Ahad, 27 Mei 2012

MENDUNG DI SINAR TERANG




Manalah penawar duka hati yang kian hidup melara, tiada berkawan dan berteman yang sudi memandang lagi kerana mungkin sudah jemu atau timbul benci rasa di hati.Puas ternanti, tertunggu-tunggu setiap hari dan waktu, namun orang yang ditunggu tidak jua mucul, tidak juga menjelma barang seketika dan tidak pernah kunjung tiba.Setelah berlalu sekian lama maka timbullah jemu di hati ini dan hilang mu tidak perlu ku cari, hadir mu tidak pula akan ku nanti.

Adakah diri ini sudah kau lupakan, mungkin juga diri ini sudah terus hilang dari ingatan.Aku sedar bahawa  diri ini sudah tidak kau perlukan lagi setelah dirimu memperolehi kebahagian dan kesenangan, tidak seperti waktu dahulu yang dihimpit kesusahan dan kecelaruan.Tangis mu adalah senjata yang sentiasa melembut hati ini untuk terlalu bersimpati terhadapmu.Akhirnya aku tertewas dan kecundang jua terjerat dengan permainan nakal mu.

Selepas kau memperolehi segala yang kau hajati yang memenuhi kehendak dan keinginanmu sanggup kau biarkan aku terkapai-kapai sendirian.dan setelah derita dan kepayahan mu telah hilang dan berlalu, maka kau sanggup menyingkir dan meminggir diriku.Mengapa sanggup kau lakukan begini terhadap diri ku yang telah banyak berkorban untuk kebahagian mu.Sedikitpun kau tidak rasa bersalah dan menyesal, keras sungguh hatimu.

Bukanlah tujuan ku untuk mengungkit atau membangkitkan kisah-kisah silam mu, namun aku tidak dapat menutupi resah dan gelisah hati ku yang sentiasa bergelodak mengetuk jiwa dan perasaan ku sehari-hari.Tidak sanggup lagi rasanya hidup ku ini beberapa kali kau permainkan dan tidak sanggup lagi aku beberapa kali tertipu  dan hatiku kini sentiasa  berbara kerana sudah rasa begitu tercabar atas perbuatan jijikmu. 

Ingatlah langit tidak selalu terang, adakala ada mendung dan hujan, ada tikanya ribut, taufan, guruh dan petir akan menjelma juga.Apa yang ku harapkan agar diri mu akan terus disinari mentari agar tiada lagi kegelapan yang menyelubungi hidupmu, supaya selepas ini tidak kau mencari aku lagi sekiranya kau berada dalam gelita semula.Biarlah diri ini terus lenyap hilang dari kamus hidupmu.Akan ku jadikan sebahagian babak mimpi ngeri dan malang dalam hidup ku ini.

Walaupun kau telah menghilang dari pandangan mataku, namun sesekali aku tetap juga terkenang, namun kerana perbuatan mu yang tidak mengenal hati budi membuat kekadang aku terlalu benci padamu.Biarlah diri ku kau lupa, biarlah diri ini dihina, dimaki dan dicerca, biarkan sahaja aku  membawa diri dan hati yang hampa menerus kehidupan ku.Pengalaman telah mengajar diri ku agar lebih tabah dan sabar menghadapi sebarang dugaan, cabaran, cubaan dan rintangan.

APALAH DAYA ANDAINYA TAK SUDI

Kekadang kita terkenang rakan, kawan dan sahabat fb, mesra intim, malah sentiasa sahaja ada komen dan bicara, kita pun rasa seperti orang dilamun cinta, tanpa buka fb sehari bagaikan ketagihan candu lagaknya, komen berbalas mesra, bila sudah berterusan agak lama mungkin ada kata-kata menyinggong hati dan perasaan hinggakan mereka padam nama kita sebagai sahabatnya.

Ada yang meninggalkan diri kita begitu sahaja tanpa disedari, tiba-tiba bila kita ingin berhubung nama mereka sudah hilang.Pergi tanpa kata sepatah dua, tanpa pesan, tanpa kita ketahui akan kesalahan, kesilapan dan dosa.Jika sebelum itu bergurau senda, mesra bicara kekadang laksana orang sedang mabuk bercinta memberi komen dalam bahasa berbunga mengalahkan bahasa pujangga.

Kata bicara begitu indah bagai memikat burung terbang hingga terjerat tetapi setelah sekian lama maka mungkin timbul perasaan benci dan jemu, hingga mereka sisihkan diri kita dari senarai kawan fb mereka.Kenapa mereka buat begitu tidaklah diketahui mungkin kata-kata  gurau dan senda disalah ertikan sedangkan maksud yang kita sampaikan adalah sejernih mata air dari pancuran.

Bukannya hendak memikat atau menyalahi hukum hakam agama tetapi sekadar ingin merapatkan tali persahabatan.Janganlah kata indah berbunga itu ada agenda menjerat sesiapa.Walaupun ada yang bersikap demikian tetapi bukanlah semuanya bersifat begitu, jika sudah tidak sudi berkatalah dengan jujur lalu mengundur diri cara terhormat, Bukannya dengan cara lari ikut belakang.

Begitulah nasib di usia meniti senja ini sering kali terkeliru bahasa orang muda, mungkin atas teguran atau sebutan gaya bahasa berbeda menyebabkan mereka tersalah erti dan merajuk terus membawa diri,mungkin juga mereka menyangka kita sudah nyanyok dan merapu dan tidak sesuai bersahabat lagi.,kerana diri kita tidak memberi keuntungan dan faedah, hanya membuang masa mereka sahaja.

Kemungkinan kerana kurang memahami IT ada yang terpedaya dengan paparan spam yang kita tidak tahu datangnya menggunakan nama kita tanpa kita sedari dan ketahui menyelinap ke dalam wall sahabat handai, tanpa dapat membezakan perkara itu adalah spam dari nyata tanpa meminta penjelasan, maka terus sahaja kita dituduh mengkhianati persahabatan sehingga mereka membuang nama kita dari bersahabat dengan mereka.

Pernah juga terjadi ada orang yang kita tidak kenali ingin berkenalan di fb, setelah kita luluskan  kerana kita bersangka baik orang hendak berkenalan, mula-mula memuji dan memberi ulasan komen yang baik, tetapi setelah sekian lama ada yang menghasut kita untuk memutuskan persahabatan dengan si polan si polan atas tuduhan sahabat kita itu terlibat dengan unsur-unsur tidak sihat, melakukan maksiat dan sebagainya.

Apa yang dikesalkan sahabat fb kita itu tidak bertanya terlebih dahulu samada berita ini benar atau sebaliknya, terus sahaja menyingkirkan kita dari fbnya, sepatutnya orang yang suka mengadu domba inilah yang sepatut kita singkirkan dari terus bersahabat.Begitulah halnya kerenah dan keadaannya sahabat-sahabat di fb ini, belum tentu dapat menerima kita sebagai seorang sahabat yang mesra di fb atau pun di alam nyata.

Namun ada kalanya sahabat fb tidak mahu berkawan dengan kita kerana pangkat dan darjat, maklumlah mereka orang yang ada nama, banyak wang dan berharta, mungkin diri kita yang miskin dan kurang berkemampuan ini tidak layak untuk mereka berkawan.Sebelum kita disingkirkan mereka berkenalan dengan sahabat-sahabat kita yang ada nama, yang akhirnya mereka begitu mesra, kita pula disingkirkan dari senarai sahabat fbnya.

Sebenarnya masih ada insan yang benar-benar jujur ingin bersahabat dan ada juga yang mengambil kesempatan dalam persahabatan.Mereka ini akan memilih sahabat kita dari golongan yang dianggap ada nama dalam bidang tertentu atas sebab ada kepentingan lain, maka diri kita dianggap sudah tidak perlu lagi bersahabat dengannya lalu disingkirkan.Kekadang kita yang memperkenalkan dia dengan sahabat-sahabat kita itu sebaliknya dia pula yang mengkhianati diri kita pula.

Adakah orang yang miskin dan hidup dalam serba kekurangan ini tidak layak berkawan dan bersahabat dengan mereka yang hidup senang, kaya, golongan ada nama atau kelompok keturunan tertentu.Adakah ada perbedaan kelas dan taraf kedudukan yang menjadi satu syarat dalam persahabatan.Sedangkan dalam etika persahabatan tidak pernah mengenal erti taraf kedudukan, pangkat, darjat, keturunan, kaya, berharta dan miskin.

Walaubagaimanapun kita perlu bersangka baik mengapa mereka menghindari kita, kemungkinan kerana menghormati kita kerana usia yang tidak sepatutnya dibuat gurauan senda ataupun mereka mahu mengelakkan diri kita yang sudah berusia ini dari dipersenda dan dipermainkan.Maklumlah orang muda mestinya hebat dan tidak sesuai berkawan dengan orang yang berusia meniti senja ini.Begitulah adanya.....


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...