Ahad, 15 Mei 2011

BANDAR TELUK INTAN, PERAK DARUL RIDZUAN


Teluk Intan Perak adalah pusat bagi Pentadbiran Tanah dan Daerah bagi Hilir Perak.Bandarnya di lingkari oleh 2 batang sungai iaitu Sungai Perak dan Sungai Bidor.Teluk Intan memperolehi namanya dari seorang janda yang cantik dan beliau adalah seorang saudagar kain batik dari Sumatera.



Beliau juga merupakan salah seorang yang telah meneroka pekan kecil ini.Semasa beliau mandi di Sungai Perak cincinnya telah terjatuh di dalam sungai dan lenyap di sebuah lubuk, maka sempena kejadian ini maka pekan kecil ini telah dinamakan Telok Mak Intan.


Pada zaman Inggeris Sir Hugh Low Residen telah menukarkan nama Telok Mak Intan kepada Telok Anson sempena nama Pegawai Daerah Pertama yang dilantik oleh pentadbiran Inggeris iaitu Jeneral Archibald Anson pada tahun 1882.


Pelabuhan Telok Anson semakin berkembang dengan memunggah barangan hasil pertanian getah, kayu balak dan bijih timah dari kawasan sekitar di Daerah Batang Padang iaitu Bidor, Tapah dan Kampar dari Daerah Kinta.Maka terbinalah landasan keretapi dari Tapah Road ke Telok Anson untuk membawa barangan tersebut.





Pada tahun 1938 Telok Intan menjadi Bandar Di Raja Perak untuk Raja Muda Perak.Pada tahun 1950an rangkaian jalan raya telah dibina menyambung pekan-pekan berdekatan dari Daerah Kinta dan Batang Padang.




Pada tahun 1938 Telok Intan menjadi Bandar Di Raja Perak untuk Raja Muda Perak.Pada tahun 1950an rangkaian jalan raya telah dibina menyambung pekan-pekan berdekatan dari Daerah Kinta dan Batang Padang.



Air sungai tidak begitu dalam yang akhirnya pelabuhan Telok Anson ditutup,  gudang-gudang di tepi sungai juga runtuh ke dalam sungai dan pasaran bijih timah telah jatuh menjunam pada tahun 1970an merupakan penyebab pelabuhan ini tidak digunakan lagi. 



Landasan keretapi pula telah ditutup untuk beroperasi kerana kepesatan pengangkutan darat lain.Pada 1.1.1982 Telok Anson telah dikembalikan semula kepada nama asalnya oleh Paduka Seri Sultan Perak Sultan Idris Shah 11 kepada Teluk Intan.



Pada tahun 1950an dan 1960an Telok Intan mempunyai sebuah Pusat Latihan Perguruan yang dikenali sebagai Dairy Training College mengeluarkan tenaga pengajar di sekolah di negeri Perak tetapi akhirnya ditutup.




Kini sebuah Kampus Universiti Teknologi Mara telah dibina dan beroperasi di bandar Teluk Intan ini.Sekolah-sekolah baharu telah dibina seperti Sekolah Menengah Sains Telok Intan, Sekolah Menengah Seri Perak,  dan Sekolah Menengah Vokesyional.



Teluk Intan juga terkenal dengan pengeluaran hasil pertanian nenas di kawasan Selabak, Kelapa sawit dan pengeluaran padi di Mukim Sungai Manik dan Chui Chak.Pertanian merupakan punca pendapatan utama bagi penduduk Teluk Intan selain perniagaan dan kakitangan kerajaan serta swasta. 



Kini pembangunan Teluk Intan amat pesat dengan pembinaan Bandar Baharu Teluk Intan dan pasaraya yang terkernal turut menjadikan kemeriahan  dan kemajuan Teluk Intan setanding dengan bandar-bandar besar di negeri Perak.Teluk Intan merupakan bandar ketiga terbesar di Negeri Perak selepas Bandaraya Ipoh dan Taiping.








Sabtu, 14 Mei 2011

AKU ' DI LITTLE INDIA' KUALA LUMPUR


Pada 13.1.2011 aku mempunyai urusan tugasan di Kuala Lumpur selama dua hari satu malam.Dalam kesempatan yang singkat itu dapat juga aku meninjau kawasan Little India ini yang mana baharu sahaja dikunjungi Perdana Menteri India Mr Mohan Singh diiringi oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.


Walau acara lawatan tersebut telah berlalu namun ketika aku sampai ke situ masih lagi terdapat poster dan banner sempena lawatan tersebut terlekat di merata kedai dan bangunan.Meskipun aku telah beberapa kali ke situ namun naluri hati untuk melihat pembangunan dan kesan dari lawatan Perdana Menteri kedua-dua negara itu hendak juga aku lihat dan hayati bersama walaupun agak terlewat.




Namun pemergian ku kali ini hanyalah dapat ku rakamkan melalui kamera talipon bimbit rakanku sahaja kerana pada hari itu aku tidak membawa kemera ku.Jika ada peluang aku mahu masih mahu ke sana lagi untuk meninjau lebih banyak kawasan Little House yang masih belum dapat aku selusuri kerana kesuntukan masa.




3 HARI 2 MALAM DI IBUKOTA KUALA LUMPUR





Walaupun selalu sangat aku ke Kuala Lumpur kerana saja-saja berjalan, ke rumah saudara mara ataupun demi tugas namun semuanya jarang aku rakamkan dalam potret.Kali ini sempena tugasan ku di Ibu Kota dapat juga aku merakamkan beberapa keping potret untuk ku abadikan di blog ini.



Entah berapa kali aku ke Kuala Lumpur sudah tidak terkira banyaknya, namun pemergian ku kali ini pada 10.5.2011 hingga 13.5.2011 sangat mengembirakan kerana dapat bersama kawan-kawan sambil mengambil kesempatan melapangkan sedikit ketegangan fikiran dan melepaskan sedikit bebanan tugas seharian.




Di Kuala Lumpur sempat juga kami bersiar-siar di tempat-tempat menarik seperti kebiasaan semasa selalu kesana.Sambil berjalan aku suka memerhatikan gelagat manusia dan cara gaya mereka di ibukota.Mungkin juga ada dikalangan mereka turut memerhatikan gelagat kami pula.




Mungkin orang Kuala Lumpur sudah biasa di tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur, tetapi untuk kami yang tinggal jauh di ceruk kampung inilah masanya menghayati keindahan Kuala Lumpur terutamanya di waktu malam.




Walaubagaimanapun Kuala Lumpur adalah milik kita bersama seluruh rakyat Malaysia, apasalahnya kami juga turut memeriahkan Kuala Lumpur untuk sehari dua dan berbangga menjadi rakyat Malaysia.




Isnin, 9 Mei 2011

HARI IBU ! APAKAH ADA HARI ISTIMEWA TERTENTU UNTUK IBU ?



Bagi tokwan tiap-tiap hari adalah hari istimewa untuk ibu-ibu di seluruh dunia.. tiada hari lain dan tertentu yang teristimewa dalam mengasihi dan menyayangi ibu...

Sayangilah ibu selagi hayat mereka masih ada, dan sayangilah ibu sebelum mereka meninggalkan kita.... Derita sakit ibu adalah derita yang turut kita rasa... kita akan benar-benar merasakan betapa perlunya seorang ibu dalam hidup setelah ketiadaannya ....


Berilah kasih sayang sepenuhnya kepada ibu... selaut airmata seorang anak menangisi pemergian ibu tidak sama dengan setitik airmata dan susu ibu yang membesar dan menjadikan kita sebagai seorang manusia ....

Tiap-tiap hari adalah hari istimewa untukmu ibu....siapalah anakanda tanpa mu bonda...


Pada yang sudah tiada ibu hanyalah titipan doa buat mereka 
semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah ....
AL-FATIHAH ....

SELAMAT HARI IBU UNTUK MU HARI INI, ESOK, LUSA, TIAP DETIK, TIAP KETIKA, SETIAP MASA, BILA-BILA DAN SELAMA-LAMANYA.....


MAJLIS PERTUNANGAN MOHD AMIRUL HAFIDZ B. AHMAD



Pada 8.5.2011 maka berlangsunglah ikatan pertunangan anakanda ku Mohd Amirul Hafidz dengan Esyatul Zahra binti Ariffin di Kampong Sunut, Tapah.Rombongan peminangan dari Bidor sampai di rumah ibu Eisya lebih kurang jam 1.00 tengahari.Ahli rombongan yang bertandang adalah sebanyak 13 buah kereta dalam 60 orang.


hantaran pihak lelaki


Setelah jamuan makan maka berlangsunglah upacara meminang dan bertukar hantaran.Pihak lelaki membawa sebanyak 23 buah dulang hantaran, manakala pihak perempuan membalas dengan 23 hantaran juga.Rombongan peminangan dari lelaki di ketuai oleh adik ku Haji Nazeri bin Harun, manakala pihak penerimaan peminangan diketuai oleh bapa saudara Eisya.


balasan dari pihak perempuan


Jika tiada halangan dan aral melintang pernikahan antara kedua mereka akan diadakan pada 11.11.2011 tetapi sekiranya masing-masing sudah bersedia maka tarikh perkahwinan bolehlah dipercepatkan.

acara menyarung cincin oleh ibu lelaki


Acara peminangan tidak mengambil masa yang lama kerana telah ada maufakat sebelum berlangsungnya acara meminang hanya untuk mengulangi kata janji sahaja.Acara bergambar diadakan selepas acara peminangan berlangsung.



turut di sandingkan pasangan yang bertunang


Walaupun ringkas namun majlis berlangsung dengan begitu meriah laksana berlangsungnya majlis perkahwinan.Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis peminangan tersebut terutamanya kepada keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, pihak keluarga sebelah perempuan dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.


.

Sabtu, 7 Mei 2011

KAMPAR PERAK



Bandar Kampar terletak di Lembah Kinta sebuah Daerah yang ke 10 dalam Negeri Perak yang telah di anugerahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 21.5.2009.Kampar sebuah bandar yang terletak di antara Pekan Gopeng di sebelah utara kira-kira 20 km dan 16 km dari Pekan Tapah di sebelah selatan melalui Jalan Persekutuan.



Pada awalnya Kampar memperolehi nama dari pedagang dan pendatang orang-orang dari Kampar Sumatera yang datang berniaga dan berladang, dan akhirnya menetap di sini.Sebagai mengingati tempat asal mereka, maka tempat ini dinamakan Kampar.Oleh kerana Kampar terletak di dalam Daerah Kinta yang kaya dengan bijih timah maka ramailah penduduknya mengusahakan industri ini secara kecil-kecilan seperti mengorek lubang tanah atau melanda bijih di sungai-sungai.



Selepas itu perlombongan secara tradisional diusahakan oleh taukeh-taukeh Cina dan pedagang Inggeris telah membuka perlombongan secara kapal korek telah menggamit pendatang berbangsa Cina dari pekan-pekan di utara Perak  dan Pulau Pinang, begitu juga pendatang dari Negara Cina yang bekerja dalam perusahaan bijih timah.Maka dari sehari ke sehari Kampar telah berkembang pesat sehinggalah pada tahun 1983 perdagangan bijih timah merosot.Walaubagaimanapun kepesatan Kampar dalam bidang ekonomi dijana pula dengan sektor perniagaan dan pertanian.




Kini Bandar Kampar telah membangun dengan pesat dan pelbagai pembangunan dengan terbinanya pula Bandar Baru Kampar di mana terdapat bangunan perniagaan, hotel dan Universiti Tunku Abdul Rahman.Perumahan telah banyak didirikan di bekas-bekas tanah lombong dan pembukaan kawasan tanah baharu.Penduduk Bandar Kampar terdiri dari keturunan Cina, Melayu, India, Orang Asli dan bangsa-bangsa lain.




Kemudahan riadah di Kampar adalah seperti Air Terjun Batu Berangkai, Lata Salu, Tasik Kampar dan lain-lain lagi.Pelbagai arena dan tempat riadah sukan juga telah didirikan.Seperti bandar besar lain Kampar juga tidak terkecuali didirikan Pasaraya Tesco, Hotel,Rumah Rehat dan restoran-restoran yang sentiasa menggamit pengunjung untuk datang ke bandar ini.

Isnin, 2 Mei 2011

MAJLIS PERKAHWINAN SITI KAMARIAH BT MD SAAT 1.5.2011




Siti Kamariah binti Md Saat adalah anak sulung kakak ku Hajah Hasnah binti Harun dan Abang Md Saat bin Kasan merupakan cucu sulung kepada ibuku Sabtiah binti Maarof.Siti Kamariah juga dikenali sebagai Ayong dikalangan keluarga kami.


Ayong amat rapat dengan kami sekeluarga kerana semasa kecil Siti Kamariah dipelihara oleh datuk dan opahnya sehingga berumur 4 tahun. Seorang yang amat manja dan disenangi oleh  semua  ibu dan bapa saudaranya kerana ketika itu hanya kakak Hasnah sahaja yang berkahwin dan  yang lainnya semua masih bujang dan ada yang bersekolah lagi.

Siti Kamariah memasuki  Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam Johor dan Sekolah Menengah Agama Segamat.Seterusnya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Master di Universiti Teknologi Malaysia. Siti Kamariah bertugas sebagai seorang Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Pada 30.4.2011di Taman UPC Ayer Hitam, Johor Siti Kamariah telah diakad nikahkan dengan  Mohd Rizuan bin Abd Hamid dan sahlah Siti Kamariah bergelar dan menjadi seorang isteri.

Majlis persandingan telah diadakan di Dewan Gemilang Taman UPC Ayer Hitam pada 1.5.2011 dihadiri kira-kira 1500 orang jemputan.Sambutan majlis perkahwinan itu amat meriah sekali..

Boleh dikatakan semua ibubapa saudara dari kedua belah pihak dan hampir 97 peratus sepupu sepapat yang hadir meraikan majlis perkahwinannya.Adalah didoakan agar perkahwinan Siti Kamariah dan Mohd Rizuan @ Wan bahagia dan berkekalan sepanjang hayat.



SELAMAT PENGANTIN BAHARU


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...