Aku tersenyum sendirian pada waktu petang tadi setelah melihat telatah ayam-ayam yang masih mendiami reban yang telah lama kosong di teratak pusaka.Mungkin ayam-ayam itu adalah dari baka-baka berbaki dan terselamat dari serangan haiwan seperti biawak dan anjing tidak bertuan.
Di samping itu penyakit hawar yang menyerang satu masa lalu yang mana telah menyerang ayam penduduk kampung sehingga banyak yang menerima ajalnya.Mungkin juga ayam-ayam itu adalah ayam jiran tetangga yang merajuk atau ingin mendapat keselesaan di reban ayam keluarga ku yang telah lama di tinggalkan kosong.
Di dalam reban itu aku terlihat ada tiga ekor ayam betina bertelor di dalam bekas ketika ayam-ayam ku bertelor, mengeram dan menetas pada masa dahulu.Apabila aku merapati reban ayam tersebut ayam-ayam betina itu mula merengus kemarahan kerana bimbang ia akan di ganggu.
Setelah ayam itu memekik lalu aku meninggalkan mereka dan tidak mahu menghampiri tempat itu.Kasihan mereka untuk bertelor dalam keadaan aman.Akan tetapi setelah sedikit jauh di penjuru lain aku terdengar salah seekor ayam itu berketak, sambil disahut oleh kedua ekor ayam tersebut.
Begitulah naluri ayam kerana bertelor hanya sebiji maka riuhlah sekampung.Apalah yang hendak dihairankan sikap dan telatah ayam-ayam itu, namun ada seekor ayam jantan yang berlari-lari menghampiri reban tersebut turut sama menyahut ketakan ayam betina dengan suaranya yang parau dan lantang.
Maklumlah kemungkinan ayam jantan itu terlalu bangga dengan hasilnya kepada ayam-ayam betina itu hingga bertelor.Setelah beberapa lama berketak ayam-ayam tersebut pun berhenti, diam dan sepi mungkin ayam-ayam betina itu telah pun mengeluarkan telor-telor mereka.Ayam jantan pun berlalu mencari-cari sesuatu tempat untuk berehat.
Sampai di sebatang tunggul pohon kelapa yang reput terus sahaja ia bertenggek serta mengibarkan kepaknya beberapa kali bagai bermegah dan angkuh lalu berkokok garau dan lantang.Bagai kata bersambut maka di sana sini, di sudut dan penjuru kampung terdengarlah pula suara ayam-ayam jantan berkokok menyahut bertalu-talu kokokan ayam jantan di atas tunggul kelapa itu.
Itulah resmi ayam bertelor sebiji riuh sekampung.Jangan ditiru lagak sijalak hanya berkokok berdegar-degar tetapi ekor dilumuri najis sendiri.Usah pula kita megah bersabung ayam, nanti ayam tewas kampung pula tergadai, bukankah itu dinamakan membodohkan diri membuat percaturan hanya pada kegagahan sang ayam sabung.
Buat apa bersabung ayam yang hanya membazirkan waktu serta menyiksa haiwan.Apakata orang yang suka bersabung ayam itu pula yang bersabung dan bertarung sesama sendiri, jika terasa sakitnya begitulah yang dialami oleh ayam-ayam sabung itu.Kasihanlah pada ayam yang mana kita mengutip hasil dari darah perjuangannya yang sia-sia ....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan