Memaparkan catatan dengan label arena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label arena. Papar semua catatan

Selasa, 22 November 2011

HARIMAU MUDA MENJUARAI BOLASEPAK SUKAN SEA XXVI 2011


Dikesempatan ini kami rakyat Malaysia merakamkan sekalung tahniah dan mengucapkan syabas serta setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan Harimau Muda kerana telah berjaya menjadi juara Acara Bolasepak Sukan Sea XXVI 2011 di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta pada 21.11.2011.Pasukan Harimau Muda dapat mengekalkan kejuaraan acara ini pada sukan SEA pada 2009.

Walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran namun atas segala usaha, semangat tinggi dan kerahan keringat, pasukan kita dapat juga membenam kekuatan garuda hingga tersembam kali keduanya di hadapan ribuan penonton malahan jutaan rakyat Indonesia di dalam Temasya Sukan SEA XXVI 2011.Maka patahnya kedua sayap garuda tersembam di bumi sendiri dibaham Harimau Muda.

Seterusnya menambah sebutir pingat emas untuk negara.Walaupun kedudukan penambahan pingat emas dikira hanya sebutir namun kutipan pingat emas ini merupakan ibu emas bagi segala kutipan pingat emas dalam semua acara sukan yang dipertandingkan dalam setiap acara Temasya Sukan SEA dan di temasya-temasya sukan lain di dunia.

Walaupun harimau muda tidak menurunkan dan membarisi  kesemua  pemain utama ketika mengalahkan Garuda 1 - 0 di peringkat kumpulan kerana kecederaan namun pasukan harimau muda masih boleh dan mampu berhadapan serta dapat mengimbangi kegagahan pasukan garuda yang rata-rata dibarisi pasukan utama dan terkuat mereka.

Pasukan Indonesia terlebih dahulu mengatasi pasukan Malaysia 1 - 0 yang telah dijaringkan oleh Gunawan Dwi Cahyo pada minit yang ke 5, namun dengan asakan berlipat ganda dan pertahanan yang kental pasukan negara dapat menyamai kedudukan 1 - 1 pada minit ke 34 melalui Mohd.Asraruddin Omar sehingga menyebabkan penonton tempatan terdiam buat seketika.Namun bergelora semula apabila garuda menyerang ke kubu sang harimau muda.


Setelah kedua-dua pasukan terikat 1 - 1 dalam babak pertama sehinggalah berlarutan ke masa tambahan.Babak permainan yang sungguh mendebar, meresah dan mencemaskan ketika menonton perlawanan itu dengan kedua-kedua pasukan berbalas serangan dengan membuat beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol.


Penentuan sepakan penalti berlangsung begitu sengit setelah pemain Indonesia Gunawan Dwi Cahyo gagal menjaringkan bola ke gawang gol dan diikuti pula kegagalan Ahmad Fakri Saarani menjaringkan gol penalti untuk Malaysia.Namun pemain Indonesia Ferdinand Sinaga turut gagal menyumbat gol untuk sepakan akhir penalti pasukan Garuda itu kerana kecekapan penjaga gol Malaysia cekap menyambar dan menepis bola dari melolosi pintu gol Malaysia.


Sepakan terakhir telah diambil oleh Kapten Malaysia Baddrol Bakhtiar yang menyepak bola, walaupun bola itu dapat ditampan oleh penjaga gol, namun bola itu melantun dari tangkapan terus bergolek menuju ke gawang gol,
akhirnya kemenangan berpihak kepada Pasukan Harimau Muda dengan sepakan penalti 4 - 3.

Kegagahan Sang Harimau Muda kita telah melenyap, meranap dan memunahkan sama sekali harapan tinggi menggunung  pemain Indonesia dan peminat pasukan Garuda yang begitu bertekad untuk memungut pingat emas dalam acara ini.Suara gemuruh penyokong Indonesia terus sepi dan diam sambil tergesa-gesa meninggalkan stadium dengan kehampaan.


Saat manis ini telah mengembirakan kem pasukan Malaysia dan kesemua kontijen sukan dari Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia amnya.Sekali lagi tahniah kepada jurulatih Ong Kim Swee dan krew, Baddrol Bakhtiar kapten pasukan Malaysia, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat @ Apek dan kesemua pemain-pemain Harimau Muda kerana membuktikan dan mempamirkan kehebatan dan kekuatan pasukan serta mengharumkan nama negara.


Acara penyampaian pingat telah diadakan selepas perlawanan itu berlangsung dan pertama kalinya Lagu Kebangsaan Negaraku bergema dengan megahnya yangmana sebelum itu tenggelam dengan gangguan suara penyokong Indonesia yang langsung tidak menghormati Lagu Kebangsaan Negara kita ketika dimainkan di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta semasa acara pembukaan perlawanan itu.


Lebih menyakitkan hati mereka hanya duduk selamba, menari dan meniup terompet untuk memperlekehkan Lagu Kebangsaan kita.Dimanakah yang dikatakan sukan SEA itu adalah Temasya sukan untuk keharmonian dan perpaduan rakyat negara-negara di Asia Tenggara.Memang jijik dan kotor kerana masalah sosial yang timbul antara kedua negara serumpun ini hingga terbawa-bawa ke acara sukan SEA pada kali ini.


Ngauman harimau muda bertambah garang pada pertarungan sengit itu dan dapat dengan bergaya menafikan ejekan sosial dan keriuhan sorakan yang bergema dari penyokong garuda.Longlai langkahan mereka keluar dari stadium, ada yang menitiskan airmata, terlalu sebak dan kecewa bersama hati terluka kerana gagal mempertahankan ego akan keutuhan garuda yang dianggap gagah perkasa namun kecundang menjadi bahan ratahan sang harimau muda.


Aku terasa puas dan teruja atas kemenangan ini kerana terasa rakyat negara ini dihina dengan ejekan bukan kerana semangat kesukanan tetapi sentimen tertentu serta langsung tidak menghormati semangat setia kawan.Namun tidak semua rakyat Indonesia bersikap demikian, terutama yang mempunyai kaitan persaudaraan, kekeluargaan dan kenalan dengan rakyat Malaysia, begitu juga pekerja-pekerja Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia...

Selasa, 15 Mac 2011

KEJUARAAN ALL ENGLAND 2011 LEBIH BERMAKNA ~ DATUK LEE CHONG WEI


Kejuaraan Datuk Lee Chong Wei di Kejohanan Terbuka All England  2011 pada 13.3.2011 lebih bermakna kerana lawannya pada kali ini adalah Lin Dan dari negara China yang merupakan musuh tradisinya digelanggang  yang selalu mengeciwakan Datuk Lee Chong Wei untuk memenangi sesuatu kejohanan.




Persembahan Datuk Lee Chong Wei pada kejohanan All England ini juga membuktikan semangat jati untuk menaikkan nama negara dapat mengatasi ketangkasan dan persembahan Lin Dan yang nampaknya pada kejohanan kali ini kurang mantap.Datuk Lee Chong Wei pula bijak mengambil kesempatan untuk menundukkan pemain gagah China disamping semangat tinggi untuk mempertahankan kejuaraan All England pada tahun lalu , 2010.



Pada kejohanan All England kali ini, Datuk Lee Chong Wei tidak pernah kalah dalam setiap set dan tidak pernah sekali pun bermain dalam 3 set pada peringkat awal hingga ke separuh akhir.Kemenangan Datuk Lee Chong Wei kali ini lebih bergaya kerana menumpaskan Lin Dan dengan 'straight set' 21-17 dan 21-17.Beliau dapat menyerap serangan Lin Dan serta kurang memberi ruang untuk Lin Dan membalas serangan.
Berbanding pula dengan Lin Dan yang terpaksa bermain tiga set diperingkat separuh akhir dengan pemain dari negara Jerman.Seandainya Datuk Lee Chong Wei bertarung tiga set ketika berlawan dengan Lin Dan ada kemungkinan kejuaraannya pada malam itu juga terkubur kerana Lin Dan adalah merupakan pemain taktikal yang sukar ditandingi. sekiranya bermain dalam tiga set.




Walaubagaimanapun sekalung tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei mengharumkan nama negara kerana dapat menjadi juara pada kali ini serta dapat mempertahankan kejuaraan All Englandnya pada tahun lalu dimana beliau menewaskan seorang lagi pemain negara Jepun iaitu Kenichi Tago.



Faktor kemenangannya pada malam itu juga adalah kemenangan bagi penyokong-penyokong Malaysia  kerana sokongan kuat mereka yang tidak henti-henti memberi perangsang dan semangat juang kepada Datuk Lee Chong Wei.Terima kasih dan sekalung tahniah juga buat penyokong-penyokong Malaysia, sesungguhnya kejayaan ini juga adalah kejayaan rakyat Malaysia....






    

Rabu, 2 Februari 2011

DATUK NICOL ANN DAVID ~RATU SKUASY NEGARA !


Datuk Nicol Ann David dilahirkan pada 26.8.1983, di Negeri Pulau Pinang oleh ibunya seorang yang berketurunan Cina iaitu Mary David hasil perkahwinan campur bersama Mr Desmond David berbangsa India.Datuk Nicol telah mula berjinak dan meminati permainan skuasy semasa beliau masih kecil ketika berusia 5 tahun.Apabila beliau berumur 8 tahun barulah beliau bermain, berlatih serta menyertai pertandingan skuasy.


Datuk Ann David sekarang adalah pemain nombor satu wanita dunia dan merupakan wanita Asia pertama yang memegang gelaran tersebut kerana kejayaan beliau menjuarai dan naib juara dalam beberapa kejohanan pertandingan skuasy dunia boleh dikatakan berlangsung setiap tahun sejak dari tahun 2000 hinggalah sekarang termasuklah beberapa pertandingan skuasy bahagian Individu serta membantu pasukan Skuasy Malaysia dalam Sukan Komenwel dan Sukan Asia.Sebelum beliau memasuki pertandingan bahagian senior, beliau juga pernah menjuarai pertandingan dalam kejohanan Remaja Dunia semasa dalam usia remajanya.


Pada Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertarikh 4.6.2008, beliau telah dianugerahkan Pingat Darjah Bakti (DB) yang membawa gelaran Datuk kerana sumbangan jasanya mengharumkan nama negara ke seluruh dunia dalam bidang sukan skuasy.Semoga kejayaan Datuk Nicol Ann David akan memberi sinar kepada pemain pelapis negara untuk terus mengekalkan kejuaraan dunia agar dapat dipertahankan selepas tiba masa persaraannya kelak.


petikan dan suntingan ~


Selasa, 1 Februari 2011

DATUK LEE CHONG WEI


Datuk Lee Chong Wei dilahirkan di Pulau Pinang pada 21.10.1982 dan telah berjinak-jinak dengan permainan badminton ketika berusia 11 tahun dimana sebelum itu beliau berminat dengan permainan bola keranjang.Pada peringkat mulanya bakat beliau dikesan oleh Datuk Misbun Sidek untuk dilatih sehinggalah beliau menjadi pemain nombor 3 pasukan negara selepas Rashid Sidek, Roslin Hashim dalam acara perseorangan.


Beliau ketika itu baru berumur 17 tahun.Beberapa tahun kemudian setelah persaraan Rashid Sidek beliau merupakan pemain kedua atau ketiga bersilih ganti bersama Roslin Hashim dan Hafiz Hashim.Permainannya meningkat dari sehari kesehari akhirnya beliau melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan sukan badminton dunia dalam dan di luar negara hingga meletakkannya sebagai pemain pertama pasukan badminton Malaysia dan telah menjadi juara di sirkit kejohonan dunia dari tahun 2008 hinggalah sekarang.


Pada Hari Keputeraan Tuan Terutama Di Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abas pada 30.8.2008 Datuk Lee Chong Wei dikurniakan Pingat Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk atas mengharumkan nama negeri Pulau Pinang dan Negara Malaysia.Permainan beliau yang meningkat meletakkan nama beliau begitu harum di Malaysia dan dunia yangmana beliau telah menjuarai beberapa kejohonan antarabangsa.

Kejohanan dan pencapaian yang dikecapi oleh Datuk Lee Chong Wei adalah seperti :

2004 ~ menyertai Sukan Olimpik di Athen, Rome peringkat suku akhir.
2005 ~ juara terbuka Malaysia dan Denmark
2005 ~ Pingat Gangsa Kejohonan Dunia (penglibatan pertama)
2006 ~ Juara Terbuka Switzeland
2006 ~ Juara Kejohanan Badminton Asia
2006 ~ Juara Perseorangan Sukan Komenwel di Melbourne, Australia
              (membantu pasukan Malaysia menggondol pingat emas acara kumpulan)
2008 ~ Juara Super Series Masters Final
2008 ~ Juara Terbuka Indonesia
2009 ~ Juara Malaysian Grand Prix Gold
2009 ~ Juara Terbuka Hong Kong
2010 ~ Juara Terbuka Malaysia
2010 ~ Juara Terbuka Korea
2010 ~ Juara Terbuka All England
2010 ~ Juara Terbuka Indonesia
2010 ~ Juara Malaysia Grand Prix Emas
2010 ~ Juara Terbuka Macau
2010 ~ Naib Juara (Pingat Perak) Sukan Asia di New Delhi, India
2010 ~ Juara Terbuka Hong Kong
2011 ~ Juara Terbuka Kebangsaan Malaysia
2011 ~ Naib Juara Terbuka Korea.
2011 ~ Juara All England

Kini usia Datuk Lee Chong Wei sudah pun mencapai 28 tahun, berapa tahun lagi yang mampu beliau dapat bertahan.Sebagai seorang insan beliau juga ada tahap kecergasan naik dan turunnya dan pada satu tempuh beliau tetap juga akan bersara, maka terpulanglah kepada pemain pelapis untuk menunjukkan bakat dan kemampuan untuk mengambil alih tugasan Datuk Lee Chong Wei yang telah banyak mengharumkan nama negara dalam dunia badminton tanah air.


petikan dan suntingan ~

LIN DAN


Lin Dan telah dilahirkan pada 14.10.1983 namun beliau merupakan seorang pemain perseorangan badminton yang berkalibar kerana skil permainannya amat dikagumi, bermain secara taktikal, mempunyai "hand work" yang menakjubkan, kawalan gelanggang yang kemas dan cepat membaca pergerakan permainan lawan.Walaupun Lin Dan menduduki tempat kedua mata sirkit kejohanan dunia namun beliau tidak banyak menyertai sirkit itu, dan seandainya beliau juga bertanding maka lawannya memang terasa gentar sebelum memasuki gelanggang untuk berhadapan dengannya.


Lin Dan juga selalu mengalahkan Juara Dunia nombor 1 dari negara kita iaitu Dato' Lee Chong Wei dan hanya beberapa kali sahaja beliau dapat ditewaskan oleh juara kebangsaan kita itu.Lin Dan merupakan jaguhan NegaraChina dan dunia, boleh dikatakan beliau adalah jelmaan bekas pemain lagenda China iaitu Yang Yang pada era ketika  itu  yang sememang sukar untuk ditundukkan lawan, namun kehebatan Lin Dan rasanya adalah bersamaan malahan melebihi tahap itu.



Dalam usia yang masih muda Lin Dan telah memenangi beberapa kejuaraan besar dunia seperti  menjadi juara perseorangan Sukan Olimpik Beijing pada tahun 2008,  menjadi juara di kejohanan sirkit dunia perseorangan sebanyak 3 kali pada tahun 2006, 2007 dan 2009.Menjadi johan perseorangan  dalam acara sukan badminton Sukan Asia 2010 di Guangzou, China bahagian individu dan kumpulan .Beliau telah menjuarai beberapa kali kejohonan All England  pada tahun 2004, 2006, 2007, dan 2009.Beliau juga turut membantu pasukan Negara China menjadi juara dalam kejohanan Piala Thomas sebanyak 4 kali iaitu pada 2004, 2006, 2008 dan 2010,, kejohanan Piala Sudirman sebanyak 3 kali pada tahun 2005, 2007 dan 2009. Disini dapat kita lihat betapa hebatnya insan yang bernama Lin Dan.


Sejauhmana pula harapan Dato' Lee Chong Wei dan pemain-pemain lain seluruh dunia mampu berhadapan dan  menyaingi kehebatan Lin Dan.Terpulanglah kepada mereka untuk menggunakan segala pengalaman, kepakaran, melipat gandakan usaha, latihan itensif, pembelajaran taktikal untuk menawan kehebatan Lin Dan.Sampai bila pula Dato' Lee Chong Wei mampu mempertahankan juara dunia hanya dengan memungut mata di sirkit kejohanan antarabangsa yang tidak disertai banyak oleh Lin Dan, dan sekiranya Lin Dan menyertainya nampak tidak terdaya oleh Dato' Lee Chong Wei menumpaskannya.


petikan dan suntingan



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...