Selasa, 30 November 2010

AMARAN MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN ~ KATAKAN TAK NAK


Aku telah merokok begitu lama sejak zaman persekolahan menengah lagi, kini aku adalah salah seorang penagih rokok yang tegar.Aku menyedari tabiat buruk ini tidak membawa sebarang faedah kepada diriku tetapi mengapa aku masih memerlukannya seawalnya pada sebelah pagi setelah terbangun dari tidur, dengan hanya meminum segelas air masak terus sahaja aku merokok untuk dapatkan sesuatu kepuasan.Tabiat buruk inilah yang merunsingkan hidupku.


Telah beberapa kali aku cuba untuk berhenti dan menjauhkan diri dari ketagihan ini..Aku selalu mengikut nasihat dari kawan-kawan yang telah berhenti menghisap rokok tetapi kegagalan masih lagi dipihak ku.Hati ku tidak begitu kuat dan tabah untuK berhenti.Aku pernah berhenti merokok pada bulan puasa tetapi hanya bertahan selama 6 hari sahaja, selepas itu aku menghisap semula rokok dengan lebih banyak lagi.Aku tahu betapa rokok ini memang mengandungi bahan-bahan yang beracun serta boleh menyebabkan penyakit, namun mengapa ketagihanku berterusan, aku pun tak tahu bagaimana harus aku lakukan untuk berhenti dari merokok.




Dalam sehari aku menghisap rokok sekurang-kurangnya 20 batang dan adakalanya aku menghisap rokok lebih dari itu, mengikut keadaan.Pernah juga aku diserang batuk berpanjangan, namun aku hanya dapat mengurangkan bilangan batang rokok sahaja, namun tabiat merokok aku lakukan juga.Puas kerajaan membuat iklan supaya rakyat berhenti merokok aku adalah salah seorang yang menyetujui kempen tersebut tetapi gagal untuk menyahutnya.Apa akan terjadi pada ku, mungkin paru-paru ku telah hitam seperti kerak-kerak tar jalanraya yang baru dibaiki atau jalanraya yang baru dibina.


 

Oh mengapa aku jadi begini, aku telah ketagihan merokok lebih dari 30 tahun berterusan, dimana aku memulakan tabiat buruk ini semenjak aku berada dalam tingkatan 2, bukan kerana aku terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan tetapi kerana aku sendiri yang mencubanya.Mula-mula kononnya ingin menampakkan kejantanan walaupun diusia remaja, akhirnya aku ketagihan rokok.Boleh dikatakan duit belanja sekolah dan biasiswa ku banyak habis kerana membeli rokok.Walaupun aku seorang perokok dan memulakannya dari alam persekolahan menengah namun dihatiku tetap membenci melihat pelajar-pelajar menghisap rokok, kerana aku kasihankan mereka kerana mengikut jejak langkah ku yang menyesal berpanjangan tetapi tidak berdaya untuk berhenti dari melakukan kerja yang sia-sia ini.

 

Entah bila hajatku untuk berhenti dari merokok ini akan tercapai, hingga bila pula aku boleh melupakan rokok ini dari ingatan dan sejauh mana aku dapat menghilangkan ketagihan ini, aku pun tak tahu kerana daya tahan ku terhadap keinginan tidak merokok amat nipis laksana kulit bawang.Walaupun aku pernah cuba menggunakan pelbagai cara seperti menggunakan penapis tambahan pada puting rokok tetapi akhirnya aku gagal hingga aku membuangnya dari simpanan aku.Aku juga telah mencuba dengan memakan gula-gula seperti dinasihatkan kawan tetapi akhirnya gula-gula habis, rokok pun habis juga ku hisap.


Oleh itu aku berharap sangat-sangat agar anak-anak muda dan pelajar-pelajar sekolah tidak memulakan tabiat buruk ini, sedarilah bahawa merokok bukanlah lambang kemegahan seperti yang diiklankan pada masa dahulu tetapi membawa padah kepada kesihatan dan merugikan wang sahaja.Biarlah aku seorang yang terlajak tetapi aku tidak mahu anak-anak muda dan pelajar memulakan langkah yang bodoh ini.







Isnin, 29 November 2010

KISAH ~ PETANI,TIKUS, AYAM, ITIK DAN KAMBING...


Sepasang suami isteri  tinggal dipinggiran kampung, mereka ada mempunyai 2 oarng anak perempuan dan 2 orang anak lelaki yang kesemuanya sudah berumahtangga dan mempunyai beberapa orang anak.Mereka bekerja dan tinggal di bandar.Kedua orang tua ini adalah petani yang mempunyai sepasang ayam, sepasang itik dan seekor kambing jantan.Reban dan kandang disediakan berdekatan diantara satu dengan lain.


Pada sebelah pagi isteri petani selalu memberi makan binatang peliharaannya itu dan  melepaskan mereka berkeliaran disekeliling rumah, maka setiap pagi bunyi ayam berkokok dan berketak, bunyi itik bagaikan ketawa berdekah-dekah serta, seekor kambing jantannya mengembek membuat suasana pagi dirumah sepasang suami isteri itu riuh rendah.Itulah sahaja penghibur hati mereka.Petani tersebut disebelah pagi sibuk menguruskan sawahnya yang tidak berapa luas itu.Pada sebelah petang petani ini akan memasukkan semula binatang ternakan ini ke reban ataupun kandang.

Pada satu pagi  isteri petani ternampak seekor tikus berhampiraan kawasan reban ayamnya, tikus tersebut mencuri makanan ayam dan itiknya.Kelihatan juga guni-guni bekas menyimpan barangan makanan ayam itiknya telah ditebuk oleh tikus ini.Maka setelah melakukan kerja hariannya, dia pun pergi ke pekan lalu membeli perangkap tikus jenis 'kepit mati' yang bermata tajam.Pada petang itu juga beliau sendiri yang memasukkan ayam itik ke reban dan kambing kekandang.Lalu memasang perangkap tikus tersebut disuatu sudut dimana ada laluan tikus disitu.


Pada keesokan harinya  petani ke reban dan kekandang untuk melakukan tugas harian isterinya kerana isterinya ke pasar untuk membeli makanan.Tanpa disangka-sangka kaki petani itu terpijak perangkap tikus yang dipasang oleh isterinya semalam.Isteri petani itu terlupa untuk memberitahu suaminya berkaitan hal tersebut.Maka tercederalah kaki suaminya dan darah banyak yang keluar.Apabila isterinya pulang dari pasar, alangkah terkejutnya dia melihat kaki suaminya berdarah dan tercedera kerana perangkap tikus yang dipasang itu terkena kaki suaminya dan bukan terkena pada tikus yang hendak dimusnahkannya itu.

HOSPITAL

Siisteri meminta pertolongan jirannya lalu membawa ke kelinik tetapi oleh kerana suaminya pengidap penyakit kencing manis maka diarahkan untuk dibawa ke hospital.Setelah ditahan di wad hospital isterinya pun memberitahu anak-anak supaya pulang menziarahi bapa mereka.Maka kembalilah anak-anaknya itu.Mereka akan pergi menziarahi bapa mereka disebelah tengahari dimana sebelum itu mereka terpaksa menyembelih ayam ibubapa mereka untuk dijadikan lauk untuk mereka dan bapa mereka nanti, maka lenyaplah riwayat sepasang ayam itu.


Itik merasa diri mereka selamat kerana ayam telah dijadikan lauk bukan mereka.Akan tetapi petani tersebut bertambah teruk dan keadaannya tenat, maka anak-anak serta menantu pulang untuk menziarahi bapa mereka pula, maka pada hari tersebut itik pula menjadi lauk kepada mereka, maka selesailah nyawa sepasang itik itu menjadi lauk hidangan hari tersebut.Kambing pula terasa dirinya terselamat.Dalam fikirannya takkanlah keluarga petani ini akan menjadikannya lauk kerana dagingnya yang banyak tentu tidak sesuai untuk dijadikan hidangan keluarga petani yang tidak berapa ramai itu.


Pada keesokan harinya petani itu meninggal dunia, maka ramailah orang yang berkunjung kerumah beliau untuk upacara pengkebumian.Saudara mara, adik beradik semuanya pulang.Setelah dikebumikan pada malam itu nanti akan dibuat kenduri kerana masih ramai keluarga dan saudaranya yang masih belum pulang, maka kambing menjerit-jerit kerana tidak mahu dijadikan korban untuk juadah pada malam itu.Apakan daya maka riwayat kambing pun berakhir juga.Setelah selesai acara kenduri itu masing-masing kembali kerumah.


Tikus merasa bangga kerana hanya ia yang selamat jika dibandingkan dengan binatang-binatang lain yang tinggal dirumah petani itu.Tikus bermaharaja lela kesana sini tanpa sesiapa yang mengambil tahu akan kehadirannya lagi.Tikus tidak sedar dirinya diperhatikan oleh balu petani tadi dengan perasaan marah dan dendam terhadap tikus itu, kerana tikuslah menyebabkan beliau menjadi balu.Isteri petani pun pergi ke pekan lalu membeli racun tikus, maka pada malam itu beliau membubuh racun tersebut berhampiran sarang tikus itu.

 


Pada malam itu  tikus terkejut kerana ia dihidangkan makanan yang istimewa oleh balu petani itu, tikus menyangkakan wanita tua itu sayang pula kepadanya kerana sudah tidak mempunyai binatang ternakan lagi.Tikus tersebut tidak membuang masa lalu melahap umpan beracun yang ditamu oleh wanita tua itu, maka mengelupurlah tikus tersebut hingga menerima ajalnya.



Wanita tua itu tidak mahu tinggal bersama-sama anaknya, maka hidupnya sentiasa berada didalam keadaan sunyi dan sepi kerana sudah tiada bunyi keriuhan binatang ternakannya.Akhirnya dia jatuh sakit dan dibawa oleh anak-anaknya ke bandar lalu dimasukkan kehospital dan disana jugalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Fikir-fikirkanlah apa maksudnya cerita dan pengajaran yang boleh diperolehi, dengan cerita tokwan sampaikan kali ini....


KISAH PAK HITAM DAN CIK PUTIH ~


Hari ini pak hitam, sang kerbau jantan makan ditepian bendang didalam kampung, dimana pak hitam mempunyai kawan-kawan yang turut meragut rumput disitu.Dahulu pak hitam dan rakan-rakannya memberi jasa menajak bendang disitu tetapi kini pak hitam tidak perlu lagi membuat kerja-kerja tersebut kerana telah diambil alih oleh pelbagai jenis jentera.

Sesekali pak hitam dan rakan-rakannya turun berkubang dikawasan-kawasan yang terdapat kolam dan lopakan takungan air ditepi bendang disitu.Walaupun pak hitam sudah berusia namun kudratnya masih kuat dan badannya masih gagah dan sasa.


Walaupun pak hitam dan rakan-rakan berwarna hitam, mereka mempunyai kawan-kawan yang berbulu putih dan cantik, boleh dikatakan setiap hari cik putih, burung bangau, selalu sahaja berada disampingnya.

Pak hitam dan rakan-rakannya tidak ambil kisah sangat dengan cik putih dan kawan-kawannya bertenggek dibelakang mereka.Walaupun cik putih selalu berladang dibelakang pak hitam dan rakan-rakannya, mereka tidak memarahi cik putih dan kumpulannya kerana sekurang-kurangnya mereka memakan kutu-kutu, dan serangga yang hinggap dibelakang pak hitam dan lain-lainnya.


Cik putih dan kawan-kawannya juga berterima kasih pada pak hitam kerana sudi membenarkan mereka berehat dan bertenggek dibelakang pak hitam dan kawan-kawannya, sekurang-kurangnya pak hitam membantu mereka memperolehi makanan seperti belalang yang berterbangan setelah kawasan semak dan paya dilalui oleh pak hitam dan kawan-kawannya.

Cik putih dan rakan-rakan tak perlu bersusah payah untuk mencari belalang untuk makanannya kerana pertolongan dari mereka.Begitu juga cik putih dan kawan-kawan boleh melihat kelibat anak-anak ikan yang bermain-main didalam kolam atau sungai untuk dijadikan tangkapan dan makanan dari belakang pak hitam dan kawan-kawannya ketika pak hitam dan rakan-rakan mandi di sungai atau berkubang dikolam.

Intim sungguh pak hitam dan rakan-rakannya  bersama cik putih serta kawan-kawan, saling memerlukan diantara satu dengan yang lain.

~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.






KISAH LEMBU DAN NYAMUK


Alkisahnya ada seekor lembu yang selalu ditambat di belakang rumah tuannya itu.Lembu itu terasa sangat sunyi kerana tidak mempunyai teman yang lain.Hidupnya diisi setiap hari hanyalah memakan rumput berehat dan memandang alam disekelilingnya sahaja.Teringin benar dihatinya untuk merayau-rayau disekeliling kampung disamping meragut pelbagai jenis rumput yang lain dan ingin juga ia memakan dedaunan dan pucuk kayu dikampung itu untuk bertukar selera, akan tetapi ia tidak berdaya kerana hidungnya telah dicucuk dengan tali dan diikat pada sebatang pokok.Ia hanya dapat meragut rumput disekitar kawasan tempat dimana ia tertambat.



Ayam itik pun tidak mahu mendekatinya, hidup ayam itik ini lebih bahagia kerana dapat kesana kemari dengan bebas,Sesekali terdengar bunyi sijalak berkokok diatas tunggul, adakalanya terdengar sijalak memanggil-manggil ibu-ibu ayam, ketakan ayam betina ketika waktu hendak bertelor saling bersahutan dengan bunyi sijalak, riuh sekampung menambahkan kesayuan hati lembu itu.Sesakali ia turut mengemboh kerana hidupnya hanya bersendirian tiada berteman.Walaupun begitu hatinya sedikit sakit apabila ada beberapa ekor itik lalu berdekatan sambil berbunyi seakan-akan mengetawakannya disitu.Begitulah yang dirasai oleh lembu itu sehari-hari.



Maka lembu itu sentiasa berada didalam kebosanan dan kesunyian, mujurlah pada waktu petang ada juga nyamuk yang selalu menghiburkannya.Nyamuk-nyamuk ini sentiasa berdendang lagu-lagu yang nyaring, hingga lembu tadi mengantuk dan tidor kerana mungkin terlalu asyik mendengarkan alunan suara nyamuk tadi.Lwmbu itu berterima kasih pada nyamuk yang sudi menemani dan menghiburkannya sehingga tertidur, Setelah lembu tadi tertidur atau terleka sang nyamuk pun tidak melengahkan masa untuk menggigit lembu tadi dibahagian telinga kerana kawasan ini agak lembut dan nipis sehinggalah kenyang.Apabila kenyang menghisap darah lembu, nyamuk itu pun terbang kekenyangan.


Setelah puas lembu itu tidur, ia pun terjaga, ia terasa gatal-gatal ditelinganya lalu meragas-ragas bahagian telinganya dibatang pokok kelapa untuk menghilangkan rasa gatal tersebut, namun ia hairan kemana nyamuk yang menghiburkan hatinya lari, menghilang dan meninggalkannya dalam kesunyian tanpa menyedari betapa buruknya perangai nyamuk itu hanya setakat menghiburkan lembu semasa belum mendapat peluang menghisap darah.Begitulah sehari-hari yang dilalui oleh lembu tadi mengharapkan nyamuk datang menghibur hatinya tanpa mengetahui dirinya semata-mata menjadi mangsa nyamuk untuk menghisap darahnya.



RENUNGKANLAH.....


~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.








KISAH KELAWAR DAN BURUNG LAYANG-LAYANG


Ada seekor sang kelawar yang bersahabat dengan sang burung layang-layang yang tinggal bersama-sama didalam sebuah gua dan dicelah batuan gunung.Sang burung layang-layang selalu mencari makan diwaktu siang tetapi sebaliknya sang kelawar mencari makan diwaktu senja dan malam.Jarang sekali mereka dapat bersama-sama berbual tetapi jika sang burung layang-layang tidak keluar mencari makan atau bermain-main diwaktu sebelum hujan mereka selalu juga berbual-bual.Masalahnya kedudukan mereka masa berbual berbeza maklumlah sang kelawar kepalanya terbalik ke bawah sedangkan sang burung layang-layang dibahagian atas.Meskipun begitu ini tidaklah menyebabkan perbualan mereka terhalang.

Pada suatu hari siang sang kelawar telah keluar dari gua tempat ia menginap dan sengaja berehat diluar di sebatang ranting pohon kayu.Itulah pertama kalinya ia keluar meninjau dan menikmati hari siang.Maklum sahajalah pandangan sang kelawar terhadap benda-benda yang dilihat tidaklah seterang mana kerana mata sang kelawar memangnya rabun.Semasa dia diluar beliau benar-benar memerhatikan satu puncak gunung yang dapat dilihatnya samar-samar kerana  matanya yang rabun itu.Dalam hatinya berkata wah cantiknya puncak gunung itu.Beberapa lama berehat, beliau kembali semula ke penginapannya lalu berbual dengan sang burung layang-layang menceritakan pengalamannya tadi.

Sang burung layang-layang pun bertanya apa yang ia nampak semasa berehat diluar tadi.Sang kelawar pun memberitahu walaupun matanya rabun namun dia masih dapat melihat kecantikan pemandangan disekelilingnya dan bercerita bahawa puncak gunung yang dilihatnya berada menghala kebawah, semua yang diperhatikannya adalah terbalik.Sang burung layang-layang berkata yang kedudukan sebenarnya berbeza dengan apa yang dikatakan oleh sang kelawar tadi, dimana kedudukan puncak gunung dan pokok-pokok. serta yang lainnya semua menghala ke atas.Sang kelawar tidak berpuashati dan bermatian mengatakan bahawa pandangannya berbeza dengan apa yang dikatakan oleh sang burung layang-layang tadi.

Setelah beberapa lama berbincang dan bertukar pendapat, sang burung layang-layang mendapat satu fikiran dimana ia mengajak kelawar tadi keluar berterbangan disebelah petang menghala ke puncak gunung itu. Mereka pun terbang beriringan dan apabila sampai berdekatan puncak gunung tadi sang burung layang-layang menunjukkan kedudukan sebenar puncak gunung itu, barulah sang kelawar perasan bahawa pandangannya selama ini terhadap puncak gunung itu adalah salah dan ia dapat membetulkan kesilapannya setelah ia terbang bersama sang burung layang-layang.

Dari cerita ini tokwan hendak memaparkan pandangan kita terhadap apa sahaja isu terdapat sedikit sebanyak perbezaan pendapat, oleh itu untuk mendapatkan kepastian dan tidak berselisih pandangan eloklah kita berada bersama-sama melihat kebenaran yang ada dengan pandangan yang sebenarnya.Oleh itu jurang perselisihan pendapat sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

BEGITULAH CERITANYA....

~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.



KISAH SESUMPAH DENGAN BANGAU


Pada suatu masa dahulu sang sesumpah berkawan baik dengan sang bangau, sang sesumpah tinggal berdekatan didahan dimana sang bangau bersarang, tetapi sesumpah selalu sahaja menyembunyikan diri dicelah-celah ranting, dahan dan dedaunan kayu ketika sang bangau kesarangnya.Pada satu hari sang bangau pulang kesarangnya dengan membawa bekalan makanan untuk anak-anaknya, setelah meninggalkan bekalan tersebut sang bangau pergi lagi ketepi-tepi sungai untuk mencari anak-anak ikan untuk dibuat tambahan makanan anak-anaknya dan makanannya semasa berada disarangnya nanti.


Sang sesumpah selalu mencuri bekalan makanan anak-anak bangau terutama ketika tidor atau ditinggalkan sang bangau itu.Sang sesumpah juga selalu mengejek sang bangau kerana bulu putihnya tidak boleh berubah-ubah seperti dirinya yang sentiasa boleh bertukar warna.Disamping itu juga sang sesumpah ini selalu sahaja mengacau anak-anak bangau yang sedang tidur.Oleh kerana sikap sang sesumpah yang selalu mengacau anak-anak bangau dan mencuri makanan, maka sang bangau terasa panas hati pada sang sesumpah ini.Akan tetapi walaupun sang bangau tidak senang hati terhadap sang sesumpah, ia tetap tidak mengapa-apakan sang sesumpah itu, sebaliknya sang sesumpah yang tidak serik-serik menganggu anak-anak bangau dan mengejek-ngejek sang bangau itu.




Pada satu hari sang sesumpah telah membunuh seekor anak bangau yang masih lagi kecil, maka sang bangau tidak boleh bersabar lagi untuk membalas dendam.Puas dicarinya sang sesumpah itu tetapi tidak jumpa kerana sang sesumpah sentiasa menukar warnanya kewarna dahan, daun dan tanah.Sang bangau mencari ilham bagaimana untuk menangkap sang sesumpah yang selalu menyamar ini supaya tidak membunuh anak-anaknya yang lain serta menganggu hidupnya lagi.Maka sang bangau mendapat satu cara untuk memusnahkan sang sesumpah itu kerana telah pun menjadi musuhnya.Sang bangau itu pun berpakat dengan kawan-kawannya untuk menabur bulu-bulu putih yang lama keatas tanah dibawah pokok kediamannya itu.Maka boleh dikatakan penuh memutih diatas tanah dengan bulu-bulu bangau tersebut tanpa ada seruang pun kawasan itu yang tidak diliputi bulu bangau.


Sang sesumpah memerhatikan sahaja perlakuan sang bangau ini dengan sikap sombongnya sambil mengata-ngata dalam hatinya akan kebodohan sang bangau dan kawan-kawannya itu.Setelah semuanya selesai, maka sang bangau dan kawan-kawannya pun mengelilingi seluruh pelusuk pohon tempat sarangnya itu sambil mengipas-ngipas sayap serta menguis-nguis kaki mereka pada dedaunan, ranting dan dedahan pohon tersebut.Sang sesumpah rasa dirinya terancam dengan tindakan sang bangau ini, puas ia lari kesana sini dengan menukar warna badannya kewarna hijau, kekuningan dan berwarna seperti warna batang kayu.Oleh kerana bilangan bangau yang banyak maka ada juga yang menggoncang dan menggoyang dedaunan, dahan serta ranting pohon sehinggalah sang sesumpah itu terjatuh ketanah, dia tidak dapat melarikan diri kerana telah ditunggu oleh beberapa ekor kawan sang bangau tersebut.


Sang sesumpah sekarang merasa bimbang kerana nyawanya kini sangat terancam.Sebagai ikhtiarnya yang terakhir untuk menyelamatkan diri, ia cuba untuk menukar warna badannyaya menjadi putih, tetapi apakan daya warna sesumpah tidak boleh bertukar menjadi warna putih seperti bulu bangau, apa hendak dikatakan akhirnya sang sesumpah itu dapat dikesan oleh salah seekor kawan sang bangau yang sedang menunggu dibahagian bawah, akhirnya sang sesumpah terperangkap juga sehingga ajalnya tiba kerana patukan paruh sang bangau yang tajam seperti lembing itu.

Oleh itu adalah diharapkan kita sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran, tidak meniru cara sang sesumpah berkawan dan selalu bertukar warna dan menyamar kerana akhirnya orang akan ketahui juga muslihat dan akan menyusahkan diri kita sendiri.Itulah kisah tokwan kali ini, semoga cerita ini boleh dijadikan renungan dan panduan kita dalam menjalani urusan bersama kawan-kawan.



~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.





Ahad, 28 November 2010

KISAH SAWA DAN KAMBING ~

Burmese Python Picture

Pada kali ini tokwan bercerita berkaitan seekor ular sawa berkawan baik dengan seekor kambing.Alkisahnya pada masa dahulu binatang boleh berkata-kata dan pada masa itu ular sawa suka makan binatang yang kecil-kecil seperti arnab, tikus, kancil dan jenis burung-burung yang melata di dalam semak, ditepi paya dan di pinggir-pinggir hutan.


Sang sawa dan sang kambing merupakan kawan karib. Mereka selalu sahaja mencari makan ditempat-tempat perburuan sang sawa, kerap kali juga sang kambing menjadi tarikan binatang lain untuk makan rumput bersama-sama sang kambing ditepi-tepi paya, sedang leka memakan rumput sang sawa datang menangkap binatang tersebut.Sang sawa amat berterima kasih pada sang kambing yang sudi membantunya mendapat makanan dengan senang.




Tanpa disangka-sangka pada suatu minggu  hujan telah turun begitu lebat, boleh dikatakan setiap hari hujan turun, sang kambing dan sang sawa tidak dapat keluar makan, maka sang kambing dan sawa terasa lapar dan sang kambing juga terasa amat sejuk maklumlah sang kambing memang tidak berani kena air hujan. 


Pada satu petang sang kambing menggigil kerana kelaparan dan kesejukan ditempat tinggal mereka didalam sebuah gua, membuat hati sang sawa yang kelaparan kasihan melihat sang kambing itu.


Maka sang sawa mengusap-usap badannya kebadan sang kambing itu.Lama-lama sang sawa yang lapar tersebut mula membelit sang kambing perlahan-lahan, dan kerana laparnya sang sawa  mula berfikir untuk menjadikan sahabat karibnya sang kambing itu menjadi  juadah makanannya pada hari itu.


Pada mulanya sang kambing terasa selesa kerana belitan sang sawa itu sekurang-kurangnya dapat memanaskan badannya tanpa menyangka niat buruk sahabatnya sang sawa tadi, tetapi akhirnya belitan sang sawa menjerut sang kambing hingga kambing tadi hilang pekikannya kerana lemas hingga remuk badan dan tulang temulangnya dan mati.


Maka tamatlah riwayat sang kambing menjadi makanan yang enak dan mengenyangkan sang sawa.Sejak kecurangan dalam persahabatan sang sawa ini maka kambing-kambing yang lain tidak mahu lagi berbaik-baik dengan sang sawa kerana tidak setianya.



Python

Jadi apa yang tokwan ceritakan disini jadikanlah ikhtibar dan renungan, dengan siapa kita patut berkawan dan sentiasa memilih kawan supaya tidak ada yang mengambil kesempatan diatas kelemahan diri kita. Cerita ini telah tokwan ceritakan semasa majlis perpisahan tokwan ketika bekerja di Parit pada bulan September tahun 1996.


Ucapan perpisahan tokwan tanpa menyentuh cerita berkaitan tugas hanya bercerita berkaitan cerita mitos haiwan sahaja.Tokwan hairan juga kawan-kawan tokwan memahami maksud yang tersurat dan tersirat yang tokwan sampaikan pada majlis tersebut.


Sambil memberi ucapan tahniah kerana tidak pernah ucapan perpisahan sebelum ini menceritakan kisah-kisah haiwan yang boleh memberi makna dan erti tersendiri. Ada lagi satu kisah lain yang akan tokwan ceritakan disini dilain kali.


~ cerita ini adalah rekaan tok wan sendiri sekiranya ada persamaan itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan.



Sabtu, 27 November 2010

DISUATU PETANG MENYUSURI JALAN WATSON, IPOH 27.11.2010



Pada petang 27.11.2010 hati ku begitu melonjak untuk ke Jalan Watson, Ipoh, dimana disini banyak kenangan yang aku lalui semasa aku tinggal di Asrama di salah sebuah kuarters kerajaan di nombor 10 Jalan Watson yang dijadikan Asrama untuk pelajar Rancangan Khas St Michael's Institution, Ipoh.Aku tinggal di asrama ini dari tahun 1972 hingga 1976.Sebelum itu pada tahun 1971 aku menumpang di Asrama Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.

Semasa aku disitu juga mata ku tetap tertumpu pada suatu sudut dimana dahulunya berdiri tegap bangunan rumah kerajaan yang dijadikan asrama kediaman ku dan pelajar-pelajar lain yang terpilih dibeberapa buah Daerah di Negeri Perak bersekolah di St.Michael, Institution, Ipoh.Walaupun serba kekurangan kemudahan yang disediakan namun cukup memuaskan bagi kami yang terdiri dari anak-anak orang susah, jika dibandingkan semasa tinggal di kampung sebelum itu.Kini bangunan disitu telah lenyap dijadikan padang permainan Sekolah Antarabangsa, Ipoh, namun kenangan ku disitu tidak terkubur walaupun bangunan itu telah tidak dapat dipandang oleh mata lagi.

Semasa menyusuri jalan ini aku lihat keadaannya banyak berubah dimana jika dahulunya jalan ini tidaklah selebar sekarang, dan pokok-pokok yang merendang ditepi jalan ketika ini rasanya telah ditanam semasa kami sudah pun tidak tinggal disini lagi.Rumah-rumah dahulu banyak yang telah dibina baharu, besar, agam dan cantik.Pada petang itu aku lihat tidaklah sesibuk mana kerana kurang kereta yang melalui kawasan ini, kemungkinan kerana yang tinggal disini adalah terdiri dari mereka yang elit.Semasa diasrama dahulu jalan inilah tempat kami berjogging atau berjalan-jalan santai mengeluarkan peluh dan menenangkan fikiran sebelum menjelangnya senja.

Aku juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar disuatu sudut yang penuh dengan kenangan lalu yang tidak mungkin dilupakan, disinilah tempat aku dan beberapa orang pelajar sentiasa mencuri peluang untuk menghisap rokok dan disinilah tempat kami melepak sambil mengusik-ngusik pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Teknik, Ipoh dan Sekolah Menengah Raja Chulan, Ipoh semasa pergi ataupun balik dari sekolah .Di sini juga aku kadang-kadang curi-curi berjumpa dengan anak Benggali yang tinggal dihadapan asrama kami dahulu.

Semasa aku memandu untuk pulang tidak lupa sekali lagi aku mengambil gambar Jalan watson, Ipoh untuk dijadikan koleksi simpanan ku sebagai kenang-kenangan dimasa akan datang.Kemungkinan jika ada masa lapang aku akan kesini lagi untuk melihat serta mengimbau kenangan-kenangan lama ku disini agar tidak lupa dari ingatan.Terasa ralatnya hati ku kerana terlupa untuk mengambil gambar rumah si santa Kaur tinggal dahulu, yang kini telah dijadikan Sekolah Antarabangsa




TAMAN REKREASI SULTAN ABDUL AZIZ, IPOH


Pada petang tadi 27.11.2010 sempat juga aku ke pinggiran Taman Rekreasi ini untuk menenangkan fikiran, runsing sungguh hati ku duduk diam di rumah sahaja.Setelah aku berpusing-pusing di Bandaraya Ipoh terdetik dihatiku untuk ke taman ini.Malangnya aku kesini hanya berseorang diri, maka aku tidak mengambil masa yang lama disitu dan sempat juga mengambil gambar untuk ku jadikan bahan tulisan ku ini.


Ketika aku bersekolah dahulu dan tinggal di Asrama Jalan Watson disinilah tempat aku meluangkan masa sambil berehat.Taman ini dahulu dikenali sebagai padang polo.Pernah juga aku melihat perlawanan polo disini.Kini padang polo tersebut dijadikan taman rekreasi dan ramai juga pengunjung untuk beriadah.Ada yang berlari, yang berjalan dan ada juga yang duduk-duduk sambil berbual bersama rakan dan keluarga.


Banyak kemudahan yang disediakan disini tidak seperti dahulu, cuma padang yang digunakan untuk permainan polo, sesekali pernah juga dijadikan trek perlumbaan kereta dan tempat beriadah yang serba kekurangan, yang tidak disediakan tempat laluan berlari, tempat senaman,  dan juga tempat permainan kanak-kanak.Seronok juga rasanya menjejakkan kaki setelah sekian lama tidak menjejaki taman ini kali akhir aku ke situ pada bulan September, 2010 yang lalu.




Khamis, 25 November 2010

LATA KINJANG




lata kinjang menyejukkan mata memandang

Pada 25.11.2010 aku telah pergi ke Lata Kinjang, di Chenderiang, Perak  kerana sudah lama tidak kesana, apa yang aku dengar disana telah banyak perubahan baharu yang telah dilakukan dan menambah serinya Lata Kinjang untuk dilawati oleh pengunjung.Setelah sampai disitu memang benarlah banyak pembangunan dan pembinaan telah dibina.Apa yang aku perhatikan terlalu banyak perubahan yang dilakukan di situ.

Gerai-gerai yang lama telah ditukar baru, begitu juga dengan tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan lain yang telah disediakan dengan tersusun dan teratur, menambahkan lagi kecantikan kawasan Lata Kinjang yang sememang cantik dengan panoramanya dan mempunyai air terjun yang tinggi dan airnya tidak henti-henti mengalir turun dari bukit bagaikan juraian benang putih bertali temali menuju ke bahagian takungan air yang mengalir sesuai untuk bermandi manda.Jika aku membawa persedian pakaian sudah tentu aku juga turut mandi disitu.

Sekiranya ada masa lapang dan peluang, ingin benar aku berkunjung lagi kesitu, untuk mandi manda, bersantai dan mendapat ketenangan serta menikmati alam semula jadi yang menyejuk mata memandang juga melepaskan tension.


Sekiranya sesiapa yang ingin ke Lata Kinjang bolehlah melalui Lebuh Raya Plus Utara Selatan dan keluar susur tol Tapah setelah itu ikuti simpang ke kanan ke Pekan Tapah dan menyusuri simpang kanan hala ke pekan Kampar dan ikut arahan papan tanda membelok ke kanan ke Pekan Chenderiang dan patuhi papan tanda untuk ke Lata Kinjang.

Sekarang agak mudah kerana boleh sahaja menggunakan alat GPS dan sudah tentu tidak menyesatkan.Jauhnya Pekan Tapah ke Chenderiang lebih kurang 10 km dan dari Chenderiang ke Lata Kinjang lebih kurang 5 km.


SELAMAT DATANG !!!



CAPATI CORNER TEMOH




Capati Corner di Simpang Chenderiang, Temoh
Tapah

Adakalanya selera makan tidak menentu, tambahan tinggal di Malaysia pelbagai makanan yang boleh kita rasa dari pelbagai jenis juadah makanan masakan kaum Melayu, Cina, India dan juga makanan dari kaum-kaum lain.Makanan yang aku gemar selain menu masakan orang Melayu adalah capati, entah mengapa sejak umur ku 15 tahun aku menggemari makan capati, mungkin kerana semasa aku tinggal di asrama dahulu berdekatan dengan rumah seorang kaum Sikh dan anak gadisnya selalu memberi aku capati, maklumlah ketika itu hanyalah anak Singh itu sahaja yang menjadi pujaan hati.

Setelah aku bekerja aku selalu juga makan capati di gerai kaum Pakistani di Ipoh dan juga direstoran-restoran mamak.Dari apa yang aku rasa capati dari kaum Punjabi, Benggali atau Pakistani memang lebih sedap jika dibandingkan dengan capati yang disediakan oleh mamak.Setelah aku bertukar tempat bertugas di Tapah, maka boleh dikatakan menu minum pagi aku adalah capati bersama teh tarik atau kopi O.Aku selalu ke Capati Corner di Simpang Chenderiang untuk menikmati makanan kegemaran ku itu.Selalunya aku makan capati dengan kari kambing, kuah sardin, kari ikan atau pun kuah dal sahaja.Sesekali aku pekena capati dengan susu lembu tetapi aku tidak gemar pula susu kambing.

Apabila aku bertukar ke Bidor, maka aku jarang-jarang makan capati, adakalanya aku makan capati di Bidor sahaja tetapi aku rasa kurang selera menikmatinya, maka tidak hairanlah aku selalu ke  Simpang Chenderiang, Temoh untuk menikmati capati disana.Taukeh Capati itu pun sudah mesra dan mengenali aku.Sekiranya kawan-kawan ada bertandang ke Bidor tidak lupa juga aku akan membawa mereka merasai capati ditempat yang aku selalu makan dan jika aku pergi kemana-mana melalui jalan tersebut, tidak pernah rasanya aku tidak singgah untuk merasai makanan yang aku gemari ini.

Ada juga sekali sekala aku pergi ke Capati Corner ini disebelah malam untuk mengisi perut ataupun sahaja kesana bersama rakan-rakan sambil berbual-bual, Begitu jugalah jika ada kelapangan di waktu  petang atau dihari cuti aku kesana untuk melepaskan rasa keinginanku makan capati.Selalu juga aku bawa pulang sebagai bekalan untuk jiran tetangga ku disini.Oleh itu sekiranya ada kawan-kawan yang berhajat untuk mengunjungi kawasan Bidor atau Tapah, ayuh sahaja menghubungi aku, boleh kita makan capati...

Aku tidak lupa juga datang kesini apabila ada kawan-kawan dan sahabat handai yang datng berkunjung ke Bidor atau ke Tapah dan sama-sama menikmati capati di Restoran Capati Corner di Persimpangan Chenderiang Temoh, Tapah ini, sekiranya ada rezeki dapatlah merasa capati dan kari kambing kerana kari kambing selalunya terhad dan tidak dapat menampung permintaan pelanggan yang begitu ramai untuk menikmati rasa capati berlauk kari kambing.










Selasa, 23 November 2010

Dalam Kenangan ~ Sahabat RK 1971 - 1973

DARI ALLAH KITA DATANG DAN KEPADA ALLAH KITA DIKEMBALIKAN !

Allahyarham Abd Wahab bin Yusof

Allahyarham Abdul Wahab bin Yusof berasal dari Batu Gajah, Perak, meninggal dunia pada cuti penggal persekolahan tahun 1975 kerana kemalangan jalan raya.

Allahyarham Ahamd Hasri @ Bakap

Allahyarham Ahmad Hasri berasal dari Bakap, Batu Gajah, (RK Batch 1971)meninggal dunia akibat serangan demam panas tarikh kematian tiada dalam maklumat.



Allahyarham Ahmad Shahabuddin bin Khamis

Allahyarham berasal dari Kampung Pasir Pinji, Ipoh, (RK Batch 1971)tarikh meninggal tiada maklumat.


Allahyarham Mohd Safri bin Mohd Jamil @ Awie

Allahyarham Mohd Safri bin Mohd Jamil berasal dari Kampar, Perak (RK Batch 1971), dan telah meninggal dunia pada tahun 1984


Allahyarham Azri bin Nulop

Allahyarham Azri bin Nulop berasal dari Kampung Guntung, Sungkai (RK Batch 1971), meninggal pada 12.3.2005 di Gua Musang, Kelantan kerana serangan jantung.


Allahyarham Salleh bin Zainal Abidin @ To'ad

Allahyarham Salleh bin Zainal Abidin berasal dari Kampong Banjar, Telok Intan,(RK Batch 1971) meninggal dunia kerana sakit dalam perut, tarikh meninggal dunia tiada dalam maklumat pada tahun  2006

Allahyarham Johari bin Jalaluddin

Allahyarham berasal dari Bukit Pekan, Kampar (RK Batch 1971) meninggal akibat serangan jantung, bengkak paru-paru dan buah pinggang. meninggal pada 17.11.2010



Allahyarham Shuhaimi bin Mat Shahid

Allahyarham berasal dari Tanjong Tualang,Perak (RK Batch 1972) meninggal dunia akibat kemalangan jet pejuang F 5E terhempas. Tarikh kematian tiada dalam maklumat.


Allahyarham Rosli bin Ismail @ Tepus

Allahyarham Rosli Ismail berasal dari Kampung Tepus, Parit, Perak (RK Batch 1973), meninggal dunia kerana jangkitan dalam perut, terikh kematian tiada maklumat.


* Sekiranya sesiapa yang boleh memberi maklumat tarikh kematian, dan pembetulan maklumat, penambahan maklumat sahabat-sahabat kita yang telah kembali kerahmatullah sila hantar maklumat tersebut kepada tok wan.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...