Isnin, 29 November 2010

KISAH KELAWAR DAN BURUNG LAYANG-LAYANG


Ada seekor sang kelawar yang bersahabat dengan sang burung layang-layang yang tinggal bersama-sama didalam sebuah gua dan dicelah batuan gunung.Sang burung layang-layang selalu mencari makan diwaktu siang tetapi sebaliknya sang kelawar mencari makan diwaktu senja dan malam.Jarang sekali mereka dapat bersama-sama berbual tetapi jika sang burung layang-layang tidak keluar mencari makan atau bermain-main diwaktu sebelum hujan mereka selalu juga berbual-bual.Masalahnya kedudukan mereka masa berbual berbeza maklumlah sang kelawar kepalanya terbalik ke bawah sedangkan sang burung layang-layang dibahagian atas.Meskipun begitu ini tidaklah menyebabkan perbualan mereka terhalang.

Pada suatu hari siang sang kelawar telah keluar dari gua tempat ia menginap dan sengaja berehat diluar di sebatang ranting pohon kayu.Itulah pertama kalinya ia keluar meninjau dan menikmati hari siang.Maklum sahajalah pandangan sang kelawar terhadap benda-benda yang dilihat tidaklah seterang mana kerana mata sang kelawar memangnya rabun.Semasa dia diluar beliau benar-benar memerhatikan satu puncak gunung yang dapat dilihatnya samar-samar kerana  matanya yang rabun itu.Dalam hatinya berkata wah cantiknya puncak gunung itu.Beberapa lama berehat, beliau kembali semula ke penginapannya lalu berbual dengan sang burung layang-layang menceritakan pengalamannya tadi.

Sang burung layang-layang pun bertanya apa yang ia nampak semasa berehat diluar tadi.Sang kelawar pun memberitahu walaupun matanya rabun namun dia masih dapat melihat kecantikan pemandangan disekelilingnya dan bercerita bahawa puncak gunung yang dilihatnya berada menghala kebawah, semua yang diperhatikannya adalah terbalik.Sang burung layang-layang berkata yang kedudukan sebenarnya berbeza dengan apa yang dikatakan oleh sang kelawar tadi, dimana kedudukan puncak gunung dan pokok-pokok. serta yang lainnya semua menghala ke atas.Sang kelawar tidak berpuashati dan bermatian mengatakan bahawa pandangannya berbeza dengan apa yang dikatakan oleh sang burung layang-layang tadi.

Setelah beberapa lama berbincang dan bertukar pendapat, sang burung layang-layang mendapat satu fikiran dimana ia mengajak kelawar tadi keluar berterbangan disebelah petang menghala ke puncak gunung itu. Mereka pun terbang beriringan dan apabila sampai berdekatan puncak gunung tadi sang burung layang-layang menunjukkan kedudukan sebenar puncak gunung itu, barulah sang kelawar perasan bahawa pandangannya selama ini terhadap puncak gunung itu adalah salah dan ia dapat membetulkan kesilapannya setelah ia terbang bersama sang burung layang-layang.

Dari cerita ini tokwan hendak memaparkan pandangan kita terhadap apa sahaja isu terdapat sedikit sebanyak perbezaan pendapat, oleh itu untuk mendapatkan kepastian dan tidak berselisih pandangan eloklah kita berada bersama-sama melihat kebenaran yang ada dengan pandangan yang sebenarnya.Oleh itu jurang perselisihan pendapat sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

BEGITULAH CERITANYA....

~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...