Bandar Kampar terletak di Lembah Kinta sebuah Daerah yang ke 10 dalam Negeri Perak yang telah di anugerahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 21.5.2009.Kampar sebuah bandar yang terletak di antara Pekan Gopeng di sebelah utara kira-kira 20 km dan 16 km dari Pekan Tapah di sebelah selatan melalui Jalan Persekutuan.
Pada awalnya Kampar memperolehi nama dari pedagang dan pendatang orang-orang dari Kampar Sumatera yang datang berniaga dan berladang, dan akhirnya menetap di sini.Sebagai mengingati tempat asal mereka, maka tempat ini dinamakan Kampar.Oleh kerana Kampar terletak di dalam Daerah Kinta yang kaya dengan bijih timah maka ramailah penduduknya mengusahakan industri ini secara kecil-kecilan seperti mengorek lubang tanah atau melanda bijih di sungai-sungai.
Selepas itu perlombongan secara tradisional diusahakan oleh taukeh-taukeh Cina dan pedagang Inggeris telah membuka perlombongan secara kapal korek telah menggamit pendatang berbangsa Cina dari pekan-pekan di utara Perak dan Pulau Pinang, begitu juga pendatang dari Negara Cina yang bekerja dalam perusahaan bijih timah.Maka dari sehari ke sehari Kampar telah berkembang pesat sehinggalah pada tahun 1983 perdagangan bijih timah merosot.Walaubagaimanapun kepesatan Kampar dalam bidang ekonomi dijana pula dengan sektor perniagaan dan pertanian.
Kini Bandar Kampar telah membangun dengan pesat dan pelbagai pembangunan dengan terbinanya pula Bandar Baru Kampar di mana terdapat bangunan perniagaan, hotel dan Universiti Tunku Abdul Rahman.Perumahan telah banyak didirikan di bekas-bekas tanah lombong dan pembukaan kawasan tanah baharu.Penduduk Bandar Kampar terdiri dari keturunan Cina, Melayu, India, Orang Asli dan bangsa-bangsa lain.
Kemudahan riadah di Kampar adalah seperti Air Terjun Batu Berangkai, Lata Salu, Tasik Kampar dan lain-lain lagi.Pelbagai arena dan tempat riadah sukan juga telah didirikan.Seperti bandar besar lain Kampar juga tidak terkecuali didirikan Pasaraya Tesco, Hotel,Rumah Rehat dan restoran-restoran yang sentiasa menggamit pengunjung untuk datang ke bandar ini.