Rabu, 6 Jun 2012

PUNGGUK RESAH BULAN TAK ENDAH




Alahai kasihan nasib si pungguk di malam terang tika bulan mengambang penuh, bertambah kasih dan sayang pungguk padanya, sehari tak dipandang rindunya membara terlalu amat dalam, maklum sahaja bulan bukan menjelma sepanjang masa, ikut edaran masa, ada kalanya bulan dijangka jelma puas pungguk menanti di pucuk tinggi pohon meranti untuk merayu, namun kekadang dilindung awan mendung hitam yang bakal menuruni hujan.Maka bulan pasti tidak muncul jelma menyembunyikan wajahnya.

Kadangkala bulan mengambang menerangi alam pungguk mendayu selenggok dua, tiba-tiba purnama disapa gerhana alangkah hibanya hati si burung pungguk.Pun begitu walaupun malam bulan purnama terbit terang dapatlah sang pungguk menghibur hatinya yang rawan tetapi bulan tetap di langit tinggi cuma membisu seribu bahasa tidak menyahut sapaan pungguk tika mendayu dan merayu sehingga letih dan lesu.Manakan bulan hendak mendengar rayuan mu kerana bulan sudah pun berteman si bintang kejora.

Begitu malang nasib mu wahai burung pungguk yang tidak hentinya dilanda derita, sedih, pilu dan kecewa dijiwanya kerana rindu kasih mu hanyalah di mata, kasihmu tidak berbalas umpama menyemai selasih, tumbuh melata tetapi langsung tidak berbunga.Buat apalah kau merayu berkirim rindu di kedinginan malam di hembus sang  bayu, berembun hingga ke pagi, kau tetap juga tidak diambil endah dan tetap tidak dipedulikan bulan yang terbitnya tinggi.Bulan tetap juga tiada perasaan kasihan dan belas terhadap mu.

Cinta mu pada bulan yang jauh tidak berbelah bahagi, hati mu tidak pernah lupa untuk memuja, ketabahan mu tidak pernah kurang sedikit pun menanti bulan menyinar dan melimpahi cahaya menerangi alam tanpa pernah senyum pada mu.Kesetiaan mu memuja amat dipuji, walaupun mustahil bagimu terbang mendakap bulan  untuk  hidup bersamanya.Manalah setara diri mu yang kerdil umpama debu hinggap dikain baldu, nak dibandingkan diri mu dengan belacu pun rasanya teramat jauh sekali.

Kasihilah bulan yang kau cintai itu asalkan kau bahagia, memuaskan mata mu melepaskan rindu di hati yang rawan sebagai penawar duka, sekurang-kurangnya rayu hiba mu yang lemak merdu dapat pula mengubat hati insan lain yang sedang diamuk rindu berjauhan.Hari tetap berlalu dan berganti minggu, minggu pula beralih bulan, kemudian menjejaki tahun, cara mu pungguk tetap tidak berubah sehinggalah bulan menyepi diri semula dan berehat mengikut edaran terbitnya di waktu mendatang.

PUNGGUK MERINDU BULAN

Antara bulan dikepungi bintang beribu, cahaya bulan kian kelam ditelan awan kelabu.Setelah puas berlindung membuat hati sang pungguk bertambah sayu kerana bulan yang dirinduinya menyepi diri.Hiba sungguh hatinya, hancur luluh perasaan di jiwa.Mengharap bulan purnama tiba-tiba malam bertukar gelita.

Bulan tidak bermaya untuk menghibur hati kekasihnya di buana sehingga sang pungguk  begitu merana menanti sepanjang malam mengharapkan bulan tetap menjelma.Setelah bulan menjelma semula maka rianglah pungguk di malam sepi namun puas ia rayu mendayu-dayu namun bulan hanya membisu.

Maka sang pungguk begitu kecewa lara bila bulan muncul hanya seketika berteman bintang berkerlipan di langit lalu menangislah ia di pohon kayu memujuk hatinya yang semakin sayu.Setiap malam ia pasti menanti agar bulan sudi menemani.Cinta sang pungguk tidak kesampaian.

Riang hati si pungguk melihat bulan terbit tinggi tetapi bulan pula di pagari dan diserikan bintang setiap kali bercahaya terang.Sang pungguk hanya menatap sayu dari kejauhan bersama hati yang rawan dan merelakan embun malam membasahi tubuh. Begitulah nasib diri sang pungguk cinta rindu pada bulan yang satu.

Malam berikutnya bulan dijangka terbit penuh tetapi ternyata hampa, purnama yang dipuja-puja dan dirindu-rindunya selama ini tidak jua menjelma kerana awan mendung terlalu cemburu melindunginya sehingga melabuhkan hujan ke siang hari sehingga terbit mentari pagi barulah hujan berhenti.

Kasihan nasib sang pungguk di pucuk kayu ara berhati hiba tanpa dapat merayu bulan yang kehilangan cahaya sepanjang malam.Kecewa benar hatinya terusik sudahlah tidak dapat memandang kekasihnya badannya pula kuyup dingin dan kesejukan disimbahi hujan.

Maka terbanglah sang pungguk berdiang cahaya sinar mentari mengipas dan menebar sayap  mengeringkan bulunya dan memanaskan badan nan kedinginan sepanjang malam.Walaupun hatinya terusik kerana rindu tidak berbalas, mendung menghalang namun pada malam nanti pasti ia setia menanti.

Sang pungguk tetap menguatkan semangatnya serta bertekad untuk memandang kekasihnya pada malam nanti.Ia tidur di sepanjang hari untuk berjaga menanti rang bulan terbit terang sambil mengharapkan awan mendung tiada bertandang menghalangnya lagi .



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam pakcik

bila ada masa luang saya selalu membuka blog saya, dan tak lupa jua membuka blog pakcik ( Beras melukut dan Tokwan matarun )karana saya sangat sukai isi kedua blog pakcik tu, blog pakcik berisikan ungkapan hati tentang beragam hal yang memberi erti dalam hidup.

banyak hal yang saya tak tahu menjadi tahu, karana pakcik telah berkongsi pengalaman melalui blog, setiap kenangan yang membekas pada pikiran pakcik terluahkan melalui blog pakcik, saya selalu setia membaca blog pakcik karana saya suka dan mengambil pelajaran hidup bila kelak masa nanti.

hormat saya slalu buat pakcik, senantiasa Allah azja wajalla memberikan kesihatan pada pakcik dan keluarga. Amin

TOKWAN MATARUN berkata...

terima kasih, kerana sudi membaca blog pakcik...pakcik juga rajin juga membaca blog anakanda yg ilmiah itu..
Semoga anakanda juga beroleh kesihatan yang baik, berbahagia disamping keluarga tercinta dan di berkati serta di rahmati Allah sentiasa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...