Jumaat, 16 Ogos 2013

KENALI TOKWAN MATARUN ~ AHMAD BIN HARUN



Aku telah dilahirkan di Kampung Jalan Paku, Bidor, pada 8.30 pagi 10.3.1958 oleh ibuku Sabtiah bt. Maarof merupakan anak yang kedua dilahirkan ibu.Ayah dan ibu telah menamakan aku Ahmad Tarmizi, entah macamana semasa membuat lapuran pendaftaran di Balai Polis Bidor, nama Tarmizi itu tercicir dari ditulis oleh polis berkenaan ataupun ayah ku terlupa menyebut nama tersebut, maka jadilah namaku Ahmad bin Harun sahaja.Semasa aku dilahirkan ayah masih lagi bertugas sebagai Sepecial Constable (SC).

Pada tahun 1960 aku dan keluarga ku berpindah ke Kampong Baharu, Jalan Sungkai, Bidor kini dikenali sebagai Kampung Cegar, Bidor, setelah ayahku tamat perkhidmatan.Pada tahun 1965 aku telah memasuki alam persekolahan dalam darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Bidor, dimana Guru Besar ketika itu adalah Allahyarham Cikgu Basir, dan guru kelas yang mula-mula mengajar aku mengenal huruf dan angka adalah Allahyarham Cikgu Razali dan beberapa orang guru lagi.

Pada tahun 1966 semasa darjah 2, guru kelas aku ketika itu adalah Allahyarham Cikgu Shamsuddin, dan semasa ini aku adalah seorang murid yang agak baik, pendiam dan aku adalah seorang yang sederhana dalam pelajaran dan ketika ini Guru Besar sekolah adalah Allahyarham  Cikgu Saisi bin Nordin (bapa kepada penyanyi dan pelakon Kazar).Pada tahun 1967 aku masuk ke darjah 3 dimana guru kelas ku masa itu adalah Allahyarham Cikgu Abdullah dan Allahyarhamlah yang mula-mula memanggil namaku Mat Arun hingga kekal sampai kini, inilah jasanya yang tak dapat ku lupakan kerana nama inilah diri aku ramai yang kenal dari nama yang sebenar.

Pada 1968 aku masuk kedarjah empat dan guru kelas ku ketika itu adalah Allahyarham Cikgu Shaari dan tahun ini juga aku terlibat dengan kemalangan jalan raya semasa balik dari mengaji Quran dan dimasukkan ke Hospital tapah selama 2 minggu, kesan parutnya masih ada sehingga kehari ini.seterusnya pada tahun 1969 aku di darjah 5 dimana guru kelas ku ketika itu adalah Allahyarham Cikgu Zaman Huri dan pada tahun 1970 guru kelas ku ketika itu adalah Cikgu Zulkarnain.

Pada tahun 1971 aku telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh dalam tingkatan peralihan guru kelas ku adalah Mr Lee Kong Leong dan tinggal di Asrama Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, dan pada tahun 1972 dalam tingkatan 1A6 guru kelas ku adalah Mr Ngu Boui Deck, Tingkatan 2A6 Mr Clement Manickam, Tingkatan 3A6 guru kelas  Mrs Chua, Tingkatan 4A4 guru kelas ku Mr Chan Hon Yew dan Tingkatan  5A4 guru kelas ku adalah Mrs Fong.Aku duduk di Asrama Jalan Tambun/Watson, Ipoh bermula pada tahun 1972 sehinggalah tamat persekolah tingkatan 5 pada tahun 1976.

Selepas itu aku masuk belajar ke Sekolah Agama harian di Tapah selama setahun maklumlah Ilmu Agama semasa aku di Sekolah Menengah dahulu amat terbatas.Selepas tamat belajar selama setahun aku membuat kerja-kerja sampingan dan pernah bekerja sementara dipelbagai tempat.Sehinggalah pada bulan Disember, 1979 aku dipanggil berkursus di Alor Setar, Kedah dan di Padang Rengas, Perak.
 
Pada 1.3.1980 aku telah ditugaskan di Pekan Parit.Pada 4.8.1984 aku telah berumahtangga dengan Rosni binti Buyong dan memperolehi 3 orang cahayamata 2 lelaki dan seorang perempuan.Kehendak Allah pada tahun 1994 setelah 10 tahun hidup bersama kami berpisah.Akibat peristiwa itu aku memohon bertukar ke kampung halaman ku untuk memudahkan aku mengurus anak-anak yang dibawah jagaanku.

Pada tahun 1996 dapat juga aku ditukarkan ke Pekan Sungkai.Pada tahun Pada 5.12.1999 aku telah mendirikan rumahtangga kali kedua bersama kawan lama ku Aziah binti Ahmad seorang janda beranak 3, tetapi perkahwinan kami tidak dikurniakan walaupun dengan seorang anak.

KENALI TOKWAN MATARUN ~


Ketika berumur setahun lebih
1959

Walaupun berkelulusan setakat MCE namun tokwan bersyukur kehadhrat Ilahi kerana tokwan dapat menampung dan meneruskan hidup bersama keluarga tercinta dengan kudrat 4 kerat yang dikurniakan Allah.Disamping itu juga tokwan mendapat bantuan sedikit sebanyak dari isteri yang bertugas sebagai seorang Eksekutif disebuah syarikat dan anak-anak tersayang.

Tokwan minat membaca, menulis, berpantun, berkawan, bertukar fikiran dan bertukar pandangan. Blog tokwan matarun laksana sebutir melukut terbuang ini telah dibuka pada 6.11.2010.Terima kasih kepada mereka yang sudi melayari blog tokwan matarun serta memberi buah fikiran dan pandangan kepada tokwan. Seandainya baik, jangan terus dipuji, jika buruk jangan pula dikeji.

Seandainya semua sahabat membaca blog tokwan terasa gula, maka manislah jadinya, sekiranya membacanya terasa pahit dan kelat maka pahit serta kelatlah, jika terasa cili maka pedaslah begitulah sebaliknya kalau terasa tawar hanya biasa-biasa sajalah.Sesungguhnya segala yang baik itu semuanya datang dari Allah, yang daif dan buruk itu datang dari kelemahan tokwan sendiri.

MENGAPA TOKWAN MEMINATI SENI PANTUN

Sudah...tokwan dah mula berpantun ?
Tokwan tak jemu ke berpantun ?
Sampai bila tokwan nak berpantun ?
Isyyy tokwan dah mula berpantun pulak  !!!.....

Inilah ungkapan dari sahabat handai, kawan dan rakan apabila tokwan memulakan rangkap pantun di facebook.Entahlah mengapa tokwan suka berpantun di facebook.Sebenarnya tokwan memang suka berpantun sejak tokwan berada di bangku sekolah rendah lagi.Tokwan memang gemar dan minat dengan ungkapan dan makna yang begitu berseni dalam budaya Melayu.Jika terdengar sahaja ungkapan pantun baik di radio atau di kaca telivisyen tidak hairanlah jika tokwan meneliti dan menghayatinya.

Masih terngiang-ngiang di ingatan tokwan pada tahun 1960an hingga awal 1980an dimana Radio Malaysia pernah mengadakan Rancangan Berbalas Pantun, tokwan masih lagi mengingati juruhebah yang menjadi pengacara pantun iaitu Karim Mohamad dan Chauri Selamat.Selalunya acara itu diwakili 3 orang juruhebah dan 3 orang wakil jemputan yang terpilih.Namun kini rancangan itu telah tiada lagi.

Sejak itulah terdetik dan terpahat di hati tokwan untuk berpantun, kebiasaannya pantun-pantun yang menjadi kegemaran tokwan adalah pantun yang menggambarkan naluri hati ketika merajuk atau terasa hati.Pantun-pantun begini menggambarkan rahsia hati yang berseni untuk disampaikan kepada seseorang dengan cara yang lebih lembut, berhelah dan tersirat.

Terpulanglah kepada penerima yang membaca atau mendengar ungkapan dalam bahasa pantun tersebut samada mereka faham makna  yang tersurat atau tersirat serta dapat diselami maksudnya. Adakala maksudnya ditafsir berbeza ikut kefahaman sendiri.Di situlah terletaknya seni pantun ini.

Pada tahun 1960an juga tokwan pada masa itu masih dalam darjah 3 dimana tokwan menghadiri satu majlis perkahwinan.Semasa rombongan pengantin lelaki sampai, maka ada seorang yang telah berumur tampil kehadapan lalu memulakan pantunnya dengan membaca sekeping kertas yang diambilnya dari poket.Meriah sungguh acara menjual pantun pada masa itu dengan sorak sorai dan gelak ketawa dengan pantun yang mengusik.

Setelah wakil pihak lelaki itu selesai berpantun, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang separuh umur mewakili  pihak pengantin perempuan yang bersahaja berpantun tanpa menggunakan kertas, semuanya keluar dari mulutnya dengan lancar membeli pantun-pantun yang dijual oleh pihak lelaki tadi.Gamat sungguh dan meriah ketika itu dengan tepokan dan sorakan.Akhirnya kedua-dua pihak bersatu berpantun menarik perhatian semua hadirin.

Begitu juga acara majlis meminang sudah tentu orang-orang lama dahulu memulakan majlis mereka dengan berpantun penuh dengan gaya tradisi.Memang susah hendak dicari majlis seperti itu lagi di masa sekarang kerana mungkin orang-orang muda sudah tidak begitu ramai yang meminati seni pantun.Dibimbangi seni pantun tidak mustahil akan pupus dari adat tradisi orang Melayu pada satu masa nanti.

Sejak dari itulah tokwan jatuh cinta dengan seni puisi Melayu ini.Walaupun pantun-pantun yang tokwan sampaikan tidaklah menepati kehendak seni Melayu dengan cara yang betul, namun sehelah daya tokwan bersungguh-sungguh untuk mendalaminya.Biarlah tokwan dikatakan masih kuno berpantun namun itulah yang menjadi kebanggaan tokwan.

Terima kasih pada kawan-kawan yang telah memberi sokongan dan ada juga yang sudi berbalas pantun dengan tokwan.Sesungguhnya pantun adalah warisan seni adat budaya Melayu yang perlu diteruskan dari generasi ke generasi agar tidak lenyap ditelan zaman.

TUGASAN TOKWAN DI MASA LAPANG ~

Setelah habis kerja pejabat dan kerja-kerja dirumah yang sepatutnya sehari-hari, aku tidak lepas peluang untuk menulis, membaca blog dan juga berfacebook bersama kawan-kawan untuk menghilangkan kerunsingan dan ketegangan semasa bekerja seharian di pejabat ataupun diluar pejabat.Bagi ku apa yang aku lakukan bukannya membazir waktu tetapi itulah caraku berhubung dengan kawan-kawan ku di maya pada ini.Aku tidak pandai untuk memenuhi atau membuang masa bersiar-siar atau melepak diluar.

Walaupun aku bukan seorang penulis tetapi aku suka menulis berkaitan cerita-cerita dan kisah kejayaan beberapa sahabat sekolah dan tidak lupa juga aku mengarang pantun, yang telah menjadi minat ku sejak dari sekolah rendah lagi.Inilah satu peluang aku untuk menambah koleksi pantun-pantun ku yang selama ini aku himpun dalam fail tetapi semuanya telah musnah dek air banjir kilat semasa aku menyewa rumah lama dahulu.

Sekarang aku sering juga berpantun di facebook bersama kawan-kawan, disini dapatlah aku menyimpan pantun tersebut didalam blog ku, seandainya blog dimusnahkan failnya aku tleah menyimpan salinan tersebut didalam thumbdrive ku sebanyak 3 unit supaya thumb drive ini juga dapat menjadi back up antara jika dimusnahkan oleh virus.Biarlah orang mengatakan aku membazirkan waktu dengan kerja-kerja tidak memberi menafaat, tetapi aku tidak marah kerana mungkin ada kebenarannya.

Bagi ku, aku tidak mensia-siakan waktu dikedai-kedai kopi aku hanya menghabiskan waktu dengan bersembang dengan kawan-kawan ku dirumah melalui facebook dan aku menulis diblog atau membaca blog untuk menajamkan lagi fikiran dan pengetahuan ku yang semakin menumpul, maklumlah diusia meniti senja ini.Tiada harta yang akan ku tinggalkan untuk anak-anak hanyalah penulisan ku jadi kenangan setelah ketiadaan ku nanti.Semoga kawan-kawan akan mengerti perasaan ku kini, perasaan seorang tua yang suka hidup bersendirian....

KENANGAN MENGUSIK JIWA (KU SANGKA PANAS HINGGA KEPETANG RUPANYA HUJAN DITENGAHARI)

              
Aku telah berkenalan dengan bekas isteri ku sejak dia bersekolah dalam tingkatan tiga dan masa itu aku telah berusia 20 tahun dan bekerja sebagai guru semnetara. Aku telah berjumpa dengannya pada hari raya pertama ketika sama-sama pergi kerumah kawan ku di Sungai Kelah, Sungkai dan rumah kawan ku itu juga merupakan kawannya juga.
                   
Maka dalam perjalanan balik menaiki bas aku berkenalan dengan sidia walaupun sebelum ini aku telah ramai kenalan lain.Entah bagaimana dari sehari kesehari hubungan kami memang mesra dan rapat tambahan pula dia adalah seorang anak yatim dan dijaga oleh ibu saudaranya.Kakak-kakaknya semua telah mendirikan rumahtangga dan abangnya bekerja sebagai seorang anggota tentera.
                   
Setelah sekian lama berkawan kerap kali juga dia datang kerumah di hari raya,maklumlah tunjuk rajin memasak, membasuh pinggan mangkuk menawan hati ibu dan keluargaku.Aku mula rasa kasihan dan terbit perasaan sayang dan cinta dan masa ini aku sentiasa berutus surat panjang berjela, kalau dihimpunkan bolehlah dibuat novel.Kemudian aku telah bekerja di salah sebuah badan berkanun dan sidia telah tamat bersekolah tingkatan lima.
                   
Pada satu petang sedang aku menghadiri kenduri jiran ku di hadapan rumah dengan hanya beberapa suap nasi yang aku makan, aku telah dipanggil balik kerumah oleh adik ku kerana ada sesuatu hal, terkejutlah aku, ingatkan ada keluarga ku jatuh sakit secara tiba-tiba.
                   
Apabila aku sampai dirumah aku disuruh oleh kakak ku duduk diatas tangga dibahagian atas, mereka duduk disebelah bawah antara ibu rumah atas dan dapur bawah.Aduh laksana dimahkamah pula lagaknya.Emak, ayah, adik-adik semua diam sahaja seolah-olah menjadi juri, abang iparku bagaikan peguambela, dan kakak ku ala pendakwa.Serious benar nampaknya kesalahan yang aku lakukan ini.
                   
Masih ingat aku soalan yang mula sekali dikeluarkan oleh kakak ialah berapa banyak duit yang kau simpan, hairan juga aku apa salahnya aku.Aku tidak pernah membuat kerja mencuri atau kerja yang haram, aku senyum cuma menjawab taklah banyak sangat, maklumlah gaji kecil.Aku menyoal semula apahalnya hingga aku diperlakukan begini.Barulah kakak ku bercerita yang dia baru balik kenduri di kampung dan ramai yang hebuh kerana aku sering membawa perempuan balik ke rumah, rupanya sebelum itu opah saudaraku heboh dirumah kenduri mengatakan aku hendak dijodohkan, ibu hanya berkata tunggu sahaja kakaknya balik, hanya kakak dia yang dia segan.

Bila kakak ku balik opah saudaraku pun bertanya ditengah-tengah majlis kenduri kaitan hal aku.Maka kerana keluarga ku malu dengan kehebohan orang dirumah kenduri berkaitan dengan diri ku maka atas nasihat abang iparku eloklah aku ditunangkan dan dikahwinkan.Maka barulah aku faham dan kakak meminta aku buat pilihan siapa yang aku mahu.Maklumlah girlfriend ramai, yang ini sayang, yang itu kasih, yang disana menunggu, dan disini menanti.Tolak campur  dharab bahagi maka aku buat senarai pendek dapat 4 dari yang ramai itu.
               
Pilih satu dari empat kata kakak ku terjegil biji matanya, kakak tahu yang aku ni memang segan dengan dia.Pilih punya pilih, tapis punya tapis tinggal dua.Sekarang kakak nak pilih satu dari dua.Kalau kau mahu dia kakak tanggung belanja bertunang dan tampung duit kenduri, kalau kau pilih sianu, itu kakak tak mahu keluarkan belanja.Emak, ayah dan semua telah berpakat teringinkan dia ni jadi menantu, rajin, ramah, pandai masak dan hidup menumpang dengan ibu saudara pulak tu.
                   
Aku pun jawab ikutlah kata kakak dan keluarga.Petang itu juga emak pergi memanggil orang harapan untuk merisik termasuklah opah saudaraku tadi (arwah).Berita cepat tersebar pada teman-teman perempuan ku,ramailah yang sumpah seranah, merajuk, tak mahu tegur pada aku kerana mungkir janji termasuklah kadle aku si Jamuna yang aku pernah berjanji nak kahwin campur dengannya.
                   
Besoknya pergilah kami kerumah kakaknya untuk merisik, seterusnya acara pertunangan ditetapkan dan dilangsungkan.Janji setahun hendak dilangsungkan majlis perkahwinan tetapi disebabkan opah ku meninggal dihari hampir majlis perkahwinan itu maka ditangguhkan lagi ke 6 bulan atau setahun kerana masing-masing masih lagi bersedih dengan pemergian opah ku itu.

Maka pada 4.8.1984 malam aku diakad nikahkan di Felda Trolak Selatan dan besoknya acara majlis persandingan.Masa itu umur aku 26 tahun dan umur isteri baru 21 tahun.Hinggalah sepuluh tahun kami hidup bersama dan memperolehi 3 orang cahaya mata kami terpaksa berpisah, maka bermulalah hidupku yang berkecelaruan kerana aku tersangat menyayangi isteri ku dan sebelum ini kami dikenali sebagai loving couple.Begitulah kehendak Allah jodoh pertemuan, ajal maut,bertemu dan berpisah semua nya di tangan NYA.Sebab-sebab perceraian ini biarlah aku simpankan dari pengetahuan umum demi kebaikan dan menjaga hati masing-masing.

PENGALAMAN KALI KEDUA


Majlis perkahwinan ku dengan isteriku sekarang Pn Aziah Ahmad di Kg Changkat Berangan, Lenggong pada 5.12.1999~ kami masing-masing mempunyai 3 orang anak, sebenarnya jodoh kami masih ada kerana sebelum ini pernah berkahwin dengan pasangan masing2 yg berakhir dengan perceraian.Aku dan Aziah adalah kawan lama sebelum kami berkahwin dengan pasangan terdahulu. Begitulah jodoh ditangan Tuhan, tiada pernah terfikir jodoh antara kami masih ada.

kisahnya begini:

Semasa aku membujang semula, Aziah pun mulalah berkrisis dengan suaminya, entah macamana kami pun bejumpa setelah Aziah talipon aku secara tak sengaja kerana semasa bertugas Aziah diberitahu yang ada seseorang talipon dari Tapah, maka aku pun berkata aku tak talipon pun, dia pun bercerita masalahnya, maklumlah kami ini telah berkawan lama dan telah mengenali ibubapa dan adik beradiknya semasa kami dialam persekolahan dahulu.Salah seorang adiknya pernah tinggal bersama ibu saudaranya di asrama jalan watson dirumah bapa Rashidi Manap dan bekerja mencuci pinggan mangkuk.
             
Setelah Aziah berpisah dengan suaminya kami kerap berjumpa selama 2 tahun dan selepas itu kami masing-masing mendiamkan diri dan tidak mahu berjumpa lagi.Apabila hampir 4 tahun barulah Aziah talipon semula dan kami pun kerap berjumpa dan kadangkala menghabiskan masa berbual dalam kereta sepanjang perjalanan keutara atau selatan dan hantar beliau balik.Kami berhenti jika ingin mengisi perut sahaja.
            
Apabila hubungan kami dihidu oleh keluarga ku maka kakak ku jugalah yang memainkan peranan , ketika itu kakak baru balik dari Johor dan dia buat perkara yang sama seperti ingin menjodohkan aku dengan bekas isteriku dulu.Tapi kali ini lebih advance.Jika kau ada sesiapa yang kau nak bolehlah kakak uruskan katanya pada aku.

Aku kata ada tapi aku tak mahu anak-anak merajuk hati, tetapi dia meminta aku memujuk anak-anak secara perlahan, mereka pun sudah mengenali Aziah dan telah pun mesra dengan memanggil Aziah tu mama.Jadi aku pun bersetuju dan kakak meminta aku talipon Aziah kerana kakak dan abang ipar ku akan datang kerumah kakaknya di Sungai Siput pada besok petang kerana nak meminang Aziah.Terkejut dan terketar suara Aziah membalas percakapan aku dan kakak ku dalam talipon.

Aziah terpaksa balik ke Sungai Siput petang itu juga dan memberitahu kami nak datang. Maka tergopoh gapahlah kakak Aziah buat persediaan untuk menerima kedatangan kami, serta memberitahu ibubapa dan abang serta adik beradiknya berkaitan hal ini.Kami cuma datang nak bertanya tapi sambutannya agak terkejut juga dengan persiapan yang rapi.Kami hanya membawa sebentuk cincin sahaja dan kami pergi pun tak ramai kakak dan suami, adik dan suami serta anak2 kakak.

Setelah perbincangan dibuat, cincin dah dihulurkan maka termeterailah perjanjian itu tanpa pertunangan dimana 2 bulan selepas itu kami diijab kabulkan  pada 5.12.1999 ketika aku berumur 41 tahun.Kenduri dilangsungkan sederhana sahaja tidaklah seperti perkahwinan pertama dahulu.Walaupun begitu kehadiran tetamu di rumah ibubapa Aziah memang ramai.

Begitu jugalah kenduri dirumah ibubapa ku tidaklah meriah, tetapi yang menghairankan ramai tetamu yang hadir walaupun tak diundang kerana masing-masing mahu melihatku bersama isteri yang baru kerana mereka teramat simpati dengan nasibku.Tetamu yang diundang dan tak diundang tetap juga kami layan dan jemput makan makanan yang disediakan, alhamdulilah semuanya cukup.Kini perkahwinan kami hampir masuk ke 11 tahun.

Alkisahnya sebelum berkahwin dengan Aziah ramai  ibu-ibu yang datang merisik ibu ku ingin menjadikan aku menantu atau menjodohkan anak saudara mereka tetapi semuanya aku tolak, entah mengapa dengan Aziah aku hendak pula.Allah yang Maha Mengetahui.
           
TOKWAN DAN ANAK-ANAK

Diambil ketika Hari Raya Aidil Fitri kedua bersama anak-anak tahun 2010, berdiri dari kiri: Muhamad Hidzami (anak ke 2), Mohd Amirul Hafidz (anak sulung) dan Aini Syufina @ Fifi (anak bongsu), 

Jika anak-anak ku balik ke rumah maka hidup sangat bahagia, maklumlah aku sunyi tinggal berseorang diri dirumah maklumlah semuanya sudah berjauhan. Apis dan abangngah sudah bekerja manakala Fifi pulak masih belajar di UiTM, jarang sekali kami dapat bersama berempat beranak.Ramai yang hairan mengapa gambar kami sahaja dan gambar ibu mereka tiada disini sebenarnya ibu mereka sudah pun menjadi isteri orang lain.Ramai juga yang bertanya mana pula gambar isteri tw ?, oh sebenarnya isteri tw tinggal di Ipoh bersama anak-anaknya, dan pada hari raya yang lalu isteri tokwan beraya di kampungnya bersama-sama anaknya pula.

Kami masing-masing mempunyai anak-anak, dan hati anak-anak lebih utama terutamanya ketika menyambut hari raya, masing-masing ingin berhari raya dirumah opah mereka di kampung begitulah juga dengan aku dan anak-anak ku.Inilah pengorbanan kami demi anak-anak.Boleh dikatakan setiap kali Hari Raya kami buat cara begini, tiada perasaan sedih atau pun sakit hati, sekurang-kurangnya tiada peperangan mulut setiap kali hari raya.Entah sampai bila kami begini, hanya Allah sahaja yang menentukan.

Adakalanya beberapa kali dalam sebulan diwaktu cuti dihujung minggu dapat juga anak-anak aku berkumpul di rumah kami di Bidor, dan kini anak ku yang sulung telah pun tinggal bersama ku sejak 2.12.2010 kerana telah bertukar dan bekerja di Tapah Road, dan dengan adanya beliau disini adalah diharapkan kesunyian ku akan berkurangan.Apis telah pun berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Kini tokwan telah pun mempunyai dua orang menantu perempuan dan mempunyai seorang cucu perempuan dari perkahwinan anak tokwan yang sulung.Dengan kehadiran menantu dan cucu tokwan menambahkan lagi keceriaan dan kebahagiaan hidup tokwan yang serba kekurangan ini.Disamping mempunyai dua orang menantu tiri dan dua orang cucu dari perkahwinan mereka. Nampaknya akan bertambah lagi dua tu ...

ANAK PERTAMA

MOHD AMIRUL HAFIDZ BIN AHMAD @ APIS

Setelah berkahwin dengan isteriku Rosni bt Buyong kira-kira 10 bulan selepas itu kami dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Mohd Amirul Hafidz Bin Ahmad.Sebelum mengetahui dia mengandung, isteriku ketika itu sedap sangat memakan biji buah asam gelugor yang diberi oleh kakak angkat ku Puan Rosnah bt Jamil di Kampung Belanja Kiri, Parit, beliau juga adalah kakak kepada kawan sekolah ku di SMI iaitu Allahyarham Mohd Safri Jamil @ Awi.Pada keesokan harinya aku dan isteri menumpang menaiki kereta baru sahabatku En Ghazali Bin Abdullah (Kini Haji) baru sehari dibeli iaitu kereta Mazda 323 belum pun buka plastiknya lagi, untuk ke majlis perkahwinan kawan ku Saudara Nordin Tunggal dikampongnya di Sungai Buloh, Selangor.

Dalam perjalanan ke sana berhampiran Kampong Bahagia, Telok Intan isteriku pening dan muntah diatas ribaku dan diatas tadahan telapak tanganku, mujur tak kena seat kereta, aku ingat dia tak tahan dengan bau kereta baru ataupun kerana makan biji asam gelugur semalam. Kami terpaksa singgah di Masjid di Kampung Bahagia,Telok Intan untuk cuci tangan dan seluarku yang kena muntah isteri ku tadi, Setibanya di pekan Telok Intan aku terpaksa membeli seluar jeans yang baru kerana menggantikan seluarku yang berbau hanyir dan terdapat kesan sisa muntahan isteri ku tadi.

Setelah balik dari majlis kenduri itu isteriku selalu pening kepala, aku bukan arif hal-hal orang nak hamil ni, maklum lah baharu sahaja berumah tangga, inai dijari isteriku pun masih ada bayang-bayangnya lagi.Setelah minta pandangan dari kakak angkat dan ibu angkat ku di Kampong Belanja Kiri, serta ibu dan bapa angkat ku di Parit iaitu Allahyarham Mohamed Rashid Yassin di Parit ketika itu (panggilanku padanya Pak Rashid) dan isterinya Allahyarhamah Rodiah Yunus yang aku panggil mak, menyuruh aku bawa keklinik sebab pada pandangannya isteriku itu sudah berisi.

Aku pun membawa isteriku ke klinik Allahyarham Dr Jamal di Parit, dimana mengesahkan isteri aku telah hamil, maka aku dan isteri pun gembira mendengar berita ini, rupanya isteriku bunting pelamin.Semasa hamil isteriku memang teruk alahannya, tiada selera makan jika ada selera pun asyik nak makan sambal tumis jering ikan bilis yang aku masak, bau wap nasi pun boleh muntah, setelah alahannya berkurangan sudah nak makan panggang ikan terubuk sahaja.Maka pada masa cuti 18.5.1985 aku bawa isteri ku kerumah kakaknya di Sungai Siput dimana beliau berasa sakit untuk bersalin pada 19.5.2010 dari tengahari lalu dibawa ke Hospital Ipoh .

Aku menunggu diluar bilik bersalin itu dari petang hinggalah jam 12.30 pagi 20.5.1985 barulah isteri ku muncul dari bilik bersalin dengan melahirkan anak lelaki seberat 3.55kg dan aku beri nama Mohd Amirul Hafidz sempena nama yang diberi oleh bapaku Mohd Amirul dan Hafidz adalah nama yang aku dan isteri persetujui sebelum ini.Sebelum lahir kami ingat kami menerima anak perempuan maklumlah keluarga kami masing-masing semua mendapat anak perempuan pada kelahiran sulong.Banyaklah persiapan menyambut bayi dengan pakaian bayi perempuan.Nama pun sudah disediakan iaitu Nur Diyana.

Alhamdulilah maka gembiralah aku mendapat anak lelaki yang sulung, dan merupakan satu-satunya cucu lelaki ayahku masa itu.Memang ketika itu Apis ni manja dengan datuk, opah, ibu dan bapa saudaranya . Datuknya Allahyarham Harun Bin.Salleh.Bapa ku telah mengadakan kenduri besar-besaran naik buaian di Kampung Cegar, Bidor seperti menyambut majlis kenduri kahwin laksananya sungguh meriah kerana ayah ku begitu bersyukur kehadrat Allah kerana mengurniakan cucu lelaki yang pertama dari kalangan cucu-cucu perempuan yang sedia ada.

Pada umur 9 bulan Apis sudah bertubuh seperti budak yang berumur setahun lebih dan sudah pandai bercakap-cakap dalam bahasa budak kecil.Dia tak pernah merangkak, menjulur terus bergerak merangkak seperti anak beruk berjalan menggunakan tangan dan hujung jari kaki.Apis telah masuk ke sekolah Tadika ketika berumur 4 tahun, atas kehendaknya sendiri, masa itu sekolah Tadika berada di hadapan rumah tempat ku menyewa sahaja.

Beliau memasuki sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Belanja Kiri, Parit, kemudian berpindah ke Sekolah kebangsaan Bidor, dan meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani Bidor, dan Sekolah Seri Ampang, Ipoh, dan pernah bersekolah di Anglo Chinese School, Ipoh, dan akhirnya aku bawa balik semula bersekolah bersekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani, Bidor, semula. Habis bersekolah beliau bertugas di kilang Proton, Tanjong Malim selama 2 tahun dan telah menjadi team leader dalam usia yang muda, dan Apis telah berkerja di sebuah pusat pengajian tinggi Seri Iskandar, Bota, Perak DR. kini telah di tukarkan ke cawangan Tapah Road, Tapah.

ANAK KEDUA

MUHAMAD HIDZAMI BIN AHMAD

Sebelum mengandunkan Muhamad Hidzami , isteri ku mula dimasukkan ke Hospital Ipoh tiba-tiba jatuh sakit dan disyaki sakit buah pinggang kerana kencing kotor,  setelah dimasukkan kira-kira seminggu barulah doktor dapat kesan bahawa  isteriku alahan mengandung.Ketika mengandungkannya tidak begitu bermasalah cuma adat orang mengandung teringinkan makanan yang agak pelik sedikit, masa itu isteri ku asyik suka makan mi goreng yang dibuat oleh seorang India Muslim di Kampung Sungai Korok Parit iaitu Allahyarham Bakar yang berkahwin dengan isterinya penduduk di Kampung Sungai Korok, Parit.

Masa ini kehidupan kami sekeluarga tidaklah begitu mewah cuma sederhana sahaja.Isteriku turut membantu menjual kuih di kedai-kedai minum di Kampung Belanja Kiri. Setelah mengandung selama 9 bulan maka pada malam 8.3.1987 ketika  hendak masuk tidor, isteriku telah sakit untuk bersalin, aku berdoa kepada Allah jika isteri nak bersalin pun biarlah pada 10.3.1987  kerana hari tersebut jatuh pada hari jadiku yang ke 29 tahun.

Kira-kira jam 1.00 pagi , sakit perut isteri ku bertambah dan ada tanda-tanda untuk melahirkan anak.Aku meminta jasa baik bapa mertuaku menunggu isteri dan anak ku yang sulung dirumah, tak pasal-pasal bapa mertua u yang bujang dan baru sahaja sampai kerumahku siang tadi terpaksa mengambil tugas ku sebentar, aku terus sahaja memanggil bidan desa kerajaan  Allahyarhamah Kak Mahanom di Kampung Belanja Kiri dan ibu angkatku Ramlah Said dan bidan kampung Allahyarhamah Wan Ipah.Mereka beritahu isteriku tidak perlu dibawa ke Hospital kerana tanda-tanda menunjukkan anak ku akan lahir tidak berapa lama lagi dan jika hendak dibawa ke Hospital kemungkinan akan lahir didalam kereta.

Menjelang subuh 9.3.1987 anak ku pun lahir seberat 3.25kg. Setelah solat subuh berlangung di masjid Kampung Belanja Kiri, aku terus sahaja memberitahu bapa mertua ku yang baru balik dari masjid yang terletak beberapa meter dari rumah sewa ku, bahawa  isteriku telah selamat melahirkan seorang lagi bayi lelaki, terus bapa mertuaku mengajak salah seorang imam di mesjid yang tinggal berdekatan dengan rumah ku serta merupakan tuan rumah yang ku sewa iaitu bekas guru Besar Haji Musa untuk mengazankan ketelinga anakku serta membuat sedikit bacaan doa selamat dan acara membelah mulut.Inilah hadiah harijadiku yang paling bersejarah dan yang paling istimewa pada ke esokan harinya.

Setelah habis isteriku berpantang kami telah mengadakan kenduri naik buai di kampung Cegar, Bidor bersekali dengan anak adik perempuan ku yang juga melahirkan anak sulungnya.Meriah jugalah acara pada hari tersebut.Ramai penduduk kampung Cegar yang hadir dan membantu menguruskan kenduri dan kendara pada hari tersebut.

Muhamad Hidzami atau dikenali dengan nama Idz dan kemudiannya Abang Ngah ketika berumur 3 tahun suka pergi ke Sekolah tadika mengikut abangnya.Sekolah Tadika tersebut betul-betul dihadapan rumah ku di Kampung Blanja kiri.Setelah berumur 6 tahun abang ngah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bidor, dan meneruskan pelajaran ke Sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani, Bidor, dan pernah bersekolah di Sekolah Menengah di Chemor selama setahun setelah aku berpindah kerumah isteriku yang baru selama setahun dan balik semula ke Sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani setelah aku berpindah semula ke Bidor sehinggalah beliau menghabiskan tingkatan 5.

Setelah lulus SPM beliau melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor, dan berhenti untuk meneruskan pelajaran ke Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang.Kini abang ngah bekerja di salah sebuah majikan swasta di Ipoh.Kini abangngah telah pun mendirikan rumah tangga,

ANAK BONGSU

AINA SYUFINA BT AHMAD @ FIFI
                
Aina Syufina bt Ahmad dilahirkan di Hospital Ipoh pada 5.1.1991 merupakan anak ketiga dan anak ku yang bongsu hasil perkongian hidupku bersama Puan Rosni bt Buyong.Setelah kelahiran abang-abangnya sebelum ini maka pada tahun 1990 isteriku ketika itu telah hamil dan aku telah bercita-cita untuk mendapatkan seorang cahayamata seorang puteri.

Beberapa bulan aku dan isteri telah berjumpa dengan doktor untuk dibuat pencerapan scan dan setelah diberitahu yang kemungkinan besar anakku kali ini adalah seorang puteri.Walaubagaimanapun doktor telah berpesan jangan terlalu berharap dan memohon kepada Allah.Aku sentiasa berdoa agar kali ini aku benar-benar menerima seorang puteri dan aku telah memasang niat sekiranya isteriku melahirkan seorang puteri aku akan membuat kenduri besar sedikit.

Pada 3.1.1991 isteriku mula berasa sakit-sakit dan setelah meminta nasihat dari bidan desa di Kg Belanja Kiri, parit, beliau meminta ku membawa isteri ke Hospital besar, Ipoh kerana sebelum ini keadaan isteriku masa itu selalu kurang sihat dan ada beberapa masalah dalam kandungan. Setelah berada di Hospital Ipoh, aku sentiasa menunggu dan kadang-kadang terpaksa berulang alik ke Bidor kerana anak-anak ku di tinggalkan di Kampong di Bidor bersama ibu ku.

Pada 5.1.1991 dalam peninggalan ketika aku berkerja isteriku melahirkan seorang puteri yang sihat dan beratnya 3.5 kg dan aku beri nama Aina Syufina dan dipanggil gelaran Fifi sahaja atas permintaan isteriku ketika itu yang meminati Fifi seorang penyanyi cilik adik kepada Adrian Yunus anak kepada penyanyi dan pencipta lagu Andre Yunus ketika itu.Selepas beberapa lama keluar dari hospital dan selepas isteriku habis pantang,aku terpaksa menunaikan niatku mengadakan kenduri di Kampong Belanja Kiri siap dengan acara 'berendoi' dan boleh dikatakan sambutan kenduri itu meriah dihadiri oleh penduduk kampong meskipun aku hanya menetap di kampung itu, bukanlah berasal dari kampung ini.

Orang Kampung Belanja Kiri, Parit dari kalangan jiran tetangga, sahabat handai memang membantu, maklumlah ketika itu aku belum ada pengalaman membuat kenduri sebesar itu.Pada tahun 1994 setelah umur Fifi lebih kurang 2 tahun lebih aku berpisah dengan isteri ku dan Fifi terletak dibawah jagaan ku.Maka terpaksalah aku menjadi seorang ayah dan ibu.Fifi dan abang-abangnya sentiasa berada dibawah jagaan dan selianku  ku,dibantu oleh pengasuhnya yang mereka panggil Opah Tibah, dan beberapa orang isteri kawan-kawan ku dan sekali-sekala tinggal bersama ibunya.

Pada tahun 1996 aku telah ditukarkan ke Sungkai dan menetap di Bidor dan Fifi dijaga oleh ibuku disebelah pagi dan disebelah petang setelah balik bekerja aku bawa Fifi balik kerumah, tinggallah kami empat beranak disebuah rumah sewa dihujung pekan Bidor.Setelah berumur lima tahun Fifi bersekolah di Tadika seterusnya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Bidor dengan kekurangan serba serbi , dan pernah bersekolah di Sekolah kebangsaan  Haji Mahmud, Chemor selama setahun dan belajar semula di Sekolah kebangsaan Bidor setelah aku berpindah semula ke Bidor, kemudian bersekolah menengah di sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani, Bidor.Setelah lulus SPM Fifi masuk ke tingkatan 6 rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor tetapi terpaksa berhenti untuk masuk ke salah sebuah pusat pengajian tinggi, di Seri Iskandar, Bota, Perak DR.Kini beliau melanjutkan pengajiannya di Puncak Alam Selangor.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...