Ahad, 21 April 2013

TAFSIRAN JIWA



Usah mentafsirkan kedalaman lubuk hanya dengan pandangan dari mata sahaja, tapi perlu diselami lubuk itu dengan menyelaminya, dari situ kita dapat mengukur betapa dalam atau tidaknya lubuk itu.Seandainya kita takut atau tidak pandai berenang, janganlah kita katakan sungai itu deras atau pun dalam.Untuk mengetahui betapa deras dan dalamnya sungai itu, apasalahnya kita cuba untuk mengharunginya.

Begitulah dengan kehidupan kita jangan terlalu mudah menilai seseorang hanya melalui melihat rupa seseorang tanpa mengenal hati budinya terlebih dahulu.Adakah wajar apabila melihat rupa seseorang itu buruk kita tafsirkan kelakuannya juga turut buruk.Buatlah penilaian yang adil sebelum kita memberi hukuman dan jawapan.Perumpamaan Inggeris telah berkata, " jangan menilai isi sesebuah buku dengan hanya melihat dari kulitnya."

Jika kita tidak tahu atau takut untuk mencuba sesuatu, janganlah kita mengalah dengan hanya tidak mencuba sesuatu tanggunggungjawab yang diberi untuk menguji  kebolehan diri.Maka sewajarnya kita berusaha terlebih dahulu sebelum kita mengaku tidak mampu melaksanakannya.Sifat tidak mahu mencuba itu adalah diibaratkan sebuah kegagalan membentuk kejatian diri dalam melalui perjalanan liku-liku kehidupan.

PILU DAN TAWA

Jika kita selalu hidup bahagia senyum dan tawa adalah perbuatan yang timbul secara sepontan terutamanya kepada mereka hidup dalam kesenangan atau memeperolehi sesuatu yang mengembirakan hatinya, tetapi seandainya ditimpa sesuatu kesusahan, kesedihan dan kedukaan maka ia akan berasa begitu kesal, sedih dan menangis berpanjangan kerana tidak mempunyai kesabaran dan kekuatan menghadapi dugaan.

Berbeda pula dengan seseorang yang sentiasa hidup dalam kesusahahan dan penderitaan, ketawa bukan senang untuk diperolehi, sekiranya mereka senyum dan ketawa itu adalah kerana satu yang benar-benar mengembirakan hati mereka, itu adalah kebahagian yang tulin terbit dari hati mereka.Tangisan dan kesedihan bagi mereka adalah lumrah hidup.

Hati mereka sentiasa tabah dan cekal menghadapi saat suka duka, dalam keadaan apa pun mereka terima mereka tetap mampu tersenyum meskipun dalam tangisan kerana mereka selalunya mempunyai semangat tabah dan kecekalan hati merempuh sebarang dugaan dalam kehidupan.Sedikit kesenangan walau pun tidak seberapa yang mereka perolehi akan membuat mereka senyum berpanjangan.

SEPI RINTIHAN HATI

Bila hujan turun merintik-rintik airmata ini tanpa disedari jatuh menitik bertitik-titik basah di pipi berlinang, tiba-tiba hati diterjah rindu bertandang, rintihan hati pula membuak terkenang-kenang, sayu, pilu, sedih hadir menumpang, membuat jiwa rasa tidak tenang apabila teringat orang yang tersayang jauh dari pandangan entah kemana pula menghilang.Diriku sudah tersisih dari hidupmu mungkin untuk selamanya.

Begitulah jika dilamun sepi hanya duduk terpaku di bangku memerhatikan hujan yang turun mencurah entah bila akan berhentinya.Beginilah bila keseorangan tanpa orang tersayang di sisi, sudah tentu jiwa dirundung duka nestapa, kekosongan dan kesepian.Mungkin diri ini sudah kau lupa dari ingatan membiarkan aku kecewa lara, namun aku selalu mendoakan diri mu sentiasa gembira, ceria dan bahagia di sampingnya.

SENYUM DAN TANGISAN

Dalam kehidupan ini setiap insan tidak pernah dapat lari dari merasa perasaan gembira, sedih, riang, suka dan duka.Hadirnya tidak menentu masa adakala ketika bahagia tiba-tiba datang pula berita duka, begitulah sebaliknya dalam keadaan bersedih bertandang berita gembira, perasaan ketika itu mungkin bercampur baur antara duka dan suka.

Perasaan suka duka, ketawa, menangis lara selalunya silih berganti dan tidak berpanjangan pada setiap masa, ada pula tempohnya tidak berpanjangan lamanya.Maka semasa menikmati kegembiraan hayatilah dengan sepenuh hati, agar  saat itu dapat benar-benar dirasai kemanisannya, dan seandainya ketika bertandang kesedihan maka insafilah mengapa terjadinya perkara itu.

Sesukar mana dan sesedih mana yang mengharu jiwa cubalah selesaikan dan diatasi dengan sebaik-baiknya agar kesedihan itu lekas reda, segera pulih kembali dan akan cepat berlalu.Memang benarlah kata-kata orang tua-tua seandainya berdukacita berilah senyuman sekadar yang termampu agar senyuman jikapun barang secebis itu boleh menjadi penawar memulih kesedihan yang dialami.

Suka dan duka, tangis dan ketawa adalah perkara biasa yang terjadi kepada semua manusia, perasaan itu bagaikan malam dan siang yang bertandang setiap hari.Mana mungkin kita dapat melarikan diri dari perasaan yang sentiasa menguja kekuatan perasaan insan yang sentiasa bermain dalam kehidupan sehari-hari walaupun hadirnya tanpa diduga.

Sedangkan matahari terbit bersinar di waktu pagi pun belum pasti memancar terang sinarnya sampai ke petang, adakalanya cuaca mendung tiba-tiba di tengahari ataupun hujan turun di sebelah petang, ada tikanya bila awan berarak atau setelah hujan.reda maka langit kembali cerah dan matahari timbul semula menerangi alam sebelum bertandangnya senja dan malam.

SERI DILIPUTI MENDUNG

Tiada lagi tinta bicara bisikan mesra membuai lena, tiada lagi pujukan dan cumbu rayu selembut bayu dan tiada lagi senyuman semanis madu menyegar jiwa syahdu.Senyuman di bibir bertukar masam laksana cuka dik hemburan nista, maki hamun dan caci cerca , ungkapan sepahit hempedu serta berbisa bagaikan bertuba.Seri muka yang bersih dan suci selama ini berganti kelat dan berkarat.

Ketenangan jiwa kian berkocak menganggu ketenangan.Kejujuran dan keikhlasan sudah tiada lagi.Kebaikan dan pujian telah hilang lenyap dari ingatan kerana ditimbusi hinaan. Kegembiraan  dan kebahagiaan, gurau senda serta tawa riang selama ini seceria mentari terbit pagi semakin pudar, malap dan kelam seperti cuaca mendung diliputi awan kelabu.

Segala kenangan indah yang terpahat sudah terbias  jauh bertukar dendam.Maka hilanglah serinya suasana hari yang cerah tiba-tiba dilanda hujan, ribut, guruh, petir bersahut-sahutan mendeba dan menggoncang perasaan sanubari.Apakan daya langit tidak selalu cerah, lautan bukan sentiasa tenang berombak perlahan kadangkala ditiup badai bergelombang juga.

EMBUN DAN BAYU TIDAK MENYAPA LAGI

Kasihan melihat hampanya rumput meniti musim kemarau yang sentiasa memohon belas embun untuk menghilang haus dan dahaga serta tidak pernah jemu menanti menyejuk bahang kehangatan.Bayu juga tidak sudi bertandang menjengah membelai resah rumput bagaikan bayu sudah hilang rasa simpati untuk membelai dedaunnya lagi.

Namun begitu rumput tidak pernah jemu mengharapkan bertandangnya embun setiap pagi dan hadirnya bayu menyapa.Entah kenapa embun dan bayu tidak menjengah lagi kerana rumput sudah mula layu dik kepanasan bahang mentari yang membakarnya sepanjang hari.Entah bila pula titisan gerimis berkunjung jelma untuk menghilang kedahagaannya itu.

DI KALA SEPI RESAH DAN RINDU

Di kala kesepian sendiri, tinggal berseorangan diri di malam nan sunyi lagi sepi ini, apalah yang dapat dilakukan lagi melainkan hanya mampu termenung mengenang orang yang dikasihi nun berada jauh tanpa di sisi.Jika bersayap atau berkepak mahu sahaja meluncur untuk berdakapan melepas segala rindu nan memendam perasaan sentiasa di lubuk jiwa yang keharuan.

Mengharap kesudiannya untuk bertandang kepangkuan mungkin tak berkesempatan, datang bertamu sekadar di persada mimpi cuma.Bayangan senyuman di bibir yang manis dan renungan dan jelingan mata memadai sekadar dipelupuk mata tika terkenang.Kata manis bual bicara cukup hanya didendangkan melalui desiran bayu lembut menyinggah sesekali menampar pipi.

Begitulah jika jauh di mata dekat di hati, rindu-rinduan.Jika dekat di mata di hati jauh, risau-risauan.Jauh di mata jauh di hati, membimbangkan.Akan tetapi seandainya dekat di mata dekat di hati, kasih sayang meniti berpanjangan, boleh dibawa berbincang , ada tempat untuk mengadu tetapi jika berjauhan sudah pasti hati resah selalu dilanda pilu.Ada kesempatan boleh saja bawa bertemu.

MENGEJAR PELANGI

Pelangi hanya dapat dipandang, nak dikejar tak dapat, nak disentuh menghilang, alahai hajat dan hasrat tak kesampaian, kempunanlah aku .....Kalaulah dapat ku gapai pelangi, biar ku jadikan sebagai selimutku, dan sebahagiannya adalah untuk mu, duhai kekasih jadikan selindang, ewah-ewah falasampah ku ....

Alahai, sedihnya bila hasrat dan hajat di hati nak kejar pelangi...tapi apakan daya kudrat kemampuan tak berdaya lagi, sudah tidak mampu untuk berlari, sedihnya, hanyalah tangisan menyulam senyuman.Pelangi hanyalah jadi hiasan tidak langsung memberi kesan menghilang gundah jiwa perasan.... .

Aduhai mengharap pelangi di langit petang, tetapi apakan daya semakin pudar dan kabur warnanya tika senja mula bertandang, disangka langit cerah hingga ke malam, namun awan hitam berarak perlahan, malam tetap kelam, bulan bersembunyi merajuk sepi, kasihan pungguk hiba menanti, kesian, kesian !!!! ....

LANGIT TIDAK SELALU CERAH

Hidup tak selalu indah, seperti langit tidak selalu cerah, ada panas, berawan, mendung dan hujan begitu juga hari ada hembusan bayu, angin dan badai, umpama laut ada tenang, beralun, pasang surut, berombak dan bergelombang, laksana malam ada cerah, ada gelap, ada bulan dan berbintang.

Adakala mengharapkan senang, tetapi hidup serba serbi kekurangan, ada ketika mengharapkan riang , tetapi hati sengsara dan bertandang derita, ada masa hidup kaya dan banyak wang ringgit dan harta tetapi jiwa pula tidak tenang dan hati sentiasa rasa tidak senang.

Jika hidup kaya dan senang, terasa pula dunia bagaikan kosong tiada kawan untuk bersembang, ada kereta mewah, rumah besar, isteri cantik, tetapi tidak dikurniakan Tuhan dengan anak, hidup bagai tersisih bersendirian bagai terkurung di sangkar emas, mata terlepas tapi hidup tidak terasa bebas.

Kadangkala kita melihat seseorang itu kurang berada, makan minum dan pakaian hanya bersederhana, harta setakat alakadar, namun hidupnya selalu ceria dan bahagia di samping anak-anak, dikelilingi kawan-kawan, sahabat handai dan saudara mara.Hidup tidak terkongkong dalam sepi, bebas kemana sahaja mengikut tujuan dan hala hati.

Begitulah hidup manusia, kesenangan dan kekayaan seseorang bukanlah punca mutlak kepada kebahagian.Biarlah kita hidup dalam sederhana tetapi dapat merasai kepuasan dunia.Disamping bersyukur ke atas anugerah Allah, serta memanjatkan doa agar hidup kita sentiasa mendapat kesenangan, ketenangan dan kebahagiaan..

KESETIAAN OMBAK

Sesekali merenung ombak yang tidak putus-putus berlari tanpa jemu dan letih mengejar pantai, memberi seribu erti dalam kesetiaannya memburu pantai.Walaupun pantai terhakis dan berubah namun janjinya tetap juga bertandang ke pantai.Begitulah setianya sang ombak.Kekadang ombak datang bergulung menghempas pantai namun itu adalah seperti ia sedang diamuk resah sesekali ingin meluahkan naluri perasaan marah dan kecewanya namun ia akan tenang semula membelai serta mendampingi pantai setiap saat, hari dan ketika.

BAHTERA KEHIDUPAN

Hidup di dunia ini adalah dibaratkan seperti pelayaran sebuah bahtera di samudera luas, terpaksa menempuh pelbagai dugaan, ujian dan halangan.Ada masanya terpaksa bertarung dengan lambungan ombak menggila , ribut badai dan gelombang yang boleh menggegar bahtera, seandainya tersalah kemudi bahtera akan karam di tengah lautan. 

Ada ketikanya bahtera belayar tenang dik cuaca terang, cerah dan angin bertiup perlahan.Bahtera lebih senang dikemudikan dan tidak perlu bersusah payah untuk bertarung dengan sebarang rintangan. Terpulanglah kepada kebijaksanaan dan kehendak nakhoda ke arah mana bahtera itu hendak dikemudikan agar selamat sampai ke destinasinya.

DERMAGA USANG

Kini dermaga tua tidak begitu digunakan lagi kerana tidak mampu baginya menerima barang punggahan.Kapal-kapal semakin canggih sudah tidak sudi berlabuh lagi di situ kerana tidak memberi sebarang pulangan yang menguntungkan dan mungkin kapal besar itu tersekat selut sebelum berlabuh.
Sepi sungguh dermaga itu namun ada juga bahtera usang yang masih sudi berlabuh seketika kerana tidak mampu belayar jauh dan berehat untuk sementara waktu.Namun sudikah dermaga itu menerima bahtera yang semakin lusuh dan tidak begitu mampu untuk belayar menentang arus ombak dan gelora.

Mungkin seandainya bahtera itu menyelusuri jauh mungkin patah layarnya atau karam sebelum sampai ke laut dalam.Jika bahtera usang itu tenggelam pun tiada apa yang hendak dibimbangi orang kerana semakin mereput dan wajar baginya karam dari terus berjuang menentang badai dan karang.

Terima kasih wahai dermaga yang masih sudi menerima bahtera usang ini berlabuh seketika.Agar persinggahan ini akan menemukan kita sekiranya bahtera masih mampu belayar dan mungkin akan terus berlabuh di sini memunggah segala saratnya dan terus melabuh sauh tanpa mahu berganjak lagi.

CAHAYA KUSAM SERPIHAN KACA

Beginilah nasib diri yang ditimpa malang kerana kemiskinan hidup, siapalah yang sudi memandang.Penderitaan yang ditanggung, amat sukar ada insan yang sudi membantu.Hidup bagai terbuang sepi dan kesunyian tinggal seorang menyendiri.Sudah puas berusaha namun hidup tidak pernah jua beroleh senang.

Sudahlah miskin wang ringgit dan harta malah miskin pula budi bahasa, hidup ibarat melukut di tepi gantang.Masuk tak cukup keluar tak kurang.Namun biarlah airmata duka dan darah yang mengalir  di hati yang luka menjadi penawar derita merempuh hidup demi mencari kebahagian sendiri ...

Mengapa dilahirkan dalam kesusahan dan mengapa pula hidup tersiksa, mengapa tidak sahaja dilahirkan dari keturunan orang berada dan berharta, dapatlah juga merasa kemewahan hidup, mungkin setiap hari dalam bahagia dan dipandang mulia.Mungkinkah ini akan berterusan selamanya, entahlah....

Beginilah nasib diri umpama deraian kaca hanya bercahaya kusam disinari mentari, tidak akan menyilaukan mata orang memandang seperti cahaya permata yang sentiasa memancar menyelinap di setiap mata nan sentiasa menjadi pujaan, idaman dan kegilaan manusia.Itulah bezanya antara kilauan kaca dengan permata.

Kaca tetap kaca, manakan sama batu permata,
serpihan kaca tidak bernilai, batu permata amat berharga......

RESEPI RENCAH KEHIDUPAN

Hidup di dunia pelbagai rencah kehidupan selalu kita kecapi, rasai, lalui dan tempuhi.Sudah menjadi lumrah, boleh dikatakan setiap hari pelbagai pengalaman yang bertandang samada suka atau pun duka pasti datang dan pergi bersilih ganti.

Manusia sentiasa memperolehi nikmat kebahagiaan dan kesempurnaan, namun sebaliknya tidak dapat lari dari menerima kesusahan dan penderitaan sesekali dalam hidup seperti kelukaan, kesengsaraan, pedih, perasaan resah, gundah gulana, duka dan nestapa.

Hari ini mungkin kita memperolehi kebahagiaan dan keselesaan dalam hidup, mungkin dikurniakan dengan limpahan rezeki, kemanisan pengalaman atau sebagainya, bersyukurlah.

Namun jangan lupa bahawa resepi kehidupan adakalanya datang saat kemasinan, masam, kelat, pedar,  pedas dan tidak kurang bertandangnya saat diterjah  tawar dan pahit getir kehidupan.Maka di saat inilah kita harus tabah menghadapinya dengan tenang dan sabar.

Jika diadun dengan sempurna resepi rencah kehidupan ini, tidak kira dalam apa bentuk yang datang sekalipun, akan dapat dirasai nikmatnya dengan kesyukuran dan bermuhasabbah diri jika ditimpa resah dan bencana.Kita hanya mampu merencana namun Tuhan yang menentu akan segalanya.

HIDUP UMPAMA LAYANG-LAYANG

Ibarat kehebatan layang-layang berterbangan sayup mencecah awan, sebebas mana ia bergerak namun tali benangnya masih dipegang dan dimainkan orang, jika terputus terajunya ia akan berpusing dan terus sahaja menjunam tanpa dapat dikawal, seandainya terputus benangnya maka layang-layang akan bebas berterbangan tanpa arah tujuan, akhirnya jatuh jua ke tanah atau tersangkut di ranting dan dahan dan reputlah ia di situ.


Begitulah dengan kehidupan manusia di dunia kita hanya mampu untuk meneruskan kehidupan seharian dengan berbagai cara ada masa kita berada di atas dengan kejayaan, begitulah sebaliknya kadang-kadang kita jatuh menjunam kerana kelekaan dan kekurangan.Kita hanya dapat merencanakan sesuatu tetapi Allahlah yang menentukan segalaNya.Nyawa dan kehidupan kita adalah dipinjam dari Allah.

Aduhai .....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...