Rabu, 29 Ogos 2012

JEJAK MESRA KASIH TERBATAS


Ibubapa kita dahulu sering membawa kita sejak usia masih kecil ke rumah saudara mara  dan kenalan supaya mengenali siapa saudara mara dan rakan ibuayah agar hubungan ini akan berterusan sehingga ke anak cucu dan yang terkemudian.Anak-anak kita masakini amat payah untuk berjalan bersama-sama orang tua  menziarahi saudara mara ataupun sahabat handai ibubapa mereka kerana mereka sudah tidak memahami akan tujuan yang murni ini.Mungkin kerana suasana zaman sudah berbeda maka perkara ini dianggap remeh oleh anak-anak muda.

Sudah puas kita cuba memujuk mereka tetapi apakan daya desakan membantah anak-anak kekadang terpaksa juga dituruti kerana perbedaan zaman yang telah berubah begitu ketara.Tidak mustahil satu hari nanti anak-anak muda tidak mengenal ibu bapa saudara dan sepupu sepapat, sekarang pun banyak hubungan keluarga dekat pun kurang mesra, inikan pula hubungan keluarga jauh yang telah semakin terpisah.Oleh itu selagi orang tua masih hidup bawalah anak-anak kita mengunjungi saudara mara dan sahabat handai sekurang-kurangnya menjalinkan semula ikatan mesra persaudaraan dan persahabatan..

Jika ada acara majlis perkahwinan anak-anak rakan, acara-acara pertemuan dan perjumpaan, elok sahaja kita mempelawa mereka ikut serta supaya mereka juga dapat mengenali kawan-kawan dan sahabat kita.Kita setakat berusaha memperkenalkan saudara mara dan sahabat handai kita supaya jalinan ini diteruskan setelah kita tiada lagi.Kita setakat dan sekadar merintis jalan serta laluan semoga dengan cara ini kita dapat menerapkan perasaan kasih sayang anak-anak kita kepada keluarga, saudara dan sahabat samada yang jauh ataupun yang dekat.Jangan nanti bersentuh bahupun tidak mengenali antara satu sama lain.


Selasa, 28 Ogos 2012

MENU RESEPI CAMPAK-CAMPAK ALA TOKWAN

 ~ RENDANG PEDAS AYAM


Alahai, rendang pedas bukan susah untuk memasaknya, cuma perlu kemahuan diri untuk mencuba.Memang benar jika orang yang sudah pakar memasak rendang tentulah sedap, takkanlah kita nak rasa asyik nak minta seseorang masakkan untuk kita.Apa kata kita cuba dulu masak rendang ala campak-campak, manalah tahu lama-lama masak rendang kita orang pula sedap memakannya.

Bahan-bahannya.

1. Daging ayam yang dipotong-potong 12, 16, atau 18... ikut sukalah, bersihkan.
2. Kisar segenggam cili kering, 6 - 8 biji bawang merah, 4 -5 ulas bawang putih, kunyit hidup (serbuk kunyit pun o.k), halia ( diketuk pun tak ada masalah), lengkuas, (jangan terlampau banyak cukuplah dalam 0.5 inci - 1 inci sahaja)
3. 3 - 4 batang serai yang diketuk atau dihiriskan, ikut suka hati masing-masing.
4. Santan kelapa ikut keperluan.
5. Kerisik kelapa, ikut kehendak hati tapi jangan terlampau-lampau pula.
6. Daun kunyit.
7. Garam
8. Daun limau purut (jika suka)
9. Sedikit gula atau perisa (pak aji tak ada moto), atau kiub ayam ~ jika mahu....

Cara-cara Memasak

1.  Masukkan daging ayam dan semua bahan tadi ke dalam kuali, bubuh santan dan sedikit air, gunakan api yang kecil.Termasuk serai yang diketuk, jika nak senang kisar saja serai tu bersekali dengan bahan tumisan)
2.  Kacau selalu agar tidak hangit atau berkerak.
3. Bila dah hampir masak hiriskan daun kunyit halus-halus untuk ditaburkan/bubuh didalam masakan tadi, kalau dah malas nak hiris daun kunyit simpul-simpulkan saja bubuh terus ke dalam rendang itu.Masukkan juga beberapa helai daun limau purut jika suka.
4.  Bubuh garam secukup rasa, 
5. Masukkan sedikit gula jika hendak atau taburkan saja (pak aji tak ada moto) untuk menambah lemaknya, kiub ayam pun ok juga... 


 ~MASAK SIAKAP TIGA RASA CINCAI



Usah kita fikirkan masakan di restoran itu sedap kerana mereka menjaga hati dan selera pelanggan, apakata kita cuba belajar masak cara kita, sedap atau pun tidak tekak kita sahaja yang hendak disumbatkan.Jika kita cuba-cuba setiap kali akhirnya masakan kita sedap juga, jika tidak percaya cubalah.Sebab apa masakan kita tidak sesedap masakan chef di hotel-hotel atau pakar masakan di resstoran-restoran, itu adalah kerana kita tidak belajar.Jadi kita terus mencuba dan mencuba terus belajar sendiri dan mendapat sedikit maklumat dari mereka yang sudah pandai memasak, mungkin akhirnya kita juga boleh memasak untuk diri sendiri, keluarga dan kawan.

Bahan-bahannya.

1. Tomato puri  atau paling mudah sos tomato pun bolehlah...
2. Sos ikan jika tiada sos tiram pun o.k.
3. Kiub nenas dalam tin atau buah nenas segar dipotong kiub.
4. Kacang hijau proses
5. Buah perun (jika mahu) dan lain-lain bahan yang difikirkan boleh dimasukkan ~ redah sahaja.
6. Bawang putih yang dikisar, dihiris atau diketuk sahaja (bawang merah pun boleh dicampur, tapi tokwan tidak suka bubuh bawang merah)
7. Serbuk cili kering, jika tiada kisar sahaja cili kering.
8. Sedikit cabai merah/ cili belanda hijau/merah potong berbentuk kiub atau dihiris besar, untuk hiasan.
9. Daun sup, daun sadri, daun bawang, dan sewaktu dengannya, ikut kehendak masing-masing sebagai hiasan.
10.Garam
11.Tepung jagung.
12.Minyak masak.
13.Ikan siakap, bawal, kerapu dan yang bersesuaian, tapi siakap adalah yang paling senang.

Cara-cara memasaknya.

Membuat sos
1. Panaskan minyak.
2..Tumiskan bawang putih yang telah dikisar, dihiris atau diketuk sehingga naik baunya, bubuh serbuk cili kering (ikut suka hati ~ jika nak pedas bubuh banyak pun boleh, nak dicampur dengan serbuk lada sulah atau lada hitam pun bisa (kata orang Indonesia)
3. Masukkan tomato puri atau sos tomato, kemudian bubuh sahaja sos ikan atau sos tiram.
4. Bila hampir masak barulah dibubuh kiub nenas, kacang hijau proses dan bahan lain yang difikirkan sesuai), jangan terlalu lama nanti bahan-bahan tersebut menjadi lembik,(bonyo kata orang Perak).
5.Jika hendak lebih sos tambahlah sedikit air.
6. Bubuh sedikit garam secukup rasa jika perlu.
7. Kalau nak buat kuah yang banyak bubuhlah air lebih sedikit.


Ikan.
1. Siang ikan tersebut, jika boleh janganlah dipotong kepada bahagian, biarlah nampak sekujur tubuh ikan itu dipinggan nanti.
1. Bersihkan ikan (kalau boleh cuci dengan asam limau/asam keping/asam jawa agar hilang hanyirnya) dan toskan sekejap.
2. Kemudian lumurkan ikan tersebut dengan tepung jagung agar ianya nampak cantik dan tidak melekat pada kuali ketika menggorengnya.Gunakan minyak masak yang banyak.
3. Setelah ikan itu masak dan garing letakkan ke atas bekas yang besar.
4. Tuangkan sos keatasnya.
5. Bubuhlah hiasan dari daun sup, daun sadri ataupun daun bawang, cili merah, cili belanda atau apa sahaja yang boleh menghiaskan masakan tersebut.

Jom kita cuba, apa nak malu apa nak segan, mulut kita yang nak makan, tak sedap diam-diam, kalau dah pandai masak jadi sedap boleh saja jemput kawan-kawan sama-sama makan.....


~ IKAN REBUS SI BUJANG MANDI




1.Goreng ikan rebus (proses sendiri @ yang diproses oleh orang Islam ~ tidak perlu garing , masukkan kedalam pinggan atau piring lebar.
2.beberapa biji bawang merah, beberapa ulas bawang putih,
 sedikit halia, cili kering dan sedikit belacan (jika suka) dikisar.
3.tumiskan bahan-bahan tadi.
4.Masukkan sedikit air asam.
5.bubuh garam secukup rasa
6.Setelah tumisan tadi masak ~ naik minyak... tuangkan terus pada ikan rebus yg telah digoreng tadi...
7.Hiaskan cili merah berpotong bunga atau dengan hirisan daun sup @ bawang....

~ PETAI BILIS SERI JERNANG





Bahan-bahan ~

1. Petai dihiris bersama kulit-kulitnya
2. Ikan bilis sudah disiang
3. Hirisan beberapa biji bawang besar/ bawang merah
4. Hirisan beberapa ulas bawang putih
5. Hirisan cabai masak, cabai hijau, cili kering atau pun cili melaka yang diketuk sahaja ~ pilihan cili ikut selera masing-  masing.
6. sedikit minyak masak.
7. sedikit air
8. Garam secukup rasa.

Cara Penyediaan ~

1, Tumiskan ikan bilis dalam minyak panas
2. Masukkan petai yg dihiris bersama kukulitnya.
3. Bubuh cabai yang dihiris dan hirisan bawang merah, putih.(di masuk kemudian sekali agar bawang tidak terlalu layu)
3.bubuh sedikit air jika inginkan kuah ~ jika tidak mahu kuah, tidak perlu bubuh air,
4, Bubuh garam secukup rasa.
5. Bolehlah dihidang setalah masak...


TERLALU SENANG DAN MUDAH SELAMAT MENCUBA !
 ~ SAMBAL OPAH



1.ikan bilis dibersihkan, cili api, bawang merah ditumbuk, jangan sampai ikan bilis hancur atau lumat .
2.panaskan minyak tumiskan semua bahan tadi... 
3.Bubuh serbuk kunyit atau ibu kunyit yang telah ditumbuk hancur
4.Bubuh garam secukup rasa
5.sekeping dua asam keping atau air asam jawa ikut kehendak selera masing-masing.
6.Boleh juga dicampur dengan hirisan ubi kentang, petai, ulas bawang putih, hirisan bawang besar jika mahu.
6.Cukup separuh masak/kalau suka garing boleh saja teruskan sahaja digoreng sampai garing, jangan sampai hangus sudah lah ....

~ NASI GORENG SI BUJANG SENANG



1.Nasi ikut berapa orang makan kalau boleh biarlah sedikit keras tapi jangan mentah, nasi sahur tak abis atau berbuka jika tak habis dan tidak pula basi lagi elok untuk digoreng, tidaklah membazir....
2.Petai ~ ikut suka banyaknya jikalau masak sekuali, jangan smpai petai sekawah pula ...
3.Ikan bilis, udang kering, udang basah boleh juga, udang galah lagilah sesuai, jika nak guna udang kara lagilah bagus tapi kena goreng dalam kawah la.
4.Bawang merah dan bawang putih dihiris, cili kering dikisar atau dipotong-potong saja, cili api dan cili merah jika suka...
5.Kemudian bahan tadi ditumis dengan minyak masak panas yang dicampur sedikit dengan majerin.
6.Bila tumisan tadi sudah naik bau, masukkan nasi yang dileroi-leroi kedalam tumisan tadi di dalam kuali, gaulkan dan kacau rata-rata jangan dibiarkan sampai hangit.
7.Pecahkan telur ayam kacau rata-rata supaya tidak nasi berbuku-buku dengan telur yang dipecahkan itu. 
8.Masukkan petai yang siap dikopek (hendak dibelah dua ok, nak semata-semata tanpa dibelah pun sesuai )
9.Masukkan sawi atau sebarang sayuran yang sesuai (jika mahu, tanpa sayuran pun tidaklah mengapa)
10.Janan lupa bubuh garam secukup rasa.
11.Setelah masak maka boleh dihidangkan dan sedia untuk dimakan....
12.Lebih sedap dimakan berlauk ikan masin , ikan jeruk , pekasam, sedap juga jika makan dengan sambal ikan bilis atau sambal opah 
13.Sudah tentu dan pasti mertua lalu dibelakang tanpa disedari atau buat-buat tak nampak kerana lapar sesangat, bukan kerana sedap tapi tak mahu dikomen mak mertua jika masakan tu tidak sedap.....

~ NASI MINYAK BUJANGAN



1.  4-8 biji bawang merah, 2-3 ulas bawang putih, sedikit kunyit hidup (serbuk kunyit pun ok la ~ kalau tiada kunyit hidup), kemudian dikisar dan ditumiskan dalam kuali dengan sesudu minyak sapi bersama 1 @ 2 batang kayu manis, 2-3 kuntum bunga cengkih, 2-3 biji buah pelaga, bila dah naik bau... tuangkan kedalam periuk nasi letrik. yang mengandungi minyak sapi 1 @ 2 sudu lagi.
2.  Bubuh air seperti tanak nasi biasa dan 1-2 helai daun pandan yang disimpul, sedikit garam...kemudian masukkan saja beras basmati @ kalau beras basmati tiada guna beras biasa pun boleh saja...
3.  Apabila mendidih kacau sedikit agar semua bahan tadi rata.
4.  Setelah masak, bubuh dalam bekas nasi, taburkan bawang goreng, kismis @ kacang badam atau kacang biji janggus, daun sup yang diracik halus serta dihiasi dengan cili merah yang dihiris serong @ buat saja perhiasan seperti bunga sebagai hiasan,,,,

~ SAYUR KAILAN/BABY KAILAN IKAN MASIN




Terlalu senang nak dimasak yang tak pandai pun boleh cuba, apa kisah untuk makan sendiri sedap tak sedap itu lain cerita.Kali ini menu resepi campak-campak boleh membuka selera terutamanya jika lapar dan masakan itu masih panas semasa dihidangkan.Pada yang kurang pandai masak cubalah resepi campak-campak ini dari tokwan terutamanya pada bujangan yang ingin berjimat cermat tidak mahu makan dikedai kerana harganya agak mahal.Sekarang boleh cuba jika tak sedap pada hari ini buat pula untuk hari esok dan sampai berterusan sehingga kena pada selera.

Bahan-bahannya~

1.Sayur kailan yang dipotong-potong, asingkan bahagian batangnya yang lembut ikut keperluan jumlah yang makan, untuk ramai tambah sajalah ye...

2. Bawang putih diketuk, dikisar atau dihiris ~ ikut sempat dan ikut suka.
3. Bawang merah dihiris (jika mahu, tapi tokwan sekadar guna bawang putih sahaja)
4. Cili api ~ (cabai burung dalam bahasa orang Perak) ~ ikut suka di ketuk sahaja ataupun dihiris.
5. Ikan masin peram ~ tenggiri lebih baik dari jenis ikan yang lain, ikut kalau darah tinggi elok jangan    diamalkan.
6. Sos tiram.
7. Minyak masak ikut kehendak sendiri tetapi jangan terlalu banyak nanti lebih kolestol dalam badan.
8. Sedikit air, jika suka berkuah.

Cara-cara penyediaan ~
1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Masukkan ikan masin peram dan dihancurkan
3. Tumiskan pula bawang putih yang diketuk, dikisar atau dihiris hingga naik baunya bersekali dengan bau ikan masin tadi.
4. Masukkan sedikit air supaya tidak hangus, nanti pahitlah pula.
5. Bubuh sahaja sos tiram tu ikut kehendak masing-masing.. nak sedikit tawar bubuh sahaja sedikit jika hendak sedikit masin bubuhlah banyak.
6. Masukkan batang kailan yang lembut yang turut dihiris memanjang agar ia boleh empok.
7. Barulah bubuh daun sayur kailan atau baby kailan sehingga masak, janganlah sampai daunnya layu pulak nanti tak sedap....

hehehehe cubalah masak dulu, biarlah orang gelak cara kita masak asalkan kita makan apa yang kita rasa selera dan sedap dari masakan air tangan sendiri.....


 ~ TOMYAM BUJANG TAK KISAH



1.  3 - 5 biji bawang merah, 2 - 3 ulas bawang putih, sedikit lengkuas dikisar hancur
2.  Tumiskan bahan tadi.
3.  Masukkan air
4.  Bubuh serai, halia ketuk dan cili api yang diketuk pecah (ikut kehendak sendiri)
5.  Masukkan pasta @ kiub tomyam 
6.  Masukkan ayam atau daging yang dipotong kecil, udang atau sotong.
7.  Masukkan hirisan capcicum merah @ hijau (tak kira nak dipotong dadu ataupun tidak), kobis, putik jagung, baracolli/bunga kobis, karot jangan masak terlalu lama, nanti sayuran terlalu layu.
8.  Garam secukup rasa dan sedikit gula jika mahu.
9.  Jangan terlalu banyak sayuran, nanti jadi pulak tomyam sayur campuran pulak.
10.Jika suka bubuh beberapa helai daun limau.
11.Nak tambah masam perahkan asam limau.
12.Bila masak bolehlah menjamu selera.

~ SUP TULANG, EKOR @ DAGING




1. 3 - 6 biji bawang merah, 2 - 3 ulas bawang putih di kisar dan ditumis bersama bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, kayu manis ikut suka hati, sedikit halia yang sudah diketuk.
2. Rebus daging, tulang atau ekor yg telah di cuci dalam periuk nasi letrik sampai lembut.
3. Kemudian ditambah sedikit air jika air rebusan itu terluak semasa merebus daging, tulang atau daging itu.
4. Tuangkan bahan yang telah ditumis kedalam air rebusan dialam periuk letrik.
5. Masukkan pasta sup siam.
6. Sedikit garam secukup rasa.
7. Apabila sudah masak bubuh dalam bekas dan dimasukkan sedikit air limau kasturi atau limau nipis (ikut kehendak kemasaman selera sendiri)
8. Tabur daun sup yang telah diracik2 dan bawang goreng.
9. Bolehlah menikmati juadah ini, sedap atau tidak bergantung kepada selera masing-masing.

~ SIAKAP KUKUS SI BUJANG SOLO




1.Ikan siakap disiang tanpa dikerat dua, dicuci bersih
2.Lumurkan sedikit garam jika tiada pasta ikan atau pasta tiram.
3.Bubuh saja serai,halia ketuk, bawang putih atau cili api yang dihiris atau diketuk2 sahaja.
4.Kukuskan.
5.Setelah ikan agak menjadi lembut barulah masukkan sayuran pilihan sendiri, karot, rebung segar, capcicum, cendawan dsbnya.
6.Kalau ada asam boi bolehlah dicampurkan ke kukusan ikan siakap itu.Jika tiada asam boi boleh saja dimasukkan sedikit air perahan limau.
7.Boleh sahaja dikukus tanpa sayuran selain bahan utama seperti bawang putih, serai, cili api dan pasta untuk mendapatkan rasa ikan siakap kukus biasa tanpa sayuran.

8.Jangan kukus terlalu lama kerana isi ikan menjadi terlalu lembut dan tidak kenyal ketika memakannya.


~ SAMBAL BILIS SIBUJANG MALU



Ikan bilis dicuci bersih, beberapa biji bawang merah, cili api, garam secukup rasa, jika perlu, kemudian ditumbuk semuanya sekali jangan pula sampai ikan bilis tu hancur lumat, setakat lembut saja sudah memadai, 

Kemudian bubuh saja air limau nipis,limau kapas, limau kasturi, limau purut,apa jenis limau sekalipun asalkan itu adalah limau... lemon boleh, limau oren boleh, limau mandarin boleh, limau bali pun boleh, asalkan jangan limau plastik....

Kalau campur tempoyak pun boleh..Tetapi jika hendak dijadikan sambal bilis bercampur tempoyak tidak perlulah dicampur air limau nanti tidak termakan kerana bertambah masam, mata asyik mengenyit, muka berkerut semacam ketika menjamahnya....

~ SUP BILIS KENTANG SEGAN




1.Tumis hirisan bawang merah, bawang putih, sedikit bawang putih, cili merah, cili hijau atau cili melaka ( cabai burung), kalau x mahu cabai boleh ganti dengan serbuk lada hitam
2.Air masak / air sejuk dan dipanaskan.
3.Bubuh kentang yang dikupas..nak dipotong-potong boleh, nak masuk bulat pun boleh,
4.Masukkan ikan bilis yang sudah dikopek.
5.Bubuh garam secukup rasa...
6.Daun sup boleh, tak dibubuh pun boleh...

7.Bila kentang sudah empuk, masakan tersebut sedia untuk dihidangkan...
~ IKAN BILIS SI BUJANG LARA



Selain digoreng, ditumis atau dijadikan bahan perencah, ikan bilis juga boleh dimasak dijadikan pelbagai menu makanan tambahan di bulan puasa ni, sudah jemu dengan pelbagai masakan yg dimasak atau dibeli.
mari cuba-cuba pula  menu resepi campak-campak ...

1.Ikan bilis dicuci sebersihnya, jgn lupa buang kotorannya...
2.ditoskan, kemudian dibubuh dalam bekas atau mangkok.
3.potong bawang merah, bawang  besar, cili api atau cili merah, dicampak ke dalam bekas ikan bilis tadi.
4.Boleh juga dicampur hirisan buah tomato atau tomato dipotong dadu.

5. Semuanya digaulkan dengan kicap.... atau lika tak mahu kicap boleh sahaja digaul dengan air asam jawa pekat dan dicampur sedikit belacan mentah atau belacan bakar ....

 ~ SARDIN BUJANG




Teringin rasanya nak makan menu senang dan mudah berbuka nanti...teringat pulak resepi zaman bujangan dulu tika berbuka puasa....

Menu campak-campak..... (bukan malas masak, tapi nak merasa dik lapar mata di bulan puasa.....)

1.Ikan sardin dalam tin direbus utk mengurangkan hanyir @ membunuh bakteria, kalau suka tidak payah untuk  direbus pun boleh aje, kemudian sardin tu dibubuh dalam bekas.
2.Potong bawang merah @ bawang besar, cili api, campakkan aje dlm sardin tu...
3.Buah tomato dipotong 2 @ 4, atau dipecah-pecahkan, dipotong dadu pun apasalahnya...hemmm campak lagi dalam sardin ... (sebagai tambahan, tak bubuh pun xtidak mengapa...ikut selera)
4.Bubuh garam secukup rasa ...
5.Perahkan limau ( tidak kiralah limau apa sekali pun... nipis, purut, kasturi , kapas, lemon, oren....tak kisahlah, tengok-tengok apa dalam peti sejuk....)
6.Sedia untuk dijamu tanpa perlu dimasak lagi....

~ TUMIS IKAN BILIS CAMPUR PETAI




Bahan-bahan

1. Segenggam dua ikan bilis yang sudah dikopek serta dibersihkan.
2. Petai tiga papan dah cukup diambil isinya dengan dipotong serong dari kulitnya dan dibersihkan.
3. Bawang merah dalam 6 ulas atau bawang besar sebiji pun dah cukup.
4. Bawang putih 3 ke 4 ulas.
5. Cili kering dalam segenggam sederhana, kalau tiada guna sahaja cili bo atau sebuk cili kering.

6. Asam jawa.
7. Garam 

8. Sedikit air
9. Minyak masak
10. Sedikit gula

Cara-cara membuatnya.

1. Kisar bawang merah, bawang putih dan cili kering.
2. Panaskan minyak masak.
3. Masukkan ikan bilis, ikut suka nak garing, separuh garing atau kurang garing, ikut hati acuan sendiri,
4. Angkat semula ikan bilis yang digoreng itu letakkan ditempat berasing.
5. Tumiskan bahan kisar tadi hingga naik minyak.
6. Masukkan air asam jawa ikut rasa sendiri.
7. Masukkan ikan bilis tadi dalam tumisan terlebih dahulu.
8. Apabila dah mula naik baunya, baru bubuh hirisan petai tadi, jangan terlalu lama nanti petai akan layu, tidak begitu kenyal untuk digigit.
9. Bubuh sedikit garam secukup rasa dan sedikit gula sebagai bahan perisa, jangan pula terlalu banyak nanti tumis tersebut dimakan terasa manis, tapi terpulanglah pada kemahuan dan selera masing-masing.
10. Hidangkan untuk dimakan, jangan lupa ajak tokwan ye...


Jom kita cuba masakan ala campak-campak ini, dari situ kita belajar dan terus mencuba untuk menambahbaik  cara masakan kita agar lebih sedap.Selamat mencuba dan menjamu selera, kalau tidak sedap jangan salahkan tokwan sebab tokwan buat resepi campak-campak dari pengalaman malas memasak dan memasak ikut mana sempat sahaja.... hehehehe....






Isnin, 27 Ogos 2012

JEJAK SAHABAT ~ ROSLI TAZILAH



Rosli Bin Tazilah telah ku kenali semenjak kami mula menjejaki kaki ke Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh pada tahun 1971 dan kami di tempatkan di Asrama Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR).Kemudian kami dipindahkan di 3 buah kuarters kerajaan di Jalan Watson dan Jalan Tambun, Ipoh yang dijadikan asrama.

Pada tahun 1972 kami berpecah kelas, namun tinggal di Asrama yang sama.Pelbagai kenangan pahit manis semasa kami tinggal di asrama yang banyak kekurangan kemudahannya ketika itu.Pada tahun 1975 ramai di kalangan kami berpindah ke Asrama Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh termasuklah saudara Rosli Tazilah tetapi aku masih mahu tinggal di asrama lama.

Aku tahu bahawa mereka yang dipilih untuk tinggal di Asrama Sekolah St. Michael, Ipoh terdiri daripada pelajar pilihan yang agak pandai dari kami yang tinggal di Asrama Jalan Watson dan Jalan Tambun, Ipoh yangmana kawalan disiplinnya agak longgar.Kami rasa sedikit bebas jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di asrama sekolah.

Setelah tamat sessi persekolahan tingkatan 5 tahun 1976, ramai di antara kami yang menyambung pelajaran ke Universiti, Maktab, mula bekerja dan ada yang meneruskan pelajaran ke tingkatan enam.Aku terpaksa bekerja kerana pada masa itu keputusan MCE yang aku perolehi tidaklah begitu membanggakan.Lagi pun aku sudah mengalah dengan desakan hati untuk tidak menyambung persekolahan.

Sejak itu kami kehilangan ramai kawan-kawan yang tidak dapat dihubungi kerana zaman tersebut bukan ada talifon bimbit ataupun komputer.Atas daya beberapa orang sahabat termasuk aku, kami telah mengadakan siri pertemuan dan perjumpaan saban kali selepas raya, dari situlah kami dapat menjejaki semula sahabat-sahabat semasa dalam alam persekolahan dan pernah tinggal di asrama dulu.

Dari beberapa kali pertemuan dan perjumpaan kami dapat maklumat bahawa ada di antara kami telah pun kembali ke Rahmatullah.Ada juga sahabat-sahabat yang tidak dapat kami hubungi kerana tiada mendengar khabar berita sejak keluar dari alam persekolahan, termasuklah saudara Rosli Tazilah.Saudara Rosli Tazilah pernah ku temui di Telok Intan pada tahun 1981 tetapi kami terputus hubungan selepas itu.

Alhamdulilah berkat kesabaran dan semangat cintakan persahabatan kami dapat mengesan nombor talipon Rosli Tazilah melalui kawan-kawan yang mengenali adik perempuannya lalu memberikannya kepada ku.Aku pula menyerahkan nombor talipon itu kepada saudara Roslan Khairuddin yang mengetuai pencarian sahabat-sahabat lama yang terpisah agar  dapat menyambung semula tali persahabatan yang telah terpisah begitu lama.

Walaupun nombor talipon Rosli telah kami perolehi, tetapi malang taliponnya tidak pernah dapat kami hubungi.Pada cuti Hari raya Aidilfitri 1433 (2012), Roslan dapat menghubunginya apabila talipon Roslan bersambut.Rupa-rupanya saudara Rosli Tazilah selalu bertugas di luar negara.Itupun kami dapat menghubungi beliau kerana pada masa itu beliau sedang bercuti berhari raya dengan isteri dan anak-anaknya di Batu Gajah, Perak.

Pada 23.8.2012 aku, Roslan Khairuddin dan Ameruddin (Jaja) cuba menaliponnya semula dan kami ajak untuk bertemu di Batu Gajah.Tanpa berlengah masa kami pun pergi untuk menemui Rosli Tazilah di tempat yang dijanjikan.Setelah kami sampai di Batu Gajah, kami disambut oleh Rosli Tazilah dengan senyuman.Maklumlah sekian lama tidak pernah bertemu melebihi dari 30 tahun.

Setelah beberapa lama bertemu sambil mengimbau kenangan lama di salah sebuah restoran mamak di Batu gajah, Perak.Dalam pertemuan itu kami sempat mengikuti ceritanya yang sekarang ini bertugas dengan sebuah Firma Belanda dan kini beliau bertugas di Perth, Australia.Beliau akan balik ke Malaysia setiap 6 minggu sekali.Selepas beberapa ketika bertemu, kami mohon untuk pulang.

Sebelum pulang kami sempat mengambil beberapa keping gambar untuk dibuat kenangan bersama.Adalah diharapkan pertemuan ini lebih mengeratkan lagi tali persahabatan dan tidak terputus hubungan lagi.Dalam perjalanan pulang kami bertekad untuk mencari beberapa orang lagi sahabat persekolahan yang tidak pernah  berjumpa sejak berpisah setelah tamat alam persekolahan.

Sabtu, 25 Ogos 2012

MAJLIS PERKAHWINAN ANAK AMERUDDIN (JAJA) DAN PUAN JAMILAH



Majlis perkahwinan anak kepada saudara Ameruddin Bin Mohd Som yang lebih dikenali dengan gelaran Jaja dan Puan Jamilah telah dilangsungkan pada 22 Ogos, 2012 bersamaan 4 Syawal 1433H, hari Khamis di Kampung Sungai Gading, Tapah, Perak.Ini merupakan perkahwinan anak perempuan sulungnya.

Majlis ini bertambah seri dengan kehadiran beberapa orang sahabat handai, kawan persekolahan Ameruddin di Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh, Perak.Dikesempatan itu juga sempena bulan Syawal pertemuan ini amat bermakna sekali.Maka acara bergambar telah diadakan untuk dijadikan kenangan.

Ada juga sahabat handai yang datang lebih awal dan tidak berkesempatan bertemu pada hari tersebut.Walaubagaimanapun dengan kehadiran itu menambahkan lagi ikatan persahabatan yang telah sedia terjalin begitu lama.Semoga dengan kehadiran ini dapatlah mengembirakan hati saudara Ameruddin dan isteri.

Selasa, 21 Ogos 2012

HARI RAYA AIDILFITRI 2012

LEBARAN 2012








AIDILFITRI 1433 (2012)


Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin ~ seandainya terkasar bahasa, terlajak kata tutur bicara, tingkah laku yang kurang sopan, kesalahan dan kesilapan menyinggong hati, mengusik dan menganggu perasaan.Sekiranya terambil, termakan dan terminum harap dihalalkan ~ sambutlah salam ingatan tulus ikhlas buat keluarga dan sanak saudara yang tercinta, sahabat handai yang tersayang, kawan seperjuangan yang dihormati, rakan , taulan serta kenalan yang diingati ~ selamat hari raya Aidilfitri 1433 Hijrah, semoga berbahagia, ceria dan bergembira.


Sabtu, 18 Ogos 2012

RENUNGAN DI AIDILFITRI ~ SEJAUH MANA SELUANG MELAUT


Suatu masa dahulu menjelang hari raya, masa itu usia masih muda dan masih belum berkeluarga, ibu menangis kesedihan diceruk dapur kerana ada anak cucu yang tidak dapat pulang berhari raya bersama-sama di kampung, setelah cuba memujuk namun ibu masih sedih seharian di hari raya.

Ayah pula buat seperti biasa tetapi duduk di atas kerusi menghadap jalan masuk ke rumah, aku tahu ayah juga juga turut bersedih meskipun tanpa menunjukkan rasa kesedihannya.Kini setelah berkeluarga barulah aku mengerti bahawa betapa perlunya anak-anak hadir di sisi menjelang hari raya untuk bersama-sama meraikan hari tersebut.

Begitu besar maknanya anak-anak kepada kedua ibubapa di saat itu, tanpa kehadiran mereka amat menyedihkan hati dan perasaan.Oleh itu sesiapa yang masih mempunyai kedua ibubapa pulanglah berhari raya mengisi hari-hari kegembiraan ibubapa.

Pulanglah bertemu mereka walaupun hanya untuk seketika.
Mereka bukan mahukan wang ringgit tetapi adalah kerana kasih sayang.Mereka inginkan bahagia dan gembira bersama anak-anak terutamanya kepada ibubapa yang telah berusia meniti senja, mungkin kali ini adalah hari raya yang terakhir untuk mereka.

Mereka yang sudah tiada kedua ibubapa iringilah doa agar mereka damai di sana.Pada kesempatan hari mulia ini ziarahilah pusara mereka sebagai tanda ingatan dan kasih sayang dari seorang yang bergelar anak terhadap mereka yang terlalu banyak berkorban dan berjasa kepada diri kita.

Wahai anak-anak dan orang muda di perantauan kembalilah ke desa tercinta, ayahbonda, keluarga, sahabat dan desa menanti kepulangan mu di hari raya.Pulang berhari raya terlalu berbeda suasananya dari kepulangan mu pada hari-hari biasa.Jika tidak kenapa perantau hiba hatinya jika tidak dapat pulang berhari raya ?

Jumaat, 17 Ogos 2012

SALAM AIDILFITRI 1433H



Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin ~ seandainya terkasar bahasa, terlajak kata tutur bicara, tingkah laku yang kurang sopan, kesalahan dan kesilapan menyinggong hati, mengusik dan menganggu perasaan.Sekiranya terambil, termakan dan terminum harap dihalalkan ~ sambutlah salam ingatan tulus ikhlas buat keluarga dan sanak saudara yang tercinta, sahabat handai yang tersayang, kawan seperjuangan yang dihormati, rakan , taulan serta kenalan yang diingati ~ selamat hari raya Aidilfitri 1433 Hijrah, semoga berbahagia, ceria dan bergembira.

Jumaat, 10 Ogos 2012

SUDUT PANDANG ~ PANTANG LARANG ORANG TUA DI WAKTU MATAHARI REMBANG




Aku tertanya-tanya pada diri sendiri kenapa orang-orang tua selalu melarang anak-anak bermain-main di luar rumah pada waktu tengahari rembang iaitu ketika matahari tegak di tengah langit, ketika itu bayang-bayang betul-betul berada dibahagian kaki seandainya sedang berdiri.Menurut mereka selain waktu senja, waktu ini juga syaitan, iblis dan jin berkeliaran dan dibimbangi mereka akan mengganggu manusia yang lemah semangatnya.Jadinya waktu  itu mungkin menjadi waktu pantang kepada kepercayaan orang-orang tua.Adakah pandangan mereka itu kuno dari pandangan ahli sains dan masyarakat moden.

Namun begitu adakalanya pandangan orang-orang tua berkaitan pantang larang ini ada kebenarannya dan mungkin juga ada munasabahnya kerana selalunya petani, peladang dan pekerja hutan mengusahakan kebun atau sawah akan turun pada awal-awal pagi dan berhenti rehat pada waktu tengahari yakni sebelum jam 12.00 tengahari dan akan menyambung semula tugasan mereka setelah jam 2.00 petang sekiranya mereka ingin menyambung kerja dan tugasan semula.

Maka tidak hairanlah mereka melarang anak-anak bermain di waktu tengahari tersebut.Mereka selalu mengatakan waktu tersebut kurang sesuai kerana waktu itu jin dan syaitan berkeliaran serta suka menganggu, menyampok atau merasuk terutamanya pada kanak-kanak  dan wanita  serta kepada mereka yang berjiwa lemah yang membuat kerja-kerja di kebun yang jauh terpinggir atau di dalam kawasan hutan.Jika terkena gangguan pada masa itu kata mereka, seseorang itu sukar untuk diubati atau dipulihkan.

Seseorang akan keteguran atau kesamparan hingga membuat mereka demam atau tersampok yang memerlukan bomoh atau pawang atau orang yang mempunyai ilmu perubatan tradisional untuk memulihkannya.Ada pula yang menggunakan jampian dengan menggunakan bawang ataupun kunyit hidup yang dibelah dua untuk dijampi yang dikenali sebagai jampi ketegur.Sejauhmana kebenarannya tidaklah aku ketahui kerana aku tidak berpengalaman dalam soal ini, setakat mendengar cerita orang-orang tua sahaja.

Entahlah aku tidak pasti adakah pandangan mereka itu betul atau pun tidak.Aku mengambil pandangan mereka itu ada kebetulan dan kebenarannya dari sudut pandangan berbeza.Pada pandangan akal ku bahawa pada waktu tengahari kebiasaannya ketika itu cuaca amat panas apabila matahari betul-betul berada di atas kepala, maka seandainya kurang ketahanan badan kebiasaannya seseorang itu akan berasa panas, berpeluh dan kurang selesa, mungkin akan diserang demam panas ataupun pitam.

Waktu itu juga perut mula berkeroncong untuk diisi begitu juga kerongkong dan badan memerlukan air untuk menghilangkan dahaga dan mengimbangi suhu badan.Tidak hairanlah sekiranya kekurangan kandungan air di badan boleh menyebabkan penyakit lain mudah menyerang, kemungkinan darah dalam badan juga menggelegak kepanasan dan cair sehingga menyebabkan alirannya tidak menentu, boleh sahaja menyebabkan tekanan darah begitu laju.

Sebagai contoh, seandainya anggota badan kita terluka di waktu tengahari darah akan keluar begitu banyak dan laju jika dibandingkan darah yang keluar dari luka pada sebelah pagi atau pun malam.Entahlah aku bukannya seorang doktor yang boleh menghuraikan bab ini hanya setakat telahan aku sahaja sekadar memikir secara logik akal sendiri tanpa berpandukan fakta-fakta sahih yang ilmiah.Mungkin pandangan aku berbeza dengan pandangan orang yang lebih berilmu dalam bidang mereka.

Aku terfikir bahawa pada waktu tengahari rembang, bukan manusia sahaja yang lapar dik perut yang kosong, dahaga di kerongkong dik teriknya haba panas matahari, kemungkinan binatang liar juga turut lapar dan dahaga, mereka juga ingin mengisi perut dan mencari air untuk menghilangkan dahaga setelah berehat atau setelah mereka baru terjaga dari tidor.Sekiranya kita berada di sawah, kebun atau di dalam hutan ketika itu mungkin akan membahayakan diri kita jika bertembung dengan binatang buas tersebut.

Mungkin ular, lipan, kala jengking sangat aktif pada masa itu merayau mencari makanan, kita masih bekerja di sawah atau di kebun, tanpa disedari kita terpijak tanpa sedar maka mereka akan bertindak balas menyengat atau mematuk kaki.Bayangkanlah pula harimau ganas dan binatang buas yang lain sedang kelaparan mencari binatang lain untuk diburu, tiba-tiba terserempak pula dengan kita, sudah tentu kita menjadi mangsa.Tambahan kita berseorangan atau bersendirian ketika itu, tiada siapa yang dapat menolong.

Aku pernah juga mengalami kejadian yang mungkin menjadi pengalaman dalam hidup ketika melakukan kerja di ladang tempat ku bertugas bersendirian di waktu tengahari rembang, ketika aku sedang asyik menjalankan tugas tiba-tiba aku mengalami keadaan seperti berada di alam lain yang begitu sunyi langsung tiada bunyi kicauan burung.Aku mula takut dan tubuh menggeletar, namun aku teringat pesanan orang tua supaya jika menghadapi suasana begitu kita perlu menenangkan hati dan melaungkan azan.

Alhamdulilah tiba-tiba aku bersemangat semula terus sahaja keluar dari ladang tersebut.Apakah yang menyebabkan keadaan itu terjadi.Kemungkinan ketika itu terlalu panas membuat badan ku teramat letih.Pernah juga aku pergi melawat kebun untuk ditanam semula secara berkelompok.Aku dan beberapa orang kawan sekerja masuk ke kebun yang agak luas bersama pemilik-pemilik kebun mengikut kebun masing-masing.Kebun yang aku lawati tidaklah berapa jauh dari kawan-kawan yang lain tetapi aku dan pemilik kebun itu telah tersesat tidak jumpa jalan keluar, meskipun pekebun itu boleh dikatakan setiap hari melaluinya.

Pekebun itu mengajak aku duduk berehat sebentar untuk melepaskan penat dan berikhtiar mencari punca jalan keluar.Aku lihat mulut pekebun itu berkumat kamit mungkin membaca ayat-ayat Al-Qur'an seterusnya berdoa.Beberapa minit selepas itu dia bangun lalu mengajak aku bergerak dari situ kerana pada masa itu sudah hampir jam 12.00 tengahari.Beberapa   kali kami berpusing-pusing di penjuru kebun akhirnya pekebun itu dapat menjejak semula jalan keluar sedangkan kami telah beberapa kali melalui punca jalan keluar tersebut.

Menurut pekebun itu sebenar kami telah dimainkan oleh perut masing-masing yang telah lapar sehingga menyebabkan fikiran buntu dan pandangan mata bercelaru ketika itu.Mujurlah kami tidak tersesat lebih jauh.Kawan-kawan yang lain sudah lama menantikan kami di luar.Pengalaman seterusnya aku pernah masuk ke kawasan kebun yang telah lama tidak diusahakan pada waktu ketika matahari berada dikedudukan tegak di langit.Keadaan kebun-kebun yang kami lalui hanya terdapat lorong-lorong laluan binatang dan laluan orang mencari rotan.

Aku masuk beramai-ramai dengan beberapa orang yang ingin mengusahakan kebun yang terbengkalai itu.Kami merintis jalan dan menanda sesuatu pada pokok sebagai pedoman untuk kami keluar nanti.Setelah selesai kami meninjau kawasan, kumpulan kami telah tersesat di dalam hutan, air minuman semuanya habis, bekalan kuih yang kami bawa juga turut selesai dimakan semasa kami berehat, perut pula berkeroncong semula, fikiran buntu mencari jalan keluar, mujurlah ketika itu aku teringat ada membawa kompas kecil dalam beg sandang ku untuk kegunaan tugasan,  kecemasan dan pedoman.

Akhirnya dengan penggunaan kompas tersebut kami dapat keluar dari hutan itu pada sebelah petang, walaupun jauh tersasar dari jalan mula-mula masuk tadi, masing-masing kelaparan, kehausan dan keletihan.Pengalaman seterusnya yang tidak boleh aku lupakan aku berhadapan dengan babi hutan di dalam kebun pada waktu tengahari.Mujurlah aku sempat mencari tempat perlindungan  yang akhirnya babi hutan itu berlalu dari situ.Semenjak dari beberapa kejadian tersebut barulah aku mengambil ikhtibar dan cuba mengelakkan diri melakukan kerja-kerja di kebun atau hutan pada waktu tengahari untuk keselamatan dan berjaga-jaga dari mara bahaya binatang buas.

Oleh itu ada baiknya pandangan orang-orang tua yang lebih dahulu makan garam, terlalu banyak pengalaman  yang dilalui mereka dari kita, sewajarnyalah pandangan mereka kita jadikan pedoman dan panduan.Janganlah kita pandang remeh atau memperlekehkan pandangan kuno mereka itu kerana tidak rugi rasanya kita mendengar nasihat dan pandangan mereka untuk kebaikan bersama dan tidak pula menjadi satu kesalahan jika kita tidak menyetujui pandangan itu tetapi usahlah dijadikan pula sabagai satu bahan lucu untuk ditertawakan, diperleceh atau menjadi sendaan, gurauan serta ejekan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...