Ahad, 25 September 2011

SETAKAT BERCERITA


Sengaja aku bercerita kisah umum kerana aku tidak suka mengata orang lain sebab sebenarnya aku bukanlah seorang yang terlalu baik, dahi ku tidak lekuk dan bertanda hitam namun aku tahu apa ertinya dosa pahala, aku masih lagi boleh memahami apa itu halal,  haram, harus dan makruh.Seboleh-bolehnya aku tidak suka menyentuh kisah buruk peribadi seseorang tetapi tersentuh juga dengan tidak sengaja.

Kekadang aku bercerita berkaitan cerita haiwan kerana aku memang suka mengkaji tabiat haiwan, beburung dan aku turut suka berkaitan tanaman di alam ini namun ada yang terasa seolah-olah aku menujukan cerita ini pada seseorang.Terpulanglah pada andaian dan tafsiran masing-masing kerana aku tidak tahu sesiapa yang terkena dan siapa yang terasa serta siapa yang suka dan siapa pula membenci.

Aku setakat bercerita untuk mengasah bakat terendam ku, kekadang idea datang tiba-tiba sebegitu rupa maka akan ku tulis apa yang terhidang di minda ketika itu, cuma orang yang dapat menilai dan mentafsirnya, ada yang memahaminya setelah memanjat dinding, ada yang mengikut kefahaman dengan memanjat tiang, ada juga yang melompat ikut tingkap dan ada yang terus terjun pintu tanpa mengikuti anak-anak tangga.

Mungkin ada yang jatuh melurut, ada yang digaru selumbar, ada yang terseradung bendul, tidak kurang juga yang cedera anggota tubuh termasuklah ada yang terluka hati.Apalah daya ku untuk memberi makna serupa dengan maksud ku yang mungkin tidak selari dengan kehendak orang yang membaca dan mendengar.Aku tidak pernah memaksa orang membaca dan mendengar cerita ku, tetapi,jika dibaca tidaklah menjadi kemarahan pula.

Kemungkin juga cerita itu seakan-akan menghidangkan sambal belacan cili api ada yang terasa pedas orang yang memakannya begitulah sebaliknya ada yang terasa akan sedapnya.Pada hakikatnya aku  seboleh-bolehnya ingin memberi semanis madu tetapi madu pun ada juga yang terasa bagaikan racun atau tuba pada orang lain.Sukar untuk memenuhi kehendak dan  selera semua.Sukar juga untuk menjaga hati dan perasaan.

Biarlah itu kefahaman masing-masing.Kata pepatah Melayu yang mengatakan kalau tak sungguh tak melata, jika tak sungguh orang tak kata, bukan aku yang kata tapi mereka sendiri yang berkata begitu.Maka bagi mereka yang melatah tentulah menunjukkan sikap dengan telatah sendiri yang tak boleh senyap dan buat-buat tidak faham waima sepatah perkataan pun.Apa yang timbul dalam hati mereka cerita aku ini hanyalah untuk menghentam dan mengkritik.Itu kata mereka, bukan aku yang kata.

Semuanya buruk dipandangan mata mereka, hati terbakar dan fikiran terasuk sehingga menyumpah seranah serta mempamirkan kebodohan diri, menyebabkan orang lain dapat menilai keperibadian buruk orang itu.Kedapatan juga yang terus sahaja menabur benih-benih benci, berdendam bagai bara api merencang di bibir bagai ribut memutar pepohon melata.Adakala aku dihina bagai tidak berkulit.Biarlah itu sudah menjadi adat orang berani bersuara, kenalah terima akibat sumpah, seranah dan hinaan.

Ramai juga yang sesejuk air di hulu kerana faham makna dan mentafsir secara sempurna, mungkin senyum-senyum kambing kerana mereka mengerti itu adalah setakat cerita, isihati dan pendapat penulis.Walaubagaimanapun terima kasih kepada mereka yang memberi semangat, sokongan dan galakkan serta menunjukajar dan menyumbang idea.Terdapat juga golongan si Luncai yang merajuk terus sahaja terjun ke lubuk dengan labu-labunya, apa lagi yang mampu aku katakan hanyalah biarkan...biarkan...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...