Isnin, 9 September 2013

MATA AIR DICEMARI SELUT BERLUMPUR



Setiap kali merempuh perjalanan hidup pasti meninggalkan cebisan sejarah untuk dikenang. Selalunya kenangan itu pasti ada pengalamannya. setiap pengalaman itu ada coretan pahit manis, masam kelat dan tawar hambar.Angin yang menerpa bukan selalu menyejukkan kadang kala berbahang peristiwa pahit yang bertandang dalam hidup yang mengundang perbalahan dengan sahabat itu tidak semestinya membawa derita sepanjang masa mungkin ada hikmah di sebalik duka. 

Kalau hati sudah suka yang hitam dikatakan putih sahaja tetapi bila hati membenci yang putih dikatakan hitam belaka.Yang sama-sama ketawa itu bukan semuanya suka dan yang menegur itu tidak semuanya benci,Seboleh-bolehnya berbuat baik kepada orang yang menyukai kita dan cuba untuk berbaik dengan orang yang tidak menyukai kita. Bukan semua yang manis itu madu dan tidak semesti yang pahit itu hempedu '. 

Namun demi persahabatan dalam tegur menegur mugkin akan mengeruhkan suasana, kekadang diri kita dipandang buruk dan terlalu hina pada mata mereka.Biarlah hinaan dan cercaan yang kita terima itu dijadikan semangat jati diri dan memujuk hati.Ramai yang tidak tahu niat dan kesucian hati kita untuk membetul kesilapan atau menyelesaikan masalah dengan jujur sebaliknya diri kita pula yang diumpamakan awan hitam menyelubungi hati sahabatnya.

Begitu juga janganlah bersahabat seperti ombak yang setia kepada pantai tetapi menghakisnya setiap masa.Walaupun bersahabat seperti embun yang menghilang bila terbit matahari namun setianya embun tetap bertandang setiap pagi. Tidak pernah embun menyakiti rumput dan pepohon dalam keadaan mana sekali pun.

Janganlah bersedih hati kerana terpikirkah kita bahawa ' air hujan yang jernih itu turun dari awan yang hitam juga' .Hidup bersahabat tidak semudah bagai disangkakan.Dalam terang mentari bersinar adakalanya bertandang mendung.Kita tidak boleh memaksa orang menyukai kita.Walau bagaimanapun kita jadikan sahabat kita itu adalah yang terbaik dan jauhi diri dari sikap berburuk sangka,dan berdengki khianat. 

Barang kali diingat jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap  sahabat kita atas kelemahannya janganlah seperti sekumpulan ketam di dalam raga yang menekan kawan lain demi keuntungan peribadi meloloskan diri sendiri sahaja.Semasa hati dilukai dan terluka baharulah kita menyedari siapa sahabat, siapa kawan dan siapa lawan." luka di tangan mudah diubati luka di hati sukar sembuhnya. 

Amat sukar untuk mengawal kemarahan jika kesabaran hati selalu diuji dan diduga dengan pelbagai angkara yang menyakiti hati. .Ingatlah sebelum sebarang perpecahan dan perpisahan antara sahabat selagi termampu bersabarlah. Air yang terbit dari mata air akan sentiasa dalam keadaan yang jernih walau mengalir dari alur yang berselut.Ia tidak akan menjadi keruh selagi alur itu tidak dicemar, diusik atau diganggu '

Janganlah kerana tidak suka atau benci seseorang hingga perbuatan baiknya pun dikatakan jahat, keikhlasannya dituduh khianat.Kalau mata sudah kelabu dan hati telah buta manakan nampak, kain yang putih pun disangka hitam.Jika kita yang menanam maka kitalah yang menuai, kenapa mesti orang lain begitulah juga siapa yang menabur angin, dialah yang menuai badai !!!

Senyum dan ucapan manis dari seseorang itu belum pasti menjamin keikhlasan hatinya.' Buah-buahan segar tidak semestinya semua elok belaka tetapi ada diantaranya berulat di dalam '.Pengalaman mendewasakan dan mematangkan fikiran.Meskipun diri ditimpa dengan pelbagai kekalutan bersama sahabat dan rakan namun hati sentiasa tenang dan riang. Tidak sekali aku rasa kecewa, sedih dan berputus asa.

Walaupun awan mendung meliputi langit dan hujan turun dengan lebat sekali namun cahaya matahari masih mampu menyinar.Kenapa hujan turun di hari cerah, tiada tanda mendung, guruh dan petir di langit.Sahabat dan rakan yang membenci dan tidak menyukai diri ini janganlah malu untuk pergi sahaja dari hidup ku.Datang tidak dijemput, pergi pun tidak dihalang, sedikit pun aku tidak rasa terluak atau terkurang.

Seandainya airmata tangisan masih mengalir maka berilah senyuman mudah-mudahan akan menjadi penawar duka di hati.Sahabat dekat menganyam kasih, sahabat jauh menganyam rindu.Sahabat khianat selumbar hati, sahabat sejati penawar jiwa.

Isnin, 2 September 2013

CATATAN DIARI HATI



Di keheningan pagi ini biar ku catatkan perasaan hati ini yang terlalu sepi untuk ku bisikkan ke telinga mu.Rindu ku pada mu adalah selautan kasih yang tidak bertepi gelora dan berombak laju.Maka ku rasakan diri ini seperti secebis buih di tengah lautan bertarung nasib entahkan bila sampainya aku terdampar di tepian pantai.Rindu benar diri ini untuk mendengar bisikan suara mu bak sang bayu dingin lagi lembut yang manja menerpa telinga memujuk lara hati sepi ku.Namun terdampar di pantai pun hanya seketika namun dibawa ombak semula ke tengah lautan yang menjarakkan kita. 

Aku terumbang ambing tidak tentu haluan.Harapan ku biarlah aku terdampar di tepian pantai bersama kasih mu.Kini suara mu semakin hilang bagaikan bunyi ombak yang sudah tidak kedengaran dik gelora badai semalam.Ku harap agar kasih mu sentiasa harum mewangi seharum kasturi.Biarlah kasih sayang mu hadir di hati ini bagaikan sang bayu yang sentiasa membelai dedaunan pohon setiap hari dan masa.Janganlah pula kasih mu bagaikan embun yang hanya seketika di waktu pagi membasahi rumput yang akan hilang apabila terbit mentari.

AIR YANG MENGALIR

Bila air jernih di hulu mengalir mula bertukar menjadi keruh di kuala, maka keruhlah juga hingga ke muara.Begitulah kasih sayang yang mulanya sejernih air di hulu mula menjadi pudar akan pudar sampai ke akhirnya sukar untuk dijernihkan semula.Mengharap air sebersih mata air di tepiannya agak sukar untuk dikekalkan. Namun tak jemu berusaha untuk menjernihkannya hingga keakhir.Semoga ada sedikit baki dan sisa jernih hingga ke muara.

Begitulah yang diharapkan agar jernih air dari hulu hingga ke hilir. Namun ada sahaja tebing berlumpur hakis mengeruh dan memudarkan air mengalir hIngga ke muara kerana air tetap mengalir menyusuri tebing.Walaubagaimana pun sudah menjadi lumrah alam tebing tetap terhakis dan lumpur dan selut tetap bercampur air hingga ke muara.Sejernih manalah air sungai yang mengalir tetap juga membawa kelodak kotoran ke hilir 

AWAN MENDUNG

Awan putih bertandang belum.pasti sampai ke petang. Awan mendung yang meliputi langit tidak selamanya hitam pasti akan berlalu bertukar cerah semula.Jika pun awan tebal menuruni gerimis dan hujan pastikan berhenti bila tiba masanya.Mega merah jelma hanya seketika mentari mula melangkah ke kamar melabuh tirainya.Kini bertandanglah malam yang belum pasti bulan keriangan.Mungkin bersama bintang bersembunyi di balik awan. Maka keluh kesah sang pingguk hiba kedinginan menanti kekasihnya entah bilakah akan menjelma.

KUMBANG LARA

Bukan semua kumbang dapat mendekati bunga yang sedang ranggi berkembang, kerana bunga itu sudah pun dipunyai oleh sang kumbang dan lebah yang masih bergaya dan muda.Bertuah amat nasib mereka jika dibandingkan kumbang hitam yang sudah berusia senja menanti masa untuk tersembam kebumi.Kumbang senja itu hanya dapat menghidu harum mewangi bunga dari jauh sahaja maklumlah kudrat, daya dan tenaga untuk bersaing dengan kumbang dan lebah yang masih muda adalah agak mustahil baginya.Mungkin juga kecantikan bunga akan tercela seandainya ia membelai sang bunga itu.

Ketika malam berlabuh, pagi mula menjelma di waktu embun masih menitis ada se ekor kumbang yang putus asa tidak mampu lagi untuk terbang jauh hanya melara di ranting berdaun kering. serta enggan lagi untuk hinggap di ranting bunga berduri takut dirinya tertusuk duri. berteduh diri mngenang nasib jauh terbuang. Biarlah lara setiap hari bertandang. ku pujuk hati agar tidakkan rebah kecundang. senang dan bebas untuk melayar sayap terbang tanpa haluan..mencari damai di hati.

TENANG-TENANG AIR DI LAUT

Tenang-tenang  air di laut tetap berombak juga kekadang menggila bergelombang ditiup badai.Andai bahtera menyusurinya mungkin patah kemudi hilang haluan terumbang ambing bahtera di tengah lautan.Mengharap belas angin yang mungkin membawa bahtera hanyut ke tepian atau terdampar di pulau impian dan harapan.Jika dibawa angin bertentang arah maka berlarutan hanyut di tengah lautan sepi atau terumbang ambing dipukul badai gelombang.Kemungkinan karam dibaham lautan yang tidak mengenal kasihan.

MERPATI DESTINASI TAK PASTI

Ada kalanya merpati ingin mengambil jalan mudah dan pintas untuk lari dari kesengsaraan, demi mencari ketenangan ditempat lain, tetapi belum tentu beroleh kebahagian yang benar-benar sebati.Merpati hampa terjerat juga dengan kesengsaraan kali kedua.Seboleh mungkin ai tidakk mahu lagi lemas dalam pencarian pasangannya.Maka jadilah hidupnya bagai dalam pelarian mencari dan mengejar erti dan makna kebahagian yang digarap, belum pasti dapat ditemui atau masih dijerut kecelaruan dan penderitaan....oh !!! dimanakah akan ia cari, mungkinkah di hujung benua.

Ada waktunya ia cuba lari dari penderitaan dan menumpang di dahan-dahan yang merendang tanpa disedari dahan-dahan itu juga sekah, patah kerana kerapuhan atau sudah reput.Nasiblah masih bersayap boleh lagi terbang ke dahan lain jika silap hari mahu jatuh ditimpa dahan.Pun begitu hinggap ke dahan lain belum tentu juga memberi kebahagian kerana dahan-dahan itu pula dihuni semut dan kerengga maka hinggap sekejap bertebangan semula.Akhirnya hinggap pula di ranting, entah selamat entah tidak belumlah tentu.

Kemudian singgah di ranting kena pula ranting yang berduri atau berserabut dengan daun-daun terdapat pula ulat bulu, maka ada bahagian anggota yang terluka tertusuk duri atau pun yang gatal dan miang terkena dan tersentuh ulat bulu.Maka habislah badan membintat dan kemerahan digaru-garu, pedih juga maka terbang lagi.Kali ini mungkin selamat kerana turun hinggap pula ke tanah.Mungkin di taman lebih memberi keseronokan kerana indah dan cantik dengan hiasan bunga yang mekar berkembang.

Namun terhalang juga kerana terdapat pula penyengat, lebah, tebuan dan kumbang mencari makan dan bersarang, isyyy bahaya juga tu nanti kena sengatan mahu demam atau bengkak bengkik mati pun boleh, terbanglah lagi.Ingatkan selamat tidak juga selamat kerana di tanah juga ada mara bahaya silap perhitungan ada semut api atau semut gatal, maka menggarulah lagi.Belum lagi difikirkan binatang lain yang berbisa seperti lipan, kala jengking dan ular. Maka terbang juga mencari tempat persinggahan yang baru.Kali ini nak kemana pulalah agaknya.

Oh mungkin di tepi sungai, paya atau di tepi pantai.Namun selamat mungkin juga tidak menjadi nyata kerana di tepi sungai ada pula buaya, nanti disambarnya , jika di tepi paya silap-silap menjadi habuan sang sawa, di tepi pantai pula mungkin dibawa ombak ke tengah laut lemaslah pula..emmm ini tak jadi bergegas ku  terbang pergi.

Terbang lagi tuju pula ke lain tempat, kali ini cuba pula masuk ke hutan rimba, mudah-mudahan dapat ketenangan dan kebahagiaan yang diharapkan.Entahlah tidak selamat juga kerana di hutan rimba terdapat pula binatang buas terutamanya sang belang, beruang dan musang serta haiwan pemangsa yang lain, emmm di mana nak terbang lagi. Merpati masih mencari destinasi yang benar-benar selamat....



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...