Rabu, 30 Mei 2012

SEBATANG TITIAN MENUJU HASRAT




Jika ada sesuatu hasrat yang memerlukan kehadiran kita, janganlah kita terus sahaja redah tanpa berfikir panjang akan tujuan sebenarnya hajat seseorang terhadap diri kita, pastikan tujuan dan sebabnya.Sesuatu yang berkehendakkan kehadiran kita adakah kerana sesuatu yang ikhlas atau sebaliknya.Apakah persediaan yang telah disediakan atau apakah kemudahan yang bakal kita perolehi.Mungkinkah memberi faedah atau sebaliknya.

Seandainya semata-mata untuk mempergunakan diri kita untuk mengiyakan perbuatan tidak ikhlas dan sesuatu perbuatan tidak baik perlukah kita sertai.Umpamakanlah kita dikehendaki membantu seseorang yang kita sedia maklum yang mempunyai agenda dan muslihat  jahat atau khianat terhadap kita, adakah harus kita turuti walaupun telah disediakan pelbagai habuan tertentu demi memenuhi hasrat jahatnya itu.

Janganlah terpedaya pada perkara yang belum pasti, usahlah terlalu bersetuju dengan sebarang kata yang lunak dan manis menggula-gula akal fikiran sedangkan belum tentu kebaikan yang akan diterima atas kebodohan diri dengan pelbagai pujukan kata-kata yang belum pasti.Nilailah, timbanglah sedalam-dalamnya supaya tidak mudah terpedaya.Jika tidak berfikir panjang, dibimbangi akan memudaratkan diri sendiri.

Selalunya janji manis bermadu dan bergula itu ada niat pahit serta curang disebaliknya.Belum tentu apa yang digula-gulakan itu menjadi manis untuk hari-hari berikutnya.Entahkan bila hari berganti hari, segala janji bergula itu bertukar rasa menjadi masam seperti cuka serta pahit bak hempedu pada hari-hari berikutnya pula.Hati-hati dan berwaspadalah sebelum terjerat dan terjerut pada sebuah janji bergula racun berbisa serta bermadu tuba..

Ingatlah seandainya kita hendak menyeberang sebatang titi yang usang kerana sudah tiada laluan lain, tempuhilah titi itu dengan berhati-hati.Pastikan jika lantai dan gelegarnya tidak reput, tiangnya biarlah tegak, teguh dan kuat, barulah keselamatan diri lebih terjamin.Jika merempuh titian yang sudah berlantai reput, gelegar rapuh, tiang senget tak kukuh, perlukah kita lalui juga.Jangan menyiksa dan menyusahkan diri kerananya.

Jika teruskan melangkah tanpa waspada, dibimbangi kaki terjelus, atau tergelincir terus ke sungai lalu dibawa arus.Seandainya semua titian itu runtuh, bayangkanlah mara bahaya yang bakal dihadapi.Kalau dapat berpaut pada sesuatu mungkin terhindar dari hanyut, jika tiada tempat untuk berpegang, hanyutlah diri, mungkin akan terus tenggelam ke dasar sungai atau di lubuk dalam.Maka berpusaralah jasad tanpa berbatu nisan.

PEDOMAN MENCARI HALUAN

Haluan tanpa pedoman akan tersesat dipenghujung sekali, hidup tanpa panduan amat menyesatkan tanpa mengetahui jalan kembali.Berhati-hati dan berwaspada melalui jalan yang terbentang luas, ikut aturan dan pedoman serta syariat Allah. Insyaallah kita tidak kesesatan jalan walau dimanapun diri kita berada.

Ikuti jalan yang mana difikirkan sesuai untuk kita, jemaah kita dan agama kita, jangan kita ikuti jalan yang bersimpang seribu, biar lurus dan tepat akan tujuannya, jadikanlah syariat yang ditentukan Allah sebagai satu pedoman agar kita tak tersesat lebih jauh, sampai tidak tahu mencari jalan pulang.

Sebelum kita ajak orang mengikuti jejak kita pastikan diri sendiri sudah sedia berilmu tinggi, cukup sempurna dari segala kecelaan, Jadikan Al-Qur'an, Hadith dan Sunnah Rasulullah sebagai sebaik-baik pedoman dan panduan supaya memudahkan kita mengenali selok belok jalan dan laluan kehidupan.

Biarlah diri diri kita tidak sesat dan orang lain yang mengikuti langkah kita itu juga tidak turut sesat mengikuti arah kita.Bukan mudah untuk membawa diri kita dan orang lain mengikuti jalan yang dijamin Allah kerana terlalu banyak dugaan dan ujiannya.Hanya orang yang beriman dan sabar sahaja selalu mencapai kejayaan dan keredhaan Allah.

Biarlah diri kita dipandang serong asalkan jalan yang kita jejaki membawa kebaikan untuk kita. keluarga serta masyarakat.Jika jalan bengkok yang kita ikuti berbelok dan berbelit-belit tapi tetap dikatakan lurus itu adalah menyiksakan diri dan orang lain.Jangan mengatakan kita sudah berjaya dan bersikap takkabur kerana usaha kita belum tentu diterima Allah

Bagi orang yang selemah kita maka elok sangat kita bermuhasabbah, membetulkan segala kesilapan dan kekurangan, mudah-mudahan mendapat petunjuk dari Allah Tuhan sekelian alam.Marilah kita berdoa memohon kepada Allah semoga menjaga dan memelihara diri kita dari kesesatan hidup di dunia yang terlalu banyak nikmat palsu.


Biarlah kita bersikap adil kepada diri sendiri, keluarga serta masyarakat agar roh fatihah sentiasa tersemat dalam hati, biarlah orang memandang kita jelik di mata mereka, asalkan Allah tidak jelik memandang kita.Alhamdulilah, biar ilmu yang sedikit demi sedikit asalkan berterusan lebih baik dari ilmu yang dikutip secara pukal tetapi tidak diamalkan...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...