Selasa, 7 Disember 2010

MELUKUT ~



Apakah yang dikatakan melukut ? melukut adalah merupakan beras hancur yang berada didalam kelompok beras yang sempurna sifatnya.Kedudukan melukut didalam beras tidaklah membawa sebarang perubahan semasa beras itu ditanak kerana sifatnya adalah terlalu kecil dalam komponen beras tersebut sebelum menjadi nasi.


Maka timbullah satu bidalan, simpulan bahasa, peribahasa dan perumpamaan orang Melayu yang berkaitan dengan melukut ini yang berbunyi , seperti melukut di tepi gantang, adanya atau pun tiada melukut itu sifatnya tidak menambah atau mengurangkan bilangan beras didalam gantang tersebut.Perumpamaan tersebut bermaksud seseorang yang sumbangannya dalam masyarakat tidak membawa apa-apa perubahan, sama ada dia menyertai atau pun tidak dalam kelompok masyarakat disesuatu kawasan.


Oleh itu bersesuaianlah dengan diriku yang serba kerdil dalam kelompok masyarakat yang bolehlah dianggap seperti nasib melukut ini, kerana jawatan, pangkat, rupa dan harta wang ringgit serta ilmu yang ku miliki tidak sebesar mana pun yang boleh membawa diri ini berada ditengah-tengah masyarakat ataupun tidak berdaya untuk melakukan sebarang perubahan suasana.Suara ku pun dalam setiap acara, majlis atau pun mesyuarat selalunya tidak akan dipandang oleh mereka yang berkedudukan tinggi didalam kelompok tertentu.


Apabila terjadinya hal berkenaan maka biarlah aku menggelar dan menganggap diri ku hanya sebutir melukut yang sumbanganku kepada masyarakat amatlah kecil dan tidak begitu dipandang.Merendah diriku adalah bertempat dan ku rasa bertepatan....

Cantik bulan dipagar bintang
dimalamnya hari bercahaya terang
Bagai melukut ditepi gantang
masuk tak cukup keluar tak kurang





Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...