Khamis, 11 Ogos 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI 1432


Tidak berapa lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut 1 Syawal 1432 atau Hari Raya Aidilfitri dan lebih dikenali sebagai Hari Raya Puasa menandakan umat Islam menamatkan ibadah berpuasa sebulan Ramadan dan membayar zakat fitrah untuk diri dan keluarga.Maka beroleh kemenanganlah mereka yang melakukan amal ibadah di bulan yang berkat itu.

Umat Islam tidak terkecuali di Malaysia akan membuat persediaan untuk sambutan hari raya dengan membuat pelbagai juadah kuih muih dan menyiapkan pakaian baru untuk diri dan keluarga.Rumah juga kini telah dibersihkan dan dihiasi dengan barangan yang baru atau diolah untuk menyerikan lagi sambutan itu nanti.

Namun bagi ku tidaklah begitu kerana aku tetap menyambutnya seperti hari-hari biasa cuma yang berbeza hanya berpakaian baru dan ke Masjid untuk menunaikan sembahyang sunat aidilfitri.Aku tidak menyediakan juadah kuih muih hanya setakat membelinya barang satu dua jenis sahaja yang selebihnya adalah ehsan dari isteri, keluarga atau jiran tetangga.

Persiapan rumah adalah seperti biasa tiada yang istimewa tanpa ada perubahan, langsir pun tidak pernah bertukar ganti.Seperti orang lain aku hanya menanti kepulangan anak-anak berhari raya bersama.Itulah saat yang mengembirakan aku.Kemungkinan anak-anak akan berhari raya di rumah ibu mereka terlebih dahulu barulah pulang ke rumahku.Maklum sahajalah keluarga sudah berpecah beginilah adatnya.Namun aku terima keadaan ini, atas kehendak Allah.

Begitu juga dengan isteri ku, rasanya seperti tahun-tahun yang lepas isteri dan anak-anaknya akan berhari raya di kampung mereka bersama ibu bapa dan saudara.Kami terpaksa berbuat demikian kerana pengorbanan untuk kebahagian anak-anak masing-masing.Memang unik perkahwinan kami kali kedua ini, masing-masing memahami kehendak hati anak-anak.Biarlah asalkan mereka bahagia, walau hati aku kadang kala di amuk sepi dan duka, tapi sudah biasa begini apalah hendak dikata....

Jika sebelum ini selepas sembahyang sunat hari raya aku akan menziarahi ibu di kampung yang hanya beberapa kilometer sahaja dari rumah ku.Di sanalah tempat aku berkumpul dengan adik beradik sementara menanti kepulangan anak-anak.Jika giliran anak-anak ku berhari raya terlebih dahulu bersama ku, maka kami akan pergi bersama kerumah ibu.Maka riuh rendah suara gelak ketawa dan berbual mesra.Boleh dikatakan aku sentiasa berada di samping ibu, kakak, adik-adik serta sanak saudara yang pulang dari jauh dan dekat.

Aku juga tidak melepaskan peluang untuk ke tanah perkuburan menziarahi pusara opah, bapa dan saudara mara yang telah pergi untuk selamanya.Akan tetapi pada tahun ini hati ku bertambah sayu dan pilu setelah ibu juga menuruti ayah pergi untuk selamanya, semoga roh ibu, ayah, keluarga dan seluruh Allahyarham dan Allahyarhamah di rahmati Allah.

Sudah pasti kali ini aku sambut hari raya dengan perasaan yang amat dukacita sekali kerana aku sudah kehilangan tempat bermanja dan apabila ku singgahi rumah pusaka nanti pasti membuat aku tenggelam punca kerana hari raya kali ini rumah pusaka akan tinggal sepi.Aku harap adik-adik dan kakak akan pulang berhari raya di situ untuk mengubat sedikit hati ini sambil mengimbau sejarah lama semasa tinggal dan berhari raya di rumah itu.

Oh !!! betapa sedihnya aku pada hari itu nanti dan aku telah menjangkakan airmata kali ini sudah tentu tidak dapat ditahan lagi dari mengalir dan dada pasti akan sebak kerana ini adalah pengalaman berhari raya yang pertama tanpa orang yang tersayang iaitu ibu ku.Kalau dulu berhari raya hanya tanpa ayah tetapi kali ini berhari raya tanpa kedua-duanya.Apalah hendak dikatakan kerana itu adalah suratan dan kehendak Allah yang pasti berlaku atas kehidupan setiap yang bernama manusia.

Sempena menyambut hari raya puasa yang mulia ini, aku juga ingin menyusun sepuluh jari jemari memohon seribu kemaafan zahir dan batin setulus dan seikhlas hati kepada semua keluarga, sahabat handai, kawan, rakan, taulan dan jiran tetangga termasuk kepada semua umat Islam yang mengenali diri ini yang kini berada jauh dan dekat.


Aku tahu sebagai manusia aku tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan besar atau kecil yang perlu disucikan, dosa terendam, dosa terpendam, semuanya aku mohon keampunan dari kalian semua dan kepada Allah jua aku berserah segalanya. Semoga perhubungan kita akan baik, erat, setia, jujur, ikhlas, berkekalan, mesra dan berpanjangan hingga ke hujung nyawa, Insya Allah....





Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...