Jumaat, 19 Ogos 2011

RUMAH PUSAKA


Pada hari ini 18.8.2011 aku telah  mengambil cuti semata-mata untuk membersihkan rumah pusaka peninggalan kedua orang tua ku iaitu ibu dan ayah yang telah pergi untuk selamanya.Sedih juga melihat rumah pusaka yang tidak lagi berpenghuni.Banyak keringat ayah ku tumpah kerana membuat rumah ini dengan tenaganya dan kadangkala dibantu oleh adik lelaki dan adik ipar ku sahaja.

Pada asalnya rumah ini rumah atas bertiang, rasanya sudah tiga kali dibuat lain kerana reput dimakan anai-anai.Kemudian rumah ini di bahagian ibu rumah masih ada bahagian atas  hanya bahagian dapur sahaja diturunkan kebawah.Akhirnya akibat ibu rumah juga diserang anai-anai maka diturunkan kesemua sekali kerana lebih sesuai sebab ahli keluarga tidak suka naik dan turun tangga sehinggakan bahagian atas selalu ditinggalkan berhabuk.

Kini hari raya bakal menjelang lebih kurang 2 minggu lagi, namun hati ku terasa pilu lebih awal kerana inilah kali pertama aku berhari raya tanpa ayah yang telah lama pergi dan ibu yang baru-baru ini pula menurut ayah pergi untuk meninggalkan kami buat selama-lamanya.Setelah sekian lama tercegat tanpa melakukan apa-apa tidak sedar airmataku menitis juga walau pada mulanya ku tahan sahaja sebak di dada.

Aku bertekad tidak mahu menangis tetapi setelah aku terpandang sebuah sofa usang diberanda dimana dahulunya menjadi tempat ibu melepak bersama kawan-kawannya sambil menanti anak-anak serta cucu bertandang setelah pulang dari kerja ataupun balik bercuti barang seketika.Selalunya diberanda itulah tempat kami bersembang atau mengadu hal.Boleh dikatakan aku dan adik lelaki selalu sahaja singgah barang sekejap untuk melihat ibu memandangkan rumah kami tidaklah begitu jauh dari rumah ibu.Kadangkala adik perempuan ku ada juga balik dan tidor di situ.

Setelah aku membuka kunci dan memasuki rumah pusaka mata ku tertumpu pula di sudut-sudut ruang rumah untuk mengemas barang-barang yang tidak begitu tersusun sambil membelek-belek barang-barang lama peninggalan arwah ayah dan ibu.Dalam mengemas itu aku sempat juga mengimbau kenangan lalu bersama kedua orang tuaku semasa pernah bersama mendiami rumah itu.

Barang peninggalan mereka sempat juga aku rakamkan di kamera untuk ku jadikan kenangan.Banyak barangan itu telah lusuh, berkarat dan ada yang telah reput dimakan anai-anai.Itulah sahaja yang ada berbaki setelah rumah pusaka itu beberapa kali dimasuki tetamu tanpa izin memungut dan melarikan barang-barang berharga seperti peralatan tembaga, besi, plastik dan sebagainya semenjak arwah ibu tidak lagi mendiami rumah tersebut kerana tinggal di rumah anak-anak setelah uzurnya berganda.


Barang-barang yang terselamat kebanyakannya kami adik beradik membawa pulang kerumah masing-masing, sementara rumah itu di baiki semula. Kalau dikirakan banyak juga yang terluak.Inilah akibatnya jika orang sudah tidak tahu menghargai jiran hingga sanggup menceroboh rumah tersebut meskipun orang yang melakukannya pernah makan dan minum bersama dan ibubapa mereka adalah juga sahabat dan rakan baik semasa kedua arwah dan ibu masih hidup.

Rupanya bukan rumah pusaka itu sahaja yang menjadi mangsa tetapi rumah-rumah yang senasib dengannya pun turut mengalami nasib yang sama.Mengapakah mereka sanggup melakukan perkara itu ? ,  adakah itu sahaja jalan mudah memperolehi ringgit semata-mata untuk menampung perbelanjaan membeli dadah, dan ada yang tak mengenal hukum turut membelanjakan hasil curian itu untuk memberi anak isteri makan.Begitulah senang mereka merampas harta milik orang kerana malas bekerja dan mencari rezeki yang halal.

Rumah pusaka ini masih terjaga dan bahagian dapur rumah telah dibaiki semula.Bukan tiada orang yang bertanya hendak menyewa rumah ini tetapi semuanya terpaksa kami adik beradik tolak kerana rumah ini masih kami kunjungi, sesekali kakak sekeluarga dan adik perempuan ku akan tinggal di sini sekiranya mereka balik ke kampung.Kemungkinan pada musim perayaan aidilfitri, rumah ini akan didiami oleh mereka barang sehari dua.

Aku dan adik lelaki sering juga datang menjenguk, adakalanya untuk berehat dan membuat sesuatu kerja agar rumah itu tidak terus terbiar tanpa dikunjungi terutama jika pada musim buah-buahan yang terdapat di situ seperti durian, rambutan, manggis, rambai dan lain-lain.Begitu juga dengan tumbuhan untuk masakan seperti bunga kantan, serai,pandan serta buah-buahan tidak bermusim seperti nenas, betik dan sebagainya.

Sebelum ini aku dan adik lelaki selalu ke sini setiap hari kerana memberi ayam dan kucing yang ditinggalkan arwah ayah, namun kini kesemua kucing ayah telah pun mati, begitu juga dengan ayam banyak yang mati kerana diserang penyakit, masih ada  se ekor dua dari baka ayam itu tetapi sudah liar dan sesekali balik ke situ untuk mencari makan, dan tidor di reban yang masih ada di rumah itu.

Catatan:
Ayah telah meninggal dunia pada 14.3.2008 dan ibu telah pergi untuk selamanya pada sebelum subuh 26.3.2011 yang lalu...Dengan linangan airmata dan sekudus hatinya aku berdoa agar roh kedua ibu bapa ku damai di sana dan bersama-sama roh-roh para syuhadak, roh-roh para solehin dan solehah... Al-Fatihah !

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...