Jumaat, 21 Januari 2011

SUSUNAN JARI JEMARI SANJUNGAN SERI BUDI ~


Asslamualaikum dan Salam Sejahtera,

Dalam menulis blog 'tokwan matarun' yang baharu berusia beberapa bulan, tokwan masih bertatih lagi walaupun tokwan kini berusia meniti senja.Memang banyak kekurangan gaya bahasa, tata bahasa, nilai bahasa dan ragam bahasa, namun hanya inilah yang tokwan termampu, maklum sahajalah tokwan bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi dan berpengetahuan luas dalam selok belok penulisan.

Sebagai mengisi masa yang terluang, inilah caranya tokwan memenuhi ruang-ruang masa itu untuk menulis setakat memenuhi selera, imbauan rasa seorang insan yang meniti senja.Memang hajat dihati untuk menjadi seorang penulis ternama tetapi apakan daya tokwan hendak memeluk gunung, sudah pasti tangan tak sampai, nak mendakinya jua tidak termampu dek tenaga yang telah kehausan dimamah usia.

Oleh itu sekiranya susah untuk mengerti apa dan sukar memahami penulisan tokwan, maka serendah-rendahnya diri dan hati tokwan menyusun sepuluh jari  memohon kemaafan dan adalah diharapkan  pembaca-pembaca buatlah tafsiran dan kefahaman sendiri.Sekiranya pemahaman dan tafsiran itu bersifat kontra, maka negatiflah ia, dan begitulah sebaliknya seandainya positif maka positiflah.

Sedemikian, walaupun sebagai penulis melukut ditepi gantang dan umpama perca kain reput yang usang dan terbuang, hati tokwan masih mahu mencuba mengusung minda seperti orang lain menulis walaupun tidak setanding meskipun barang sebaris ayat malahan sepatah perkataan pun, namun tulisan tokwan  setakat dapat menumpang ditepi bendul pintu pun sudah memadai.

Maka dik kerana kelemahan dan kekurangan tokwan itu maka adalah diharapkan pembaca-pembaca masih sudi bertandang kehalaman blog tokwan.Sekiranya tidak mahu menjelajahinya memadailah setakat singgah menyapa.Sekiranya kedapatan insan  yang mahu menunjukajar dan menambah resepi rasa untuk tokwan selerakan pembaca-pembaca lain dengan rencah-rencah yang baharu, amatlah tokwan alu-alukan dan tokwan sanjung tinggi.

Dikesempatan ini, sekali lagi tokwan menyusun sepuluh jari jemari memohon maaf, serta menyanjung seri budi pada insan-insan yang masih sudi menjenguk rahsia hati dan perasaan nubari melukut yang kian meniti hari-hari senja ini dengan satu salam  ikatan persahabatan yang seikhlas budi dari tokwan.

Menangis pilu  si anak beruang
Bukit nan tinggi tidak terdaki
Kain yang buruk jangan dibuang
Buatkan sahaja pengesat kaki

BLOG TOKWAN MATARUN GENAP 2 TAHUN

Pada 6 November, 2012 maka genaplah umur dua tahun blog tokwan matarun, sebuah blog catatan berbentuk artikel dari tokwan, walaupun tokwan bukan seorang penulis namun setiap coretan yang tokwan lakukan adalah semata-mata untuk mengisi masa lapang dan sekadar suka-suka.Segala coretan ditulis secara apa yang terbit di minda sahaja.

Tokwan sedar dan tahu betapa artikel tokwan yang tercoret dan dinukilkan ini adalah seumpama debu yang terlekat di kaki ini dan terlalu amat kecil nilainya dan mungkin juga tidak bernilai langsung untuk memberi sebarang makna kepada pembaca sekelian namun begitu masih ada yang sudi untuk bertandang untuk membacanya.

Mungkin juga para pembaca setakat menjengah,sekadar  jeling-jeling pandang-pandang atau setakat bertandang-tandang sahaja, walaubagaimanapun terima kasih juga kerana masih ada yang memberi sokongan serta komen-komen yang membina.Besarnya rasa hati kerana kesudian pembaca memberi tunjukajar dan teguran.

Selagi masih ada idea yang terbit dan bertandang diminda, tokwan akan cuba  tulis dan paparkan sebaik-baiknya untuk kalian semua.Selamat berkunjung dan selamat membaca pada alakadarnya.Tanpa para pembaca sekelian siapalah diri tokwan ini, dan maafkanlah jika ada yang tersinggung dengan kata bicara yang kurang enak.


Sekali lagi tokwan mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua para pembaca.Jika dirasakan elok sebar-sebarkan, andainya buruk dan tidak langsung ada nilai ilmiahnya katakan kepada tokwan, bolehlah diperbetulkan dan dikemaskinikan semula atau para pembaca terus tinggalkan sahaja dari membacanya.

BERAS MELUKUT SISIPAN BLOG TOKWAN MATARUN

Pada 9.9.2012 maka genaplah umur setahun blog sisipan kepada blog tokwanmatarun.Pada asalnya segala isipatinya berbentuk puisi diterbitkan bersekali dalam blog tokwanmatarun, dan pada 9.9.2011 tokwan merasakan amat perlu dipisahkan dari blog tokwanmatarun kerana kandungan isi antara kedua blog ini adalah berbeda.

Satunya berbentuk artikel dan sisipannya pula tokwan namakan beras melukut merupakan paparan idea-idea puisi-puisi hambar dari tokwan.Sebenarnya tokwan bukanlah seorang yang pernah melibatkan diri dalam bidang puisi Melayu.Bukanlah tokwan ini seorang penyair, penyajak dan terlalu jauh  berjiwa seni. 

Paparan hanya sekadar suka-suka sekadar karya puisi-puisi melukut dari tokwan yang kurang bernilai bentuk seni dan sastera.Walaubagaimanapun terima kasih kepada para pembaca kerana sudi menjengahnya walaupun puisi yang tokwan hasilkan  adalah karya seorang yang amat kerdil dalam bidang tersebut.

Dikesempatan ini tokwan mengucapkan ribuan malahan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi membaca blog tokwan yang sekerdil ini.Walaupun blog ini masih muda dan dikarang oleh seorang insan bak sebutir melukut dalam kerja-kerja penulisan namun telah timbul beberapa kontroversi yang menuduh tokwan menggunakan blog ini untuk mengata, memfitnah dan menghentam orang.Tujuan sebenarnya tokwan menulis diblog yang tidak seberapa ini adalah semata-mata untuk mengisi masa lapang tokwan sahaja disamping mengimbau pengalaman lalu.

Tokwan banyak menulis atas cerita dari kisah-kisah dan pengalaman  yang pernah tokwan alami, dan kebanyakannya adalah rekaan semata-mata dan tiada niat untuk menjatuhkan martabat seseorang.Namun begitu jika setiap karya penulisan tokwan dibaca dalam bentuk positif maka positiflah jadinya, dan seandainya dibaca dan difahami dalam negatif maka negatiflah ceritanya.Jika baik dijadikan panduan, seandai sebaliknya janganlah dijadikan isu pula dan terpulanglah pada pandangan masing-masing.Seandainya penulisan ini ada persamaan dengan kisah-kisah yang dialami pembaca, itu adalah satu kebetulan dan tidak disengajakan dan tokwan dengan rendah diri memohon ribuan kemaafan.

Untuk mengelakkan tuduhan dan fitnah maka tokwan menulis tidak menggunakan sebarang nama atau panggilan kecualilah yang berkaitan dengan peristiwa sebenar.Oleh itu sekali lagi tokwan ingin mengucapkan berbanyak terima kasih diatas sokongan pembaca sekelian.Terima kasih juga kepada insan-insan yang sudi memberi tunjukajar dan penambahbaikan pada blog tokwan yang kerdil ini.Tanpa tuan/puan, pembaca dan peminat semua siapalah tokwan !.


Wassalamualaikum...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...