Rabu, 29 Disember 2010

MAJLIS TAHLIL DI RUMAH KAKAK ALLAHYARHAM JOHARI JALALUDDIN


Pada 26.12.2010 sedar tak sedar 40 hari Allahyarham Johari Jalaluddin pergi menyahut panggilan Ilahi.Apalah daya insan yang bernama manusia tetap jua akan pergi meninggalkan alam fana yang dipinjamkan Allah sementara kepada makhluknya.Begitulah adanya setelah pemergian Allahyarham Johari mendahului kita semua yang masih hidup buat seketika sementara menunggu giliran panggilan Allah SWT.

Di rumah pusaka peninggalan Allahyarham ayahandanya di Kampung Tengah, Bukit Pekan Kampar yang kini didiami oleh kakaknya telah mengadakan satu majlis tahlil untuk adik kesayangannya pada hari itu dan aku dan beberapa orang kawan telah dijemput hadir.Akan tetapi disebabkan ramai kawan-kawan yang terlibat dengan hal-hal masing-masing maka aku, Nidzamuddin dan Amiruddin (jaja) sempat jua menghadiri majlis tersebut mewakili sebahagian besar sahabat dan kawan-kawan semasa di asrama dan bersekolah dahulu.

Walaupun aku hadir agak lewat dihari tersebut namun kesetiaan Nidzamuddin dan Amiruddin (jaja) menanti aku amatlah aku sanjungi.Begitu juga kehadiran ku disambut mesra oleh keluarga Allahyarham.Hajat kami untuk bertemu dengan anak tunggal Allahyarham tidak kesampaian kerana beliau ada urusan lain di tempat kerjanya di Putra Jaya.Aku sempat juga memasukkan gambar-gambar kenangan Allahyarham bersama kami semasa bersekolah dahulu dan memberi nota ucapan takziah dari kawan-kawan difacebook ke thumb drive kakaknya untuk dijadikan kenang-kenangan.

Setelah beberapa jam di rumah itu aku, Nidzamuddin, dan Amiruddin ( jaja) pun berangkat pulang.Insya Allah sekiranya ada masa kami akan berkunjung lagi kerumah kakaknya di Kampung Tengah, Bukit Pekan Kampar sebagai tanda hubungan kami dengan keluarga Allahyarham tidak terputus meskipun Allahyarham Johari Jalaluddin telah tiada lagi.

SEMOGA ROH ALLAHYARHAM BERSAMA ROH ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH....



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...