Sabtu, 22 Januari 2011

nasib sibatang cangkul !


Semasa masih baru dibeli, tenaga ditagih setiap hari, diguna membersih rumput di laman, membuat batas sayuran, mengorek dan menambus lubang  akan tetapi setelah reput atau patah, ia menanti masa untuk dibuang.Tiada yang sudi untuk menggunakannya lagi tambahan jika batang cangkul yang baharu pula dibeli, maka tinggallah ia ditepi-tepi longkang terbiar reput menjadi tempat anai-anai bersarang mungkin ditempat pembuangan sampah bakal dijadikan penyala api.

Mengapa perlu dibuang atau dibiarkan mereput ditepi longkang, tidakkah timbul rasa kasihan melihat batang cangkul yang uzur itu.Kalau disimpan pun bukannya menganggu ruang, sandarkan sahaja dimana-mana, atau jadikan ia sebagai penyendal tiang agar tiang tidak bergoyang.Boleh juga dijadikan penongkat reban ayam yang senget agar tidak tumbang.

Adakalanya boleh lagi digunakan sebagai pengetuk sang lipan jika lalu terpandang mata semasa bersembang, atau dikala sesak dijadikan senjata terlihat ular menjalar datang atau anjing garang bertandang hendak menyerang.Ia juga boleh dijadikan tongkat sementara ketika sakit lutut, kaki atau pun pinggang.


Apalah kiranya dijadikan alat untuk menghalau lembu masuk kekandang,dibawa semasa menghalau kerbau dibendang serta mengusir pipit atau belalang.Oleh itu janganlah batang cangkul yang patah, buruk, dan uzur itu dibuang sewenang-wenangnya tanpa memikir sudah berapa banyak liang kubur yang telah digali dan dikambusnya dan betapa jasanya yang disumbang jua patut serta sewajarnya dikenang !


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...