Isnin, 11 Mac 2013

UCAPAN SELAMAT HARIJADI KE 55 TAHUN 10.3.2013



GENAP USIA KU 55 TAHUN MENITI SENJA ~ 10.3.2013

Pada 10 Mac, 2013 bersamaan hari Ahad, adalah ulang tahun hari kelahiran ku yang ke 55 tahun. Megah dan bebesar hati aku kerana keluarga, sahabat handai, kawan-kawan, teman dan kenalan tak pernah melupakan mengirim ucapan, nasihat, ungkapan dan iringan doa untuk ku.Tidak lupa juga yang membelanja makan dan menganjurkan majlis sambutan untuk meraikan majlis hari ulang tahun kelahiran ku.

Alahai semakin bertambah setahun lagi usia ku meniti senja, Alhamdulilah aku masih lagi dapat menikmati keindahan alam kurniaan Ilahi.Semoga usia ku panjang, murah rezeki, sihat, bahagia dan sentiasa dirahmati dan diberkati serta masih diberi hidayah dari Allah.Terlalu banyak peristiwa manis hidup ini ku rasai selama ini dan tidak kurang juga kenangan pahit yang terpaksa ku lalui dalam perjalanan di sepanjang kehidupan ku menduga dunia.

Hidup di alam semesta suka duka silih berganti bagaikan siang dan malam bersilih ganti.Kehidupan tidak semestinya selalu indah bagaikan langit tidak selalu cerah, ada kalanya cuaca terang tiba-tiba bertandang mendung dan menuruni hujan.Namun setelah hujan reda, cuaca cerah pasti akan menjelma juga.Doa dan harapan agar aku sentiasa tabah dan sabar dalam menempuh sebarang dugaan dan ujian yang menimpa.

Semakin usia menongkah dan meninggi, fikiran semakin bertambah matang, perjalanan hidup menjadi panduan, pengalaman makin bertambah, entah hadirnya melimpah ruah,dan bimbang juga tidak dapat dicurahkan untuk kegunaan diri dan insan lain, malah risau pula tercicir dan tertumpah.Akal berlumba dengan kudrat yang semakin menurun keupayaannya.Pancaindera di badan semakin luntur dan kabur.Dahi mula berkedut, rambut memutih menghilangkan warna hitam.Kulit semakin nipis dan kendur, berbayang urat timbul.

Adakah wajah berseri lagi di waktu pagi, berkerut dahi menahan panas di tengah rembang, tersenyum bibir di tika petang, bermuram durja di kala senja, mengharap mimpi indah menjelang malam.moga ada lagi sinar mentari seandainya mata masih celik dan terbuka untuk melihat keindahan dunia di esok hari bersama sisa-sisa kudrat yang masih ada berbaki serta nadi mampu berdenyut begitu juga dengan nafas boleh lagi menghela udara.




Terima kasih kepada keluarga, sahabat handai, kawan-kawan, rakan, taulan dan kenalan yang setia dan masih sudi menitip ucapan melalui talipon, sms, inbox dan ucapan lisan untuk ku sempena menyambut hari kelahiran ku pada tahun ini.Kasih mu akan ku julang, sayang mu ku tatang dan jasa budi kalian sentiasa akan ku kenang selagi nyawa di kandung badan.Tanpa kalian siapalah diri ini, sesungguhnya kalianlah tempat ku mengadu nasib dan tempat ku mencurah kasih serta  sayang.

Semoga hidup kita semua mendapat taufiq hidayah, rahmat, keberkatan dan keredhaan Allah dalam kehidupan sehari-hari.Semoga kita dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki. Marilah kita bersama melayari kehidupan kita dengan tabah dan sabar agar kita sentiasa ceria, bahagia dan aman sentosa.Marilah kita mengukuhkan lagi tali kekeluargaan, persahabatan dan persaudaraan hingga ke akhir hayat.....


 Erma Maz
Selamat hari lahir tw..moga dipanjangkan umur dlm keberkatan dn kasihsyg Allah swt...

 Hasri Shafee

Selamat Hari Jadi !

 Shamsul Rahman

...hb yop....ol d bes

 Puteh Salji Shafii
dengan ucapan segala yg terbaik untk tw dan selamat dunia akhirat..

 Mohd Fazli Mat Doa

hb tw

 Hai Zam Hai Zam 

Happy Berthday 2 U Tok Wan....... Semoga TW dipanjangkan Usia...diberikan kesihatan yg Baik....
Tabah dlm apa jua Dugaan serta Moga Sentiasa Ceria Selalu...Happy Bday...Semoga Panjang Umur 

murah rezeki dan dipermudahkan segala urusan... Amin

 Zulkefli Amin

happy bestday.

 
Burhanuddin Mohammad 
Taib selamat birthday mat, moga panjang umur dalam kemanisan iman, sehat tubuh badan dalam kesedapan beribadah kpd Allah serta dimurahkan rezeki dalam keseronokan bersedekah ....amin ya rabb bil a'lamin

 Cik Ram

Selamat hari lahir buat abang yang disayangi..semuga Allah memberi kesihatan yang baik buatmu,,dilimpahi akan rezekinya,,dan dipermudahkan akan segala urusan.

 El Lilady Joon

Selamat harijadi tw..smoga sentiasa dn dirahmati selalu..

 Asmah Ramley

guruh berdentum cuaca redup,
sejuk dingin air telaga,
terketar ketar si dara jelita,
kasih sayang sahabat penyeri hidup,
kasih keluarga hingga ke syurga
selamat meniti usia senja.....

 Azizi Idris
Hb..moga kehidupan aghini lebih baik dari semalam...insyaallah

 Hafizah Shaharudin 

Happy Birthday Tok Wan! :D

 Roos Muri Shah
SEJAHTERA CERIA BAHAGIA DI HARI LAHIR

 Faridah Hasan 

Happy birthday. Semoga sihat sokmo dan dirahmatiNya selalu....

 Mohd Nazri Mohd Jamil 

Happy birthday my friend!

 Zuraida Bt Jaafar
slmt ulang tahun.... slmt potong kek!..

 Haslita Hassan

heh..heh..heh..tok wan potong kek.... owh ari nie ari jadi...tahniah... jgn mkn byk2... huluq2 kt org sini.. moga ditabah kan hati dan ditingkatkan iman menjalani kehidupan ini. YA ALLAH ENGKAU LIMPAHKANLAH RAHMAT DAN KEREDHAANMU KEATAS INSAN YANG BERNAMA AHMAD BIN HARUN INI ....amin

 Mohamad Faizul Shahudi

Selamat hari jadi, Mat. Semoga di beri kesihatan yang baik, dilimpahkan rezeki berpanjangan 
dan sentiasa di dalam peliharaan Allah.

 Anantha Murali

Happy Birthday TW

 Zainol Abidin

selamat harijadi TW

 Zainudin Ramli
happy birthday TW jaga kesihatan yek

 Tasuki Kasbi
tahniah tw dengan melangkah ke alam jejaka senja ..


 Suhaila Wahab
Hppy bday tw......smga dpermudahkn urusan n hppy bsama kuarga.....t bli kek bg sy ckit tau.....k.lah apa2 take care..smoga shat walafiat...amin....

 Mustaffa Bin Shahuddin
selamat menyambut tarkh dilahirkan,moga sihat dan ceria selalu murah rezeki dan panjang umur yang diberkati 

 Kamarul Bahrin Abdullah 
di ucapkan "Selamat Hari Lahir" kpd Tokwan semoga sihat sentiasa,panjang umor dan dianugerahkn rezeki yg melimpah ruah...

 Adi Wira Mohd Zin 

happy birthday...

 Mohamad Bin Abdul Hadi 
Slmt meraikan hari ulangtahun kelahiran, smoga sgala yg dihajati akn segera dimiliki.... HB:)

 Mohd Sabri Tajuddin 
Selamat hari lahir Tok Wan, moga sentiasa berada dalam keberkatan dan rahmat nya

 Muhamad Nasiruddin Bin Yahya 
Selamat harilahir Tok Wan semuga sentiada di dalam pelliharaan Allah

 Fazli Ecah 
happy besday tuan

 Ediyla Suhaila Shuhaimi 
Hapy busday....
Semoga murah rezeki...
Pnjg umur......
Sihat selalu....
Ceria dsamping klga tcinta.
Dilindungi, diberkati, 
Dilimpahkn kurnia ALLAH S.W.T ;-)

 Roslan Khairuddin 
Selamat menyambut ulangtahun Hari Kelahiran. Semoga dilanjutkan usia dan dimurahkan rezeki serta diberkati NYA sentiasa.

 Mohd Amirul Hafidz 
Happy bday ayah.. Semoga ayah panjang umur dan murah rezeki

 Tina Syawal 
hepi besdey my Allah bless u

 Sharul Kamal Mustafa 
Happy b/day

 Izal Lazrahi Hashim 
Hepi Besday Tok Wan. Tolonglah belanja sate kajang :D :D :D

  Rosdi Hasan 
happy birthday..

  Azahar Lahat 
Selamat hari lahior Yob

  NurQasehku Olia 
Happy besday..
tak sempat nak bako kek ler..
nak pergi najak ni...
semoga sihat selalu yerk TW... ;)

  Ismail Pk 
Happy birthday tuan, semoga sihat dan bahagia.

  Oja Rozalin 
Happy☺Birthday!

   Zana Oo Zana 
selamat harijadi TW...

  Mariam Husin 
selamat hari ulang tahun kelahiran tw...semoga pnjng umur dn dimurahkn n rezeki....hppy sllu...aamiin

 Mengkudu Masak
selamat menyambut ulang thn kelahiran..moge pnjg umo dmurahkan rezki dn dberkati dunia dn akhirat....aamiin...

  Roziah Ibrahim
selamat hari jadi yang ke-...55..semoga dipanjangkan umur sihat badan murahkan rezeki yang halal dan diperkuat iman..Aminn................

.
 Ally Nexx
Happy Belated Birthday TW!

  Zuraidah Nouxman
Slmt Menyambut Ulangtahun Kelahiran..maaf terlewat wish.semoga senantiasa ceria di samping keluarga tersayang

 Puteri Insyirah Megat Fudzil
happy belated birtday tokwan! sory lambt wish. heee





Selasa, 8 Januari 2013

WARKAH UNTUK MU



Salam sayang, salam rindu untuk mu buah hati ku.Hanyalah kau seorang yang selalu dirindu terbayang di ruangan mata dan sentiasa mengisi kekosongan hati.Rindu ku seluas lautan, kasih segunung intan, sayang setinggi awan, selagi ada hembusan bayu yang membelai pepohonan kayu selagi itulah diri ini memendam impian dan harapan untuk hidup bersama mu.Setia ku menanti dan sabar ku menunggu hadirnya saat untuk kita bersama hidup berdua.

Tidak mungkin terpadam rindu ini pada mu kerana sayang adalah amat teristimewa dalam hidup ku.Jika kau adalah sekuntum bunga biarlah selalu mekar berkembang di taman hati.Seandainya kau adalah sungai maka airnya selalu mengalir bersama darah di setiap saluran darah ku.Senyum dan tawa mu umpama suria yang ceria memancar sinarnya di waktu pagi.Namun janganlah kasih mu bertandang seperti embun pagi yang hanya bertandang seketika dan akan lenyap apabila dibawa bayu dan dipancaran cahaya mentari.

Aduhai sayang jika gerimis bertandang akan ku nanti ia berhenti agar dapat ku kejar bayangan pelangi untuk ku lipatkan sebagai hadiah untuk mu tersayang sebagai selimut menghilangkan dingin tubuh mu dan sebahagiannya untuk kau jadikan pakaian dan selendang menutupi setiap inci jasad dan rambutmu.Agar dapat ku lihat betapa berseri dan ayu jelita wajah mu nanti seindah jalur gemalur pelangi.Oh awan mendung yang melitupi langit janganlah kau titiskan lagi hujan kerana akan menambah gelisah dan kesedihan ku.

Awan mendung yang berarak segeralah kau berlalu, semoga suria bersinar kembali menerangi suram dan kelamnya hari.Sayang, biar ku titip salam kasih mesra  bersama keresahan hati , bukalah hati mu untuk menerima kesetiaan dan kejujuran ku agar terus meresap rindu ku ke sanubari mu.Rindu membuat aku sepi, rindu mengajar aku erti kasih dan rindu membuat aku lebih menyayangi serta mencintaimu lebih mendalam. Rindu ku seluas lautan, kasih ku setinggi awan dan sayang ku seluas mata memandang tiada bersempadan.

Terima kasih sayang kerana sudi menerima ku sebagai kekasih dan akan ku julang serta ku sanjung kasih sayang mu.Biarlah ia sentiasa berbunga di taman hati.Akhirnya sambutlah salam rindu dendam, kasih sayang untuk mu yang bertakhta di hati.Meskipun kekadang langit merintih menangis, sedu sedan, sayu dan pilu tetapi aku tetap ceria serta bahagia terbayang, terpandang-pandang wajah terukir senyuman manis di bibir mu.Dirimu dimana-mana sentiasa bermain di ruang mata ku.

SEKUNTUM BUNGA PUJAAN HATI

Biarlah rindu ini bertandang setiap hari dan ketika, tetapi apakan daya di waktu tidur diri mu tidak menjelma di dalam mimpi indah ku. Harapan ku setiap waktu agar dapat hidup bersama mu.Diselimuti rindu setiap hari, agar hadir mu dan akan ku tatang dalam jiwa dan hati.Pasti suatu hari diri mu tetap jua hadir ke sisiku serta ku sambut mesra dengan senyuman yang paling manis untukmu.

Semoga kita akan sentiasa bersama setelah kau ku miliki menjadi permaisuri ku nanti.Ku isi segala ruang-ruang kosong hatimu dengan wangian cinta seharum kasturi aroma kasih sayang dan cinta.Biarlah pohon cinta kita sentiasa berbunga mekar kembang sepanjang masa dan menyebarkan haruman setiap hari dan ketika.

Rindu padamu tak bergalang ganti kerana dikau sentiasa indah dimataku dan cantik juga pekerti mu di hatiku.Sayang fahamilah bahawa hanyalah dikau sahaja yang ku puja dan dikaulah insan yang teristimewa dalam hidupku.Masakan aku boleh melupakan dirimu kerana bahasa indah mu secantik wajah mu.

Terima kasih dari ku untuk mu.Ku sanjung budi pekerti dan budi.Hanya engkaulah kekasih pujaan hati dan pada mu seorang sahaja yang selalu ku nanti.Akan ku kirim rindu ku setiap hari diangin lalu, agar dapat kau sambut hingga meresap di jiwa mu.Sabarlah sayang menanti kepulanganku untuk aku menatap wajahmu sepuas hati.

SETIAKAH OMBAK MENEMANI PANTAI

Ombak tetap bertandang mengejar pantai dan tanpa jemu menemani setiap waktu dan ketika.Walaupun ombak yang selalu menjeru namun tanpa disedari pantai tetap juga terhakis sedikit demi sedikit.Namun pantai tetap jua menanti sang ombak menghempasnya.Setelah memukul pantai, ombak tidak jemu-jemu memecah buih-biuh terapung sepi, hingga membawa ke tengah lautan, terumbang ambing dibadai gelombang,Entah kemana dibawa olehnya tanpa arah, tanpa hala dan tanpa haluan.

Maka tersiksa buih jadi mainan lambungan ombak yang rakus tanpa hentinya, tanpa belas kasihan dan simpati terhadap nasib buih tetap malang sentiasa berpecah dan jarang sekali terdampar ke pantai.Adakah sang ombak setia kepada pantai sedangkan ia sentiasa menyakiti pantai, merosak malah akan merubah pantai.Begitulah juga nasib buih yang sering dilambung ombak tanpa pernah menerima belaian lembut sang ombak.

CINTAMU LAKSANA EMBUN

Begitulah nasib diri seandainya diri ini sudah tidak lagi begitu bermakna bagimu, benarlahlah cintamu umpama embun hanya bertandang seketika membasahi dedaun tetapi akan hilang lenyap ketika sinar mentari mula menyinar tanpa sempat dedaun hilang dari dahaga kasih mu.Namun ke esokan harinya embun tetap jua bertandang setelah menghilang sekian lamanya waktu, hanya sudi berkunjung di kala subuh dan pagi, namun seperti biasa hadirnya hanya menyimbah dedaun seperti selalu hanya untuk beberapa waktu dan ketika.

Amat berbeda sekali kesetiaan sang ombak yang tidak pernah mungkir janji, senantiasa mengejar pantai kerana rindunya setiap detik, saat dan ketika.Walau kekadang ia datang dengan perasaan bergelora namun ia tetap jua sudi datang mendakap pantai.Pantai juga tidak pernah jemu menanti kedatangan ombak yang terlalu akrabnya gandingan mereka meskipun kekadang pepasirannya dirobah sang ombak.Tidak pernah sang pantai merasa jemu menerima kehadiran kerenah ombak yang datang secara lembut ataupun kasar bentuknya.

SENYUM BERPALING MUKA

Walaupun riak muka mu sentiasa mengukir senyuman manis tapi aku tidak dapat memastikan betapa senyuman itu lahir dari hati mu yang ikhlas, pun begitu aku tetap mengaggapnya senyuman itu adalah satu senyuman jujur darimu.Biarlah hati mu bercanggah dari ketulusan sebenarnya.Bagiku senyuman mu itu adalah hadiah membahagia hatiku.Terlalu mahal untuk menerima senyuman dari bibirmu.

Aku tetap memujanya tanpa ada rasa apa-apa kekurangan darimu, tetapi jika selepas itu kau mencebik bibir bermasam muka setelah beberapa ketika senyuman bergula, sudah pasti aku membencimu kerana perbuatan itu menghilangkan kejujuran senyuman mu sebelum itu, kerana aku akan berduka kerana senyuman mu adalah penipuan nyata dan pura-pura mencabar kepercayaan ku terhadap mu.


Maaflah ...

SIAPALAH AKU DI HATI MU

Penatlah sudah ternanti-nanti pada orang yang tidak sudi menerima sekeping hati nan lara ini bagai menanti bulan jatuh ke riba walau kencana dewi yang di puja sekian lama semakin hari menghilang pergi entah apa yang dirajuk dan entah mengapa menyepi membawa diri dan hati.Puaslah sudah menanggung rasa dan sudah penat tertanya-tanya khabar berita.

Kini sudah kehilangan kasih sayang penglipur lara di tika dan saat aku masih memerlukan mu dan selagi kau masih  mengharum wangi di taman hati nan sepi ini.Di waktu kau masih lagi berkembang dan berseri, tiba-tiba entah gerangan siapa menyunting mu dengan jari tanpa disedari.Maka kecewalah aku terpaksa merela melepaskan kau pergi berlalu bersama teman baru mu.

Walau di hatiku tidak boleh melupakan wajah mu barang sekejap sekalipun kerana mabuk ku pada godaan asmara mu sebelum ini.Tahulah aku dengan sikap kepura-puraan mu yang sanggup membiarkan aku terus menderita dan hidup dalam kecewa.Aku sedar bahawa diri ini bukanlah terbaik untuk mu dan hanya sesuai untuk dijadikan hanya barang mainan mu sahaja.

Aku mengerti bahawa aku bukanlah seorang yang istimewa, hidup miskin hina, tidak berharta dan kurang pula adat serta tidak berbudi bahasa.Maklumlah diriku ini bagaikan si burung gagak hitam yang hanya jijik dari pandangan mata mu dan tiada tara pula dengan kecantikan wajah mu laksana si burung merak yang cantik dan sentiasa di puja orang yang melihatnya.


Bagaimanapun demi menjaga hati dan perasaan mu biarlah aku menyepi dari hidup mu yang serba indah itu.Aku tahu sekiranya kau berada di samping ku, sudah pasti cela di mata orang memandang.Maklumlah aku adalah seorang yang miskin hidup tidak ketentuan hala.Rupa buruk, sudahlah dagang merempatlah pula.Biarlah aku pergi membawa diri demi kebahagian mu,
Siapalah aku ini yang tidak bernilai pada mu, aku hanya  menumpang di sudut hati mu sehingga kau sisihkan aku ke tepi bak debu lekat di kaki terbuang hilang setelah di cuci.Maka turunlah aku dari takhta hati dan hidup mu yang semakin pudar sinar untuk ku dan tak mungkin mengisi selera mu untuk dipandang pun sebelah mata.Maka sepilah aku tanpa kau di sisi.


Kini aku adalah buih terapung lerai berlari di bawa ombak ke bibir pantai, tapi berkecai tidak dapat bersatu lalu tersasar di terjah entah ke mana.Mungkin terdampar di pulau sepi dan sudah tidak kau ambil peduli lagi, kini semakin berselerak dihentam ombak dan akhirnya dibawa kembali ke tengah menyesatkan aku tanpa haluan.

ALAHAI BEGINILAH SURATAN


Sang jalak megah di tunggul kayu mengalun suaranya yang merdu berkokok menyambut kedatangan pagi.Bayu dingin tetap berhembus membelai rumput dan pohon kayu yang dibasahi titisan embun yang tiada jemu menyiraminya sebelum terbitnya mentari.Akan tetapi entah kenapa mataku belum mampu pejam untuk lena barang seketikanya jua, fikiran melayang entah kemana mungkin terkenang akan peristiwa lama dan dosa-dosa   kelmarin menyelimuti diri sepanjang kehidupan yang sukar untuk dilupakan.

Pun begitu di benak ku masih lagi tidak luput dalam ingatan ketika kita berdua hidup bersama menempuh seribu kenangan dan pengalaman.Kini kita dipisahkan waktu dan keadaan, entah kan bila saat manis itu akan menjelma kembali menyegarkan hubungan mesra kita.Biarlah ku kuatkan semangat cekal di hati memujuk resah jiwa perasaan sanubari untuk bersabar menanti kehadiran mu.Setiap detik yang ku lalui tidak pernah diri mu ku lupa dan ku harap kau pun begitu juga.Selamat pagi sayang semoga suatu hari kita akan bertemu lagi.

Mentari pagi kini masih mampu terbit dan amat terang, cerah dan ceria sinarnya, semoga tiada mendung bertandang mencacat keindahan hari.kedengaran riuh rendah suara kicauan burung meraikannya dan bertebangan mencari habuan makanan.Oh embun yang menitis dinihari sehingga ke pagi, kau sejukkan bunga-bunga di taman agar ia kembang mekar memberi keindahan menarik hati sang kumbang lara berterbangan mencari kesegaran bunga bermadu menguntum senyum menambat hatinya.

Oh angin lembut yang berlalu tanpa jemu menyapa dedaun dan pepohon kayu, kau sampaikanlah bisikan mesra kepada bunga mewangi dan kumbang-kumbang jati yang sedang tercari-cari.Disangkakan panas mentari hingga ke petang rupanya mendung di tengahari membawa hujan, maka sayulah sang kambing yang masih belum kenyang meragut di padang berlari menuju ke kandang bimbang kebasahan.

Akan tetapi sebaliknya memberi nikmat kepada rumput dan pepohon serta burung layang-layang dan sang kodok untuk bermandian hujan.Apabila bertandang senja semuanya pulang ke sarang, Maka tinggallah si burung pungguk menanti malam namun tidak sempat merayu bulan yang tidak kelihatan dilitupi awan.Malam tetap tiba, sang burung sudah sunyi lena di sarang, cuma tinggal si pungguk sedang meraba-raba di dahan dalam kegelapan.

Hiba hatinya melihat awan mendung bakal menyiram hujan yang sudah pastinya bulan terus bersembunyi lagi pada malam ini, entah bila akan menjelma di langit,Namun segelap mana pun malam sang cengkerek dan belalang masih sudi berbunyi menyanyi nyaring.Tanpa rasa jemu mempersembahkan suaranya untuk didengari oleh sesiapa meskipun tanpa ada yang meminta.Begitu juga suara sang kodok dan suara sang burung hantu sesekali bersahutan menikmati kedinginan malam.

SEGALA YANG TERSURAT DAN TERSIRAT

Kekadang orang sekeliling memandang kita nampak tenang bagaikan permukaan tasik, itu hanya dari sudut pandangan tersurat, meskipun ada sedikit kocakan air sesekali ditiup angin lembut.Akan tetapi apa yang tersirat di bahagian permukaan tasik manakan dapat diselami kerana manakan nampak gelora dan arusnya di bahagian bawah permukaan air, entahkan berarus laju, berpusar dan bergelombang.

Begitulah juga dengan kehidupan manusia yang tidak pernah lari dari menghadapi pelbagai masalah dan rintangan kehidupan.Ada tikanya seseorang yang mengalami masalah itu begitu senang dan tenang, tetapi menanggung bebanan itu terasa amat berat untuk memikul segala masalah yang dialaminya.Hanya kesabaran yang dapat mengatasi apa yang tersirat terikat, bersimpul serta berbelit di dalam hati.

SEGUNUNG RINDU SELAUTAN KASIH

Aduh betapa mendung pagi ini mengundang segunung rindu selautan kasih betapa malapnya langit mengundang gerimis menambah kesayuan hati, sepi, sedih dan pilu tanpa seseorang yang disayangi menemani di sisi untuk menghibur hati.

Betapa cuaca sedingin ini membuat hati resah gelisah derita jiwa kerana dikau jua turut membisu dan membeku kata-kata bak bayu rindu tidak sudi menyapa di daunan layu, airmata turut membasahi pipi menusuk ke hati turut sama gerimis.

KENANGAN

Hari-hari berlalu laksana air sungai yang sentiasa mengalir meninggalkan seribu kenangan.Hari ini kenangan baru sedang menjelma.Hari esok pula bagaikan terasa lama untuk dinanti entah apa kenangan yang akan bertandang entah apa bentuk bakal menjadi  kenangan.

Segala kenangan manis akan sentiasa dalam ingatan, boleh membuat hati selalu ceria dan riang, senyuman di bibir akan selalu  terukir bila terkenang.Begitu pun kenangan pahit amat sukar untuk dilupakan dan akan menjadi seribu kesalan dan kekecewaan mengambil masa yang berpanjangan.

Oleh itu segala kenangan manis biarlah sentiasa segar dan berkekalan agar ianya sentiasa indah menjadi ingatan.Kenangan pahit, buruk dan menyedihkan perlulah dibuang dan berusaha untuk dilupakan supaya tidak menjadi bebanan hingga boleh merosak badan, fikiran dan harapan.

RANJAU CINTA BERDURI

Alahai bagai menduga lautan api, kita berenang dalam arus berbahang, ombak panas yang bergulung-gulung dan membakar diri.Bagaimanakah kita sanggup menguja hati yang sentiasa bergelora dalam dada.Bagaikan tidak tertepis lagi kehendak hati menggoda serta menggila yang bermain di fikiran kita.

Aduhai adinda bagaimanakah harus kita hadapi segala dugaan yang bertandang dalam perasaan tanpa disangka-sangka memaut kedua hati tanpa dapat terhurai lagi.Kita berada di persimpangan delima tanpa tahu arah tuju sebenar serta bercanggah haluan mana yang patut kita ikuti.

Kabur pandangan mata kita untuk memilih jalan mana yang lurus dan laluan mana yang berliku beranjau duri untuk mencari kebahagian dalam diri demi memenuhi sekeping hati yang terlalu mendesak jiwa, hingga boleh membawa hidup kita kearah kehancuran, kelemasan serta tenggelam dalam lubuk permainan perasaan.

Di hadapan kita terlalu gelap untuk dilalui, membuat kita teraba-raba mencari sinar cahaya dalam kegelapan dimana kabus terlalu tebal melitupi arah laluan kita.Mungkinkah ada sinar luntuk kita bersama.Sementara itu ayuhlah wahai kekasih kita rempuh sahaja segala halangan yang ada membatasi langkah kita, 

Adakah kau lelah dan letih untuk menuruti langkahan ku, andainya kau tidak mampu untuk menurutinya maka ada dua pilihan untukmu samada pulang ke pangkal jalan atau meneruskan langkahan bersama ku.Marilah ku pimpin tangan mu agar kita berdua memperolehi cahaya atau pun kecundang dalam kegelapan.

APALAH HENDAK DIKATA ....

Alahai ibarat mengharap bulan penuh jatuh ke riba, hanya dapat dipandang dari kejauhan ibarat sang pungguk sedang merindu, sentiasa memuja dan merayu hiba mendayu-dayu, hati rindu kasih tak kesampaian.Aduhai umpama memuja sang bunga kembang mekar dan harum mewangi menghiasi taman tetapi berduri, mata hanya mampu memandang kecantikannya, hendak dipetik bimbang terluka jari.

Hendak dibiarkan hati sudah berkenan.Hendak ditinggalkan hati tak sampai.Betapalah berat mata memandang, beratlah lagi bahu memikul.Ingin dirayu bimbang tak sudi, hendak bermanja pada siapa.Laksana menempuh jalan berliku, sudahlah sempit dipenuhi pula ranjau berduri,umpama berenang di lautan api, ingin diduga terbakar diri.Hasrat hati menggunung tinggi, adakah sanggup untuk hadapi.

Hasrat di hati amat tinggi, bagaikan terdaya dan mampu mendaki gunung yang tinggi.Jalan berlurah berjurang dalam, silap melangkah jatuh terguling gelantang.Sedangkan usahkan bukit hendak melangkah busut pun tak berkemampuan.Digenggam tiris, hendak dilepaskan terlekat, nak ditelan mati emak, ingin diluahkan mati bapa.Yang dikejar tak dapat yang dikendong habis berciciran.Apalah yang hendak dikata mungkin sudah jadi suratan.

KASIH DAN SAYANG KU

Beginilah derita hati ini yang sentiasa sunyi dan sepi sejak kau berubah laku membiarkan hidup ku sendiri tidak berteman hanya keseorangan menempuh liku derita hidup sehari-hari tanpa simpati mu untuk menemani diri ini.Apalagi yang termampu bagiku hanyalah duduk termenung, merindu dan menanti hadirnya dirimu bersama senyuman manis yang dapat menghilangkan segala resah dan gelisah hati yang kekosongan ini.Ketiadaan mu amat menghancurkan hati ini, kosong dan hampa belaka bagaikan sebuah dermaga usang yang ditinggalkan tanpa kapal yang sudi berlabuh lagi.

Dalam kehidupan manusia pelbagai perkara dan peristiwa dilalui.Semakin berusia semakin bertambahlah pengalaman yang dirasai.Peristiwa yang ditempuh ada yang manis, pahit, masin, tawar, kelat, masam dan hanyir.Pengalaman indah teramat indah untuk dikenang.Biarlah kenangan manis sentiasa segar diingatan, pedoman dan panduan dalam meniti kehidupan, 

Segala peristiwa pahit, getir dan buruk, jangan terus dilupakan dari kenangan, biarlah menjadi pengajaran untuk kita memacu masa hadapan agar lebih berhati-hati agar peristiwa ini tidak akan menjelma semula mengganggu kehidupan.Jadikan ia sebagai azimat yang amat berguna untuk membetulkan diri dari terus melakukan kesilapan demi mencari sebuah kejayaan.

KERANA BUDI


Apalah yang masih tinggal pada diri ini hanyalah secebis kasih untuk dipertahankan dalam menyayangi mu.Mana mungkin aku dapat membina sebuah lagi Taj Mahal untuk mu.Hanyalah secuit janji yang termampu aku zahirkan untuk menjaga diri mu dan dengan setia janji itulah yang aku harapkan agar kau masih mempercayai kejujuranku.

Hanyalah sekuntum senyum di sudut bibir yang termampu ku berikan untuk mu, walaupun hambar dan tiada manisnya, namun sekadar itu sahaja yang aku terdaya ku persembahkan untuk menceriakan hati mu, dan ku harap dengan senyuman setawar itu jua  dapat membahagiakan diri mu.Walaupun tidak sepenuhnya mengubati calar dan luka di jiwa mu.

Begitulah yang aku harapkan agar hidup kita sekadar berlalu seperti biasa tanpa keindahan dan beraroma harum, itu sudah cukup bahagia bagi ku asalkan saja tidak bertaburan berkecai laksana kaca terhempas ke batu.Walaupun ku harap langit itu selalu cerah, namun adakala ada terang, ada mendung begitu juga ada tikanya hujan gerimis ataupun mencurah lebat bercucuran.

Pun begitu hidup mesti diteruskan jua walau hidup tidak selalu indah namun segala keikhlasan dalam diri ini diharapkan menyinar kebahagiaan milik kita.Aku tetap menghargai mu kerana kaulah satu-satunya insan yang berada di depan mata ku kini, meskipun kau ku pandang cantik hanya di mata tetapi tidak semestinya aku menerima mu seadanya di hati.


Walau berbagai angkara yang timbul, tidak pernah sedikitpun hati ku ingin melupakan diri mu.Jauh sekali untuk meninggalkan mu kerana aku tahu kaulah seorang insan yang banyak berjasa membangunkan aku dari lena panjang setelah terdampar kecewa sekian lama.Kaulah satu-satunya insan yang banyak berbudi pada ku ketika itu.Kecantikan budi itulah yang terpatri masih kekal di hati ....
KASIHNYA EMBUN

Ketika pagi dingin ketika fajar belum menyinsing, berduyun-duyun embun turun membasahi rumpun dan daunan pohon, walau pun dikala itu pohon, dan rumput masih lagi lena belum terjaga dari tidor dan mimpi sejak senja bertandang hari kelmarin.Embun adakalanya jatuh menitik dari daunan pohon ke tanah sia-sia begitu sahaja tanpa di sapa sepenuhnya.Namun setelah suria menampakkan senyumannya barulah pohon-pohon, rimbunan dan rumput baru terjaga dan hanya sempat beberapa ketika menikmati embun segar.

Setelah mentari mula menyinar cahaya berganda embun bagai merajuk menghilangkan diri, lesap hilang entah kemana.Mana sempat untuk pepohon dan rumput menghilangkan dahaganya dengan masa yang begitu terbatas lamanya.Apakan daya sudah sifatnya embun selalu di cemburui mentari.Terpaksa pula menanti embun esok pagi.Apalah diharap pada kasihnya embun hanya berkunjung seketika  untuk daunan dan rumput melerai lara, hilang di tiup bayu maka tinggallah mimpi di siang hari.

JODOH YANG TAK KESAMPAIAN

Dalam menentukan jodoh, kita hanya merancang namun Allah yang menentukan, tidak semua yang kita rencanakan menjadi kenyataan, kekadang kita mencintai orang lain tetapi bila bertemu jodoh dengan orang lain.Janganlah kecewa kerana itu adalah suratan yang ditentukan Allah.Redha dan terimalah seadanya, apa yang dikurniakan itulah yang terbaik untuk kita.

Mengapa harus kita berputus asa kerana gagal memiliki seseorang yang kita kasihi untuk dijadikan isteri, bukankah masih ramai lagi yang menanti dan salah seorang darinya mungkin itu yang bakal kita miliki.Usahlah terlalu kecewa seandainya harapan tidak terlaksana, mungkin diri kita atau diri pilihan kita itu tidak dapat dimiliki itu ada kekurangan dan kelebihannya dan tidak bersesuaian untuk dijadikan pasangan jodoh kita.

Sedalam mana kita mencintai seseorang jika bukan menjadi milik kita tetap bukan jodoh untuk kita. Sejauhmana setianya kita pada kekasih kalau bukanlah untuk kita tetap bukan untuk kita.Sesungguhnya kita tidak mengetahui dengan apa yang Allah mengetahui. Kita hanya merancang tetapi Allah jualah yang Maha merancang akan segala apa yang terbaik terhadap makhluknya.

Isnin, 3 Disember 2012

SALAM RINDU MESRA BERLALU



Aduh sayang, aku tidak sanggup lagi berjauhan dengan mu kerana rindu ini begitu gelora di dada membuat aku resah, gelisah, sedih dan pilu.Setiap hari yang berlalu ku rasakan begitu kosong tanpa diri mu, termenung sendirian terasa sangat kehilangan mu kerana terlalu dalam aku mengasihi diri mu.Alahai mampukah aku menempuh arus kehidupan ini sendirian tanpa diri mu di sisi ku,Hibanya hati ini, sayang !!!

Sayang, biarlah ku bisikan ke telinga mu melalui desiran bayu agar kau tahu dan mengerti betapa aku memerlukan dirimu.Hadirlah kasih pada ku agar melerai segala bebanan rinduku ini.Belaian manja mu ku harapkan setiap masa agar aku dapat merasai nikmat bahagia bersama mu.Jika kau mendengar saat ini sambutlah salam rindu mesra berserta rayuan sepi ku hanyalah untuk mu yang teristimewa.

Alahai sedihnya hati ini tanpa mu sambil mendengar berita diri mu yang tidak ceria seperti waktu yang lalu.Hibanya aku bila berita diri mu kurang sihat, menambahkan lagi kebimbangan di hati ini.Pada Yang Maha Esa aku berserah dan berdoa semoga diri mu sihat dan segar semula serta melalui hari-hari dengan bahagia dan ceria.Oleh kerana halangan maka aku terpaksa berjauhan dari mu.

Seandainya tiada rintangan itu bagaikan burung helang aku akan menyambar diri mu untuk ku bawa ke sarang.Akan ku jadikan diri mu ratu dan permaisuri dalam hidup ku.Aku pasti memberi sepenuh kasih sayang dan belaian agar kau sentiasa hidup bahagia, saling sayang dan menyinta antara kita.Entahlah ini hanyalah angan-angan ku sahaja, sedangkan diri mu entahkan sekarang lebih berbahagia.

Siang malam aku terkenang, tidur tak lena makan tak kenyang, mandi bagaikan tak basah, wajah mu sentiasa terbayang-bayang sentiasa bermain di ruangan mata.Bagaikan aku kini sudah diserang penyakit gila bayang.Biarlah orang beranggapan begitu, tetapi itu adalah nyata yang ku rasai selama ini.Namun aku hanyalah seorang insan menumpang kasih di sudut hati mu.Samada kau terima atau sebaliknya.

Ibaratkan hulu parang sementara boleh digunakan orang, selagi itulah khidmatnya diperlukan, akan tetapi sebaliknya seandainya ia telah lusuh, buruk dan reput sudah tentu ia akan diganti, dibuang serta tidak akan digunakan lagi.Begitulah natijahnya hidup ku yang sentiasa sahaja dirundung sepi, pilu dan resah.Hasrat ingin dibelai manja tetapi belum tentu orang suka jauh sekali untuk dicintai, dikasihi dan disayangi.

RINDU TERKENANG DUKA BERTANDANG

Aduhai betapa hati ini terasa rindu pada sapaan manja darimu, kini entah kenapa engkau tiada lagi menyapa aku yang sentiasa mengharap dirimu untuk membelai jiwa sepi ini.Sedangkan sehari rinduku pada mu bagaikan setahun lamanya, inikan pula dikau diam menyepikan diri berhari-hari, bayangkanlah betapa hampa dan kecewanya aku menanti dan tertunggu-tunggu dirimu menghilangkan resah rinduku.

Hatiku sentiasa teringat dan terkenang-kenang, di mata wajah mu terpandang-pandang, di fikiran bagai terbayang-bayang, namun kemanakah dikau menyembunyikan diri atau kini sudah terus menghilang.Mungkin dikau sudah membenci,tidak suka, entah-entah dikau sudah melupakan aku.Hanya aku sahaja asyik terkenang,walaupun di hatimu dingin membeku terhadap diriku.

Mengharap belaian orang yang tidak sudi, jauh sekali untuk merindui, tiada lagi mengambil tahu akan betapa derita dan siksanya aku.Ku pujuk sahaja hati ini walaupun luka semakin parah, dalam dan berdarah.Biarlah aku membawa diri agar segala resah, sedih dan pilu berlalu, Entah kemana arahnya belum pasti, entah ke hutan rimba, gunung ataupun di jurang dalam asalkan dapat mendamaikan hati.

KEMBALILAH SAYANG AKU RINDU ...

Salam sayang dari ku untuk mu.Kini kau berada jauh dari sisi ku untuk ku tatap wajah mu.Betapa aku teramat rindu pada sebuah pertemuan indah serta merasai nikmatnya seperti dahulu.Kini hanya tinggal cengkaman kenangan membungkam rasa di kamar sepi ku.

Tiada kata yang mampu untuk ku ucapkan pada mu hanyalah sekeping hati nan amat merindui mu yang ku usung setiap detik dan masa melalui kegelapan malam.Biarlah ku abadi segala kenangan manis kita berdua untuk bekalan mimpi ku.Kembalilah sayang, aku rindu ....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...