Pada petang 27.11.2010 hati ku begitu melonjak untuk ke Jalan Watson, Ipoh, dimana disini banyak kenangan yang aku lalui semasa aku tinggal di Asrama di salah sebuah kuarters kerajaan di nombor 10 Jalan Watson yang dijadikan Asrama untuk pelajar Rancangan Khas St Michael's Institution, Ipoh.Aku tinggal di asrama ini dari tahun 1972 hingga 1976.Sebelum itu pada tahun 1971 aku menumpang di Asrama Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.
Semasa aku disitu juga mata ku tetap tertumpu pada suatu sudut dimana dahulunya berdiri tegap bangunan rumah kerajaan yang dijadikan asrama kediaman ku dan pelajar-pelajar lain yang terpilih dibeberapa buah Daerah di Negeri Perak bersekolah di St.Michael, Institution, Ipoh.Walaupun serba kekurangan kemudahan yang disediakan namun cukup memuaskan bagi kami yang terdiri dari anak-anak orang susah, jika dibandingkan semasa tinggal di kampung sebelum itu.Kini bangunan disitu telah lenyap dijadikan padang permainan Sekolah Antarabangsa, Ipoh, namun kenangan ku disitu tidak terkubur walaupun bangunan itu telah tidak dapat dipandang oleh mata lagi.
Semasa menyusuri jalan ini aku lihat keadaannya banyak berubah dimana jika dahulunya jalan ini tidaklah selebar sekarang, dan pokok-pokok yang merendang ditepi jalan ketika ini rasanya telah ditanam semasa kami sudah pun tidak tinggal disini lagi.Rumah-rumah dahulu banyak yang telah dibina baharu, besar, agam dan cantik.Pada petang itu aku lihat tidaklah sesibuk mana kerana kurang kereta yang melalui kawasan ini, kemungkinan kerana yang tinggal disini adalah terdiri dari mereka yang elit.Semasa diasrama dahulu jalan inilah tempat kami berjogging atau berjalan-jalan santai mengeluarkan peluh dan menenangkan fikiran sebelum menjelangnya senja.
Aku juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar disuatu sudut yang penuh dengan kenangan lalu yang tidak mungkin dilupakan, disinilah tempat aku dan beberapa orang pelajar sentiasa mencuri peluang untuk menghisap rokok dan disinilah tempat kami melepak sambil mengusik-ngusik pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Teknik, Ipoh dan Sekolah Menengah Raja Chulan, Ipoh semasa pergi ataupun balik dari sekolah .Di sini juga aku kadang-kadang curi-curi berjumpa dengan anak Benggali yang tinggal dihadapan asrama kami dahulu.
Semasa aku memandu untuk pulang tidak lupa sekali lagi aku mengambil gambar Jalan watson, Ipoh untuk dijadikan koleksi simpanan ku sebagai kenang-kenangan dimasa akan datang.Kemungkinan jika ada masa lapang aku akan kesini lagi untuk melihat serta mengimbau kenangan-kenangan lama ku disini agar tidak lupa dari ingatan.Terasa ralatnya hati ku kerana terlupa untuk mengambil gambar rumah si santa Kaur tinggal dahulu, yang kini telah dijadikan Sekolah Antarabangsa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan