Ahad, 14 Ogos 2011

ALAHAI MAKNGAH !!!!


Isyyy ini nak mengisahkan seorang makngah yang beriya menangis ketika hari kematian suaminya yang tercinta, merah biji mata bakup dan bengkak.Kasihan orang melihat makngah pada hari tersebut, ramai yang memujuk dan ramai juga yang simpati akan nasib yang menimpa makngah ni.

Setelah beberapa bulan makngah ini berubah laku yang amat ketara kerana pencen dan pembayaran saguhati suami telah diperolehi begitu juga dengan pembayaran insuran dan sumbangan kerana kematian suaminya itu.Memang banyak juga yang diperolehi makngah.Pendekata makngah bertambah senang tanpa menyangka memperolehi ganjaran yang banyak hasil kematian suaminya.

Makngah tak perlu risau berkaitan pembayaran rumah yang dibeli oleh arwah suaminya setahun lalu telah tidak perlu dibayar lagi kerana telah dijelas kesemuanya oleh pihak insuran.Cuma makngah perlu membayar hutang kereta yang hanya sedikit berbaki dan dengan pendapatan yang diperolehinya maka hutang kereta itu mampu diselesaikannya.

Makngah mula bergaya dan berdandan, malah sudah pandai kepusat kecantikan dan pendandanan.Apa nak dikenanglah makngah dengan gaya dan pakaian yang cantik setiap hari berbanding ketika suaminya masih hidup dahulu.Sumbangan dari suaminya ketika masih hidup tidaklah banyak cuma dapat lebihan perbelanjaan dapur sahaja.

Aduhai makngah kini dah pandai ke shopping complex dan membelanjakan wang yang diperolehi dengan membeli talipon bimbit yang canggih berbanding dahulu yang skrinnya pun kelabu dan papan kekunci yang dah kabur dan lusuh.Mulut bergincu merah, pipi kemerahan siap alismata dan pelupuk mata bagaikan warna merak.

Rambut pun silap-silap sudah seperti orang putih berwarna perang dan ada pula berwarna merah jambu sejemput bak burung jampuk.Begitulah makngah yang berubah dari dahulu.Mata pemuda dan pakngah-pakngah gendut turut terbeliak mata melihat kecantikan makngah dan sekiranya melintas di hadapan pakngah maka berdegup menelan airliur.Silap-silap tak sedar ada air liur yang melilih di tepi bibir.

Gaya berjalan dan melangkah amboi tersusun rapi melenggang yang amat menggiurkan mata pakngah tua, muda dan remaja juga turut tergoda.Tetapi apakan daya isteri di sebelah silap-silap mengomel pula isteri pakngah dan kemungkinan ada yang menarik telinga.Sampai dirumah mungkin ada berbalas kata atau pun periuk belanga melayang-layang.Begitulah godaan di depan mata mana sanggup nak dilepaskan...rugi !!!

Kini makngah tak kesunyian lagi kerana makngah telah ada buah hati yang baru seorang pakngah duda yang tak kurang handsomenya bermisai tebal dan sedikit berusia tapi orangnya bergaya.Anak-anak makngah seramai tiga orang terdiri dari dua anak dara dan seorang teruna sudah pandai membawa diri masing-masing, baik didepan mata tetapi  di belakang mata gajah pun mati dipijak.Apa nak kata bila makngah dah mula lupa dunia hingga anak-anak pun tidak terjaga.Alahai makngah....

Setelah beberapa bulan makngah pun mendirikan rumahtangga dengan pilihannya itu.Maka banyaklah pakngah-pakngah yang menaruh hati, ada yang secara terbuka, cara diam dan terendam semuanya terlepas dan melopong.Namun nasib makngah tak berapa baik kerana selepas beberapa lama berkahwin kebahagiaannya tidaklah lama kerana rupa-rupanya suaminya yang baru itu hanya pandai mengambil kesempatan duit makngah.

Satu-satu barangan kemas dan harta makngah tergadai dan digunakan suaminya.Apa nak dikata nasi sudah menjadi bubur rupa-rupanya suami makngah seorang pengedar dadah dan menagih.Kesal benar hati makngah dan kini makngah terperangkap dengan keadaan bila suaminya pula tertangkap.Maka semasa suaminya dalam penjara makngah menuntut fasakh dan bercerai.

Makngah terasa kesal yang amat sangat, apa nak dikata kerana cinta belum dapat membuat hidupnya senang seperti semasa suaminya yang pertama.Walaupun suaminya sebelum meninggal itu tidak pandai bergaya dan sederhana namun mampu membawa rumahtangga bahagia sehinggalah kematiannya.Kasihan makngah tersalah pilihan hingga membuat dirinya hidup sengsara.

Mujurlah anak-anak makngah kini mula berjinak-jinak semula dengan makngah dan bersedia membantu makngah yang dalam kesusahan.Anak-anak tetap memaafkan kesilapan makngah dan cuba sedaya upaya untuk membantu makngah agar bersemangat semula.Walaupun hidup tidak sehebat sebelum ini namun keluarga mereka mula bangun dari kesilapan dan meneruskan hidup seperti biasa.

Sesekali ada mulut liar yang bertanya samada makngah nak berumahtangga lagi, tetapi apa yang terhambur di bibir makngah biarlah hidup membujang, susah senang biarlah dengan harta yang ditinggalkan suami lama iaitu anak-anak.Baguslah makngah jika sudah sedar kesilapan dan tidak terus hanyut mengejar kebahagian yang palsu.Walaupun ada juga pakngah-pakngah yang miang sesekali mengusik dan terlior namun makngah kini buat selamba saja.Makngah bertekad untuk tidak melakukan kesilapan lagi....



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...