukai diri ini janganlah malu untuk pergi sahaja dari hidup ku.Datang tidak dijemput, pergi pun tidak dihalang, sedikit pun aku tidak rasa terluak atau terkurang.

Seandainya airmata tangisan masih mengalir maka berilah senyuman mudah-mudahan akan menjadi penawar duka di hati.Sahabat dekat menganyam kasih, sahabat jauh menganyam rindu.Sahabat khianat selumbar hati, sahabat sejati penawar jiwa.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...